Duta Nepal di Malaysia telah menerima sebanyak 461 laporan kematian bagi pekerja Nepal pada tahun lepas. 70% daripada kematian ini berpunca dari serangan jantung dan majoriti daripada mereka meninggal dalam tidur.
Dikatakan bahawa, tekanan hidup,kerja berat dan berkerja di bawah terik matahari sepanjang hari menjadi penyebab bagi kematian ini. Kekurangan masa rehat yang disediakan oleh majikan dan kekurangan zat dalam makanan harian kerana kekurangan wang juga menjadi faktor utama.
Bukan sekadar pekerja Nepal yang mengalami nasib sedemikian malah kebanyakkan pekerja migran di Malaysia sedang mengalami kondisi kehidupan yang amat tertekan. Sebuah kajian yang diadakan baru-baru ini telah mendedahkan bahawa beratus ribu pekerja migran di Malaysia berada dalam kategori ‘perhambaan moden’. Perhambaan moden adalah terma yang merujuk kepada kondisi dimana seseorang pekerja tidak boleh menolak atau meninggalkan kerja disebabkan oleh ancaman, kekerasan, paksaan, salah guna kuasa atau penipuan.
Majikan yang tamak seringkali mengerjakan pekerja migran yang tidak dapat sebarang perlindungan daripada kerajaan atau organisasi buruh lain dengan sehabis-habisnya. Jika pekerja mengancam untuk meninggalkan kerja atau membuat aksi kolektif, mereka akan dipaksa dengan segala jenis kekerasan mental dan fizikal. Terdapat banyak kes di mana majikan sanggup mengugut anak isteri di kampung halaman menggunakan samseng bagi memaksa pekerja menerima segala arahan majikan.
Lebih teruk, organisasi pekerja seperti MTUC dan birokrasi kesatuan-kesatuan yang lain seringkali membisu tanpa memberikan suara bagi pekerja migran yang ditindas teruk di depan mata mereka. Majikan yang berjaya membuat perpecahan di antara pekerja asing dan pekerja tempatan menggunakan ruang ini untuk menindas pekerja migran dengan bebas. Akibatnya, penindasan terhadap pekerja migran akan turut memberi kesan kepada pekerja tempatan yang akan menghadapi penurunan gaji dan akhirnya digantikan dengan pekerja migran yang lebih senang dieksploitasi.
Perpecahan yang wujud di kalangan kedua-dua pekerja migran dan tempatan hanya akan membawa manfaat kepada kelas majikan dan tidak menguntungkan kelas pekerja. Bagi memastikan hak kelas pekerja terjamin, adalah penting bagi kedua-dua pekerja migran dan pekerja tempatan untuk bersatu dan memperjuangkan hak bersama.
Kelas pekerja di Malaysia disamping memperjuangkan hak masing-masing, harus juga bersuara untuk pekerja migran secara kolektif dan bergabung tenaga dengan mereka. Sebagai seorang ahli kelas pekerja, ancaman kepada seorang pekerja harus dianggap sebagai ancaman kepada semua pekerja.
Organisasi pekeja seperti Kesatuan, MTUC, parti politik yang berlandaskan kelas pekerja dan aktivis anak muda harus bersatu dan menentang ancaman yang ganas terhadap pekerja migran ini. Lebih dari seorang pekerja migran sedang meninggalkan kita dengan senyap tanpa sebarang keluhan atau kesalan daripada mana-mana pihak setiap hari.
Sudah tiba masanya kita ketengahkan isu ini dan membina sebuah penentangan balas terhadap kelas majikan tamak yang menghirup darah pekerja!