Pada 15 Mac 2019 lepas, pelajar dan anak muda di seluruh dunia turun ke jalan untuk menyertai Global Climate Strike. Protes ini dimulakan pada tahun lepas oleh Greta Thunberg, seorang pelajar sekolah yang melancarkan mogok di depan Parlimen Sweden untuk mengangkat isu bencana ekologi yang sedang dialami di seluruh dunia. Greta hanya berumur 16 tahun pada masa itu. Tidak lama kemudian, pelajar dan anak muda di negara-negara lain menyertai protes ini pada setiap hari Jumaat yang dikenali sebagai gerakan Fridays For Future.
Pada tahun ini, Global Climate Strike telah menarik berjuta-juta anak muda dari lebih 1000 bandar dan 100 negara untuk melancarkan aksi mogok dan protes di tempat masing-masing. Pada kemuncak aksi ini, seramai 1.5 juta para mahasiswa bersama dengan kelas pekerja telah melancarkan sebuah mogok gergasi di Spain. Para pelajar dan anak muda yang menyertai aksi ini juga telah mengetengahkan sistem kapitalisme dan korporat multinasional sebagai punca utama kepada degradasi alam sekitar yang sedang dihadapi dan menuntut pihak tersebut memikul tanggung jawab yang sewajarnya.
Kapitalisme merampas masa depan generasi muda semata-mata demi keuntungan segera. Ia memberikan liabiliti kepada generasi muda untuk menghadapi kesan-kesan perubahan iklim yang berpunca daripada kapitalisme. Rakyat yang tidak memperoleh keuntungan itu, menjadi mangsa. Pembangunan yang tidak terkawal dan tidak demokratik mengakibatkan pencemaran alam, kehidupan marin terjejas, kekurangan air minum, peningkatan sisa toksik, pencemaran plastik, pembasmian hutan, kehilangan biodiversiti, kesihatan masyarakat bertambah buruk dan banyak lagi.
Sistem ekonomi kapitalisme yang berlandaskan kepada keuntungan peribadi bagi segelintir orang kaya telah terbukti tidak mampu untuk menyelesaikan isu perubahan iklim, pemanasan global dan degradasi alam akibat pencemaran. Beberapa kajian telah mendapati bahawa lebih dari 70% daripada pencemaran karbon dilakukan oleh hanya 100 syarikat besar. Satu lagi kajian mendedahkan bahawa lebih dua pertiga daripada punca pemanasan global sejak tahun 1760 an boleh dijejak ke hanya 90 buah syarikat besar. Sebahagian besar daripada pencemaran alam ini dilakukan oleh syarikat-syarikat multinasional gergasi yang hanya mengejar keuntungan sambil mengalihkan semua tanggung jawab kepada rakyat biasa yang seringkali menjadi mangsa keadaan. Tetapi, seperti yang dilihat dalam aksi global pada 15 Mac lalu, rakyat biasa dan kelas pekerja, terutamanya dari kalangan anak muda, sudah mula mengenalpasti sistem kapitalisme sebagai punca kepada krisis alam sekitar yang sedang menggugat masa depan semua.
Global Climate Strike ini juga disertai oleh pelajar dan anak muda di Malaysia, seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Antara isu-isu yang menjadi kebimbangan ialah penambakan laut untuk projek mewah, masalah banjir dan tanah runtuh, pencemaran bahan buangan industri, peningkatan jejak karbon (carbon footprint), cuaca yang tidak menentu, kepupusan hidupan liar dan sebagainya. Selain itu, aktiviti pembalakan yang berleluasa telah menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mengalami kehilangan hutan dalam kadar yang sangat laju dan membimbangkan. Pembalakan hutan (termasuk pembalakan haram) juga memberi kesan lain seperti kehilangan tempat tinggal komuniti orang asli dan kehilangan tempat tadahan air yang mengakibatkan bencana banjir dan kekurangan bekalan air bersih.
Manusia sebenarnya saling berhubungan secara dialektik dengan alam sekitar. Tanpa sebuah harmoni di antara cara kehidupan manusia dan alam semula jadi yang merupakan sumber utama bagi keperluan hidup, kesinambungan umat manusia di dunia ini tidak boleh dijamin. Namun, sistem kapitalisme mewujudkan kontradiksi, yang menyebabkan manusia semakin terpisah dengan alam sekitar. Sistem kapitalisme yang berfungsi melalui persaingan untuk mengumpul keuntungan peribadi tidak mampu untuk mendekati alam sekitar secara manusiawi dan berusaha ke arah mewujudkan keharmonian yang diperlukan. Tambahan pula, aktiviti manusia yang dilakukan melalui aturan sistem ini telah mengakibatkan sebuah kecemasan krisis alam yang sedang menggugat kehidupan jutaan penghuni dunia. Oleh sebab itu, keadaan objektif ini sedang menekan kita untuk memperjuangkan sosialisme di skala antarabangsa; sebuah revolusi dalam cara pengeluaran, sekali gus menjadi revolusi dalam susunan sosial.
“Jika penyelesaian dalam sistem ini sangat mustahil untuk dicari, mungkin kita patut mengubah sistem itu sendiri” – Petikan ucapan Greta Thunberg.
Sosialisme menawarkan cara hidup yang tidak dikuasai oleh keuntungan dan kerakusan dalam eksploitasi sumber alam sekitar. Ia bertujuan untuk menghasilkan masyarakat demokratik yang boleh membincangkan segala keputusan ekonomi. Sosialisme membawa maksud bahawa kelas pekerja yang mewujudkan segala komoditi akan secara kolektif memiliki semua alat produksi (kilang, peralatan, mesin, tanah dsb). Di bawah sosialisme, ekonomi disusun supaya ia memenuhi keperluan dan keprihatinan rakyat biasa, bukan demi keuntungan bagi segelintir elit kaya seperti dalam sistem kapitalisme. Oleh itu, pemeliharaan alam dan menangani perubahan iklim akan menjadi agenda utama yang akan diperjuangkan melalui kerjasama daripada seluruh masyarakat dunia.