Selepas berdolak dalik selama berbulanbulan, PM Mahathir akhirnya mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 iaitu dari RM1000 ke RM1050. Berbanding dengan manifesto PRU kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum sebanyak RM500, kenaikan RM50 yang diumumkan ini mendedahkan bahawa kerajaan PH tidak bersedia untuk menunaikan janji mereka. Seramai 14 juta pekerja yang telah memenangkan kerajaan ini pada pilihanraya umum lepas akan berasa amat hampa dan tertipu dengan langkah kerajaan baru ini.

Walaupun janji kerajaan adalah untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1500 sebelum habis penggal pertama pemerintahan mereka, angka ini masih tidak munasabah berbanding dengan kenaikan kos hidup dan inflasi yang tinggi. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bank Negara sendiri, dikatakan bahawa seorang individu memerlukan sebanyak RM2700 sebulan untuk menjalankan kehidupan seharian dengan lancar. Menyedari perkara ini, pihak MTUC juga telah melancarkan sebuah kempen untuk meningkatkan gaji minimum ke RM1800. Tetapi, pihak kerajaan tidak mengendahkan tuntutan tersebut dan menafikan realiti kehidupan seorang pekerja biasa. Kerajaan PH sama seperti pemerintah BN sebelum ini hanya mendengar nasihat dari pihak pertubuhan majikan seperti MEF yang membantah sebarang kenaikan gaji minimum yang adil.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk peningkatan yang rendah selepas penangguhan selama berbulan-bulan adalah kononnya kerana keadaan ekonomi negara tidak memuaskan. Tetapi ini merupakan kenyataan yang tidak mempunyai sebarang asas. Gaji sebenar (gaji yang dibandingkan dengan peningkatan inflasi) bagi rakyat biasa sedang menurun mendadak setiap tahun manakala kekayaan para jutawan yang merupakan golongan minoriti 1% sedang meningkat berganda-ganda. Sejak 2012 ke sekarang, kenaikan inflasi adalah sekurang-kurangnya 7 kali ganda berbanding dengan kadar kenaikan gaji bagi pekerja biasa. Tahun lepas sahaja, 40 orang terkaya di Malaysia melihat kekayaan mereka bertambah sebanyak 30% manakala kelas pekerja biasa masih dibebankan dengan gaji kemiskinan!

Walaupun Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi KDNK yang baik pada tahun lepas, tetapi ini tidak tercermin dalam kehidupan harian kelas pekerja yang menghadapi peningkatan kos kehidupan dan pemotongan dana kebajikan sosial daripada kerajaan. Tidak kira apa keadaan ekonomi negara, golongan kaya akan terus meraih keuntungan dan majoriti daripada rakyat biasa terpaksa menanggung penjimatan. Kerajaan PH juga mempergunakan keadaan hutang negara yang tinggi sebagai alasan kepada ketidakmampuan mereka untuk menunaikan janji PRU. Pada masa yang sama, mereka juga jarang berbincang mengenai hutang isi rumah yang sedang mencecah hampir 90% daripada KDNK. Walaupun keadaan hutang negara dan isi rumah berada pada tahap yang merisaukan, walaupun golongan majoriti sedang menanggung beban kos hidup yang makin meningkat, kerajaan PH tidak berani untuk menuntut kepada golongan kapitalis 1% untuk menanggung kos kemerosotan ekonomi dan membiayai program kebajikan rakyat.

Bukan sekadar cukai korporat dan cukai pendapatan jutawan di kekalkan pada kadar yang sama, semua polisi-polisi ekonomi yang diputuskan adalah berpihak kepada golongan kapitalis kaya yang memiliki badan-badan korporat besar. Golongan majikan ini diberikan keutamaan dalam semua keputusan dan pihak kerajaan adalah sekadar boneka yang menurut perintah mereka. Malah, Majlis Orang Ternama yang terdiri daripada perwakilan kapitalis seperti Robert Kuok dan Daim Zainuddin yang bukan merupakan badan yang dipilih oleh rakyat, boleh menjadi penasihat utama kerajaan. Di manakah wakil-wakil para pekerja dan rakyat biasa yang memberikan nasihat mengenai bagaimana untuk memperbaiki kondisi kehidupan mereka kepada kerajaan?

Jika keadaan ekonomi yang merosot menghalang kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum yang berpatutan, maka mereka harus meningkatkan cukai bagi badan korporat kaya dan para jutawan elit bagi menanggung peningkatan gaji bagi pekerja biasa. Para kapitalis kaya tempatan dan antarabangsa sedang menimbun kekayaan yang tidak terhingga pada masa ini. Segala kekayaan tersebut adalah hasil titik peluh kelas pekerja biasa dan ianya tidak adil jika pekerja itu juga terpaksa menanggung hutang negara dan keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan. Seandainya kekayaan Robert Kuok dicukaikan pada kadar 50% sekalipun, dia masih akan dapat mengekalkan tempatnya sebagai orang terkaya di Malaysia! Begitulah besarnya jurang kekayaan yang wujud. Seandainya satu jumlah cukai yang sepadan dikenakan ke atas golongan 1% terkaya untuk membiayai kenaikan gaji minimum, pendidikan percuma, pembinaan infrastruktur sosial seperti hospital misalnya, golongan kaya tersebut masih akan dapat menjalankan kehidupan yang sangat selesa dan berlipat kali ganda lebih kaya daripada 99% rakyat biasa. Cuma, sistem ekonomi kapitalisme yang menguasai kehidupan kita adalah dikawal penuh oleh golongan kapitalis 1% yang menggunakan kerajaan dan sistem politik untuk melindungi ‘harta peribadi’ mereka. Sering dilupai dan harus diperingatkan bahawa apa yang kononnya digelar ‘harta peribadi’ tersebut adalah sebenarnya hasil penipuan, eksploitasi dan penindasan jutaan kelas pekerja tempatan dan migran.

Sistem pencukaian progresif yang menyasarkan golongan kapitalis kaya 1% akan juga dapat menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi oleh peniaga kecil jika gaji minimum dinaikkan ke taraf yang berpatutan. Dana daripada cukai tersebut dapat digunakan bukan sahaja untuk meningkatkan kebajikan bagi kelas pekerja miskin, tetapi juga boleh dinikmati oleh golongan kelas menengah. Pada masa yang sama, kerajaan boleh memperkenalkan subsidi yang berpatutan untuk menurunkan kos perniagaan kepada peniaga yang berdasarkan kepada komuniti setempat dan bukanlah badan korporat gergasi. Kenaikan gaji minimum juga akan memberikan manfaat kepada peniaga kecil yang akan mendapat pelanggan yang mempunyai kuasa membeli yang lebih besar daripada sebelumnya. Sebahagian besar pelanggan bagi peniaga kecil bukanlah golongan jutawan kaya tetapi seringkali terdiri daripada kelas pekerja biasa. Dalam situasi di mana korporat besar sedang menelan perniagaan kecil setiap hari tanpa kawalan, kelas menengah juga harus menyokong tuntutan pekerja untuk gaji minimum yang lebih tinggi.       

Adalah sangat jelas bahawa kerajaan PH tidak akan melanggar hasrat kelas kapitalis dan tidak akan berkerja untuk meningkatkan taraf kehidupan bagi rakyat biasa. Maka, kelas pekerja dan rakyat biasa harus bersatu dan mewujudkan sebuah gerakan akar umbi yang menuntut gaji minimum yang berpatutan. Kami menyokong kenyataan MTUC yang membantah langkah kerajaan yang didapati telah mengkhianati para pekerja. Pada masa yang sama, kami juga ingin menyeru kepada semua pertubuhan kelas pekerja untuk membina sebuah perjuangan yang bersepadu bagi menuntut kebajikan yang berpatutan daripada pihak kerajaan. Kerajaan PH tidak boleh dipercayai dan hanya sebuah gerakan massa yang kuat dengan kepimpinan yang jelas akan dapat memaksa pihak kerajaan untuk patuh pada tuntutan kelas pekerja dan rakyat biasa. Tanpa sebuah perjuangan yang konkrit, pihak PH akan memberikan alasan demi alasan dan akan mengaburi mata rakyat bagi melayani kepentingan golongan kapitalis. Bersama dengan perjuangan untuk mencapai gaji minimum yang adil, para pekerja juga harus mewujudkan perwakilan politiknya sendiri bagi membawa aspirasi kelas pekerja tertindas.

Tingkah laku PH pada masa ini sudah cukup untuk menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak mepercayai kata-kata manis daripada golongan elit politik yang tidak mengenal erti perjuangan. Bagi mereka, perjuangan rakyat adalah sekadar retorik untuk meraih undi dan kesetiaan mereka adalah sentiasa kepada kelas kapitalis elit. Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh mengharapkan kepada pertubuhan-pertubuhan politik kapitalis ini. Bersama membina perjuangan akar umbi menentang polisi kerajaan, kita juga harus membina sebuah kepimpinan politik yang boleh menyatukan perjuangan semua rakyat tertindas dan berjuang menentang dominasi ekonomi dan politik oleh pihak kapitalis. Hanya sebuah parti massa dengan program yang tepat, dipimpin oleh kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik dan mempunyai hala tuju politik yang jelas boleh membawa sebuah perubahan yang bermakna dan terjamin bagi rakyat jelata.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *