Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Perspektif, Halatuju dan Prinsip Perjuangan Sebagai Landasan Kepada Anak Muda dalam Mencetuskan Perubahan Bersama Gerakan Massa

Pada 23hb Disember ini, Malaysia Muda akan menganjurkan ‘perarakan dan pementasan semula Kongres Angkatan Pemuda Insaf (API), dan Pameran Jalanan Wajah Merdeka’ sempena memperingati ulang tahun ke-71 API, iaitu sebuah pertubuhan politik kiri anak muda pra-merdeka. Sosialis Alternatif akan menyertai inisiatif ini berasaskan kepada pengajaran daripada pengalaman API dan perjuangan kiri yang lain serta peranan anak muda masa kini dalam pembinaan naratif politik alternatif untuk mencetuskan perubahan bersama gerakan massa.

Dalam situasi Malaysia yang sedang menghadapi krisis ketiadaan alternatif yang jelas bagi pemerintahan anti-demokratik BN, dan dalam suasana kekecewaan anak muda dengan pentadbiran pembangkang, usaha kumpulan Malaysia Muda yang menyeru kepada anak muda untuk bergerak mengambil tanggungjawab politik haruslah dipuji. Seperti yang dilakukan oleh anak muda pada zaman penjajahan British, anak muda pada masa ini juga tidak boleh duduk terasing daripada proses politik yang akan memberikan impak kepada kehidupan harian masyarakat. Seperti API, anak muda harus mewujudkan kuasa politik mereka sendiri yang akan membawa aspirasi massa ke hadapan dan mencabar politik pertubuhan yang penuh dengan korupsi, penipuan dan berteraskan sistem kapitalisme yang rakus.

Walaupun begitu, anak muda tidak boleh terhenti dengan sekadar melakukan aksi umum yang berbentuk kebudayaan untuk membawa nostalgia perjuangan lepas. Perarakan ini mungkin boleh menjadi titik pencetus gerakan anak muda, tetapi bagi membolehkan sesebuah gerakan itu menjadi kuasa perubahan, sebuah organisasi kepimpinan yang jelas dengan tuntutan dan perspektif kelas harus di bina. Organisasi yang radikal seperti API harus dirujuk sebagai organisasi yang memberikan inspirasi dan telah mencetuskan gelombang kebangkitan massa menuntut kemerdekaan pada 1947. Tetapi pada masa yang sama, anak muda zaman ini juga harus meneliti program, polisi dan hala tuju kepimpinan dan juga cuba mengenal pasti segala kekuatan dan kelemahan perspektif mereka. Pengalaman perjuangan-perjuangan lepas merupakan buku rujukan yang paling bagus bagi membina perjuangan masa depan, dan sejarah harus dilihat sebagai kedua-dua inspirasi dan juga sebagai pengajaran.

Pengajaran daripada API

Antara kegagalan organisasi kiri seperti Parti Kesatuan Melayu Muda dan Parti Komunis Malaya dalam mengambil alih kuasa negara daripada British ataupun pertubuhan nasionalis adalah disebabkan oleh kelemahan perspektif kepimpinan mereka. PKMM dan API khususnya membina gerakan rakyat berlandaskan kepada golongan petani luar bandar dan dengan kepimpinan intelektual di bandar besar. Modal ini adalah berdasarkan kepada gerakan yang wujud di Indonesia pada masa itu di bawah pengaruh pemimpin nasionalis seperti Sukarno. Sukarno dan beberapa pemimpin nasionalis kiri di Malaysia juga cuba membawa perpektif ‘Melayu Raya’ untuk menyatukan semua etnik Melayu dari rantau Asia Tenggara untuk membina gagasan dan batas kenegaraan.

Kegagalan kebanyakkan kepimpinan untuk meletakkan kekuatan mereka di belakang organisasi buruh dan memimpin organisasi independen kelas pekerja untuk mencabar kuasa British telah melemahkan gerakan mereka dan berjaya dicantas oleh pihak berkuasa. Golongan petani luar bandar walaupun ditindas teruk oleh penjajah, masih tidak mendapat kesedaran untuk membina kepimpinan independen mereka sendiri disebabkan oleh kondisi kehidupan seharian mereka. Mereka sering bergantung dengan kepimpinan daripada golongan intelektual bandar dan pada masa yang sama juga cenderung untuk menyokong kuasa-kuasa reaksioner seperti organisasi nasionalis kanan. Pihak British, dengan bantuan pertubuhan nasionalis kanan seperti UMNO telah memupuk retorik nasionalisme dan berjaya memecah belahkan gerakan rakyat yang ditumpukan pada gerakan petani. Akibat taktik kotor daripada pihak penjajah dan nasionalis kanan tempatan, organisasi seperti API telah berjaya ditindas dan dihancurkan sebelum sempat membawa sebarang perubahan.

Idea ‘Malaysia Raya’ yang dibawa oleh beberapa pemimpin nasionalis kiri juga tidak berjaya menyatukan gerakan rakyat yang datang daripada berbilang kaum dan latar belakang. Penyatuan rakyat berdasarkan kepada etnik dan bukan kelas itu dipergunakan oleh pihak British untuk melonggarkan perpaduan yang wujud dikalangan rakyat berbeza etnik. Walaupun di testamen politik API tertera tuntutan ekonomi yang berpaksikan rakyat dan komitmen untuk melawan struktur kelas, perspektif tersebut tidak dapat dilihat di retorik, slogan, perspektif dan gerak kerja kepimpinan dalam praktik.

Dalam sistem ekonomi kapitalisme yang dutubuhkan di Malaysia oleh British pada masa itu, gerakan buruh merupakan kunci utama. Oleh sebab memegang kuasa produksi yang menjadi asas penggerak sistem ini, dan disebabkan oleh kondisi mereka yang berasaskan di bandar industri besar, kelas pekerja memiliki kedua-dua kekuatan ekonomi dan kebolehan memimpin politik negara. Seperti yang dibuktikan oleh kelas pekerja di Russia pada Oktober 1917 dengan kepimpinan Parti Bolshevik, hanya kelas pekerja sahaja yang mampu menjadi kepimpinan bagi membawa kepada perubahan sistem. Oleh kerana gerakan pembebasan nasional yang wujud pada masa itu yang menuntut penyusunan semula sistem ekonomi dan politik negara, kelas pekerja merupakan satu-satunya kelas yang mempunyai kebolehan untuk membawa susunan sosial masyarakat kehadapan.

Hartal yang berlangsung beberapa bulan selepas API diharamkan telah membantutkan ekonomi British dan pihak British terpaksa menyerang balik perjuangan ini dengan menggunakan kekerasan dan undang-undang yang tidak demokratik. Malangnya, di Malaysia pada masa itu tidak wujud walau satu parti yang bersedia untuk mengambil tanggungjawab untuk memimpin gerakan pekerja bagi menuntut kuasa kerajaan. Hanya disebabkan kesilapan daripada kepimpinan AMCJA-PUTERA yang telah menghadkan gerakan buruh dan kesatuan, perjuangan tersebut telah berjaya dihancurkan dengan kejam oleh pihak berkuasa. Walaupun dalam 10 tahun selepas itu kita telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah, malangya semua bentuk penindasan yang diwujudkan oleh pihak British pada masa itu masih dikekalkan oleh rejim BN yang telah mengambil alih kepimpinan negara. 60 tahun selepas merdeka, anak muda di Malaysia masih lagi menghadapi undang-undang kejam peninggalan penjajah yang digunakan untuk menghancurkan perjuangan rakyat pada masa itu.

Kelemahan Inisiatif Sebelum Ini

Ramai di kalangan aktivis Malaysia menganggap bahawa anak muda zaman ini kurang mengambil kisah tentang krisis politik yang sedang berlaku. Walaupun ada kebenaran dalam kenyataan tersebut, puncanya juga harus dikaji dan dikenal pasti. Realitinya, selepas bertahun-tahun melihat anak muda berjuang di protes jalanan, di arena forum, di mahkamah dan di Universiti, akhirnya mereka hanya menghadapi kekecewaan dan jalan buntu. Tidak kurangnya anak muda yang keluar masuk penjara di atas nama demokrasi dari zaman reformasi 98 dan mengorbankan hidup mereka hanya untuk menghadapi kekecewaan daripada pihak kepimpinan. Pihak pembangkang yang pada satu masa dahulu meraih sokongan penuh anak muda telah mendedahkan diri mereka sebagai tidak mampu membawa sebarang perubahan positif kepada rakyat biasa. Polisi ekonomi neo-liberalisme oleh pembangkang hanya membawa bentuk penindasan yang serupa dengan BN di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka setakat ini. Tambahan pula, sebagai sebuah parti berlandaskan kapitalisme, pihak pembangkang juga tidak terlepas daripada skandal-skandal korupsi yang ironinya sering menjadi kritikan mereka terhadap BN.

Perkara ini boleh dilihat dengan jelas dalam acara-acara anjuran pembangkang seperti Himpunan Anti-Kleptokrasi atau Wanita Bantah Politik Toksik yang telah gagal menarik anak muda dalam angka yang banyak. Di bandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, hampir semua acara anjuran pembangkang kebelakangan ini berjalan dengan sangat hambar. Sebaliknya, usaha anak muda yang tidak membawa nama pembangkang seperti Kongres Anak Muda dan sebagainya masih mendapat sokongan padu di kalangan belia di Malaysia. Bukan sekadar itu, anak muda telah berulang kali membuktikan bahawa mereka prihatin dengan hal ehwal politik tempatan dan dunia dengan gerakan-gerakan seperti ‘Bantah PTPTN’, ‘Tuntutan Pendidikan Percuma’, ‘Mansuh Akta Hasutan’,‘Protes Tangkap MO1’ yang telah berjaya mengumpul anak muda dalam bilangan yang banyak.

Tetapi, apabila ramai diantara kepimpinan anak muda yang tidak mengambil posisi independen dan berorientasikan kepada jentera politik pembangkang, ini telah menyebabkan kekecewaan di kalangan yang terlibat. Ramai di antara penggerak-penggerak mahasiswa dan anak muda masa lalu kini sudah memegang posisi dalam organ politik pembangkang dan telah berjaya menjamin karier politik mereka. Perjuangan anak muda yang telah mengikuti mereka pula terbiar hampa apabila mendapati bahawa pihak pembangkang juga enggan untuk mengangkat tuntutan mereka di negeri-negeri kepimpinan mereka. Maka, situasi ini telah menjadikan anak muda di Malaysia sedang semakin muak dengan permainan politik elit yang hanya mempergunakan tenaga mereka apabila diperlukan, dan mereka membentuk satu sentimen anti pertubuhan. Ini dapat menjelaskan kenapa gerakan anak muda yang sangat meriah hanya beberapa tahun lalu kini nampak sudah tersungkur.

Politik dan Anak Muda

Hala tuju kepimpinan Malaysia Muda dalam menganjurkan acara perarakan ini secara independen daripada pihak pembangkang adalah langkah yang bagus. Ini akan meraih minat anak muda yang sedang mencari alternatif kepada pembangkang. Tetapi pada masa yang sama, acara ini juga memerlukan tuntutan-tuntutan yang akan bergema dengan golongan belia dan mahasiswa. Tuntutan seperti ‘mansuh hutang PTPTN, pendidikan percuma, mansuh AUKU, bantah GST dan sebagainya akan memberikan semangat kepada anak muda untuk menyertai acara ini. Tetapi pada masa yang sama, bagi memastikan kesinambungan dalam perjuangan, anak muda yang hadir juga haruslah digalakkan untuk membina satu organisasi politik yang independen di luar pengaruh kedua-dua BN dan pembangkang. Organisasi tersebut haruslah bersifat demokratik, terbuka kepada semua anak muda dan rakyat tertindas, membawa program rakyat dan tidak takut untuk menuntut perubahan sistem ekonomi.

Sangat jelas bahawa perjuangan anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa masih belum selesai dan tidak akan selesai selagi tidak mencapai demokrasi yang berfungsi untuk semua secara setara. Perjuangan-perjuangan lampau seperti API adalah rujukan yang mampu memberikan inspirasi, tetapi ia perlu dilihat mengikut konteks peredaran zaman dan anak muda zaman ini harus mengaturkan program-program baru mengikut keperluan zaman ini. Itu merupakan tugas utama dan peranan paling penting golongan belia dalam perjuangan massa.

Program yang Relevan

Perjuangan pembebasan nasional yang dibawa oleh API dan organisasi lain pada zaman pra-merdeka adalah mengikut konteks masa itu dan tuntutan untuk ‘kemerdekaan dari penjajah’ telah berjaya menyatukan semua rakyat biasa. Tetapi bentuk perjuangan tersebut harus diperjelaskan dan harus dilihat sebagai tidak relevan untuk konteks Malaysia pada masa ini. Malaysia sudah tidak dijajah oleh sebarang kuasa asing secara menerus dan pada masa yang sama, retorik berbentuk nasionalisme sering disalah guna oleh pihak-pihak reaksioner seperti UMNO sebagai alat politik untuk memecah belahkan perpaduan rakyat. Semangat pembebasan nasional yang pernah menjadi kuasa penyatu dikalangan masyarakat pada zaman pra-merdeka kini berubah bentuk menjadi nasionalisme dan menjadi punca perpecahan dikalangan rakyat. Akibat keadaan ekonomi yang menyebabkan krisis sosial, beberapa demagog seperti Jamal Baju Merah sedang mempergunakan retorik-retorik berbentuk nasionalisme dan patriotisme yang mewujudkan kesangsian di kalangan satu sama lain di dalam masyarakat untuk meraih sokongan. Fenomena ini yang juga sedang berkembang di negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat dan di seluruh Eropah haruslah dibantah oleh anak muda dengan sekeras-kerasnya.

Oleh itu, anak muda juga harus mengangkat semangat internasionalisme yang berlandaskan perpaduan dengan rakyat-rakyat tertindas dari seluruh dunia yang juga sedang menghadapi situasi krisis ekonomi, politik dan sosial di negara masing-masing. Kepimpinan kiri harus menyokong gerakan pembebasan nasional yang wujud di kalangan masyarakat dunia seperti masyarakat Tamil di Sri Lanka, rakyat Palestine di Timur Tengah, perjuangan rakyat Catalonia di Spain, gerakan pembebasan Papua Barat dari Indonesia dan sebagainya. Mengikut konteks Malaysia, jika wujud sebuah gerakan menuntut kebebasan daripada rakyat tertindas Sabah dan Sarawak daripada cengkaman Semenanjung, golongan kiri harus menyokong gerakan tersebut kerana ia adalah berdasarkan aspirasi rakyat tertindas. Tetapi sebarang retorik nasionalisme tidak boleh dibawa masuk dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang kejelasan. Apabila separuh daripada beban kerja yang diperlukan oleh rakyat Malaysia kini ditanggung oleh pekerja-pekerja migran daripada negara lain, hujah untuk internasionalisme merupakan perspektif yang paling sesuai untuk menyatukan rakyat tertindas. Perjuangan-perjuang kelas yang sedang berkembang disekeliling kita di rantau ini haruslah dihubungkaitkan dan persiapan itu harus bermula dari sekarang. Oleh itu, tuntutan yang terbatas di garis nasional yang pernah dibawa oleh gerakan-gerakan kiri pada suatu masa lalu haruslah diperhalusi mengikut konteks perjuangan kelas pada masa itu dan tidak boleh diterima pakai secara abstrak tanpa alasan atau tujuan.

Anak muda mempunyai peranan yang penting dalam sebarang bentuk gerakan massa dan perubahan sosial. Sebagai lapisan sedar dalam masyarakat, seringkali, mahasiswa dan anak muda tampil kehadapan dan menjadi pencetus kepada gerakan-gerakan massa yang telah berjaya membawa perubahan bagi kelas pekerja dan rakyat tertindas. Tetapi, kumpulan mahasiswa atau mana-mana organisasi yang terpisah daripada gerakan rakyat tidak akan berupaya untuk membawa perubahan yang nyata. Bagi membolehkan kita untuk mencabar aparatus kerajaan kapitalis yang kejam, kita memerlukan kekuatan dan kepimpinan daripada organisasi pekerja yang tersusun. Oleh itu, anak muda tidak harus terhenti hanya dengan peranan ‘pencetus gerakan’ dan mula mendekati organisasi kelas pekerja untuk menjalinkan solidariti perjuangan.

Seperti yang dilihat di situasi Revolusi Arab dan Utara Afrika pada tahun 2012, situasi revolusi dan kebangkitan massa boleh tercetus pada bila-bila masa jika kondisi objektifnya sudah cukup matang. Tetapi malangnya, gerakan rakyat ini gagal untuk mencari alternatif yang sesuai untuk menggantikan rejim-rejim kuku besi yang digulingkan oleh rakyat dan akhirnya semua gerakan itu terjatuh ke tangan rejim tentera atau kerajaan sayap kanan. Negara-negara seperti Syria pula telah merosot ke dalam perang mazhab yang kejam dan tiada kesudahan. Di beberapa negara seperti di Mesir misalnya, terdapat usaha daripada anak muda yang berjuang untuk menyusun gerakan rakyat dalam kepimpinan politik seperti organisasi akar umbi ‘Tamarod’. Tetapi akibat kesuntukan masa untuk mencari kejelasan perspektif dan pembinaan sebuah organisasi yang kukuh, akhirnya usaha tersebut telah berjaya dihancurkan.

Proses-proses situasi revolusi yang berlaku dalam sejarah dan di luar negara harus digunakan sebagai pengajaran yang penting. Adalah jelas bahawa, persediaan untuk membina kepimpinan politik independen yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa adalah sesuatu yang amat mustahak dan perlu dimulakan dengan segera. Walaupun negara masih belum sampai ke situasi pra-revolusi seperti di negara-negara lain, lapisan anak muda yang sedar harus mula mempersiapkan diri dengan pengetahuan, teori dan pengalaman mengorganisasi rakyat bagi mencapai perspektif yang jelas.

Anak muda Malaysia sedang melalui sebuah situasi yang kritikal di mana hampir semua parti politik arus perdana sedang berpecah dan sedang mendedahkan sifat sebenar mereka. Jika rakyat Malaysia tidak diberikan sebarang alternatif yang jelas, segala perjalanan politik dan ekonomi akan terus dikongkong oleh pihak kapitalis elit dan ini akan mengakibatkan penindasan yang berterusan bagi rakyat biasa. Disebabkan ketiadaan sebarang pilihan, mungkin masih ramai lagi akan mengundi untuk pihak pembangkang di Pilihanraya Umum yang akan datang, tetapi ini tidak boleh ditafsir sebagai peningkatan sokongan terhadap mereka. Beberapa statistik sudahpun mengatakan bahawa sejumlah besar anak muda masih belum mendaftar untuk mengundi dan dijangka tidak akan terlibat dalam proses pilihanraya yang bakal diadakan.

Acara perarakan 23 Disember ini harus disertai oleh semua organisasi anak muda progresif, kiri dan juga harus berusaha mendapatkan solidariti daripada kelas pekerja. Acara ini boleh menjadi platform yang baik untuk melibatkan diri dalam membincangkan dan mencari alternatif yang sesuai kepada pemerintahan kapitalis yang berpaksikan kepada keuntungan segelintir elit. Situasi ekonomi dan sosial dunia sedang mendorong rakyat biasa untuk bergerak mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang dihadapi, anak muda sebagai lapisan sedar harus memikul tanggungjawab untuk mendirikan perspektif dan alternatif yang mampu menjadi kepimpinan bagi rakyat tertindas dan menyeru kepada mereka untuk bergerak memperjuangkan perubahan.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *