Selepas berdolak dalik selama berbulan-bulan, Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah akhirnya mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 untuk pekerja di Semenanjung dan RM130 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak.
Gaji minimum baru ini merupakan sebuah penghinaan bagi warga pekerja dan mendedahkan watak sebenar kerajaan yang tidak mengambil peduli mengenai keperitan hidup seorang pekerja miskin. Seramai 14 juta pekerja yang telah mengundi PH pada pilihan raya lepas dengan harapan untuk memperbaiki kondisi hidup mereka telah menjadi hampa dan kecewa dengan pengumuman gaji minimum tersebut.
Cadangan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (PPKKM) telah diabaikan sepenuhnya dan usaha yang dilakukan oleh pegawai-pegawai dan wang yang dibelanjakan untuk penyelidikan tersebut telah menjadi sia-sia.
Kami mendapati bahawa satu-satunya cadangan yang diterima oleh Kerajaan adalah saranan daripada pihak majikan. Nampaknya, Kerajaan berhasrat untuk memansuhkan Majlis Perundingan Gaji Negara dan hanya ingin melibatkan perwakilan dari kelas majikan untuk membuat keputusan mengenai semakan Gaji Minimum. Pada masa ini, kerajaan tidak mematuhi peruntukan Akta dan tindakan ini bertentangan dengan propaganda mereka untuk mematuhi peraturan undang-undang. PH juga gagal untuk mematuhi Konvensyen Penetapan Gaji Minimum 131 di bawah Piawaian Buruh Antarabangsa seperti yang dipersetujui oleh mereka sebelum menjadi kerajaan.
Nampaknya, peraturan dan undang-undang hanya diterapkan secara selektif demi kepentingan kelas majikan dan pihak pemerintah, bukannya untuk mempertahankan hak kelas pekerja dan rakyat biasa.
Jika pihak kerajaan benar-benar telus dan ikhlas dengan pentadbiran mereka, maka laporan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara seharusnya didedahkan ke masyarakat umum. Apabila laporan 1MDB boleh dikeluarkan untuk tatapan umum, kenapa tidak dengan laporan daripada Majlis Perundingan Gaji?
Hujah-hujah yang dilontarkan oleh kerajaan untuk menjustifikasi kenaikan yang amat sedikit dalam gaji minimum itu kebanyakannya dikitar semula dan digunakan berulang kali oleh mana-mana kerajaan yang tidak mementingkan kebajikan majoriti miskin tetapi membenarkan ketamakan korporat untuk memaksimumkan keuntungan mereka.
Sebelum ini, di bawah bendera BN, Tun Mahathir telah memberikan alasan yang sama untuk menafikan implementasi sistem gaji minimum yang munasabah bagi pekerja. Keadaan ekonomi yang tidak menguntungkan, mata wang yang lemah dan hutang negara yang membebankan disebut sebagai pelaku utama yang menghalang kerajaan persekutuan yang kononnya ‘berniat baik’ untuk meningkatkan taraf kehidupan bagi rakyat biasa.
Pada masa yang sama, para jutawan dan pemilik syarikat besar sedang mencatat rekod keuntungan yang besar setiap tahun tanpa gagal dan tanpa sebarang pengawasan atau pengawalan oleh kerajaan. Kerajaan boleh menggunakan alasan yang sama untuk memindahkan sebahagian daripada beban hutang dan ketidakstabilan ekonomi ke bahu korporat gergasi 1% daripada memaksa 99% rakyat biasa untuk menanggung beban tersebut.
Tahun lepas, 40 orang terkaya di Malaysia melihat kekayaan mereka meningkat sebanyak 30% manakala 40% penduduk terpaksa hidup di bawah kemerosotan upah, pasaran pekerjaan yang kompetitif, cukai regresif, kekurangan subsidi dan penjimatan perbelanjaan sosial oleh kerajaan.
Upah sebenar, iaitu upah yang diukur dengan mengambil kira kenaikan kadar inflasi dan kejatuhan mata wang tidak berubah sejak 7 tahun yang lalu dan dalam kebanyakan kes, ia sedang menurun secara berperingkat dan dicerminkan dengan kenaikan hutang isi rumah. Pekerja yang berada di tangga upah yang paling rendah seperti pekerja wanita sedang bekerja keras dengan upah yang sedikit untuk menanggung keluarganya tanpa menerima sebarang bantuan dari kerajaan.
50% daripada tenaga kerja tidak formal adalah dari golongan wanita, dieksploitasi oleh majikan yang kaya untuk menyusun keuntungan mereka sambil membayar mereka gaji kemiskinan. Orang ramai dengan perasaan marah telah mengundi untuk mengubah keadaan mereka yang semakin merosot dan tidak mahu melalui dasar-dasar ekonomi yang mirip dengan kerajaan sebelum ini.
Walaupun satu kajian oleh Bank Negara mendedahkan bahawa seorang pekerja di Kuala Lumpur memerlukan sekurang-kurangnya RM2700 sebulan untuk menjalani kehidupan yang bermaruah, kerajaan PH meneruskan rancangan mereka untuk melaksanakan gaji minimum yang merangkumi hanya sebahagian kecil daripada jumlah yang diperlukan.
Kami dari Gabungan Bantah RM1050 yang diketuai oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan awam, NGO, Parti Politik dan organisasi pekerja dengan tegas mengutuk dan menolak upah minimum yang dicadangkan daripada kerajaan dan menganggapnya sebagai pengkhianatan janji pilihan raya PH untuk mengutamakan pekerja. Bersama dengan protes ini, kami juga menuntut supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum yang lebih tinggi daripada yang dijanjikan sebelumnya memandangkan kenaikan kos hidup, inflasi dan kurangnya sokongan sosial daripada kerajaan bagi pekerja miskin.
Kami menuntut kenaikan gaji minimum kepada RM1800 berserta dengan semakan berjadual setiap 2 tahun untuk menyesuaikan kadar gaji dengan kenaikan inflasi, kos sara hidup dan penurunan nilai mata wang.
Ketidakstabilan ekonomi dan rungutan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana harus ditangani sewajarnya dengan pelaksanaan cukai progresif yang akan memindahkan sebahagian daripada beban ekonomi ke arah golongan 1% teratas yang terdiri daripada syarikat-syarikat elit. Subsidi dan pelarasan yang sewajarnya mungkin diperlukan untuk membantu perusahaan kecil pada mulanya. Tetapi, peningkatan gaji yang baik bagi pekerja biasa akan memberi manfaat kepada ekonomi domestik dan perniagaan kecil yang bergantung kepada para pekerja sebagai pelanggan.
Dengan pemahaman yang sedar mengenai watak kerajaan baru, kami tidak lagi mahu mempercayai kepimpinan PH selagi masalah gaji minimum diselesaikan dengan cara yang memuaskan untuk berjuta-juta pekerja miskin. Sebuah gerakan akar umbi dengan penyertaan majoriti kelas pekerja dan sokongan dari masyarakat yang lebih luas akan menjadi satu-satunya kuasa yang boleh dipercayai untuk memberikan cabaran kepada dominasi korporat terhadap kehidupan harian kita semua. Dari sudut pandang itu, kami memulakan inisiatif ini ke arah membina kempen besar-besaran yang mampu untuk memperjuangkan gaji minimum yang adil untuk kelas pekerja di Malaysia dan menjemput penyertaan rakyat tertindas dari setiap bahagian masyarakat.
Kami akan memulakan kempen dengan harapan dapat mencetuskan sebuah gerakan akar umbi dengan penyertaan aktif dari semua pekerja di bawah sepanduk Gabungan Bantah RM1050. Kami akan menganjurkan piket di tempat kerja, memulakan petisyen, menganjurkan forum perbincangan dan membina kempen ini secara organik sehingga ia menjadi sebuah kuasa massa. Kami juga akan berarak ke Parlimen pada 17 Oktober untuk menyerahkan memorandum dengan tuntutan kepada Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia. Kami menjemput semua pertubuhan awam, badan NGO, parti politik dan organisasi pekerja yang ingin mempertahankan hak pekerja biasa untuk bergabung dengan kami dan berjuang untuk gaji minimum yang lebih adil.
Kami menuntut:
- Peningkatan Gaji Minimum kepada RM1800 dengan segera termasuk di Sabah dan Sarawak.
- Menguatkuasakan undang-undang gaji minimum dengan cekap dan menghalang semua kepincangan oleh majikan seperti memasukkan elaun ke dalam gaji minimum.
- Melaksanakan dasar percukaian yang mensasarkan syarikat-syarikat gergasi, syarikat multinasional dan golongan berpendapatan tinggi, bukan pekerja biasa.
- Meningkatkan kebajikan sosial dan meningkatkan infrastruktur awam.
Organisasi yang menyokong kenyataan ini :
Malaysian Trade Union Congress (MTUC)
Blindspot
Electronic Industry Employees Union Southern Region Peninsular (EIEUSR)
Freedom Malaysia
Liberasi
Malaysia Muda
Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
Parti Sosialis Malaysia
Sosialis Alternatif
Suaram
Angkatan Rakyat Muda (Pemuda PRM)
Gerakan Pembebasan Wanita (GPW)
PSWS
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Foreign Spouses Support Group
Transmen of Malaysia
Tenaganita
Knowledge and Rights with Young people through Safer Spaces (KRYSS)
Women’s Aid Organisation (WAO)
Sisters in Islam (SIS)
Justice for sisters
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
Kuliah Buku (KUBU)
Parti Murba
Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
CDC