Mesyuarat Nasional Sosialis Alternatif (SA) Malaysia 2026, Berlangsung Dengan Jayanya
Mesyuarat nasional Sosialis Alternatif kali ini mengukuhkan lagi perspektif politik semua ahli kami, terutamanya golongan belia, berhubung era baru kapitalisme global yang sedang menghadapi krisis meluas dan mendalam. Tahun 2026 akan menyaksikan bahan-bahan baru dan kempen yang lebih aktif bersama kelas pekerja, supaya tugas penubuhan parti pekerja massa yang independen dapat dilanjutkan.
Read the English version on the CWI site.
Sejak Perang Dunia Kedua, sistem kapitalisme global telah berkembang dan menghasilkan rantaian bekalan yang sangat bersepadu dan pasaran yang saling bergantung – mengikat wilayah seperti Asia Tenggara kepada turun naik ekonomi dunia. Dalam sistem ini, ekonomi benua ini diserap sebagai tapak pembuatan kos rendah dan pengekstrakan sumber berorientasikan pasaran eksport yang didominasi oleh modal asing. Hari ini, apabila kapitalisme memasuki krisis berpanjangan yang dicirikan oleh kemelesetan ekonomi bagi kelas pekerja dan miskin melalui pemotongan perbelanjaan kerajaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat, perang-perang proxy, persaingan geopolitik dan penyusunan semula blok-blok nasional dan multinasional. Rangkaian pengeluaran yang sama ini telah menjadi sumber kerentanan akut, mendedahkan ekonomi kapitalisme serantau kepada krisis ekonomi global dan eksploitasi yang semakin intensif.
Asia Tenggara
Ketegangan kuasa-kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China terutama berkaitan teknologi, laluan maritim, dan akses kepada sumber strategik, negara-negara ekonomi membangung semakin ditarik masuk ke dalam persaingan ini. Misalnya tekanan daripada China yang semakin meningkat di Kepulauan Spratly, Filipina serta cabaran terhadap akses lautan dalam zon ekonomi eksklusif negara itu telah menimbulkan situasi gelisah di negara-negara serantau, memaksa kerajaan-kerajaan di seluruh Asia Tenggara untuk menilai semula keutamaan ekonomi dan politik mereka — perbelanjaan pertahanan dan penjajaran ketenteraan dan hubungan perdagangan nasional serta multinasional. Persoalan-persoalan ini sama sekali bukan untuk kepentingan massa dan kelas pekerja, tetapi demi melindungi kepentingan segelintir elit borjuis nasional di bawah tekanan paksaan kuasa besar yang semakin meningkat.
Di Filipina, kerajaan telah meningkatkan perbelanjaan terhadap keselamatan maritim dan kerjasama kerajaan antara Amerika Syarikat telah semakin terbuka disebabkan konfrontasi berulang di Laut China Selatan, sekali gus mengalihkan sumber awam ke arah pertahanan sementara keperluan sosial terus menjadi persoalan yang terpinggir. Tekanan geopolitik ini telah berinteraksi dengan krisis politik domestik, khususnya kemarahan rakyat terhadap rasuah dan penyalahgunaan dana awam yang terdedah semasa bencana banjir besar tahun lalu. Hasilnya wujud peningkatan ketidakpuasan di kalangan rakyat Filipina yang dizahirkan melalui protes, mobilisasi akar umbi, serta aksi tindakan yang melibatkan kesatuan sekerja dan organisasi sosialis.
Manakala di Indonesia, kos sara hidup yang meningkat, skandal rasuah, dan pertumbuhan ekonomi yang tepu telah mencetuskan siri-siri protes dan demonstrasi anti-kerajaan. Namun, kebangkitan massa ini kerap berdepan dengan penindasan, termasuk pengerahan tentera dan peluasan peranan ketenteraan dalam urusan-urusan sivil. Di bawah pentadbiran Prabowo Subianto, ketergantungan untuk membendung kebangkitan massa kepada angkatan tentera dan bersenjata, mencerminkan bagaimana ketegangan sosial yang semakin mendalam di bawah krisis kapitalisme diuruskan bukan melalui pembaharuan yang lebih progresif seperti yang sering diwar-warkan oleh para penyokong pasaran bebas dan liberal tetapi sifat sistem kapitalisme yang bersifat persaingan, pengumpulan harta dan kuasa, sedang menyaksikan kelas kapitalis menggunakan taktik autoritatif untuk kekal relevan dan berkuasa apabila oleh rakyat biasa.
Sementara itu di Myanmar, perang saudara yang berpanjangan susulan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada tahun 2021 telah berkembang menjadi konflik meluas melibatkan kumpulan bersenjata etnik dan krisis migrasi di Asia Tenggara. Di Thailand dan Filipina, hubungan antara krisis kapitalisme global dan defisit demokrasi bagi rakyat memperlihatkan rentak yang serupa. Krisis politik di Thailand yang tercetus disebabkan sekatan mandat reformasi oleh kem politik monarki menunjukkan bagaimana negara yang berasaskan struktur ekonomi dan politik kapitalis mengambil langkah autoritarian apabila berdepan dengan kebangkitan sosial dan kemelesetan ekonomi.
Malaysia
Di Malaysia pula pertumbuhan pasca-pandemik yang kononnya dibanggakan sedang digugat oleh krisis yang mendalam kapitalisme dunia. Anggaran rasmi menunjukkan ekonomi terus berkembang secara sederhana pada tahun 2025 dengan pertumbuhan KDNK sekitar 4–5% — disokong oleh sektor perkhidmatan dan permintaan domestik. Namun, pertumbuhan nominal ini menutupi realiti sebenar kelas pekerja yang sedang berhadapan dengan upah yang rendah dan kos sara hidup yang meningkat. Keadaan ini telah menyemarakkan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan Anwar Ibrahim, yang berkuasa atas janji reformasi tetapi melaksanakan langkah-langkah berteraskan penjimatan seperti cukai jualan dan perkhidmatan serta pemotongan subsidi yang meningkatkan beban ke atas rakyat biasa. Pada Julai 2025, ribuan rakyat Malaysia berhimpun di Kuala Lumpur di bawah slogan “Turun Anwar” sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos sara hidup dan kegagalan membawa tuntutan reformasi. Protes tersebut menandakan salah satu protes paling signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa yang sama, mobilisasi buruh juga semakin meningkat. Antaranya protes yang menyaksikan pelbagai kesatuan sekerja menentang union busting dan protes pekerja gig. Begitu juga NUBE (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank), di mana tindakan piket dan perhimpunan Hari Pekerja telah mendapat sokongan yang semakin meluas dalam kalangan ahli kesatuan. Dan walaupun gerakan-gerakan ini belum bergabung menjadi satu kebangkitan kelas pekerja yang berterusan dan bersatu, ia mencerminkan pergolakan sosial yang semakin meningkat dalam kalangan anak muda dan pekerja yang melihat kepimpinan politik semasa sebagai tidak mampu menangani isu rakyat, rasuah, dan kestabilan ekonomi.
Anwar Ibrahim semakin bergantung kepada kompromi elit untuk mengekalkan majoriti Parlimen yang rapuh. Ini kelihatan jelas melalui sikap ringan terhadap akauntabiliti pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah. Misalnya pengendalian kes-kes berkaitan 1MDB yang melibatkan Najib Razak, serta kes penyelewengan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. Ini mengukuhkan persepsi bahawa sistem perundangan masih tunduk kepada kepentingan politik dan bukannya kedaulatan undang-undang yang dijuarai oleh Anwar ketika sebelum menjadi PM. Hakisan kredibiliti di peringkat pusat ini telah tercermin dalam reaksi pilihan raya di peringkat pinggiran, paling ketara di Sabah, di mana corak pengundian peringkat negeri baru-baru ini menunjukkan penolakan terhadap gabungan persekutuan memihak kepada parti-parti nasionalis tempatan dan berteraskan wilayah. Ini menandakan kekecewaan bukan sahaja terhadap legasi UMNO tetapi juga terhadap kegagalan Pakatan Harapan untuk memutuskan secara tuntas daripada struktur kuasa lama.
Organisasi dan Anak Muda
Mesyuarat nasional juga menilai perkembangan keseluruhan organisasi, termasuk pertumbuhan keanggotaan, penerbitan, kempen pekerja, dan pengukuhan dana dalam satu sesi yang dipimpin oleh Qira. Ini diikuti dengan sesi yang dipimpin oleh Zufar yang memberi fokus kepada pengukuhan politik bagi anak muda bagi tempoh akan datang. Sesi ini menekankan kepentingan membezakan antara radikalisme dan sekadar pemberontakan, rebel sebagai sebahagian daripada usaha membina sebuah organisasi yang berdisiplin dan berteraskan kader. Perbincangan turut meneliti bagaimana tugas anak muda SA mampu memainkan peranan strategik dalam membina perjuangan kelas pekerja serta menghubungkan aktivisme mahasiswa dengan gerakan buruh dan penentangan sosial yang lebih luas.
Mesyuarat nasional yang diadakan dalam situasi krisis global yang semakin mendalam dan ketidakstabilan serantau, menandakan satu langkah penting bagi Sosialis Alternatif sebagai sebahagian daripada Committee for a Workers’ International. Krisis yang sedang berlaku di Malaysia dan Asia Tenggara menunjukkan bahawa tugas ke hadapan bukanlah penyesuaian reformis, tetapi perjuangan kelas pekerja yang tersusun ke arah kesimpulan sosialis demokratik. Kini, lebih penting daripada sebelumnya untuk mengukuhkan dan mendidik secara politik lapisan anak muda dan pelajar yang semakin berkembang ke dalam perjuangan kelas yang bersifat revolusioner, serta memperkukuh kerjasama serantau di seluruh Asia Tenggara sebagai tindak balas terhadap kondisi kelas bersama yang dibentuk oleh kapitalisme global.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan