Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Kebelakangan ini, kes curi dalam kalangan rakyat biasa sudah semakin berleluasa dan sering mendapat liputan luas terutamanya di media-media sosial. Kes penganggur mencuri paket Milo, ibu tunggal mencuri barangan bayi, mahasiswa mencuri makanan dan pelbagai barangan asas daripada tin sardin ke tuala wanita telah menjadi tumpuan beberapa orang yang terdesak. Kebanyakan yang tertangkap mencuri barangan asas ini disabit kesalahan, didenda dan dipenjara tanpa belas kasihan.

Sememangnya tertera dengan jelas pada mana-mana undang-undang bahawa mencuri itu adalah satu kesalahan. Tetapi kita tidak boleh dengan membuta-tuli mengkategorikan segala jenis peristiwa kecurian sebagai satu jenayah tanpa melihat latar belakang peristiwa tersebut. Adakah ia adil untuk memenjarakan seorang ibu yang mencuri untuk mengisi perut anaknya akibat tekanan hidup dan kos sosial yang semakin meningkat? Jika kita hanya perlu mengikut apa yang tertera di buku undang-undang, kita tidak memerlukan seorang hakim untuk meneliti latar belakang dan memutuskan hukuman yang setimpal. Malangnya, di setiap kes sebegini, para hakim sering mempertahankan harta peribadi kapitalis kaya dan mengenepikan luahan si miskin yang tidak mempunyai pilihan lain selain mencuri.

Di belakang setiap kes kecurian tin sardin atau paket Milo, terselindung sebuah kisah sedih seorang mahasiswa atau ibu tunggal yang telah dipukul berkali-kali oleh tekanan ekonomi sehingga mereka sanggup mengambil risiko semata-mata untuk memenuhi keperluan asas mereka. Individu tersebut adalah mangsa sistem ekonomi yang sering mengeksploitasi mereka bagi kesenangan segelintir yang mengawal sistem tersebut.

Layanan yang diberikan kepada mereka-mereka yang tertuduh dalam kes curian barangan asas oleh pihak kehakiman jelas mendedahkan kesepakatan mereka dengan golongan yang mengawal sistem ekonomi kita. Walaupun terdapat beribu-ribu kes korupsi dan penyelewengan dana dalam kalangan penjawat tertinggi, CEO atau ahli politik, jarang-jarang sekali mereka disabit kesalahan dan diheret ke mahkamah. Walaupun mencuri harta bernilai berjuta-juta, seringkali penjenayah ini terlepas hukuman penjara atau diringankan oleh hakim-hakim mahkamah.

Sebagai contoh, beberapa bulan lalu, bekas Pengurus Besar syarikat Sime Darby telah disabit kesalahan dalam 5 kes rasuah yang membabitkan lebih 200 ribu Ringgit. Selepas melalui Mahkamah Rayuan, hukuman jutawan Zaki Othman dikurangkan kepada hanya 2 tahun bagi setiap kesalahan. Bandingkan keputusan kehakiman yang diberikan kepada S. Sellamah yang dipenjara sehari dan dikenakan denda RM200 bagi kesalahan mencuri sepaket Milo bagi anaknya yang berumur 2 tahun.

Bukan sekadar itu, setiap tahun laporan audit negara mendedahkan ketirisan dalam angka jutaan Ringgit dan pelbagai organisasi pemantau telah melaporkan penyelewengan dalam berbilion-bilion. Maklumat berlabel ‘Kertas Panama’ yang terbocor pada akhir tahun lalu juga mendedahkan nama-nama jutawan dan badan kerajaan sendiri yang sedang melakukan jenayah tidak membayar cukai dalam skala yang begitu besar. Pada masa yang sama, apabila rakyat biasa yang terpaksa mencuri akibat tekanan hidup pula ditangkap, didenda dan disebarkan dalam media massa sebagai pengajaran kepada yang lain.

Kita tidak sekali-sekala menggalakkan segala jenis kecurian, tetapi kita perlu mengkaji lebih dalam mengenai punca kejadian kecurian dalam kalangan rakyat biasa. Ahli politik, para korporat dan kapitalis jutawan yang kaya mencuri kerana ketamakan terhadap wang Ringgit dan kesannya terhadap masyarakat luas adalah berlipat ganda jika dibandingkan dengan rakyat biasa yang mencuri semata-mata untuk memenuhi keperluan asas. Akibat ketamakan segelintir jutawan, wang yang seharusnya digunakan untuk memberikan pertolongan bagi rakyat miskin seringkali masuk ke dalam kocek si kaya.

Di dalam situasi ekonomi semakin tenat, harga barang semakin naik, pengangguran sedang bertambah dan akses kepada pendidikan dan kesihatan semakin menyusut, tidaklah adil untuk menyalahkan rakyat biasa sepenuhnya bagi kesalahan-keslaahan kecil seperti mencuri barangan asas. Kelas kapitalis yang sedang mencuri berjuta-juta bagi memastikan kesinambungan sistem yang hanya berfungsi demi kebaikan mereka juga harus di tangkap, dihina dan dihukum dengan setimpal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *