Kemenangan untuk konservatif sayap kanan mencerminkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.
Pilihanraya dewan rakyat ini mengambil tempat dalam situasi krisis sosial dan ekonomi yang amat teruk. Rakyat Venezuela sedang menghadapi kadar inflasi melebihi 100% dan taraf kehidupan yang merosot dengan gejala sosial semakin meningkat. Kemelesetan ekonomi ini disebabkan oleh beberapa faktor utama. Antaranya ialah kejatuhan harga komoditi mentah seperti minyak, kelembapan ekonomi China dan pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu di seluruh dunia termasuk Eropah dan Amerika Syarikat.
Dasar-dasar reformis kerajaan sayap kiri yang digelar sebagai ‘Chavismo’ selama ini tidak berjaya memerangi kuasa-kuasa korporat besar untuk membawa rakyat keluar dari kemiskinan. Sebahagian besar rakyat Venezuela masih terbelengu dengan masalah kemiskinan. Kuasa-kuasa korporat kapitalis telah menggunakan penguasaan mereka terhadap pasaran bebas untuk melancarkan ‘perang ekonomi terhadap kerajaan Chavismo dan berjaya melakukan pelbagai konspirasi atau sabotaj yang telah memberikan kesan buruk bagi ekonomi Venezuela.
Dalam konteks ini, kuasa-kuasa perwakilan politik kapitalis telah berjaya menyerang kerajaan kiri dan memenangi sokongan rakyat dalam pilihanraya. Pilihanraya ini telah menamatkan penguasaan parti kiri PSUV selama 17 tahun dan menandakan pengakhiran era kerajaan-kerajaan progresif yang berhaluan kiri di Latin Amerika. Pilihanraya di Argentina baru-baru ini melihat kemenangan bagi sayap kanan dan parti-parti kiri di Bolivia dan Ecuador juga sedang menghadapi kekalahan. Kepimpinan Dilma di Brazil pula sedang menghadapi krisis skandal rahsuah dan kemungkinan besar akan diheret ke mahkahmah tidak lama lagi.
Walaupun kebanyakan kerajaan kiri ini kurang radikal berbanding dengan Chavez dan Maduro, mereka masih menjadi harapan bagi sebahagian besar kelas pekerja dan rakyat miskin dalam menghadapi serangan dari golongan kapitalis Latin Amerika dan imperialisme barat. Kehilangan sokongan di kalangan rakyat biasa bagi parti-parti kiri ini menandakan kegagalan parti-parti tersebut untuk memainkan peranan mereka dan membawa perubahan yang nyata bagi rakyat. Keenganan untuk berpecah dengan sistem pasaran bebas dan melebarkan demokrasi telah mengakibatkan kehilangan sokongan majoriti yang telah dinikmati selama hampir dua dekad. Walaubagaimanapun, parti-parti kiri Latin Amerika masih mempunyai peluang untuk kembali ke jalan revolusi yang sudah dilupakan dan menang balik sokongan daripada kelas pekerja dan rakyat biasa.
Sayap kanan mendapat manfaat daripada keadaan krisis dan ketiadaan alternatif revolusioner.
Jenayah yang meningkat, kekurangan dana bagi pendidikan dan kesihatan, inflasi yang tinggi, kekurangan barang keperluan harian, dasar birokrasi yang tidak menentu oleh kerajaan Chavismo yang juga terperangkap dalam beberapa skandal rahsuah, semua ini telah menjadi platform utama bagi kuasa-kuasa sayap kanan untuk meraih kemenangan bersejarah ini.
Dalam analisa-analisa CWI yang lepas, kami telah menegaskan bahawa revolusi Bolivaria oleh Chavez dan Maduro sedang diancam oleh kekalahan akibat model ekonomi yang rapuh dan kerajaan birokratik yang mengekalkan sistem pasaran bebas kapitalisme. Dibawah kepimpinan Chavez dan Maduro, seluruh ekonomi Venezuela bergantung dengan pengeluaran minyak dan penjualan minyak di pasaran bebas. Kejatuhan harga minyak di pasaran bebas telah mendedahkan had-had reformasi sosial yang diamalkan selama ini.
Model ekonomi yang dikawal oleh birokrasi tentera – yang dikenali umum sebagai ‘boli-borjuasi’ – telah berjaya mengumpul kekayaan yang luar biasa bagi diri mereka sendiri selama dalam kekuasaan. Pada masa yang sama, ketiadaan demokrasi di dalam kerajaan dan ketiadaan organisasi kelas pekerja dan rakyat biasa yang bebas telah menyumbang kepada kemenangan parti sayap kanan MUD.
Parti sayap kanan menang tanpa sebarang program alternatif.
Parti sayap kanan mengambil strategi yang mudah untuk pilihanraya ini tanpa sebarang program alternatif. Mereka mengambil kesempatan dengan keadaan krisis ekonomi dan menggunakan media untuk melaungkan propaganda anti kerajaan. Dari segi program ekonomi, tidak ada perbezaan yang jelas di antara kedua-dua parti kiri dan kanan di Venezuela. Pilihanraya ini dilihat sebagai peluang bagi rakyat untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan kerajaan pemerintah dan tidak boleh ditafsir sebagai memberi sokongan kepada kuasa-kuasa sayap kanan.
Sayap kanan menang majoriti di parlimen.
Seramai 75% daripada pengundi yang berdaftar telah turun mengundi pada 6 Disember lalu. Ini merupakan angka yang tinggi berbanding dengan pilihanraya sebelum ini. Parti sayap kanan, MUD, telah berjaya mendapat 67% undi dan menempatkan majoriti 122 ahli parlimen. Kemenangan besar ini memberikan kawalan Dewan Rakyat kepada parti kanan yang berkuasa untuk melakarkan undang-undang baru. Kuasa ini juga boleh digunakan untuk melucutkan kekuasaan Maduro dari posisi Presiden negara. Chavismo dan PSUV mengalami kekalahan yang bersejarah dengan hanya 33 Ahli Parlimen atau 41% daripada Dewan Rakyat.
Perspektif.
Golongan sayap kanan sudahpun mula menggunakan kekalahan PSUV ini untuk menyerang idea-idea sosialisme. Para revolusioner dari semua aliran harus bersatu dalam mempertahankan serangan ideologi ini. Kekalahan ini bukan kekalahan bagi idea sosialisme tetapi ia merupakan kekalahan bagi golongan reformis yang cuma menggunakan nama sosialisme untuk memanjangkan pemerintahan mereka. Fenomena ini telah membuka ruang bagi kuasa-kuasa politik sayap kanan untuk merampas kuasa.
Walaubagaimanapun, pilihanraya ini bukanlah penyudahan bagi gerakan kiri di Venezuela dan di Latin Amerika. Polisi-polisi neo-liberal yang akan dibawa oleh kuasa politik sayap kanan akan mewujudkan krisis yang lebih dalam yang akan memberi kesan kepada jutaan rakyat biasa. Maduro sendiri boleh mengambil keputusan untuk menjadi lebih kuku besi dan mengukuhkan elemen-elemen diktator bagi memanjangkan pemerintahannya. Situasi-situasi baru akan wujud dimana gerakan rakyat dan kelas pekerja akan berkembang sekali lagi dan ini akan memberi peluang bagi organisasi-organisasi kiri untuk membina sebuah gerakan revolusi.
Organisasi kiri harus mengambil pengalaman ‘revolusi Bolivaria’ yang berpanjangan selama 17 tahun sebagai pengajaran bagi membina gerakan baru di masa hadapan. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh Chavismo seperti pengekalan penguasaan pasaran bebas ke atas ekonomi dan pengukuhan birokrasi kerajaan harus dielakkan. Sebuah gerakan berdasarkan perancangan ekonomi di bawah kawalan demokratik kelas pekerja dan rakyat biasa harus di bawa untuk memerangi kuasa-kuasa kanan dan imperialisme. Idea demokratik sosialisme yang jelas perlu bertapak di program setiap organisasi revolusioner bukan sahaja di Venezuela tetapi di seluruh benua Latin Amerika.