Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Laporan dari akhbar Solidariti Pekerja

Seramai lebih 100 pekerja-pekerja AIROD (syarikat penyelengaraan dan pembaikan pesawat terbang) telah berpiket di perkarangan tempat kerja bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan pihak majikan yang menindas para pekerja semalam. Untuk pertama kalinya, kedua-dua Kesatuan Pekerja Airod (KPA) dan Kesatuan Eksekutif Airod (KEA) telah berganding bahu untuk menganjurkan piket yang bersejarah ini. Ini merupakan piket pertama daripada pekerja AIROD semenjak 2011 dan telah mendapat sokongan padu bukan sahaja daripada pekerja syarikat tersebut, malah mendapat solidariti daripada kepimpinan kesatuan-kesatuan lain. Bersama dengan lebih seratus para pekerja, Setiausaha Agung NUBE dan MTUC(J.Solomon), Presiden Kesatuan Elektronik EIEUWR (Wan Azhar), Presiden Infineon Melaka (Zulfadzlee Thye Abdullah), Kesatuan Pekerja Kelab (Rudy) dan ramai lagi pemimpin daripada kesatuan lain turut memberikan sokongan solidariti.

Perkara utama yang diperjuangkan oleh para pekerja AIROD merupakan isu kenaikan gaji tahunan yang ditetapkan pada kadar 3% mengikut perjanjian kolektif antara pihak Kesatuan dan majikan. Walaupun sudah hampir 4 bulan berlalu, para majikan terus melanggar perjanjian mereka dengan para pekerja dan memilih untuk tidak memberikan sebarang kenaikan gaji untuk tahun ini. Tambahan pula, rundingan di antara wakil pekerja dan pihak majikan juga tidak membuahkan sebarang hasil. Dalam keadaan inflasi dan kenaikan kos kehidupan yang mendadak terutamanya bagi pekerja bergaji rendah, perbuatan majikan yang tidak berhati perut ini menaikkan kemarahan para pekerja. Para pekerja ini tidak mempunyai sebarang jalan lain selain untuk berhimpun dan meluahkan kekecewaan mereka terhadap layanan buruk dari majikan AIROD.

Selain daripada isu kenaikan gaji, terdapat pelbagai isu lain turut dikemukakan dalam aksi piket ini. Majikan AIROD didapati menindas pekerja dan tidak mengikuti penetapan yang digariskan dalam kontrak kerja, Perjanjian Kolektif(CA), dan malah melanggar beberapa Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan. Antaranya adalah seperti amalan mengambil pekerja dengan kontrak sementara bagi kerja-kerja yang bersifat kekal, memindahkan para pekerja ke tempat lain tanpa notis dan prosedur yang sah, enggan mengusahakan Perjanjian Kolektif baru dengan wakil pekerja dan sebagainya.

Oleh itu, para pekerja AIROD telah dipaksa untuk memasuki aksi perjuangan yang telah bermula dengan piket semalam. Piket tersebut dipenuhi dengan kain rentang dan sepanduk perjuangan dari pekerja dari pelbagai latar belakang Ia juga dimeriahkan dengan ucapan solidariti daripada wakil kesatuan, wakil pekerja dan laungan slogan-slogan perjuangan yang mendapat sambutan hebat dari para hadirin.

Kami dari Solidariti Pekerja juga turut hadir memberikan sokongan kami kepada perjuangan pekerja AIROD. Kami juga telah berbincang dengan beberapa para pekerja dan pemimpin Kesatuan untuk memberikan semangat bagi meneruskan perjuangan ini. Kelas pekerja merupakan kuasa produksi dan punca segala kekayaan dan keuntungan yang sedang dinikmati oleh para majikan. Kekayaan yang diwujudkan oleh para pekerja haruslah di kongsi bersama mereka, terutamanya dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang memberi kesan kepada jutaan pekerja biasa. Tetapi, jika pihak majikan bersifat tamak dan memilih untuk menindas para pekerja sepertimana yang sedang dilakukan oleh majikan AIROD, kelas pekerja tidak boleh teragak-agak untuk menyatukan tenaga mereka dan bangkit memberikan penentangan balas.

Para pekerja harus meneruskan perjuangan mereka dengan membina sokongan daripada semua pekerja-pekerja AIROD. Mereka perlu membina sebuah program dan tuntutan yang menyeluruh dan akan mampu menarik lebih ramai lagi ke dalam perjuangan mereka. Aksi piket merupakan hanya amaran pertama kepada pihak majikan bahawa para pekerja mampu bersatu bagi mempertahankan hak mereka. Jika pihak majikan masih enggan untuk memberikan sebarang kerjasama, maka, kepimpinan pekerja harus berusaha untuk menyusun para pekerja dalam aksi-aksi yang lebih besar seperti piket pada waktu kerja atau melancarkan aksi mogok. Jika kelas pekerja dapat menyatukan tenaga dan bergerak demi satu matlamat yang jelas, tidak ada kuasa yang boleh menghentikan mereka.

Solidariti dengan perjuangan para pekerja AIROD!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *