Mantapkan hak wanita melalui pembinaan solidariti dan perjuangan kelas pekerja !
Lawan kapitalisme dan bina sosialisme untuk hak demokrasi, ekonomi dan sosial yang adil dan saksama !
Tahun 2020 sudah menampakkan titik suram dengan suasana politik dan ekonomi negara yang semakin pincang. Ketidaktentuan dalam ekonomi di peringkat global, dan wabak COVID 19 yang semakin merebak, terus melemahkan ekonomi negara dan dijangka akan memberikan tekanan kepada taraf hidup rakyat biasa.
Keretakan dalam kerajaan akhir Februari lepas tidak pernah disaksikan oleh rakyat Malaysia sebelum ini. Dengan pembubaran kerajaan yang kemudian digantikan dengan kerajaan baru yang berkomposisikan parti-parti lama seperti parti UMNO dan PAS ; yang sebelum ini telah digulingkan oleh rakyat melalui pilihan raya pada tahun 2018, memungkinkan peningkatan eksploitasi dan penindasan terhadap golongan wanita dan kelas pekerja. Titik suram ini juga menandakan keperluan solidariti di kalangan rakyat yang di tindas melalui pembinaan organisasi akar umbi yang berprinsipkan anti pasaran bebas, anti sistem yang berasaskan keuntungan, dan anti kapitalis.
Pemerintahan Pakatan Harapan sebelum ini juga telah terbukti gagal menunaikan janji yang diharapkan oleh rakyat apabila memegang tampuk kuasa. Golongan wanita terutama wanita kelas pekerja dan miskin masih berhadapan dengan diskriminasi dalam sistem kapitalisme negara. Jurang pendapatan antara jantina untuk kerja yang sama, stereotaip pekerja wanita sebagai buruh kelas kedua, keganasan rumah tangga yang pada tahap membimbangkan, kes pembuangan bayi, perkahwinan bawah umur, dan gangguan seksual, adalah sebahagian dari bentuk-bentuk penindasan terhadap wanita yang terbit secara sistemik. Malah dikatakan tidak ada perbezaan bagi wanita dan seluruh rakyat biasa dalam kedua-dua pemerintahan. Baik Pakatan Harapan, mahupun Barisan Nasional, masing-masing tidak dapat memberi jaminan kepada kehidupan wanita dan kelas pekerja.
Sistem kapitalisme global sedang retak menanti belah. Di setiap benua dalam peta dunia sedang wujud kebangkitan rakyat dalam skala besar-besaran. Indonesia, India, China, Hong Kong, Lebanon, Iraq, Sudan, dan Amerika Syarikat antaranya, sedang melakarkan sejarah perjuangan rakyat yang ditindas dalam sistem kapitalisme. Situasi ini adalah disebabkan krisis ekonomi global yang telah melahirkan generasi yang tidak mampu mencapai impian untuk memiliki kehidupan seperti ibu bapa mereka. Bagi golongan wanita pula, dianggarkan 86% beban program penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan akan di tanggung oleh wanita melalui kerja-kerja dalam rumah seperti memasak, mengemas, menjaga anak, golongan tua dan OKU. Justeru, kebangkitan pejuang wanita dan organisasi yang memperjuangkan hak wanita telah berkembang selari dengan perkembangan krisis ekonomi global. Pada hari ini, semakin ramai anak muda dan wanita dari seluruh dunia telah bangkit dan melibatkan diri dalam menyusun aksi-aksi perjuangan yang bersejarah.
Gerakan perjuangan wanita sedunia
Pada tahun 2018 misalnya, pekerja Mcdonald’s melancarkan mogok di 10 negeri di Amerika Syarikat, dan pada hari yang sama, pekerja Mcdonald’s di Tokyo, Zurich, dan London juga turut serta atas tujuan membantah keganasan seksual di tempat kerja, diskriminasi jantina, dan rasisme.
Beratus-ribu para wanita telah menjadi asas kepada gerakan massa di India yang telah berjuang menentang pindaan terhadap Akta Civic yang akan diskriminasi masyarakat minoriti di negara itu. Aksi beberapa mahasiswi di universiti Jamia Millia yang berhadapan dengan keganasan pihak polis untuk mempertahankan rakan mereka daripada dipukul telah menjadi viral di media-media sosial.
Di Jerman dan di Austria, mogok-mogok gergasi di industri yang di dominasi oleh pekerja wanita seperti perkhidmatan kesihatan dan sosial telah melihat kejayaan-kejayaan yang bersejarah. Di Austria misalnya, pekerja penjagaan kanak-kanak dan orang tua telah berjaya mengurangkan jam kerja ke 35 jam seminggu dengan gaji dan kebajikan yang sama melalui aksi-aksi mogok yang hebat.
Fenomena ‘MeToo’ yang tercetus di seluruh dunia juga telah mendedahkan keparahan jenayah seksual yang wujud di setiap lapisan masyarakat. Bagi wanita yang telah terseksa memendam kezaliman yang telah berlaku ke atas dirinya, gerakan ‘Mee Too’ ini telah memberikan keyakinan dan ruang untuk bersuara.
Perjuangan wanita adalah juga perjuangan kelas
Namun, kita harus sedar bahawa perjuangan yang berlandaskan identiti semata-mata tanpa mengaitkannya dengan perjuangan kelas, pasti akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat biasa. Bagi kami Sosialis Alternatif dan Jaringan Solidariti Pekerja, penindasan terhadap wanita bukannya sesuatu yang muncul dengan tiba-tiba. Tetapi, ianya berakar dalam perkembangan struktur masyarakat kelas yang kemudiannya diwarisi ke dalam sistem kapitalisme. Bermakna, perjuangan wanita mesti digabungkan dengan perjuangan kelas untuk melawan kapitalisme dan digantikannya dengan alternatif sosialisme dengan struktur masyarakat yang demokratik dengan hak sosial dan ekonomi yang adil dan saksama.
Meskipun representasi wanita adalah penting, namun, parlimen negara tidak akan mampu memenuhi hak dan demokrasi wanita memandangkan wakil-wakil rakyat termasuk wakil-wakil rakyat wanita sama ada daripada BN atau PH biasanya akan mempertahankan agenda sistem kapitalisme. Justeru, kerajaan berteraskan kepada prinsip demokrasi dan berpusatkan hak kelas pekerja, anak muda dan wanita perlu dibina. Wakil-wakil dari kesatuan sekerja, komuniti setempat dan institusi pendidikan dari setiap lapisan masyarakat mesti mengambil peranan dalam tadbir urus negara. Ertinya, perjuangan untuk pembebasan wanita sahaja tidak cukup, ia haruslah digabungkan dengan perjuangan kelas pekerja dan golongan lain yang di tindas dalam sistem kapitalisme.
Sejarah perjuangan wanita
Kelas pekerja dan wanita yang telah menjalin solidariti dan menyusun tenaga berserta idea dalam perjuangan menentang sistem kapitalisme. Di Rusia pada tahun 1917 misalnya, masyarakat dunia telah menyaksikan para kelas pekerja wanita yang telah memimpin sebuah gerakan massa yang berjaya menumbangkan sistem kapitalisme di negara itu. Mereka secara umumnya mengimpikan masyarakat yang progresif dan berpaksikan keperluan rakyat terbanyak, iaitu kelas pekerja dan rakyat miskin.
Pada masa yang sama, kepimpinan politik gerakan kelas pekerja juga sedar akan kepentingan untuk memberikan sebuah kejelasan hala tuju agar memudahkan idea perjuangan rakyat untuk disebarkan kepada setiap rakyat yang merasai penindasan kapitalisme. Sosialisme, sebuah sistem ekonomi yang berpandukan kepada perjuangan kelas pekerja kolektif sebagai kuasa untuk mengambil alih dan menguasai sistem ekonomi dan politik, menjadi tunggak perjuangan kelas pekerja dan wanita di Russia pada waktu itu.
Hak mengundi bagi wanita, hak bercerai, pembinaan pusat jagaan awam 24 jam, klinik-klinik komuniti adalah sebahagian dari kemenangan yang berjaya di peroleh melalui perjuangan kelas hasil revolusi Russia 1917. Malah ia merupakan masyarakat pertama yang menerajui kebajikan dan hak untuk wanita yang kemudiannya menjadi inspirasi perjuangan wanita di negara-negara berbeza. Malangnya, akibat keterasingan masyarakat Russia dengan negara-negara Eropah, kegagalan kepimpinan kelas pekerja di negara-negara maju untuk membawa sosialisme pada masa itu, serangan ketenteraan daripada negara-negara kapitalis lain, kemunduran peralatan produksi di Russia pada waktu itu dan banyak lagi faktor telah mengakibatkan kemerosotan dalam revolusi kelas pekerja dan diambil alih oleh diktator Stalin. Perang dunia kedua yang menguatkan lagi posisi Stalin telah menarik balik sebahagian besar daripada kemajuan yang dicapai oleh golongan wanita melalui perjuangan kelas.
Namun, pengalaman daripada masyarakat yang dipimpin oleh kerajaan kelas pekerja yang demokratik telah menunjukkan sebuah jalan keluar yang munasabah bukan sahaja untuk mengakhiri penindasan yang sedang dialami oleh golongan wanita, tetapi juga mampu membawa perubahan yang bermakna bagi jutaan rakyat yang tertindas di bawah sistem kapitalisme. Walaupun ia tidak berjaya dikekalkan disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, kepimpinan perjuangan rakyat pada waktu ini harus mengambil inspirasi daripada perjuangan wanita dan kelas pekerja di Revolusi Russia 1917. Pada masa yang sama, pengajaran-pengajaran yang penting yang boleh dipelajari melalui proses revolusi ini haruslah menjadi ilmu untuk menghadapi perjuangan-perjuangan yang akan dihadapi pada masa depan.
Meskipun keadaan telah jauh berbeza pada hari ini, tetapi, penindasan terhadap wanita dan kelas pekerja masih lagi berlaku dan berakar daripada kerakusan sistem kapitalisme. Hak-hak yang pernah dimenangi kelas pekerja sebelum ini telah ditelan pasaran bebas kapitalisme dan sistem pentadbiran negara yang birokratik. Justeru, meskipun sudah wujud beberapa tuntutan dan program dari pelbagai organisasi yang memperjuangkan hak wanita, namun, sebuah semangat solidariti harus dijalinkan dengan rakyat tertindas yang lain, berserta dengan pembinaan organisasi akar umbi massa yang berjuang menentang sistem kapitalisme demi pembinaan sebuah masyarakat yang adil di bawah sosialisme.
Tuntutan kami adalah seperti berikut :
- Hapuskan perbezaan gaji di antara pekerja wanita dan pekerja lelaki untuk jawatan dan pekerjaan yang sama. Gaji minimum yang adil berlandaskan inflasi negara untuk semua pekerja.
- Mengiktiraf suri rumah sebagai penyumbang kepada ekonomi negara dan menuntut kerajaan dan majikan menyumbang kepada elaun bulanan serta simpanan KWSP yang adil kepada mereka.
- Menjamin hak dan kebebasan wanita dengan meningkatkan hak ekonomi dan sosial mereka seperti hak pekerjaan yang saksama dan perumahaan yang selesa dengan harga yang berpatutan.
- Kemudahan kesihatan dan pendidikan yang percuma yang secukupnya dan berkualiti untuk semua termasuk golongan wanita.
- Tingkatkan cukai bagi golongan terkaya 1% untuk meningkatkan kebajikan sosial kepada rakyat biasa termasuk wanita.
- Solidariti di antara pekerja wanita dan lelaki untuk melawan seksisme dan kegaganasan seksual di tempat kerja dan di institusi pendidikan.
- Solidariti kelas pekerja antara pekerja tempatan dan pekerja migran untuk memperkuatkan kesatuan sekerja.
- Hak dan kebebasan untuk berorganisasi dan menubuhkan kesatuan sekerja untuk semua termasuk pekerja wanita. Kesatuan sekerja harus meningkatkan serta menggalakkan penglibatan dan kepimpinan pekerja wanita termasuk menerajui kesatuan sekerja.
- Membina solidariti di kalangan semua pekerja tanpa mengira perbezaan gender, budaya, kaum atau agama melalui hak kesatuan sekerja serta membina politik alternatif berlandaskan sosialisme untuk hak ekonomi dan sosial yang adil dan saksama.
- Lawan kapitalisme dan bina alternatif sosialis berpandukan perjuangan rakyat yang dipimpin oleh kelas pekerja.