Krisis pandemik Coronavirus telah mengheret sistem ekonomi kapitalisme dan masyarakat dunia ke arah satu era baru yang akan dipenuhi dengan pelbagai pergolakan massa. Di satu demi satu negara, apabila pandemik ini mula tersebar, segala kelemahan sistem kapitalisme sudah mula terdedah dengan sangat cepat. Bermula dari skandal rejim China yang pada awalnya telah cuba untuk merahsiakan berita penularan wabak ini ke masyarakat dunia, ke penderitaan rakyat di negara-negara seperti Italy, Spain, France, Iran dan sebagainya yang tidak mempunyai peralatan perubatan yang mencukupi untuk menghadapi pandemik ini, sifat ketamakan para penguasa sistem kapitalisme terdedah dengan sepenuhnya. Perkara ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat berserta dengan tanda tanya serius mengenai cara kita menguruskan masyarakat.
Kesan buruk daripada program-program penjimatan yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti UK, Spain, France dan sebagainya sedang dirasai oleh rakyat di sana apabila di timpa pula dengan krisis Coronavirus. Begitu juga dengan negara-negara miskin yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi dan kekurangan kemudahan perubatan atau infrastruktur awam yang mencukupi.
Selain daripada membawa malapetaka kesihatan kepada jutaan rakyat, pandemik ini juga telah mencetuskan sebuah kemelesetan ekonomi yang menunjukkan tanda-tanda kemerosotan ke arah sebuah krisis. Di China misalnya, KDNK mereka telah menyusut sebanyak 13% pada dua bulan pertama bagi tahun 2020. Dengan menyumbang sebanyak 14% daripada perdagangan global, penyusutan KDNK di China sahaja sudah cukup untuk mengheret ekonomi dunia ke arah kemelesetan yang teruk.
Tambahan pula, akibat terpaksa mengambil langkah-langkah untuk mengawal pergerakan rakyat bagi membendung penyebaran wabak ini di beberapa negara maju, dan dengan sebahagian besar daripada aktiviti produksi sedang tergendala, sebuah kemelesetan ekonomi sudahpun bermula di German, France, Italy, UK, USA dan Japan.
Melihat kepada perkembangan krisis ekonomi dan sosial yang sedang berlaku, ada kemungkinan yang besar bahawa krisis ini akan menjadi lebih teruk dan parah berbanding dengan krisis ekonomi yang berlaku pada 2007. Kadar pengangguran sedang menjunam naik di seluruh dunia dan kelas pekerja dan rakyat miskin akan menjadi mangsa yang paling teruk jika sebuah krisis ekonomi baru tercetus ekoran kemelesetan ekonomi global yang serius.
Para kapitalis sangat khuatir bahawa krisis ekonomi dalam situasi sekarang akan mengakibatkan sebuah kemurungan ekonomi global yang berpanjangan dan tidak boleh dipulihkan dalam jangka masa yang pendek. Sistem ekonomi kapitalisme sudahpun lemah dan sedang merosot walaupun sebelum ketibaan wabak Coronavirus yang sedang mempercepatkan keruntuhan sistem ini. Export dan perdagangan negara-negara pengeluar besar seperti China dan German sudahpun mula perlahan daripada tahun lepas lagi yang telah menyebabkan keruntuhan harga bagi pelbagai jenis komoditi asas dunia. Di Jepun misalnya, perbelanjaan isi rumah telah jatuh sebanyak 7% menjelang hujung tahun lepas.
Pakej-pakej perangsang ekonomi yang bernilai bertrilion-trilion USD selama lebih 10 tahun di seluruh dunia masih belum berjaya memulihkan ekonomi global ke tahap pertumbuhan sebelum krisis 2007.
Walaupun krisis 2007 tidak melumpuhkan sistem kapitalisme sepenuhnya, ia merupakan antara kemelesetan ekonomi yang paling panjang dalam sejarah kapitalisme. Ia boleh dibandingkan dengan ‘Kemelesetan panjang 1873-96’ yang telah disusuli dengan “Kemelesetan hebat 1929-39’. Kemelesetan tahun 1974 pula telah menghentikan perkembangan sistem kapitalisme dan membuka satu era baru yang penuh dengan pergolakan dan krisis. Hari ini, kelas pemerintah sedang menghadapi sebuah krisis ekonomi yang boleh berpanjangan dan mampu melemahkan kekuasaan mereka ke atas masyarakat. Mereka sedang memasuki sebuah krisis yang bersejarah tanpa sebarang kestabilan ekonomi mahupun politik.
Hutang dunia sudah melonjak ke 250 trillion USD. Jika semua hutang, termasuk pinjaman semua kerajaan dunia dihitung, ia adalah tiga kali ganda daripada kadar KDNK atau pengeluaran kasar dunia!
Ini bermakna, kesihatan sistem ekonomi kapitalis global, walaupun sebelum krisis coronavirus, sebenarnya sudah jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan tahun 2007 di mana krisis kewangan global telah tercetus. Kebanyakkan daripada hutang-hutang isi rumah rakyat yang telah mencetuskan krisis pada 2007 kini sudah dipindahkan kepada hutang-hutang korporat besar. Mengikut laporan pakar, terdapat peningkatan dalam syarikat-syarikat yang digelar sebagai ‘zombie’, iaitu syarikat yang tidak menjana sebarang keuntungan untuk membayar balik pinjaman mereka dan hanya bergantung dengan pinjaman-pinjaman daripada bank untuk terus beroperasi. Syarikat ‘zombie’ ini terdiri daripada 16% daripada syarikat pegangan awam di Amerika Syarikat dan 10% di Eropah.
Satu lagi ciri ekonomi pra krisis 2007 adalah kelonggaran yang diberikan kepada korporat dan syarikat gergasi untuk mengambil sebanyak mana hutang atau pinjaman bank yang diperlukan untuk memastikan nilai saham yang tinggi. Ini memberikan gambaran yang baik mengenai kesihatan ekonomi kapitalis dari permukaan. Hakikatnya, sebahagian besar daripada syarikat di Amerika yang dimiliki oleh firma ekuiti swasta mempunyai hutang bersamaan dengan enam kali ganda pendapatan tahunan mereka, ataupun dua kali ganda lebih daripada apa yang akan dianggap sebagai pelaburan ‘sampah’ (berisiko tinggi) oleh agensi penarafan syarikat.
Faktor-faktor ini dengan jelas mendedahkan bahawa ekonomi dunia sememangnya sudah menjunam ke arah sebuah krisis yang parah sebelum penyebaran pandemik Coronavirus.
Sistem kapitalisme sememangnya sudah berada di ambang sebuah krisis ekonomi yang baru. Ketibaan pandemik Coronavirus ini cuma menolak sistem ini lebih jauh ke arah krisis ekonomi tersebut. Sifat pandemik yang mengganggu produksi ini bermakna, untuk kali pertama dalam sejarah kapitalisme, kemelesetan ekonomi kali ini akan memberi kesan kepada kedua-dua pasaran ‘permintaan’ (demand) dan ‘pengeluaran’ (supply). Ia bukan sekadar krisis yang berpunca dari kekurangan permintaan, tetapi ia juga berpunca dari krisis bekalan, rantaian bekalan produk, industri pengeluaran dan pengedaran. Ini akan membawa kesan buruk kepada ekonomi, sosial dan politik pada skala global dan akan menjadi sebuah krisis yang menyentuh hampir semua sektor ekonomi kapitalis.
Pada waktu ini, selain China dan Korea Selatan, krisis Coronavirus sedang memberikan impak yang besar kepada negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat sambil menular ke kawasan-kawasan lain dengan cepat. Krisis yang berkembang dengan sangat cepat ini sedang memaksa kelas pemerintah di kebanyakan negara untuk menolak dasar Neo-liberal ekonomi kapitalisme dan bertukar ke aliran Keynesian dengan tergopoh-gopoh.
Satu demi satu, cuma dalam beberapa hari sahaja, suntikan dana bernilai bertrilion USD telah di masukkan ke dalam sektor-sektor awam bagi menyelamatkan sektor perniagaan swasta. ECB (bank pusat Eropah) mengumumkan suntikan dana sebanyak 750 bilion Euro, Macron (Presiden France) mengumumkan 345 bilion Euro manakala Johnson (Perdana Menteri UK) mengumumkan pakej bernilai 330 bilion Pound dalam seminggu selepas pengumuman belanjawan negara. Trump (Presiden AS) pula sedang dalam proses untuk meluluskan pakej perangsang bernilai 2 trilion USD yang merancang untuk menyalurkan sebanyak 2000 USD kepada setiap rakyat AS. Langkah ini sudahpun dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Hong Kong dan New Zealand.
Neo-liberalisme ditinggalkan
Menghadapi krisis dari skala yang belum pernah dilihat sebelum ini, semua dasar-dasar neo-liberal yang ingin mengurangkan penglibatan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi sedang ditolak dan peningkatan campur tangan kerajaan yang selari dengan pendekatan Keynesianisme sedang di angkat. Beberapa langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dunia pada waktu perang dunia pertama dan kedua sedang diulangi oleh banyak kerajaan dalam usaha untuk mengelakkan keruntuhan penuh sistem kapitalisme dan pemberontakkan sosial yang akan menyusulinya.
Kerajaan Italy telah memilik-negara syarikat penerbangan utama negara itu dan kerajaan Spain telah memilik-negara sektor kesihatan swasta mereka. Macron telah dipaksa untuk mengumumkan langkah milik-negara terhadap syarikat-syarikat swasta di France yang sedang runtuh satu demi satu. Walaupun masih berpegang kepada ‘prinsip ekonomi pasaran bebas’ dari segi retorik, kebanyakkan kerajaan-kerajaan dunia sedang dipaksa untuk melanggar aturan asas prinsip tersebut.
Kelas pemerintah meninggalkan semua prinsip untuk mengurangkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi dalam sekelip mata apabila dihadapi dengan sebuah krisis yang besar. Sepertimana pada zaman peperangan seperti perang dunia pertama dan kedua, kelas pemerintah bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan sistem ini daripada terkubur.
Ianya masih tidak jelas jika langkah-langkah tersebut akan mampu mengelakkan sebuah krisis ekonomi yang parah pada waktu ini. Dalam beberapa minggu ini, kerajaan dunia dan kelas pemerintah telah mendedahkan bahawa mereka sanggup untuk menggadaikan masa depan mereka semata-mata untuk mengelakkan sebuah krisis ekonomi pada waktu ini yang akan mewujudkan sebuah pergolakkan massa yang besar. Apabila krisis ini tersebar ke seluruh dunia, ia akan memberikan kesan yang lebih buruk di Asia, Afrika dan Amerika Selatan dan seterusnya akan memberi impak yang mendalam kepada ekonomi dunia.
Dalam contoh-contoh sejarah di mana sistem kapitalisme dihadapi dengan sebuah krisis hutang yang besar seperti sekarang, persaingan yang sengit dikalangan para kapitalis yang telahpun memonopoli sebahagian besar daripada ekonomi seringkali mengakibatkan perang-perang yang memusnahkan kehidupan jutaan rakyat biasa. Semua negara-negara kapitalis akan mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan diri sendiri tanpa mengambil peduli mengenai kehidupan kelas pekerja dan rakyat biasa. Walaubagaimanapun, pada hari ini, dengan kewujudan senjata nuklear yang akan membawa kepada kemusnahan bagi semua pihak yang terlibat, kelas pemerintah akan mengelakkan sebarang situasi yang boleh mewujudkan perang-perang dunia. Tetapi, peperangan serantau antara kuasa saingan, atau perang proksi, adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam masa krisis ini.
Langkah-langkah Keynesian yang dilancarkan oleh kelas pemerintah dunia bukanlah sesuatu yang dirancang melalui dasar-dasar tertentu ataupun disusun secara rapi oleh kelas kapitalis dunia. Ia juga tidak dilakukan atas asas dan kedudukan ekonomi yang kukuh. Langkah Keynesian yang diimplimentasi oleh negara seperti Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua telah berjaya membawa kestabilan kepada sistem kapitalisme yang mengalami perkembangan yang pesat dan kukuh pada waktu itu. Kehancuran peralatan dan prasarana produksi selepas perang dunia kedua telah mewujudkan pasaran pekerjaan yang banyak dan permintaan yang tinggi. Pada hari ini dengan krisis kekurangan permintaan untuk barangan, berserta dengan krisis pandemik yang menyekat pengeluaran, langkah Keynesian sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan masalah ini.
Krisis hari ini sedang berlaku di bawah keadaan politik antarabangsa yang sangat berbeza sekali. Kemerosotan kekuasaan imperialis AS, kemunculan China dan kuasa-kuasa lain, membawa makna bahawa tidak ada satu pihak dominan yang akan dapat menentukan dasar-dasar yang perlu dipatuhi. Kedudukan AS yang merosot dan kebangkitan kuasa-kuasa seperti China dan Rusia telah memulakan proses nyah-globalisasi dan pengembalian kepada dasar-dasar proteksionis atau nasionalis. Ini telah jelas terdedah dalam krisis ini apabila setiap kuasa kapitalis sedang mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan masing-masing.
Kapitalisme global terpaksa berhadapan dengan krisis ini dengan latar belakang perang perdagangan yang berkembang di antara AS dan China. Ia juga memasuki krisis dengan perbalahan antara dua pengeluar minyak terbesar – Rusia dan Arab Saudi – yang telah mengambil keputusan untuk menurunkan harga minyak mentah. Ini akan memberikan impak yang besar kepada negara-negara yang bergantung dengan pengeluaran minyak seperti Venezuela, Nigeria dan Malaysia.
Situasi ini pula ditambah buruk dengan kerenah-kerenah ahli-ahli politik sayap kanan seperti Trump, Johnson dan Bolsanaro yang sedang menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam cara mereka menangani krisis ini. Menggunakan retorik berbentuk rasisme Trump menggelar virus Coronavirus sebagai ‘virus Cina’, Johnson menafikan ujian untuk ribuan penjawat kesihatan awam dan Bolsanaro sama sekali menafikan bahawa terdapat sebarang ancaman serius yang boleh berpunca daripada pandemik ini. Modi di India juga telah mengambil pendekatan yang serupa pada awalnya.
Terdapat perbezaan yang ketara dengan cara pengendalian dan proses pembendungan wabak ini di antara negara-negara kapitalis barat dan China – sebuah ekonomi kapitalisme yang berdasarkan kepada pemilikan kerajaan yang besar atas ekonomi dan mewarisi beberapa ciri-ciri rejim Stalinis yang pernah wujud di China sebelum ini. Walaupun rejim ini telah cuba untuk merahsiakan berita wabak ini pada awalnya, mereka berjaya untuk mendirikan hospital-hospital kecemasan yang secukupnya dalam hanya 2 minggu dan berjaya mengerah kepakaran doktor dari seluruh negara ke tempat-tempat yang memerlukan mereka. Pada masa yang sama, kerajaan China juga telah memastikan bahawa rangkaian pengedaran makanan mereka dibekalkan sepenuhnya kepada rakyat dan tidak terputus. Di negara Cuba juga, walaupun di cekik dengan birokrasi dan dengan kemasukan sistem kapitalisme, kerajaan mereka masih berjaya mengawal jumlah kematian akibat virus ini dengan menggunakan ubat bernama Interferon Alpha 2B. Kerajaan Cuba kemudiannya telah menghantar doktor-doktor mereka ke Italy dan negara-negara lain untuk membantu mereka memerangi wabak ini.
Krisis pada waktu ini menandakan titik utama bagi masa depan kapitalisme dunia baik dari segi ekonomi, sosial ataupun hubungan geo-politik. Apa yang boleh dijangkakan adalah sebuah konfigurasi semula kuasa-kuasa dunia, berserta dengan pergolakkan kelas yang besar-besaran yang akan melibatkan elemen-elemen revolusi dan kontra-revolusi pada masa yang akan datang.
Sama seperti perang dunia pertama yang membuka sebuah era peningkatan kuasa imperialisme AS, krisis ini akan semakin menjejaskan kedudukannya di seluruh dunia. Sejauh mana ia akan melemahkan posisi AS, masih tidak jelas pada tahap ini. China juga sedang merosot dari segi ekonomi akibat krisis ini dan masih belum jelas bagaimana ia akan mencari sebuah jalan penyelesaian yang munasabah. Ketegangan dan konflik antarabangsa juga akan dipergiatkan. Keruntuhan kerjasama di antara kuasa-kuasa serantau dan integrasi ataupun sekutu-sekutu baru boleh berlaku. Di Eropah, kelas pemerintah sedang ketakutan bahawa huru-hara yang tercetus akibat krisis ini akan menghancurkan Kesatuan Eropah (EU). Oleh itu, ECB telah memutuskan untuk menyediakan suntikan dana yang banyak bagi menyelamatkan pertubuhan ini daripada terhakis.
Pada masa yang sama ketegangan nasional di kalangan negara-negara Eropah telah diperkukuhkan dan diperkuat. Ini tercermin apabila Italy merayu untuk bantuan perubatan segera dari negara-negara Eropah dan langsung tidak mendapat sebarang sambutan. Akhirnya negara-negara dari luar Eropah seperti Cuba, China dan Rusia telah menghantar bekalan perubatan, doktor dan bantuan-bantuan lain.
Dalam jangka masa yang pendek, ketakutan yang wujud akibat penyebaran wabak ini yang sangat cepat, rakyat biasa sedang dipengaruhi dengan retorik ‘perpaduan nasional’ yang mendorong mereka untuk berkorban demi kepentingan negara. Oleh itu, beberapa gerakan massa yang wujud di negara-negara seperti Chile, Perancis, Iran dan sebagainya telah terhenti untuk sementara waktu.
Kerajaan-kerajaan dunia akan mendapat kuasa-kuasa luar biasa dalam masa menangani kecemasan kesihatan ini. Deklarasi kecemasan di beberapa negara sudahpun melihat anggota tentera dan aparatus-aparatus keselamatan lain di jalanan dalam usaha untuk mengawal penularan wabak Coronavirus.
Langkah-langkah sedemikian telah diterima oleh masyarakat dunia sebagai satu keperluan pada waktu ini untuk melindungi kehidupan dan kesihatan sebanyak mungkin kelas pekerja dan rakyat biasa. Sosialis Alternatif menyokong semua langkah yang diambil untuk melindungi kehidupan dan kepentingan kelas pekerja dan keluarga mereka. Walau bagaimanapun, kami langsung tidak yakin bahawa kerajaan kapitalis akan menggunakan langkah-langkah kecemasan ini hanya untuk kebaikan para penduduk yang miskin. Sebaliknya, tumpuan utama mereka adalah untuk mempertahankan kepentingan kelas dan sistem kapitalis. Tambahan pula, pada tahap tertentu, pastinya kelas pekerja, kelas menengah dan rakyat biasa akan dipaksa untuk menanggung beban kos untuk membendung wabak Coronavirus. Ini akan mencetuskan pergolakan sosial yang lebih besar lagi.
Langkah-langkah yang tidak demokratik oleh kerajaan pada waktu kecemasan boleh dipergunakan oleh kelas kapitalis untuk menyerang organisasi-organisasi yang mewakili kepentingan kelas pekerja. Penangguhan pilihan raya, penyekatan terhadap pertubuhan-pertubuhan tertentu dan undang-undang yang kejam terhadap pekerja yang enggan berkerja boleh diperkenalkan.
Oleh itu, Sosialis Alternatif menuntut supaya wakil-wakil kelas pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja diberikan kuasa untuk memantau dan mengawal sebarang langkah-langkah kecemasan yang dilaksanakan oleh kerajaan secara demokratik. Adalah sangat penting untuk organisasi kelas pekerja dan kesatuan sekerja untuk mengambil sebuah posisi kelas yang bebas dari pengaruh kelas atasan sepanjang krisis ini. Sememangnya terdapat tekanan untuk menyerah pada retorik ‘perpaduan negara’ dan untuk melakukan kerjasama dengan kuasa-kuasa kapitalis dalam menyokong kerajaan mereka. Walaupun sensitif dengan suasana ini, Sosialis Alternatif menentang sebarang langkah oleh organisasi kiri dan kesatuan sekerja yang ingin menjalinkan kerjasama politik dengan kuasa-kuasa kelas kapitalis. Langkah ini akan mengakibatkan perpecahan yang tidak boleh dielakkan di kalangan organisasi-organisasi yang berteraskan pada perjuangan rakyat tertindas. Sebaliknya, gerakan kelas pekerja memerlukan sebuah ‘program aksi’ mereka sendiri sebagai langkah yang paling berkesan untuk menangani krisis ini.
Perpecahan kelas yang terdedah dan keperluan untuk membina sebuah Alternatif Sosialis
Perkembangan ini tidak bermakna bahawa perjuangan kelas telah berakhir. Sebaliknya, perpecahan kelas yang wujud dalam masyarakat sedang semakin terdedah. Polarisasi di antara kelas akan menjadi lebih mendalam dan pasti akan berkembang. Walaupun diselubungi perasaan takut dan gentar pada awalnya, antagonisme di antara kelas yang menjadi dasar kepada sistem kapitalisme sudah terdedah dan akan semakin terdedah apabila krisis ini bertambah parah.
Mogok pekerja yang berlaku di Italy dan Perancis, mogok pekerja Mercedes di Spain, mogok pekerja pembersih rumah sakit di London, aksi-aksi pekerja di AS dan sebagainya merupakan sedikit daripada gambaran bahawa krisis ini sedang semakin mendedahkan perpecahan kelas di dalam masyarakat.
Solidariti terhadap pekerja kesihatan dari seluruh dunia dan sebuah semangat perpaduan di kalangan semua rakyat tertindas sedang terbentuk di setiap pelosok dunia pada waktu krisis dan ‘lockdown’ ini. Seruan-seruan protes yang di laungkan dari halaman rumah masing-masing menentang kerajaan di Barcelona misalnya mendedahkan bahawa pada masa-masa krisis, unsur-unsur perjuangan kelas akan bangkit dan mendominasi pemikiran massa. Di Brazil misalnya, kegagalan Bolsanaro untuk menangani krisis ini dengan efektif telah mencetuskan antara protes rakyat yang paling besar terhadap kerajaannya.
Kesan politik krisis ini akan dirasai pada peringkat tertentu, apabila rakyat menjadi lebih sedar mengenai hakikat sistem ini dan mula mampersoalkan kesahihan sistem kapitalisme yang tidak membawa sebarang manfaat kepada kelas pekerja dan rakyat biasa. Perkara ini sudahpun mula berlaku di kalangan kelas pekerja yang sudah mula berasa sangsi dan kecewa dengan sistem kapitalisme dan hala tuju ekonomi pada waktu ini. Sekumpulan besar daripada kelas pekerja, kelas menengah dan golongan anak muda akan mencapai kesimpulan revolusioner yang akan berhujah demi sebuah sistem alternatif untuk menggantikan sistem kapitalisme.
Langkah-langkah Keynesian, walaupun akan meringankan sedikit beban kelas pekerja dan rakyat jelata untuk sementara waktu, akhirnya ia tidak akan berdaya untuk memenuhi semua tuntutan masyarakat tertindas. Di kebanyakkan negara dunia, rakyat miskin sudahpun tidak percaya terhadap kerajaan dan orang-orang kaya dalam masyarakat mereka.
Radikalisasi massa dan pergolakan yang dramatik yang berlangsung berikutan krisis ekonomi 1930 dan perang dunia kedua, yang membawa kepada sokongan besar-besaran bagi memilik negara produksi negara dan bagi perubahan sosialis, mengandungi pengajaran-pengajaran yang penting pada waktu ini.
Pada masa yang sama, krisis ini juga telah memberi ruang untuk perkembangan unsur-unsur rasisme di kalangan lapisan masyarakat yang tertentu dan telah menguatkan sokongan terhadap beberapa pertubuhan nasionalis. Ini boleh berlaku di negara-negara seperti di Poland dan Hungary di mana kerajaan-kerajaan sayap kanan boleh mempergunakan krisis ini untuk meningkatkan retorik rasisme dan menguatkan cengkaman mereka ke atas masyarakat.
Pengalaman krisis ini akan mewujudkan cabaran dan tanggung jawab baru bagi kelas pekerja dan organisasinya di peringkat antarabangsa. Keadaan sekarang semakin mendesak untuk pembinaan kesatuan-kesatuan sekerja bagi mempertahankan hak dan kepentingan semua pekerja dan mereka-mereka yang dieksploitasi di bawah sistem kapitalisme. Pada masa yang sama, kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas amat memerlukan sebuah parti massa yang demokratik dan sanggup berjuang menentang sistem kapitalisme demi sebuah alternatif sosialis yang akan mengangkat aspirasi dan keperluan rakyat jelata.
Perjuangan untuk hak kesihatan yang baik, sistem sanitasi, bekalan air minum dan isu kesihatan yang berkaitan telah memainkan peranan penting di banyak negara dalam pembinaan parti-parti massa kelas pekerja. Di Sri Lanka misalnya, bekas parti Trotskyist massa, Lanka Sama Samaja, telah berjaya membina sebuah organisasi massa yang bermula dengan perjuangan menentang wabak Malaria. Perjuangan ini mendedahkan kepada rakyat bahawa terdapat alternatif kepada keadaan yang sedia ada yang boleh dibina melalui perjuangan ke arah sistem sosialisme. Hari ini, krisis Coronavirus ini juga boleh membuka jalan kepada kelas pekerja untuk membina parti dan organisasi yang boleh mencabar kapitalisme di seluruh dunia dan membawa alternatif sosialis.