Baru-baru ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengeluarkan sebuah laporan yang mendedahkan bahawa seramai 90 ribu orang pekerja telah kehilangan kerja pada tahun ini. Walaupun ini hanya mengambil kira para pekerja yang layak menerima Skim Insurans Pekerja dari PERKESO, angka ini merupakan peningkatan hampir 3 kali ganda berbanding tahun lepas. Jauh lebih ramai pekerja ‘freelance’, pekerja kontrak dan peniaga kecil telah hilang punca pendapatan mereka walaupun tidak termasuk di dalam statistik ini.
Tambahan pula, laporan itu juga mengatakan bahawa walaupun dengan pemulihan ekonomi sekalipun, kehilangan pekerjaan akan berterusan akibat kejatuhan dalam permintaan barangan dan perkhidmatan yang terikat dengan kuasa membeli rakyat. Majoriti daripada rakyat sedang menghadapi beban hutang, masalah untuk membayar sewa rumah ataupun pinjaman bank, pasaran kerja yang merudum dan sebagainya, tidak mempunyai kuasa beli yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi.
Kadar pengangguran di Malaysia sudahpun mencapai hampir 5%, iaitu satu angka yang tidak pernah dilihat sejak tahun 1990. Malah pada waktu krisis kewangan Asia Tenggara ( Krisis Tom Yum Goong) pada tahun 1997/8, Malaysia tidak melihat kadar pengangguran yang tinggi seperti tahun ini. Tambahan pula, Institut Kajian Ekonomi (MIER) menganggarkan bahawa seramai 2 juta pekerja ataupun bersamaan dengan lebih 10% daripada tenaga kerja boleh menjadi penganggur pada hujung tahun ini.
Fenomena kehilangan pekerjaan dan peningkatan kadar pengangguran merupakan sesuatu yang sedang berlaku di negara ini untuk beberapa tahun kebelakangan. Lebih banyak kerja-kerja dari sektor pembuatan telah hilang akibat penutupan kilang-kilang besar yang menggulung tikar ataupun berpindah ke negara yang mempunyai buruh yang lebih murah. Selain itu, juga terdapat kesan otomasi, terutamanya di sektor pembuatan yang sedang menggantikan tenaga kerja manusia dengan robot dan mesin-mesin yang tidak bernyawa.
Kerajaan Malaysia juga telah mendendangkan propaganda untuk mentransformasi ekonomi menjadi ‘negara bergaji tinggi’ (high income nation). Dengan itu, ramai di antara pekerja Malaysia telah beralih ataupun dipindahdari sektor pembuatan dan kilang-kilang ke sektor perkhidmatan yang kononnya mampu memberikan gaji yang lebih lumayan. Malangnya, propaganda ini tidak menepati realiti dan majoriti daripada pekerja sektor perkhidmatan hanya menerima gaji yang sedikit dan di eksploitasi dengan teruk oleh para majikan. Tambahan pula, krisis pandemik Covid19 sedang memberikan impak yang paling teruk di sektor perkhidmatan dan pelancongan yang sedang menggaji berjuta-juta pekerja.
Anak muda, pekerja-pekerja yang kehilangan kerja, para graduan yang baru habis pengajian dan lapisan masyarakat berbeza sedang mencurahkan tenaga kerja mereka di dalam pekerjaan yang tiada jaminan seperti dalam ekonomi gig. Jutaan pemandu, penghantar makanan, penghantar barang, pekerja pemindahan, pekerja yang mempunyai kemahiran dan sebagainya sedang bergantung dengan kerja-kerja yang tidak menentu dan bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan ‘job’ ataupun kerja berdasarkan permintaan. Para pekerja ini tidak mempunyai gaji bulanan, caruman KWSP ataupun SOCSO, pelindungan di bawah akta kerja dan tidak mempunyai sebarang jaminan kerja yang stabil.
Kilang-kilang di Malaysia dipenuhkan dengan pekerja-pekerja migran yang diambil dari negara yang miskin dan ditindas sehabis-habisnya oleh kelas majikan. Apabila keadaan ekonomi tidak memuaskan ataupun jika terdapat peluang untuk meningkatkan keuntungan di negara lain, syarikat-syarikat tersebut tidak akan teragak-agak untuk menghentikan operasi mereka, menghantar ribuan pekerja migran balik ke kampung halaman dan berpindah ke tempat lain dengan senang. Kebanyakan daripada syarikat-syarikat ini tidak akan memberikan sebarang pampasan yang sewajarnya kepada para pekerja, tidak kira pekerja migran atau tempatan. Pihak kerajaan juga seringkali tidak akan meletakkan sebarang syarat kepada syarikat yang mengambil keputusan untuk memotong tenaga kerja mereka dengan banyak.
Walaupun sedang memotong tenaga kerja dengan sesuka hati, pihak kerajaan didapati masih mencurahkan ‘bantuan kecemasan’ kepada syarikat-syarikat gergasi ini. Selepas menghentikan kerja untuk lebih 250 orang pekerja pada Jun lalu, kini Tony Fernandez dari syarikat Air Asia mengumumkan bahawa 2000 orang pekerja lagi akan di hentikan pada tahun ini. Pengumuman ini dibuat selepas kerajaan Malaysia meluluskan pinjaman kewangan yang di jamin oleh Kementerian Kewangan kepada Air Asia bernilai 1 Billion Ringgit. Malaysian Airline Berhad (MAB) juga sedang menghadapi ancaman kemuflisan dan para pemilik dan pemegang saham sedang mengharapkan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Tetapi, apakah nasib ribuan pekerja yang akan kehilangan kerja walaupun para pemilik syarikat menerima bantuan yang lumayan.
Langkah-langkah kerajaan setakat ini sedang mendedahkan sifat yang berat sebelah dan sentiasa mengutamakan kelas majikan dan syarikat-syarikat besar. Para majikan sedang menghentikan pekerja mereka tanpa mematuhi sebarang prosedur undang-undang yang ditetapkan. Pejabat Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan sedang dibanjiri oleh para pekerja yang sedang menuntut keadilan dan pampasan kerja. Tetapi, setakat ini, pihak kerajaan masih belum memberikan sebarang solusi kepada jutaan pekerja yang bakal kehilangan punca pendapatan mereka. Bantuan Prihatin Nasional dan pakej rangsangan ekonomi yang di perkenalkan adalah sangat tidak mencukupi dan sebahagian besar daripadanya telah disalurkan kepada kelas majikan dan perniagaan. Rakyat biasa yang kehilangan kerja, mengalami pemotongan gaji ataupun terpaksa menutup perniagaan kecil mereka akibat Covid19 sedang dipinggirkan tanpa sebarang bantuan.
Pada zaman yang penuh dengan dugaan seperti waktu ini, majoriti daripada rakyat biasa sedang mengharapkan sebuah kepimpinan yang mampu membawa solusi yang munasabah bagi menangani semua masalah mereka. Pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja merupakan kepimpinan yang boleh memperjuangkan bukan sahaja hak ahli-ahli mereka, malah juga boleh mengangkat aspirasi rakyat tertindas lain. Tetapi, sehingga ke hari ini, kepimpinan Kesatuan Sekerja seperti MTUC dan sebagainya didapati tidak bersuara dan tidak membawa agenda kelas pekerja ke hadapan. Dengan perpecahan dalaman dan rebutan jawatan di kalangan kepimpinan mereka, MTUC belum menonjolkan diri sebagai sebuah kepimpinan gerakan rakyat yang sah. Tetapi, jika kepimpinan ini mengangkat ikrar untuk memperjuangkan nasib kelas pekerja dan rakyat, pastinya pertubuhan ini mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan yang nyata di dalam kehidupan jutaan rakyat.
Laporan mengenai peningkatan kadar pengangguran ini harus membuka mata kelas pekerja mengenai ancaman yang akan mereka hadapi di bulan-bulan yang akan datang. Dengan kecelaruan kerajaan dan krisis politik yang berlaku di latar belakang krisis ekonomi dan pandemik Covid19, kelas pekerja Malaysia memerlukan sebuah jentera untuk mempertahankan hak mereka dan melindungi diri dan keluarga mereka. Oleh itu, kelas pekerja harus menyusun diri mereka di dalam jawatan kuasa kerja, kesatuan sekerja, ataupun apa-apa bentuk pertubuhan lain yang akan memperjuangkan nasib mereka.