Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Marxisme untuk Menentang Kezaliman dan Penindasan, Bukan untuk Mempromosi Keganasan

Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar telah mengejutkan ramai pihak dengan ‘tweet’ terbarunya yang menuduh acara Kursus Marxisme sebagai percubaan oleh PSM untuk menghidupkan balik fahaman komunis di Malaysia. Ini merupakan sebuah tuduhan yang tidak berasaskan mana-mana fakta yang bernas dan percubaan untuk memburukkan nama baik bagi idea-idea kiri. KPN juga mengatakan bahawa kursus itu akan diharamkan dan tidak akan dibenarkan daripada berlangsung. Tindakan KPN tersebut amat bercanggah dengan hak kebebasan untuk berbincang dan berkongsi pelbagai idea yang sepatutnya dipromosikan oleh negara yang berlandaskan kepada lunas-lunas demokrasi. Sosialis Alternatif mengutuk tindakan KPN tersebut.

Selepas ‘tweet’ tersebut, KPN telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada kalangan anak muda di laman sosial. Manakala beberapa pihak yang mendokong sistem pasaran bebas seperti Wan Saiful Wan Jan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) walaupun tidak bersetuju dengan tindakan KPN, tetap berhujah bahawa Marxisme tidak relevan di Malaysia.

Walaupun ramai anak muda cuba menerangkan bahawa Marxisme merupakan sesuatu yang biasa dipelajari di bilik kuliah universiti tempatan, masih lagi ada beberapa pihak yang ingin memberikan gambaran yang negatif bahawa ia adalah ideologi anti agama dan bersifat ganas seperti terorisme. Ada juga beberapa organisasi seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menggelarkan kursus ini sebagai ‘AIDS’ buat anak muda Islam dan menyeleweng erti Marxisme mengikut pemahaman yang tidak seberapa.

Kekeliruan dalam Penggunaan Terma ‘Marxisme’

Jika karya-karya Marxis diteliti (amalan biasa dalam kalangan pelajar tempatan mahupun luar negara), tidak terdapat sebarang bukti bagi tuduhan-tuduhan tersebut. Terdapat pelbagai kekeliruan dalam penggunaan terma ‘ideologi Marxisme’ oleh orang seperti Ketua Polis dan GAMIS dan juga hubungkaitnya dengan propaganda ‘komunisme’ yang pernah dipraktikkan oleh rejim-rejim kuku besi di Russia, China, Timur Eropah sebelum ini.  

Sebenarnya Marxisme tidak boleh dianggap sebagai sebuah ideologi, ia adalah sekadar sebuah ‘method’ atau kaedah bagi menganalisa perubahan dan perkembangan dalam masyarakat secara saintifik. ‘Method’ analisa ini mengambil kira pelbagai sudut yang berbeza termasuk faktor sejarah bagi memberikan penerangan kepada fenomena-fenomena sosial dan ekonomi yang sedang berlaku pada sesuatu masa.

Para pemikir Marxis telah meramalkan krisis-krisis kapitalisme seperti yang berlaku pada tahun 2008 dengan lebih tepat berbanding pelopor-pelopor ekonomi kapitalis yang sering terkejut dengan berita krisis. Malah, pada masa ini juga, pemikir Marxis adalah satu-satunya sumber kepada penjelasan di belakang krisis sosial dan ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia. Semua pelopor kapitalis, biarlah Cristine Lagard, ketua IMF, mahupun Zeti, Gabenor Malaysia, masing-masing memberikan penjelasan yang bercanggah dan tidak jelas. Krisis ekonomi yang bermula pada 2008 kini sedang berpanjangan tanpa sebarang jawapan daripada mana-mana pakar ekonomi arus perdana.

‘Method’ Marxisme merupakan satu-satunya kaedah yang ada yang boleh dipergunakan untuk memahami krisis sosial dan ekonomi kita secara saintifik, dan anak muda terutamanya kelas pekerja harus cuba menguasai kaedah ini.

Tuduhan Palsu oleh KPN dan Kerajaan

Tuduhan KPN yang menggambarkan bahawa Marxisme cuba menggalakkan keganasan adalah sekadar omong-omong kosong. Parti Komunis Malaya (PKM) yang membawa ideologi Maoisme sebenarnya bukanlah daripada kalangan pemikir-pemikir Marxis. Disebabkan kondisi perang yang wujud, PKM dipengaruhi oleh ideologi yang dominan pada masa itu yang disebarkan oleh diktator Mao dari China. Diktator seperti Mao dan Stalin dari Russia tidak boleh dianggap sebagai pemikir Marxis dan ideologi yang disebarkan oleh mereka sering bertentangan dengan analisa Marxisme.

Rejim-rejim ini yang berlandaskan kepada Stalinisme (kediktatoran birokrasi untuk mengawal ekonomi terancang) amat bercanggah dengan pendekatan para Marxis seperti Trotsky yang menekankan pengurusan dan kawalan ekonomi terancang secara demokratik berdasarkan keperluan rakyat.

Marxisme tidak mengandungi sebarang unsur-unsur ideologi keganasan atau penindasan sepertimana  yang diamalkan oleh parti-parti komunis yang pernah wujud. Malah, Marxisme boleh menerangkan secara saintifik akan perjuangan-perjuangan rakyat dalam sejarah dan bagaimana ia telah dipesongkan oleh kepimpinan yang kurang jelas.  

Agama dan Marxisme

Kaedah analisa Marxisme sering digunakan untuk menerangkan segala jenis perkembangan sosial, termasuk agama. Ia dapat menerangkan kewujudan dan perkembangan agama dan menghuraikan peranan yang dimainkan oleh agama dalam masyarakat. Mengikut analisa Marxisme, agama memainkan peranan positif dalam sejarah masyarakat walaupun ada segelintir pihak yang mempergunakan agama untuk niat yang tidak betul. Misalnya kewujudan kumpulan pengganas seperti ISIS tidak boleh diterjemah sebagai berpunca daripada agama. Marxisme menghuraikan faktor-faktor ekonomi yang boleh menerangkan kewujudan ekstremisme dalam semua agama.

Pada masa yang sama, pejuang-pejuang kelas pekerja dan Marxis sering mempertahankan hak untuk beragama dan membantah penindasan terhadap sebarang agama. Marxis seperti Lenin berpendirian bahawa setiap individu mempunyai hak untuk beragama dan mempraktikkan agama masing-masing dengan bebas, amat bertentangan dengan amalan rejim-rejim Stalinis (Russia, China, Timur Eropah) yang pernah wujud.

Kerajaan Hipokrit

Ini bukan kali pertama PSM atau gerakan kiri telah dilabel sebagai ‘ancaman komunis’ oleh badan berkuasa di bawah kerajaan BN. Pada masa yang sama kerajaan pemerintah tidak ada masalah untuk berurusan dengan rejim kejam Parti Komunis China (CCP) dalam hal-hal perdagangan dan menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan dengan mereka. Apabila Presiden China dan Setiausaha Agung CCP Xi Jinping mengunjungi Malaysia, dia disambut dengan mesra oleh PM Najib bersama seluruh kabinet kerajaan.  

Pada masa yang sama kerajaan pemerintah juga mengamalkan jenis-jenis penindasan yang seiras dengan rejim-rejim komunis seperti di negara China. Aktivis dan wartawan di Malaysia tidak mempunyai kebebasan untuk bersuara dan sering kali diugut dan diancam dakwaan. Akta-akta yang menindas seperti Akta Hasutan dan SOSMA digunakan untuk membuat penangkapan politik. Laman sosial dikawal rapi dan penangkapan di bawah akta multimedia sedang meningkat. Kini, kursus Marxisme yang diadakan sebagai diskusi akademik pula dikecam, dituduh dan diharamkan.  

Reaksi Anak Muda dan Organisasi Kiri

Tuduhan dan cemuhan yang diterima oleh sebarang gerakan kiri di Malaysia adalah bertujuan untuk memesongkan perhatian rakyat daripada krisis dalaman yang sedang dihadapi oleh UMNO pada masa ini. Dengan keadaan ekonomi yang semakin merosot, kerajaan pemerintah sedang semakin tenat dan nampak seakan-akan retak tak tahan tekanan. Dalam situasi ini, bukan sekadar serangan terhadap perjuangan kiri, malah kerajaan akan meningkatkan pelbagai jenis propaganda untuk cuba mewujudkan situasi huru-hara dimana mereka boleh mengekalkan kuasa pemerintahan. Pelbagai jenis propaganda perkauman sudahpun didendangkan oleh sebahagian pihak. Ini merupakan taktik lapuk yang dipergunakan oleh kepimpinan UMNO dari generasi ke generasi dan sudah sebati dengan politik mereka.

Anak muda, mahasiswa, kelas pekerja dan organisasi berhaluan kiri harus melihat kenyataan KPN sebagai satu ancaman terhadap idea-idea yang mempertahankan hak orang biasa. Marxisme merupakan sebuah alat sains yang amat penting bagi kelas pekerja dalam berhadapan dengan ancaman daripada golongan kapitalis korporat dan kuasa polititk mereka. Komen daripada KPN dan beberapa NGO mendedahkan kesepakatan mereka dengan golongan majikan yang tidak memihak kepada kelas pekerja dan rakyat biasa.

Golongan kiri harus mempergunakan peluang ini untuk menyebarkan dan menerangkan segala salah faham yang wujud akibat beberapa pihak yang taksub ini. Pada masa yang sama, ancaman sebegini harus ditentang habis-habisan dan sifat hipokrit si petuduh harus didedahkan. Marxisme merupakan sebuah ‘method’ analisa yang amat berguna bagi kepimpinan kelas pekerja dan anak muda dan semua organisasi kiri harus cuba menguasai kaedah ini dengan sepenuhnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *