Krisis Menteri Besar atau konflik dalam kerajaan negeri bukanlah satu perkara baru dalam politik Malaysia. Pada tahun 2008, kerajaan Pakatan Rakyat digulingkan di negeri Perak apabila BN berjaya menarik tiga ADUN Pakatan ke pangkuannya. Begitu juga di negeri Selangor, MB Khalid dijatuhkan apabila dia tidak lagi sebulu dengan kepimpinan Pakatan. Setiap kali krisis sebegini berlaku, norma-norma demokrasi serta suara dan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan dan halatuju kerajaan akan dipinggirkan semata-mata untuk mengejar kuasa. Ini sekali lagi terbukti dalam krisis MB Kedah.

Krisis MB Kedah berhubungkait dengan pertaruhan kuasa dalam UMNO. Mukhriz Mahathir disingkir kerana tidak berpihak kepada Najib. Seperti Mahathir dan Muhyiddin, Mukhriz juga mengkritik skandal 1MDB dan derma 2.6 billion ringgit yang telah menaikkan kemarahan Najib. Walaupun Ahmad Bashah yang merupakan penyokong Najib telah diangkat sebagai MB baru, isu ini telah melebarkan lagi kerekahan dalam UMNO, dan populariti Najib semakin tergugat. Krisis ini sekali lagi telah mendedahkan ‘talam dua muka’ kerajaan yang mana mempergunakan pilihan raya dan parlimen untuk mengaburi rakyat atas nama demokrasi, dan juga mempergunakan agenda politik tidak demokratik untuk memperkuatkan kuasa dan keistimewaan politik golongan elit dan kapitalis.

Manakala Pakatan Harapan dan PAS yang selama ini mengkritik Mukhriz dan kerajaan BN pula dilihat seolah-olah memberikan sokongan kepada Mukhriz, dan ‘kuasa rakyat’ yang dilaungkan selama ini langsung tidak diutamakan dan dilibatkan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Rakyat diperlakukan sebagai pemerhati dan boneka tanpa diberikan peluang dan hak untuk terlibat dalam menentukan halatuju kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam demokrasi sebenar, ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’, seharusnya melibatkan majoriti rakyat untuk mendapatkan satu penyelesaian yang memihak kepada kemahuan rakyat, bukannya berdasarkan kepada kepentingan kuasa minoriti ahli-ahli politik atau parti politik. Ini mencerminkan kemunafikan parti-parti politik pemerintah dan pembangkang yang hanya memperkudakan rakyat dengan matlamat mencapai cita-cita dan agenda politik pasaran bebas kapitalisme untuk golongan 1 peratus terkaya, tanpa menitikberatkan 99 peratus rakyat majoriti dalam menentukan halatuju politik berlandaskan hasrat dan keperluan asas mereka. Tanpa parti politik massa kelas pekerja dan anak muda ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’ akan terus menjadi omong-omong kosong.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *