Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Kempen ‘Bendera Putih’ yang mula menular di media sosial pada akhir Jun lalu telah menjadi simbol kepada keadaan ekonomi rakyat yang semakin tenat. Rakyat yang tidak dapat menampung kehidupan akibat kekangan kewangan digalakkan untuk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah mereka supaya masyarakat umum dapat mengetahui keadaan mereka dan menghulurkan bantuan. Pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan yang berpanjangan selama hampir 2 tahun telah menghancurkan jutaan keluarga yang tersepit dengan beban ekonomi yang keterlaluan. Bendera Putih ini merupakan satu-satunya harapan yang kecil yang boleh merujuk kepada kesengsaraan mereka. 

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mewujudkan kebinasaan di mana-mana sahaja. Di Malaysia, kes Covid keseluruhan sedang menghampiri angka satu juta dengan lebih 6000 kematian setakat ini. Kes harian yang melebihi 9000 kes sehari juga menunjukkan bahawa pandemik ini akan terus berpanjangan ke bulan-bulan yang akan datang.

Sejak pandemik Covid-19 bermula pada Mac tahun lalu, sudah lebih 1000 kes bunuh diri telahpun dilaporkan. Ini merupakan peningkatan yang naik mendadak berbanding tahun-tahun lalu. Selain itu, masalah kemurungan dan krisis-krisis sosial sedang menjadi semakin kronik di kalangan rakyat. Malah, dilaporkan bahawa 1 daripada 3 orang doktor kerajaan pada waktu ini sedang mengalami simtom ‘burnout’ (keletihan yang keterlaluan). 

Jika keadaan kesihatan dan ekonomi negara tidak pulih dengan secepat mungkin, semakin ramai rakyat akan terpaksa bergantung dengan kempen-kempen sosial seperti ‘Bendera Putih’ ataupun badan-badan amal untuk sesuap nasi. Kadar pengangguran di kalangan rakyat sedang meningkat mendadak dengan penutupan perniagaan dan kilang-kilang besar yang ingin melindungi keuntungan mereka. Para pekedai kecil dan pengusaha warung juga sedang menggulung tikar dalam angka jutaan. 

Kempen-kempen seperti Bendera Putih bukanlah sesuatu yang baru dan kita dapat melihat kempen sedemikian dilancarkan di negara-negara lain bagi tujuan untuk membantu rakyat miskin dalam situasi pandemik. Di Brazil misalnya, sebuah gerakan ‘Dapur Komuniti’ yang diterajui oleh rakyat biasa bertanggungjawab untuk membekalkan makanan kepada jutaan rakyat setiap hari. Jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang tidak tergamak untuk melihat jiran dan penduduk setempat merana dalam malapetaka ini, telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat yang terdesak. 

Walaubagaimanapun, persoalan utama di sini adalah, adakah cara ini mencukupi untuk menampung keperluan semua rakyat yang mendapat kesan akibat pandemik Covid-19 dan adakah kempen ini boleh terus berkekalan jika ekonomi negara tidak pulih dengan cepat? Mengapakah pihak kerajaan tidak mampu untuk memberi sebarang solusi kepada jutaan rakyat yang memerlukan bantuan kehidupan sehinggakan rakyat sendiri terpaksa merujuk kepada isu ini dengan terus menerus? Bukankah ianya tanggung jawab sesebuah kerajaan untuk menyediakan keperluan asas kepada rakyat dan menyalurkan kebajikan yang secukupnya?

Rakyat yang sedang tersepit dengan beban ekonomi tidak mendapat sebarang bantuan yang munasabah dari pihak kerajaan setakat ini. Walaupun jutaan pekerja telah kehilangan kerja, kedai-kedai kecil ditutup untuk berbulan-bulan dan syarikat-syarikat besar menghentikan ribuan kerja, pihak kerajaan hanya menaburkan beberapa ratus ringgit dan mengharapkan bahawa rakyat akan berpuas hati dengan cebisan itu. Manakala, wang bernilai berbilion-bilion ringgit dicurahkan ke kocek para pemilik perniagaan dan korporat kaya bagi menampung kerugian mereka. Bagaimana pula dengan kerugian yang sedang dialami oleh rakyat biasa? 

Walaupun kempen ‘Bendera Putih’ disambut dengan ikhlas daripada rakyat biasa dan harus diberikan sokongan, pada masa yang sama, kita juga harus menyedari batasan-batasan yang wujud dengan kempen sebegini yang tidak boleh menjadi penyelesaian akhir kepada semua permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat. Tambahan pula, kempen ini sedang dipergunakan oleh ahli-ahli politik untuk cuba tampil di kalangan masyarakat agar mendapat sokongan di pilihan raya kelak. Malah para artis-artis hiburan arus perdana dan syarikat-syarikat korporat besar juga cuba meningkatkan populariti mereka dengan memberi sokongan kepada Bendera Putih. 

Bendera Hitam

Pada masa yang sama, satu lagi kempen yang juga merujuk kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat pada waktu ini juga menular di media sosial dan mendapat sambutan dari beberapa pihak. Kempen ‘Bendera Hitam’ telah menyeru kepada rakyat yang tidak bersetuju dengan hala tuju kerajaan waktu ini, khususnya yang inginkan PM Muhyiddin untuk mengosongkan jawatan PM akibat kegagalan untuk memulihkan ekonomi, untuk mengibarkan bendera hitam di hadapan kediaman mereka. Sedikit berbeza daripada kempen ‘Bendera Putih’, kempen ‘Bendera Hitam’ sedang cuba untuk mencari sebuah solusi politik bagi permasalahan yang dihadapi. 

Akibat sekatan demokrasi di bawah Darurat dan akibat tekanan daripada kerajaan yang mula menyiasat kempen Bendera Hitam di bawah Akta Hasutan, rakyat biasa mungkin keberatan untuk mengibarkan bendera hitam di hadapan rumah mereka secara terbuka. Tetapi, dengan kegagalan PM Muhyiddin untuk menurunkan kes Covid-19 walaupun selepas mendeklarasi Darurat yang berpanjangan untuk setengah tahun dan selepas membelanjakan ratusan bilion ringgit, semakin ramai rakyat sedang hilang harapan terhadap kerajaan hari ini. Oleh itu, kempen Bendera Hitam ini, sama seperti kempen Bendera Putih, sedang cuba mencari jalan penyelesaian kepada situasi sosial dan ekonomi rakyat yang sedang semakin merosot dan mempunyai kecenderungan untuk meraih sokongan rakyat yang semakin terdesak. 

Tetapi, kempen ini juga gagal untuk membawa sebarang tuntutan ekonomi yang menjadi tumpuan rakyat pada waktu ini dan hanya berhujah untuk mencari solusi politik yang tidak menjamin sebarang kebajikan kepada rakyat biasa. Rakyat yang semakin muak dengan kerenah ahli-ahli politik yang rakus dari semua parti politik arus perdana tidak yakin bahawa masalah mereka akan selesai jika sekadar kepimpinan kerajaan berubah sekali lagi. Oleh itu, segala aksi protes jalanan dari beberapa anak muda yang mengibarkan bendera hitam tidak mendapat sokongan yang luas dari rakyat. 

Tambahan pula, kempen ‘Bendera Hitam’ ini tidak mempunyai kepimpinan yang jelas dengan hala tuju perjuangan mereka. Anggota parti-parti pembangkang seperti Parti Amanah dan Muda juga menjadi sebahagian daripada kepimpinan kempen ini dan menyumbang untuk membataskan gerakan ini. Pada waktu ini, tidak ada banyak perbezaan diantara kepimpinan ‘Bendera Hitam’ dengan kempen-kempen proksi parti politik seperti Asalkan Bukan UMNO (ABU), BERSIH dan sebagainya. Tujuan akhir kempen ini adalah untuk membantu pihak-pihak tertentu untuk mencapai cita-cita politik mereka. Akhirnya, golongan anak muda akan dijadikan kuda tunggangan bagi ahli-ahli politik yang rakus.

Kita tidak boleh melupakan pengkhianatan Pakatan Harapan yang berhutang budi dengan jutaan anak muda dan kelas pekerja yang telah berjuang untuk berdekad-dekad lamanya demi menjatuhkan kerajaan BN. Sejurus mengambil kuasa kerajaan, topeng PH juga tanggal, mendedahkan kerakusan mereka yang tidak berubah daripada kepimpinan BN sebelumnya. Bukan sekadar janji-janji kebajikan dan penambahbaikan ekonomi rakyat dilupakan, malah undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan dan AUKU juga dikekalkan dalam 2 tahun pemerintahan PH.

Selepas pengalaman pahit ini, adakah rakyat biasa boleh meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli politik yang sedang merebut kuasa kerajaan pada waktu ini? Apakah manfaat bagi rakyat terbanyak jika kerajaan PN yang sedang memerintah pada waktu ini diganti dengan Pakatan Harapan, Muafakat Nasional, Barisan Nasional, atau mana-mana bentuk koalisi yang terjalin di kalangan golongan elit ini?

Daripada mengulang kesilapan-kesilapan yang lepas, anak muda harus mengambil teladan dan mula membentuk sebuah perspektif yang jelas dalam membina perjuangangan mereka. Selain daripada tuntutan demokratik, kempen ‘Bendera Hitam’ harus mengangkat tuntutan-tuntutan ekonomi dan sosial yang menjadi tumpuan utama rakyat tertindas dan membina hubungan dengan perjuangan rakyat. Hanya dengan sokongan massa, sebuah perubahan boleh dipaksa keatas golongan pemerintah. Oleh itu, sebuah gerakan massa yang membawa tuntutan yang terus merujuk kepada masalah asas rakyat akan mendapat sambutan orang ramai dan akan memaksa kelas pemerintah untuk menawarkan konsesi.   

Solusi politik Parlimen kepada krisis kesihatan, ekonomi dan sosial?

Walaupun masing-masing sedang mencari sebuah solusi kepada krisis-krisis yang dihadapi masyarakat, kedua-dua Bendera Putih dan Bendera Hitam sememangnya mempunyai batasan tertentu yang tidak menawarkan sebarang solusi jangka masa panjang. 

Anehnya, semua ahli-ahli politik yang berhujah bahawa mereka akan menyelesaikan semua isu yang dihadapi rakyat belum lagi mengeluarkan sebarang program ataupun tuntutan kebajikan bagi rakyat biasa yang sedang merana untuk hampir 2 tahun berturut-turut. BN, PH dan PN pada waktu ini masing-masing memberi alasan bahawa keadaan ekonomi dunia dan negara yang tidak sihat telah kononnya menghalang mereka daripada menunaikan janji mereka untuk mengembangkan kebajikan dan hak rakyat. Malangnya, di kalangan semua ahli politik, tidak ada seorang pun yang telah memberikan sebuah jalan keluar kepada krisis yang sedang dan bakal dihadapi dengan munasabah. Mereka hanya menaburkan janji-janji kosong, dan apabila mendapat kuasa atau posisi politik kelak, mereka akan sekali lagi memberi alasan untuk membelakangkan keperluan rakyat dan mengutamakan keperluan elit-elit kaya. 

Kita harus menyedari bahawa selagi ahli-ahli politik dan semua pertubuhan politik terus menjadi hamba kepada sistem ekonomi kapitalisme dan dikawal oleh ahli-ahli korporat kaya, kita tidak akan mendapat sebarang solusi kepada krisis yang dihadapi. Ini adalah kerana krisis ini sendiri berpunca daripada sistem kapitalisme yang hanya mengutamakan golongan kaya yang segelintir dan mengetepikan rakyat yang tertindas. Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kerakusan sistem kapitalisme dengan jelas. Apabila jutaan rakyat merana dan dihumban ke dalam kemiskinan yang teruk, kelas kapitalis kaya, pemilik saham besar dan ahli-ahli korporat elit telah berjaya meningkatkan kekayaan mereka. Menurut majalah Forbes, tahun lepas telah melihat peningkatan Bilionair yang terbesar dalam sejarah, termasuk 4 kemasukan baru dari Malaysia! 

Peranan Kelas Pekerja

Pada waktu-waktu seperti inilah peranan kelas pekerja di dalam masyarakat akan terserlah. Sejal awal pandemik ini, kelas pekerja telah mengambil tanggung jawab penuh dan sedang mengorbankan diri mereka demi kesejahteraan masyarakat. Pandemik ini juga telah mendedahkan bahawa kelas pekerja merupakan nadi utama yang sedang menggerakkan segala keperluan sosial dan ekonomi dunia. 

Oleh itu, kelas pekerja bukan sahaja mempunyai hak untuk bersuara menentang kondisi masyarakat yang sedang semakin merosot, malah mempunyai kuasa untuk memaksa pihak pemerintah untuk mendengar keluhan rakyat. Seluruh ekonomi, termasuk keuntungan para kapitalis dan kelangsungan politik elit ini adalah bergantung dengan restu kelas pekerja. Jika kelas pekerja dapat bersatu dalam angka yang banyak, sebuah kepimpinan kepada perjuangan rakyat biasa akan dapat dibentuk.

Malangnya, kepimpinan pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sedang mendiamkan diri didalam situasi ini dan sedang meminggirkan jutaan pekerja yang mengharapkan sebuah kepimpinan yang kukuh. Para kepimpinan pekerja ini sudah sebati dengan jentera kerajaan dan lebih mementingkan posisi masing-masing sehingga tidak mengendahkan nasib ahli-ahli mereka. Walaupun, kelas pekerja sudah mula meluahkan ketidakpuasan mereka melalui aksi-aksi seperti kempen Hartal Doktor Kontrak, piket pekerja Pos di Melaka, mogok pekerja J&T, kepimpinan MTUC masih membatu dan memilih untuk tidak memberikan kepimpinan. 

Perkara ini haruslah diubah oleh kelas pekerja sendiri. Dalam waktu pandemik yang berpanjangan, sifat para pemimpin pekerja sudah semakin terdedah. Oleh itu, kelas pekerja harus menekan kepimpinan mereka untuk menggerakkan perjuangan rakyat. Jika tidak, kepimpinan tersebut haruslah dianggap sebagai tidak layak untuk memimpin dan perlu gantikan dengan pemimpin yang benar-benar bersedia untuk berjuang.  

Sosialisme

Krisis pandemik yang sedang menjadi lebih teruk setiap hari akibat sistem kapitalisme yang rakus tidak boleh diselesaikan selagi sistem ekonomi itu sendiri diubah untuk memenuhi keperluan rakyat. Pada waktu ini, semua jentera ekonomi dan politik bergerak untuk memastikan bahawa kepentingan golongan elit kapitalis terjamin. Kita perlu menggantikan sistem ekonomi yang berat sebelah ini dengan sebuah sistem yang mengutamakan keperluan dan kebajikan orang ramai. Pada masa yang sama, kita juga memerlukan sebuah sistem politik yang terbuka kepada rakyat, memberi suara demokrasi kepada rakyat biasa dan memberi kawalan ekonomi kepada kelas pekerja biasa. 

Kempen-kempen seperti ‘Bendera Putih’, ‘Bendera Hitam’ dan sebagainya menunjukkan bahawa rakyat biasa sudah tidak boleh meneruskan kehidupan dengan keadaan yang sedia ada dan sedang mencari jalan keluar kepada krisis yang sedang dihadapi. Pada masa yang sama, kita juga melihat kelas pekerja yang juga mula terlibat dalam aksi-aksi industri seperti piket dan mogok untuk mengetengahkan masalah mereka di tempat kerja. Hartal Doktor Kontrak, sebuah gerakan oleh doktor kontrak kerajaan baru-baru ini juga mendapat sambutan hangat dan menjadi buah mulut rakyat. 

Gerakan-gerakan dan kempen kebajikan atau perjuangan seperti ini akan terus berkembang di Malaysia memandangkan situasi kesihatan, ekonomi, sosial dan politik semuanya sedang celaru dan penuh dengan ketidaktentuan. Rakyat yang memperjuangkan nasib masing-masing harus menyedari bahawa mereka tidak berseorangan dan haruslah berganding bahu dengan gerakan-gerakan yang bakal muncul untuk memperjuangkan hak mereka. Pada masa yang sama, kelas pekerja yang tersusun mahupun yang tidak, anak muda yang sedar dan rakyat biasa yang ingin mencari sebuah jalan keluar kepada krisis yang dihadapi haruslah menyatukan tenaga dan bina sebuah pertubuhan massa yang mampu menjadikan harapan mereka sebuah kenyataan. 

Kita tidak boleh cuba menyatukan semua rakyat dari berbilang latar belakang di bawah satu bendera ataupun sebuah simbol. Rakyat biasa hanya boleh disatukan di bawah sebuah program politik dan ekonomi yang kukuh. Program sosialisme yang menekankan kawalan kelas pekerja ke atas ekonomi, pengagihan kekayaan yang sama rata, pengurusan yang berdasarkan kehendak rakyat di tahap akar umbi dan perpaduan di antara rakyat tertindas merupakan satu-satunya program yang boleh mencabar sistem ekonomi kapitalisme yang sedang mencengkam kehidupan semua. Oleh itu, sebuah organisasi massa, yang dibina berdasarkan perjuangan di tempat kerja dan jalanan, perpaduan di kalangan rakyat dan program sosialisme yang menawarkan solusi kepada krisis kapitalisme adalah satu-satunya harapan kepada rakyat pada waktu ini.   

Sistem kapitalisme bukan sahaja sedang menghancurkan rakyat di negara ini, malah ia sedang gagal di seluruh dunia. Anak muda, kelas pekerja dan rakyat dari pelbagai latar belakang sedang bergelut dengan aparatus sistem kapitalisme yang sedang menindas mereka. Kita di Malaysia juga harus sedar bahawa kita tidak bersendirian dan merupakan sebahagian daripada masyarakat tertindas dunia yang juga sedang mencari sebuah penyelesaian kepada kondisi yang sangat tidak berperi kemanusiaan. Pada masa ini, kita harus menghubung kaitkan perjuangan kita dengan perjuangan kelas pekerja sedunia, dan membina sebuah solidariti internasionalis yang bertujuan untuk menggulingkan sistem kapitalisme dan membina masa depan demokratik sosialisme. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *