Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Menjelang PRU 14, semua parti politik sudah mengeluarkan manifesto masing-masing untuk dipertimbangkan oleh rakyat sebelum hari mengundi. Sememangnya pilihanraya ini telah dijangka oleh semua parti politik yang telah membuat persiapan yang rapi dan mengemaskini segala jentera politik mereka bagi memastikan kemenangan, lama sebelum Parlimen diumumkan untuk dibubar oleh PM Najib pada 7 April lalu. Begitu juga dengan manifesto-manifesto yang dilayangkan penuh dengan janji-janji manis yang ingin menambat hati setiap lapisan masyarakat bagi mengundi kepada parti masing-masing. Namun persoalannya adalah, selepas melalui kemelesetan ekonomi dan kemerosotan taraf kehidupan yang sudah berpanjangan selama hampir sedekad, adakah janji-janji yang ditaburkan oleh pertubuhan politik arus perdana ini akan berjaya mengaburi mata majoriti daripada anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa?

Kedua-dua manifesto gabungan politik utama iaitu BN dan PH adalah sangat mirip dimana ia dipenuhi dengan program-program kebajikan dan pembangunan yang menjanjikan masa depan yang lebih baik bagi rakyat biasa. Ia sangat mirip sehingga kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh bahawa program mereka ditiru oleh lawan politik mereka. BN Johor menuduh bahawa PH Johor telah meniru segala program lama mereka yang kononnya ‘berjaya’ manakala Lim Guan Eng dari kem pembangkang pula mengatakan bahawa pihak BN melakukan perkara yang sama di negeri Pulau Pinang. Di sebabkan oleh PH telah mengeluarkan manifesto mereka lebih awal dan BN telah menyusuli mereka, sememangnya agak jelas bahawa Najib telah mengadaptasi beberapa program pembangkang yang dijangka popular ke dalam manifesto parti pemerintah.

Contohnya seperti janji bahawa hak negeri Sabah dan Sarawak akan dikembalikan sepertimana yang diperakui dalam Perjanjian Malaysia 1963. Walaupun butiran mengenai hak yang akan dinikmati oleh rakyat Sabah dan Sarawak kelak masih tidak jelas, kedua-dua pihak bersetuju untuk menambahkan hak autonomi bagi negeri tersebut secara terhad. Ini sememangnya sebuah janji yang amat populis memandangkan situasi rakyat di Sabah dan Sarawak yang sedang semakin bergerak ke arah menuntut autonomi dan kebebasan daripada cengkaman pemerintahan Semenanjung yang dianggap sebagai tidak adil dan tidak memanfaatkan. Janji ini menandakan bagaimana terdesaknya kedua-dua BN dan PH untuk memenangi kerusi di Timur Malaysia.

Kedua-dua BN dan PH membawa program meningkatkan gaji minima ke RM 1500 dalam masa 5 tahun secara berperingkat dan menjanjikan pemansuhan bayaran tol untuk lebuhraya. Selain itu, terdapat juga satu fokus dalam kedua-dua manifesto untuk cuba membawa isu yang sedang dihadapi oleh peladang Felda dan untuk menarik undi mereka. Kedua-dua pihak menjanjikan untuk menghapuskan hutang peladang dengan syarikat FGV dan menawarkan beberapa program kebajikan yang khusus bagi peladang di kawasan Felda. Sememangnya rakyat dari kawasan-kawasan Felda yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ bagi BN sebelum ini sudah amat kecewa dengan kepimpinan Najib yang telah menswastakan tanah Felda yang membawa kepada masalah dan skandal korupsi yang telah mengucar-kacirkan kehidupan mereka. Jika Najib tidak berjaya memulihkan sokongan peladang Felda dalam pilihanraya yang akan datang ini, BN berkemungkinan kalah di beberapa negeri penting seperti Pahang dan Negeri Sembilan. Oleh itu, peladang Felda ini menjadi undi rebutan bagi kedua-dua pihak yang ingin memastikan kemenangan di negeri-negeri ini.

Perbezaan Manifesto BN Dan PH

Walaupun terdapat banyak persamaan diantara kedua-dua manifesto parti pembangkang dan pemerintah, juga terdapat beberapa aspek-aspek tertentu yang berbeza. Misalnya BN lebih menumpukan kepada taktik memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat seperti menambah jumlah pemberian BR1M dan menawarkan insentif khas sebanyak RM 5000 kepada peladang Felda disamping mengekalkan program-program bantuan jangka pendek kerajaan lain. Selain itu PM Najib juga telah mengumumkan pelancaran pelbagai projek gergasi ‘mega’ seperti pembinaan pelabuhan, lapangan terbang, lebuhraya dan rangkaian keretapi yang dijangka akan memakan belanja berbilion-bilion ringgit.

Pihak pembangkang PH pula menumpukan manifesto mereka untuk menyerang polisi-polisi BN yang dianggap tidak memanfaatkan rakyat seperti pelaksanaan cukai GST dan pemansuhan subsidi minyak dan berjanji untuk kembali kepada sistem percukaian yang sedia wujud sebelum pemerintahan Najib. Manifesto PH juga mengetengahkan isu-isu demokrasi dan membawa cadangan untuk menghadkan penggal dan bidang kuasa pemerintahan perdana menteri. Bersamaan itu, PH berjanji untuk menghapuskan undang-undang yang tidak demokratik seperti Akta Hasutan, Akta Universiti, SOSMA dan sebagainya jika ia dapat menakluk kuasa kerajaan. Selain itu, pihak pembangkang juga bertekad untuk mendedahkan korupsi dari pihak pemerintah dengan membawa janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal 1MDB, Felda, MARA dan beberapa skandal korupsi lain.

Janji-janji Populis Yang Tidak Berasas

Melihat gelagat semua pertubuhan politik arus perdana, memang jelas bahawa dalam keadaan yang sangat terdesak untuk merebut kuasa, parti-parti politik sedang menaburkan pelbagai janji-janji PRU tanpa memberikan satu kejelasan mengenai bagaimanakah mereka bercadang untuk menentang segala kuasa korporat kapitalis dan memulihkan taraf hidup bagi jutaan rakyat majoriti. Walaupun mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8% pada KDNK tahun lepas, kajian menyatakan bahawa cuma segelintir minoriti yang kaya telah dapat menikmati peningkatan kemewahan dan taraf kehidupan. Jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa pula sedang terbelenggu dengan kekurangan peluang pekerjaan, kos kehidupan yang naik mendadak, hutang yang menggunung dan tekanan ekonomi yang melampau.

Projek-projek gergasi dalam manifesto BN dikatakan akan memantapkan ekonomi negara dan menambah peluang pekerjaan bagi anak muda. Masalah pengangguran anak muda yang tiga kali ganda kadar negara, persaingan sengit malah dalam pekerjaan yang tidak stabil seperti khidmat pengangkutan ‘Grabcar’, penutupan kilang-kilang besar seperti Samsung dan Western Digital dan pelbagai isu semasa langsung tidak disentuh atau diendahkan. Pada masa yang sama segala jenis janji-janji baru pula ditaburkan tanpa sebarang penjelasan yang munasabah. Tambahan pula, hutang negara yang semakin meningkat akibat pelancaran projek-projek mewah juga akan ditanggung oleh rakyat dalam bentuk pemotongan kebajikan oleh kerajaan. Khidmat kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan sedang semakin merosot dan pemberian gula-gula seperti BR1M tidak akan berjaya menampal kemerosotan ini.

Kekurangan dana bagi hospital kerajaan dan ketiadaan perancangan untuk membina pusat kesihatan kerajaan yang baru akan memberikan impak yang besar kepada rakyat biasa yang bergantung dengan kemudahan tersebut. Walaupun pada hari ini hospital-hospital kerajaan sedang dipaksa untuk beroperasi dengan bajet yang berkurangan setiap tahun dan sedang menghadapi masalah kekurangan kakitangan, Najib sedang mengumumkan pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baru disamping projek-projek rekreasi mewah yang memakan belanja berbilion ringgit. Anak muda yang mempunyai aspirasi untuk mendapat pendidikan berkualiti juga tidak mendapat sebarang jalan penyelesaian daripada program BN. Kecuali sektor transportasi, infrastruktur lain yang ada dalam perancangan BN tidak secara terus menerus memberikan manfaat kepada rakyat biasa atau menyentuh masalah yang dihadapi oleh mereka pada masa ini.

Manifesto PH pula masih berbentuk populisme dan lebih tertumpu untuk menyerang BN daripada merujuk kepada masalah-masalah asas rakyat. Janji pendidikan percuma dan untuk kembalikan pilihanraya majlis tempatan walaupun wujud sekadar retorik didalam program pembangkang sebelum ini, ia sudahpun dikeluarkan sekarang. Kegagalan parti pembangkang untuk membawa pendidikan percuma dan pilihanraya tempatan di negeri-negeri di bawah kuasa mereka selama dua penggal pemerintahan juga mendedahkan watak sebenar mereka dan akan menimbulkan keraguan dikalangan rakyat. Bagaimana pula dengan janji-janji baru yang ditaburkan diatas janji-janji lama yang tidak penah ditunaikan.

Kelas pekerja dan rakyat biasa di negeri Pulau Pinang dan Selangor juga sedang menghadapi nasib yang sama dengan majoriti rakyat dari negeri lain. Pihak PH juga telah melakukan penswastaan yang pesat yang memberikan ruang kepada para kapitalis kaya untuk mengeksploitasi rakyat biasa disamping menggondol segala sumber alam sehingga memberikan kemudaratan alam sekitar. Walaupun melihat pertumbuhan ekonomi yang subur di dua negeri ini, kebanyakkan kemewahan tersebut telah tertumpu kepada segelintir elit kaya yang berjaya menambah kekayaan mereka setiap tahun.

Kedua-dua pakatan pemerintah BN dan pembangkang PH telah meminggirkan rakyat biasa bagi meningkatkan keuntungan swasta bagi tuan-tuan korporat kaya mereka. Tetapi, rakyat biasa yang sangat kecewa dan berada dalam keadaan tersepit mungkin akan memberikan undi mereka kepada PH bukan kerana mereka mempunyai sebarang harapan dalam kepimpinan PH, tetapi semata-mata untuk mengalahkan pemerintahan UMNO/BN dan Najib yang dianggap sebagai korup dan sedang mengancam kesihatan negara. PM Najib merupakan antara pemimpin yang mempunyai sokongan rakyat yang paling kurang di dunia pada masa ini. Tetapi, seperti yang diketahui umum, jentera-jentera Pilihanraya dan kuasa duit yang dipegang oleh BN bersama dengan langkah-langkah persempadanan semula yang baru diluluskan akan memberikan kelebihan yang besar kepada parti pemerintah.

Alternatif Bagi Rakyat?

PRU kali ini merupakan pilihanraya yang sangat genting dan kem pembangkang mempunyai peluang untuk merampas kekuasaan daripada BN untuk kali pertama semenjak kemerdekaan lebih 60 tahun lalu. Tetapi janji-janji dan visi mereka untuk membentuk struktur politik yang demokratik ala barat dengan mengurangkan kuasa Perdana Menteri dan menetapkan had-had tertentu bagi beberapa kuasa birokrasi ini sangat bercanggah dengan realiti yang sedang dihadapi oleh dunia kapitalisme. Semenjak tercetusnya krisis ekonomi global pada 2008, dunia kapitalisme yang menyaksikan pelbagai krisis sosial dan politik sedang semakin bersifat birokratik dan kuku besi bagi menjamin kesinambungan sistem mereka. Ini dicerminkan dengan kemenangan pendokong-pendokong sayap kanan seperti Donald Trump di AS, Narendra Modi di India dan dengan langkah Xi Jinping dari China yang menghapuskan banyak had kuasa Perdana Menteri. Hampir semua kepimpinan kuasa-kuasa besar dunia kini didominasi oleh retorik sayap kanan yang menekankan polisi-polisi yang bersifat autoritarian dan kuku besi.

Dalam situasi politik sebegini, janji-janji demokrasi dalam ‘Buku Harapan’ adalah sekadar helah politik untuk mengaburi mata rakyat dan begitu juga dengan janji-janji pembangunan dan kebajikan yang di curahkan BN. Seperti yang jelas dengan gerak kerja kedua-dua pihak sebelum ini, pemerintahan mereka hanya menjanjikan kemakmuran bagi golongan 1% terkaya di Malaysia dan menjamin masa depan yang malap bagi semua yang lain. Dengan mengambil kira hala tuju politik kapitalisme antarabangsa yang sedang menuju ke arah perang dan kehancuran sosial bagi jutaan orang – kelas pekerja, rakyat biasa dan anak muda tertindas harus berganding bahu dan berusaha mewujudkan alternatif yang lebih baik daripada sistem kapitalisme. Semua pak turut kapitalis BN, PH dan termasuk juga parti pecahan PH iaitu Pas tidak harus dipercayai dan harus dicabar dengan pembinaan parti berdasarkan kekuasaan rakyat massa.

Untuk itu berlaku, kelas pekerja dan anak muda yang sedar harus melihat menjangkaui politik parlimen yang datang dan pergi setiap 5 tahun dan berusaha untuk menyusun rakyat dari peringkat akar umbi bagi menuntut perubahan melalui gerakan-gerakan massa. Rakyat biasa tidak boleh menghadkan diri mereka dengan politik Parlimen yang hanya memberikan ruang yang sangat sedikit dan mesti merebut hak politik dan ekonomi mereka di tempat kerja dan di komuniti setempat secara tersusun. Kita harus berusaha untuk membina sebuah kepimpinan politik yang benar-benar mewakili kepentingan majoriti rakyat tertindas dan sanggup memimpin kuasa rakyat dengan perspektif alternatif yang jelas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *