Sebahagian daripada rakyat Malaysia telah menarik nafas lega apabila Anwar Ibrahim akhirnya dipilih menjadi PM dan Pakatan Harapan kembali menjadi kerajaan. Tetapi pada masa yang sama, sebahagian besar daripada rakyat, terutamanya rakyat di pantai timur dan negeri-negeri utara, tidak bersetuju dengan hala tuju kerajaan campuran yang mengandungi koalisi Barisan Nasional yang dianggap sebagai parti yang korup dan telah ditolak oleh rakyat di PRU lepas. Walaupun PH mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang dalam PRU 15 kerana memperoleh kerusi Parlimen terbanyak, hakikatnya, majoriti daripada pengundi yang turun mengundi tidak memilih mereka. PH hanya berjaya memperoleh 37.5% daripada undi keseluruhan, diikuti dengan PN (30%) dan BN (22%).

Walaubagaimanapun, akibat tidak ada mana-mana koalisi yang berjaya mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi, kerajaan campuran terpaksa didirikan bagi meneruskan urusan negara. Oleh itu, PH dan BN terpaksa mengetepikan sengketa mereka dan menjalinkan kerjasama politik, bukan demi menyelamatkan Malaysia, tetapi bagi menyelamatkan cita-cita politik masing-masing. Bagi Anwar, kerjasama dengan BN merupakan satu-satunya cara untuk menjamin sokongan daripada majoriti ahli Parlimen untuk mencapai cita-cita politiknya. Bagi Zahid Hamidi pula, ini merupakan satu-satunya peluang untuk menjamin posisi politik dan cuba melepaskan diri daripada tuduhan-tuduhan rasuah. Jika tersilap langkah, Zahid juga akan menerima nasib yang sama dengan bekas PM Najib yang sedang meringkuk di penjara pada masa ini. Juga, Zahid akan cuba mempergunakan posisi politiknya di kerajaan untuk kekal menjadi Presiden UMNO dan mencantas faksi-faksi yang menentangnya. 

Kerajaan PH sudahpun mendedahkan bahawa mereka tidak mewakili kepentingan rakyat apabila memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini. Polisi-polisi ekonomi yang berat sebelah terhadap kepentingan golongan kaya telah meminggirkan sebahagian besar daripada populasi negara yang miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman. Ini tercermin di dalam keputusan PRU lepas yang melihat masyarakat miskin menolak kepimpinan PH yang mengakibatkan kehilangan banyak kerusi Parlimen yang mereka pegang sebelum ini. Malah ketua PH dan PM Anwar Ibrahim sendiri hanya berjaya meraih kemenangan dengan majoriti tipis sebanyak 3000 undi sahaja.

Akibat kegagalan kerajaan PH sebelum ini untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat, koalisi Perikatan Nasional yang terdiri daripada Parti Bersatu dan PAS telah berjaya bersaing dengan PH dan mendapat undi yang banyak di PRU kali ini. PAS terutamanya telah muncul sebagai Parti terbesar di negara dengan jumlah ahli Parlimen terbanyak bagi mana-mana satu Parti. Rakyat yang melihat PH sebagai pengkhianat yang tidak menepati janji PRU dan BN sebagai pengkhianat yang korup, tidak mempunyai pilihan lain selain untuk membuang undi ke arah PN. Tetapi, PN yang tidak mempunyai sebarang program ekonomi yang munasabah untuk ditawarkan kepada rakyat, telah mempergunakan sentimen perkauman dan agama sebagai kempen politik utama mereka. Walaupun undi yang diterima oleh PN adalah disebabkan oleh kekurangan pilihan yang wajar di peti undi, masih lagi sebahagian daripada minda rakyat telah berjaya diracuni dengan propaganda yang berbentuk perkauman. 

Agenda Reformasi PH

Agenda reformasi yang dibawa oleh Pakatan Harapan dan Anwar mempunyai definisi yang luas dan tidak konkrit. Anwar dan sekutunya melaungkan slogan reformasi untuk lebih 20 tahun tanpa menjelaskan dengan terperinci apakah program yang akan dilaksanakan untuk mengubah kondisi negara dan rakyat. Jika diambil kira dari janji-janji PRU PH yang masih belum di tunaikan, pelbagai langkah untuk menaiktaraf kehidupan rakyat telah dicadangkan. Peningkatan gaji pekerja, penghapusan hutang PTPTN, pemansuhan bayaran tol untuk lebuh raya dan sebagainya telah menjadi kempen PRU utama PH pada 2018. Selain itu, mereka juga berikrar untuk menjaga ketulusan kerajaan, menghapuskan undang-undang yang menindas dan mengembangkan tunas demokrasi di Malaysia.

Tetapi apabila mengambil alih kerajaan, PH berdepan dengan kekangan dari sistem ekonomi yang berada di bawah kawalan kelas kapitalis kaya dan oleh itu tidak berupaya untuk menunaikan sebarang janji mereka. Pada masa yang sama, kemelesetan ekonomi dunia juga menghalang PH daripada meningkatkan program kebajikan kepada rakyat miskin. Selain itu, sebagai parti perwakilan kapitalis, PH juga dianggotai oleh ahli-ahli politik yang tidak beramanah, terlibat dalam korupsi, melanggar ikrar untuk mempertahankan demokrasi, mengekang hak rakyat dan birokratik, sama seperti ahli-ahli politik BN atau PN.

Pada waktu ini, rakyat sudah mula menyedari bahawa agenda reformasi PH merupakan program yang tempang dan tidak mempunyai perancangan yang jelas untuk dijayakan. Jika ahli-ahli politik PH benar-benar ingin meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa dan meningkatkan demokrasi, maka mereka seharusnya bermula dengan program yang merujuk kepada ketidakadilan sistem ekonomi kapitalisme yang sentiasa mengutamakan kepentingan golongan kaya dan mengetepikan suara rakyat biasa. Setiap kempen untuk meningkatkan kebajikan rakyat harus disertakan dengan perancangan konkrit untuk mengenakan cukai ke atas keuntungan golongan atasan yang bilangannya kurang daripada satu peratus daripada populasi tetapi mempunyai kekayaan yang tidak terhingga. Cukai korporat, cukai durian runtuh, cukai pendapatan golongan kaya dan sebagainya harus diperkenalkan dan ditingkatkan untuk membiayai program kebajikan rakyat miskin. Projek-projek gergasi yang tidak membawa faedah kepada masyarakat harus diganti dengan pembinaan infrastruktur awam termasuk hospital dan institut pendidikan yang tidak mempunyai motif keuntungan.

Ini tidak berlaku walaupun PH memegang kerajaan selama hampir 2 tahun dan mempunyai segala kuasa untuk memperkenalkan polisi-polisi yang menyebelahi rakyat. Sebaliknya, kerajaan PH terus mempertahankan sistem ekonomi kapitalis yang menindas dan enggan untuk berjuang demi kepentingan rakyat tertindas. Begitu juga apabila PH menjadi kerajaan di beberapa buah negeri tetapi masih gagal untuk meningkatkan kebajikan rakyat di sana. 

Pakatan Harapan tidak akan membawa pembaharuan

Bulan pertama Anwar menjadi PM sudahpun mewujudkan tanda tanya daripada rakyat berkenaan kebolehannya untuk menunaikan segala ikrar dan janji PRU. Timbalan Perdana Menteri yang dilantik, Zahid Hamidi iaitu Presiden Parti UMNO sendiri mempunyai pertuduhan-pertuduhan jenayah korupsi yang serius dan mewujudkan persoalan berkenaan dengan komitmen Anwar dan PH untuk membanteras korupsi di dalam kerajaan. Selain itu, beberapa jawatan-jawatan Kementerian yang penting diberikan kepada ahli-ahli politik yang tidak mempunyai mandat daripada rakyat untuk menjadi wakil rakyat.

Kerajaan PH, sehingga hari ini belum menerangkan bagaimana mereka akan menangani isu inflasi, ketidakcukupan bekalan makanan, kekurangan peluang pekerjaan, penurunan nilai matawang Ringgit dan banyak lagi isu-isu ekonomi yang sedang dihadapi negara. Sebahagian besar daripada kelas pekerja yang terjerat dengan penindasan dari ekonomi ‘gig’ seperti Foddpanda dan Grab memerlukan perhatian segera daripada kerajaan bagi melindungi hak mereka. Tambahan pula, krisis alam sekitar seperti kejadian banjir dan tanah runtuh sedang mengancam nyawa dan harta benda jutaan rakyat miskin yang memerlukan bantuan dan solusi kekal kepada masalah mereka secepat mungkin. 

Beberapa kajian yang dijalankan baru-baru ini telah mendedahkan bahawa sebanyak 75 ke 80 peratus daripada rakyat yang terlibat dalam kajian tersebut menganggap bahawa isu peningkatan kos sara hidup dan inflasi sebagai kerisauan utama mereka. Rakyat tidak hairan jika PM menerima gaji, tidak memakai tali leher atau menolak kereta mewah, pemikiran rakyat dihantui dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak sepadan dengan gaji bulanan mereka. Rakyat dari semua lapisan, terutamanya golongan miskin sedang merana di bawah beban ekonomi yang keterlaluan.  

Jika keadaan ekonomi menjadi semakin tenat, ia akan memberi semakin banyak peluang kepada PN, BN dan parti-parti berhaluan kanan lain untuk mendendangkan propaganda perkauman dan agama, semata-mata untuk meraih sokongan di pilihan raya. Ini akan mewujudkan polarisasi di kalangan rakyat yang mempunyai latar belakang yang berbeza dan boleh menimbulkan krisis sosial yang mengancam keamanan negara. 

Krisis politik berkekalan

Hari-hari pertama persidangan Parlimen menyaksikan pertelingkahan dan pergaduhan mulut di kalangan ahli-ahli Parlimen yang datang dari blok berbeza-beza. Ahli-ahli politik dari PN sudahpun memberikan amaran bahawa kerajaan campuran ini akan digulingkan dalam masa yang akan datang. Walaupun strategi mereka belum jelas pada waktu ini, pastinya pelbagai helah akan digunakan untuk merebut kuasa kerajaan dalam bulan-bulan yang akan datang.

Tetapi, pada masa yang sama, ahli-ahli politik dari kem pembangkang juga tidak mempunyai sebarang program atau perancangan yang konkrit untuk memulihkan isu-isu ekonomi dan sosial yang sedang menimpa rakyat biasa. Hujah-hujah mereka tidak mencabar hala tuju ekonomi kerajaan baru tetapi lebih tertumpu kepada retorik kosong yang menyerang satu sama lain. 

Hakikatnya, apa jua jenis kerajaan campuran atau perpaduan yang diwujudkan kelak, ia tidak akan meningkatkan kebajikan dan hak bagi rakyat tertindas. Semua parti yang ada di Parlimen hari ini pernah menduduki kerajaan sebelum ini dan telah mengecewakan rakyat biasa berulang kali. Mereka mendedahkan diri sebagai korup dan tidak mempunyai kebolehan untuk mengemudi ekonomi negara untuk berfungsi demi kemakmuran rakyat biasa.

Malah di sepanjang pandemik Covid-19 yang mengancam kehidupan masyarakat, ahli-ahli politik ini langsung tidak membawa sebarang perjuangan untuk memelihara kehidupan dan kebajikan rakyat. Sebaliknya, mereka merebut-rebut untuk menyelamatkan kelas kapitalis daripada mengalami kerugian dan cuba menjamin jawatan dan cita-cita politik masing-masing. Sifat ini yang sebati dalam semua perwakilan politik kelas kapitalis akan berterusan walaupun krisis ekonomi sedang mengancam negara pada tahun hadapan.  

Bina alternatif politik berdasarkan perpaduan rakyat dan kelas pekerja

Walaupun PRU 15 tidak berjaya membawa sebuah penyelesaian kepada isu-isu ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi rakyat, penyertaan rakyat di dalam proses politik itu sendiri amat mengagumkan. Rakyat dan anak muda telah mengharungi cuaca buruk dan segala kesulitan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Tetapi, penyertaan rakyat di dalam politik tidak harus terhenti disitu sahaja dan perlu disambung menjangkau Pilihan Raya yang dianjurkan oleh badan kerajaan yang korup dan tidak menawarkan sebarang jalan keluar kepada krisis yang dihadapi. 

Kelas pekerja, anak muda dan lapisan masyarakat yang mempunyai kesedaran mengenai kepincangan parti-parti arus perdana yang wujud hari ini perlu berusaha untuk membina sebuah alternatif. Sebuah kepimpinan politik yang berdasarkan kepada perjuangan kelas tertindas, yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk menentang agenda kelas kapitalis harus dibina. Rakyat tidak boleh menaruh harapan ke atas mana-mana pertubuhan sedia ada yang mewakili kepentingan golongan kaya dan sentiasa menindas hak dan kebajikan masyarakat miskin. 

Kelas pekerja dan tertindas harus mendapat kepimpinan politik yang benar-benar mewakili aspirasi mereka dan sanggup untuk bertarung dengan kuasa-kuasa kapitalis yang memegang kuasa wang dan politik. Melalui perjuangan yang disusun di luar Parlimen menerusi aksi-aksi industri di tempat kerja dan aksi nasional seperti mogok umum, kepimpinan politik rakyat yang sebenar boleh di kukuhkan untuk mencabar dominasi politik parti-parti kapitalis. Kesatuan sekerja dan pertubuhan akar umbi rakyat dan anak muda boleh menjadi tonggak utama kepada pembinaan sebuah kepimpinan politik yang membawa hala tuju perjuangan yang jelas.  

Jika situasi ekonomi bertambah buruk dan memaksa rakyat untuk turun ke dalam medan perjuangan dan gerakan massa, tenaga tersebut haruslah ditumpu ke arah menentang struktur ekonomi kapitalisme yang rakus dan menggantikannya dengan sistem sosialisme yang mengutamakan kepentingan rakyat biasa berbanding para kapitalis. Segala isu ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat adalah berakar dari kerakusan sistem ekonomi kapitalis yang berat sebelah. Jika kerakusan ini tidak ditukar ganti dengan struktur yang lebih adil dan mampan, masalah asas bagi rakyat tidak akan selesai sampai bila-bila.

Rakyat di negara-negara lain di seluruh dunia sudahpun mula bergelut dengan kuasa-kuasa kerajaan kapitalis dan sedang mencari sebuah alternatif yang munasabah bagi kehidupan mereka. Kelas pekerja sedang melancarkan aksi-aksi mogok yang besar dan anak muda dan rakyat biasa juga terlibat dalam protes-protes massa bagi menuntut perubahan yang positif dalam kehidupan mereka. Ia sudah tiba masanya untuk kelas pekerja dan rakyat Malaysia untuk menggabungkan tenaga dengan gerakan yang sedang terbentuk di seluruh dunia dan membina sebuah perjuangan dengan kepimpinan politik yang jelas untuk menjamin kemenangan yang kekal.  

2 Responses

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *