Gerakan ‘Repeal the 8th’ ( mansuhkan artikel 8 dari perlembagaan ) merupakan gerakan yang menuntut pemansuhan akta dalam perlembagaan Ireland yang mengharamkan penguguran kandungan. Kami di Malaysia menyokong gerakan ‘Repeal the 8th’ Ireland. 28 September ini menandakan hari aksi sedunia dalam perjuangan mendapatkan hak menggugurkan kandungan dengan selamat. Maka, pada tahun ini, ‘Repeal the 8th’ telah menyeru kepada para aktivis dari seluruh dunia untuk menyatakan solidariti mereka untuk gerakan ini.
Tentunya di Malaysia, memberikan solidariti bagi gerakan seumpama ini adalah amat relevan dan mampu menjadi pendidikan politik kepada aktivis tempatan. Ini adalah kerana gerakan ‘Repeal the 8th’ yang menuntut perubahan sering berhadapan dengan pelbagai halangan seperti berhadapan dengan tentangan golongan moralis, golongan fundamentalis agama dan konservatif yang mirip dengan situasi di Malaysia. Namun tentangan ini didepani dengan menawarkan alternatif yang jelas kepada semua golongan, iaitu penguasaan kelas pekerja secara demokratik terhadap struktur-struktur kerajaan.
Penglibatan dan kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa dalam hal-hal seharian masyarakat seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, termasuklah ekonomi sekaligus akan membuka ruang demokrasi untuk menjamin pembebasan bagi golongan wanita.
‘Repeal the 8th’ adalah gerakan yang mendedahkan sistem kapitalisme yang serba berasaskan keuntungan yang memberikan kesan buruk terhadap ekonomi, sosial, dan malanjutkan lagi kontradiksi moral yang kita depani. Isu-isu ini, tidak saja berlaku di Ireland, malah kepada golongan wanita dan kelas pekerja di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Oleh itu, perjuangan internasional adalah relevan, kerana ia mengangkat idea solidariti kelas pekerja sedunia. Meskipun ia tidak mampu berikan apa apa kesan secara menerus kepada kelas pekerja dan golongan wanita di Malaysia, namun gerakan ‘Repeal the 8th’ adalah perjuangan yang mengangkat emansipasi wanita dengan membawa alternatif kepada sistem kapitalisme, yang mana sistem ini adalah sistem global dan Malaysia tidak terkecuali.
Oleh itu, sokongan kepada gerakan Repeal the 8th adalah selangkah kepada perjuangan menanggalkan struktur kapitalisme dari organ ke organ. Ayuh saudara dan saudari, kita menyatakan solidariti kepada perjuangan emansipasi golongan wanita dan pembinaan sosialisme sedunia!