Saat ini, para pekerja di Indonesia masih sedang berupaya melaksanakan perlawanan umum dalam bentuk Mogok Nasional selama empat hari (24-27 November) menuntut dihapuskannya Peraturan Pemerintah tentang Pengupahan no.78/2015 yang dianggap merugikan para pekerja. Lagipula, Peraturan Pemerintahan itu bertentangan dengan Undang-undang No.13/2003 tentang Tenaga Kerja yang menyatakan bahawa setiap pekerja berhak memperoleh penghasilan untuk memenuhi kehidupan layak bagi kemanusiaan dan penetapan gaji harus melindungi pekerja.
Gaji minima di Indonesia selalu meningkat setiap tahun dan berapa peratus jumlah peningkatannya berbeza di setiap kota dan daerah disesuaikan dengan biaya hidup di setiap kota atau daerah tersebut. Untuk mengetahui biaya hidup di satu daerah, serikat pekerja (kesatuan sekerja) dan pemerintah masing-masing daerah akan melakukan kajian harga barangan di pasaran berdasarkan komponen asas keperluan pekerja setiap hari. Komponen tersebut terdiri daripada keperluan asas seperti harga beras, telur, minyak masak, mi segera, pakaian, sampai ke komponen yang kecil seperti harga minyak wangi, lipstik, bedak, shampoo, sabun mandi, dan lain-lain. Sedikitnya ada 60 komponen yang harganya akan dikaji setiap tahun. Setelah itu pekerja, majikan, dan pemerintah daerah akan berunding untuk menetapkan jumlah upah minimum sesuai dengan biaya hidup yang layak. Untuk menekan pihak pemerintah dan majikan yang cenderung ingin merendahkan jumlah upah pekerja semasa perundingan dijalankan, pekerja biasanya berdemonstrasi sampai jumlah tuntutan upah yang mereka minta terpenuhi. Banyak kejayaan yang pekerja Indonesia telah capai melalui pendekatan sebegini.
Undang-undang tentang pengupahan yang baru disahkan pada bulan Oktober yang lalu menunjukkan pemerintahan Jokowi masih berada di bawah arahan para kapitalis yang hanya boleh mengaut untung dengan menindas pekerja. Undang-undang ini mensyaratkan jumlah kenaikan gaji minima ditetapkan setiap tahunnya tidak lagi berdasarkan hasil kajian KHL (Komponen Hidup Layak), tetapi hanya berdasarkan jumlah gaji minima tahun sebelumnya ditambah dengan inflasi dan pertumbuhan ekonomi. Ini akan menyebabkan kenaikan gaji minima pekerja jauh lebih kecil dari yang diharapkan. Maka sudah sewajarnya para pekerja Indonesia melawan dan menyerukan untuk Mogok Nasional.
Maksud mogok sebenar adalah pekerja tidak bekerja pada hari dan masa yang ditentukan, menjadikan aktiviti pengeluaran di kilang berhenti sepenuhnya. Kaedah ini adalah senjata yang paling berkesan bagi pekerja untuk melawan majikan, sekali gus menimbulkan kesedaran bahawa pekerjalah yang sebenarnya menggerakkan ekonomi. Namun, sampai pada hari kedua (24&25 November), mogok masih belum maksimal dilakukan. Masih ada pekerja yang memilih untuk terus bekerja dan menjalankan aktiviti produksi di kilang-kilang.Berdasarkan beberapa maklumat di portal berita dan media soal, ternyata masih ada serikat pekerja yang setengah-setengah meminta para pekerjanya untuk melakukan mogok. Mereka hanya menghantar beberapa orang perwakilan ahli serikat pekerja sahaja untuk berhimpun, sedangkan pekerja kilang yang lain diminta untuk terus bekerja. Perkara ini berlaku disebabkan oleh kurangnya kesedaran pekerjanya mahupun elit birokrasi di dalam serikat pekerja itu sendiri yang melumpuhkan kesedaran pekerjanya tentang perlunya bersolidariti dengan pekerja lain yang betul-betul melakukan mogok.
Di samping itu, majikan terus melakukan perkara-perkara yang jahat untuk menggagalkan rancangan mogok ini. Kaedah-kaedah yang biasa digunakan adalah memaksa pekerja untuk bekerja lebih masa beberapa hari sebelum mogok dilaksanakan untuk menutup kos kerugian selama pekerja mogok. Ada juga syarikat yang memberi cuti kepada seluruh pekerjanya selama mogok dilakukan, tetapi meminta pekerja untuk mengganti cuti tersebut dengan bekerja di hari libur lainnya. Dan taktik yang paling jahat digunakan oleh majikan adalah membayar samseng, polis, mahupun tentera untuk menakut-nakuti pekerja melakukan mogok dan demonstrasi. Pada hari kedua demonstrasi sudah ada beberapa insiden tangkapan dan pemukulan terhadap pekerja dilakukan. Majikan dan pemerintah berada dalam satu pasukan untuk melemahkan perjuangan pekerja. Perkara sebegini boleh dilawan sekiranya seluruh serikat pekerja yang terlibat betul-betul bersatu untuk menjayakan perlawanan umum ini supaya matlamat untuk melakukan mogok nasional betul-betul tercapai.
Sosialis Alternatif bersolidariti sepenuhnya dengan perjuangan pekerja di Indonesia saat ini. Perlawanan umum dalam bentuk mogok nasional adalah langkah yang tepat untuk melawan sistem kapitalisme yang menindas golongan pekerja. Kami juga terus berusaha memperkasakan golongan pekerja di Malaysia supaya kesedaran untuk memperjuangkan hak-hak mereka terus berkembang. Apa yang dilakukan oleh pekerja di Indonesia saat ini tentunya menjadi pelajaran berharga bagi pekerja di Malaysia.