Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

220 JUTA PEKERJA MENYERTAI AKSI MASSA BERSEJARAH

Tanpa sebarang ragu-ragu, mogok Umum 48 jam yang dilancarkan oleh hampir 220 juta orang para pekerja, petani, pekedai kecil dan sebagainya di India akan menjadi rekod sejarah dari segi angka penglibatan kelas pekerja di dalam satu aksi yang serentak dan tersusun. Menariknya, mogok umum kedua terbesar juga berlangsung di India apabila seramai 180 juta orang telah menyertai mogok umum tersebut pada September 2016 menentang polisi ekonomi kerajaan dan rejim Modi.

Mogok umum yang berlangsung pada 8-9 Januari lalu telah mengakibatkan sebahagian besar daripada ekonomi India untuk terhenti seketika. Pekerja dalam sektor kerajaan, swasta, perbankan, pengangkutan, pembuatan, pendidikan, agrikultur dan termasuk pekerja-pekerja informal telah mengambil bahagian dalam aksi yang menggegarkan seluruh India, terutamanya kerajaan Modi. Hampir setiap sektor ekonomi telah tergendala dan terpaksa menunggu para pekerja tersebut untuk balik berkerja.

Populasi India kita berada di sekitar 1.34 bilion orang, iaitu hampir 1 daripada setiap 6 penghuni dunia merupakan warganegara India. Setiap seorang pekerja yang mogok pada hari tersebut mewakili hampir 50 orang populasi dunia pada kadar masa ini. Begitulah skala mogok gergasi ini jika dibandingkan dengan populasi dunia dan India. Pekerja dari setiap pelosok telah mengambil bahagian dalam aksi ini, dari bandar yang paling ramai penduduk seperti Mumbai (12juta) atau Delhi (11juta) ke 67% daripada pekerja di pedalaman atau di kampung-kampung.

New Socialist Alternative (CWI India) telah menulis di dalam kenyataan rasmi mereka sebelum mogok – “ Sekali lagi, aksi mogok ini merupakan bantahan terhadap polisi ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan National Democratic Alliance yang di pimpin oleh parti BJP dan Modi yang telah gagal untuk memenuhi aspirasi kelas pekerja dan rakyat biasa dari setiap lapisan masyarakat.”

Kapitalisme Gagal untuk Memenuhi Aspirasi Massa

Di bawah kepimpinan perdana menteri Modi, serangan ekonomi neo-liberal sedang rancak tanpa kawalan. Begitu juga dengan kekayaan golongan elit kaya 1% yang sedang berganda dengan begitu pesat dan cepat. Kini orang terkaya 1% di India memiliki kekayaan yang sama dengan gabungan harta 50% daripada populasi! Walaupun di gelar sebagai ‘negara membangun’ kapitalisme abad ke-21 sebenarnya sedang memiskinkan kebanyakkan daripada populasi dunia terutamanya dari negara-negara mundur. Lebih dari 70 peratus dari populasi India sedang mengharungi kemiskinan yang tak terkata dengan peruntukan perbelanjaan kurang dari 2 USD (RM10) setiap hari.

Tetapi pertumbuhan jutawan dan kekayaan para jutawan sedang berkembang secara eksponen. Daripada 196 ribu orang jutawan pada tahun 2013, ia meningkat kepada hampir 250 ribu orang pada tahun 2014. Bilangan ini dijangka akan meningkat ke 900 ribu sebelum tahun 2023!

Pada masa yang sama, masyarakat biasa di India sedang mengalami kekurangan kekayaan dan terpaksa menanggung beban ekonomi dan polisi-polisi dari kerajaan yang setakat ini hanya membawa padah kepada jutaan rakyat miskin. Kadar pengangguran sedang meningkat dengan laju dan kini ia berada di paras terburuk dalam hampir 2 tahun. Baru-baru ini, lebih daripada 25 juta orang telah memohon untuk 90,000 kekosongan kerja di syarikat kereta api milik negara – ketidakseimbangan ini mencerminkan kondisi rakyat India yang tidak ada jalan lain selain turun berjuang demi peluang pekerjaan yang lebih baik.

Alternatif Politik

4 tahun kepimpinan Modi dan parti BJP sudah terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah asas yang dihadapi oleh rakyat dan situasi ekonomi di India sedang merosot. Begitu juga dengan parti-parti pembangkang tradisional yang telah mengecewakan rakyat sebelum rakyat memberikan madat kepada parti BJP. Parti-parti kiri dari aliran Stalinis dan Maois pula tidak mempunyai program dan hala tuju yang jelas untuk melawan sistem kapitalisme dan perwakilan kapitalis untuk membawa kepimpinan kelas pekerja bagi menuntut kuasa kerajaan. Sejak tahun 1991, India sudah melihat 17 buah mogok umum gergasi dan penyertaan para pekerja pada tahun-tahun kebelakangan ini mencerminkan aspirasi rakyat biasa yang tidak bersetuju dengan sistem kapitalisme dan sedang mencari sebuah alternatif yang munasabah. Mogok umum ini juga mendedahkan kekuatan sebenar kelas pekerja. Jika kelas pekerja berjaya bergabung tenaga dan melancarkan sebuah aksi yang tersusun, mereka dapat memegang seluruh kuasa ekonomi dan pihak kapitalis tidak bermaya untuk bergerak.

Organisasi dan parti kiri di India gagal untuk memilih sebuah hala tuju politik yang jelas dan bebas dari pengaruh kapitalis. Kebanyakkan daripada pertubuhan ini masih sedang berharap untuk membuat koalisi dengan pihak pembangkang kerajaan yang juga merupakan pendokong sistem kapitalisme bagi tujuan untuk merebut pangkat dan posisi kerajaan. Pada masa yang sama, majoriti daripada rakyat India walaupun terbahagi dari segi pelbagai identiti dan latar belakang, sudah mula untuk menggabungkan tenaga mereka untuk bergerak dalam aksi-aksi masa bagi memaksa sebuah perubahan yang mendasar.

Apa yang diperlukan oleh rakyat India yang sedang berjuang adalah sebuah program untuk menyatukan tenaga kelas pekerja bukan sahaja untuk menggulingkan rejim Modi, tetapi juga untuk menggulingkan sistem kapitalisme yang rakus bagi digantikan dengan alternatif sosialis yang boleh menjadi inspirasi bagi perjuangan kelas pekerja di rantau Asia dan di seluruh dunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *