Pada 15 Ogos, kumpulan Taliban telah memasuki ibu kota Afghanistan, Kabul dan menyingkirkan kerajaan Ashraf Ghani yang disokong oleh Amerika Syarikat daripada kuasa. Ribuan penduduk Afghanistan telah berpusu-pusu ke lapangan terbang untuk cuba melarikan diri daripada situasi huru-hara di negara mereka. Setelah pemimpin kerajaan Ghani meninggalkan Afghanistan, militia Taliban telah mengambil alih istana presiden dan pengkalan-pengkalan yang dikosongkan oleh tentera dan polis Afghanistan. Kepimpinan Taliban juga memberikan arahan supaya ribuan tahanan penjara dari pangkalan udara Bagram untuk dibebaskan. 

Selepas berdekad-dekad lama di bawah kawalan kuasa imperialis AS yang telah memberikan sokongan kepada rejim-rejim yang berbeza, akhirnya ibu kota Kabul jatuh dengan mudah dan tanpa sebarang pertarungan. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Ghani dan pasukan Barat yang mengawal Afghanistan adalah sangat dibenci oleh rakyat yang telah hidup di dalam keadaan huru-hara untuk lebih 2 dekad. 

Sebenarnya, rakyat Afghanistan tidak mempunyai keinginan untuk kembali hidup di bawah kawalan Taliban. Tetapi, pihak Taliban telah mempergunakan kondisi rakyat yang sangat teruk untuk menarik sokongan mereka dan menghalau kerajaan lama yang dibenci. Pada masa yang sama, Taliban juga telah menjanjikan untuk mentadbir dengan adil, mengikut penetapan undang-undang dan menjamin keselamatan rakyat. 

Kejatuhan Kabul merupakan tamparan hebat kepada Amerika Syarikat dan kuasa NATO yang telah menyerang Afghanistan pada tahun 2001. Ini merupakan satu kegagalan yang memalukan bagi imperialisme barat. Propaganda imperialisme barat yang mengaku sangat berkuasa sehingga boleh membentuk sebuah negara mengikut kehendak mereka telah terkubur dan kelemahan mereka mula terdedah. Perancangan untuk ‘membina negara’ Afghanistan telah gagal dan pihak Taliban kembali berkuasa menjelang ulang tahun ke-20 serangan terorisme di bangunan Perdagangan Antarabangsa di New York pada September 2001. 

Selama berminggu-minggu, Taliban yang menawan wilayah Afghanistan tidak menghadapi sebarang tentangan yang serius. Tentera nasional Afghanistan tidak bersedia untuk berperang dan berkorban nyawa demi rejim Ghani yang sangat tidak popular dan menindas. Seperti semua institusi di bawah rejim boneka AS, tentera Afghanistan juga dipenuhi dengan gejala rahsuah dan korupsi. Kebanyakan masa, tentera Afghanistan berada dalam keadaan separuh lapar dan tidak mempunyai stok senjata dan peluru yang mencukupi.

Pertubuhan bersenjata lain, malah dari kalangan anti-Taliban juga tidak memberikan perlindungan kepada kerajaan Ghani yang dibenci dan ramai di antara mereka bersepakat dengan militia Taliban untuk menggulingkan kerajaan yang sedia ada. 

Ketakutan dan Keganasan di Kabul

Dengan ketibaan Taliban di Kabul, masyarakat di sana kini dicengkam dengan ketakutan dan kerisauan. Ketika Taliban memerintah Afghanistan dari 1996 ke 2001, mereka telah mempraktikkan undang-undang kuno dan memerintah secara kuku besi. Golongan wanita ditindas dan tidak dibenarkan untuk bekerja atau mendapatkan pendidikan, orang yang dituduh sebagai pencuri dipotong tangan dan acara pembunuhan banduan dengan melemparkan batu diadakan secara terbuka.

Dalam menjelang kemenangan mereka, Taliban telah cuba menggambarkan bahawa mereka akan melaksanakan pemerintahan yang sederhana. Salah seorang pemimpin kanan mereka, Mullah Baradar, menyatakan bahawa mereka sedang berbincang dengan “pemimpin Afghanistan yang lain” mengenai pembentukan sebuah “pemerintahan Islam yang terbuka dan inklusif”. Mullah Baradar dirakam mengakui bahawa “kita mencapai kemenangan yang tidak dijangka … sekarang, persoalannya adalah bagaimana kita boleh melindungi rakyat kita dan memastikan bahawa masa depan mereka terjamin dengan kehidupan yang bahagia”.

Sejauh mana ini merupakan sekadar propaganda ataupun hakiki, ia masih lagi terlalu awal untuk dikenalpasti. Ada pihak yang berpendapat bahawa Taliban akan terpaksa memberi gambaran yang lebih positif jika ingin mendapat sokongan daripada rakyat Afghanistan bagi mengukuhkan posisi politik mereka. Namun, rejim Taliban yang kononnya ‘moderat’ sekalipun, masih akan bersifat reaksioner dan akan menindas wanita dan rakyat miskin. 

Kemungkinan besar pihak Taliban akan mengelakkan pertembungan secara langsung dengan imperialisme barat sebelum mereka mengukuhkan pemerintahan mereka. Kemenangan mereka pada waktu ini tidak bermaksud Taliban mempunyai akar yang mendalam dan sokongan sejagat di seluruh negara. Afghanistan terdiri dari pelbagai kumpulan etnik dan suku, termasuk Tajik, Uzbekistan,Hazara, dan Pashtun. Dari kalangan semua etnik yang berbeza ini, Taliban hanya mendapat sokongan yang juga terhad dari kalangan Pashtun. Oleh itu, Taliban harus berusaha mencapai kesepakatan dengan kumpulan-kumpulan yang berbeza jika ingin terus berkuasa. Sekiranya mereka gagal dalam hala tuju ini, ruang akan terbuka untuk konflik-konflik baru atau satu lagi perang saudara, dengan kemungkinan negara itu berpecah.

Kemenangan Taliban juga akan memberikan motivasi baru kepada kumpulan-kumpulan militia ganas untuk terus mempergunakan label Islam jihad dan bangkit melancarkan serangan terorisme. Dari segi sejarah, Taliban juga sering berpihak dan menyokong Al-Qaeda. Namun, sama sekali tidak pasti bahawa Taliban akan sekali lagi membiarkan Afghanistan menjadi landasan bagi kumpulan pengganas untuk melakukan serangan terhadap musuh mereka. Taliban mungkin cuba mengekang atau menahan militia Islam jihad daripada menggunakan Afghanistan untuk merancang serangan yang boleh mengundang tindak balas dari tentera barat. Hubungan antara Taliban dan ISIS juga sudah tegang dan ianya tidak jelas sejauh mana kumpulan pengganas itu boleh berkembang di Afghanistan. Namun demikian, pemerintah barat sangat khuatir dan sedang menjangkakan lonjakan serangan teror domestik yang baru di negara masing-masing kerana kemenangan Taliban masih bertindak sebagai pendorong kepada pelbagai kumpulan pengganas di seluruh dunia.

Strategi Kuasa-kuasa Barat

Kuasa-kuasa barat sekarang sedang berebut-rebut untuk mencari modus operandi yang sesuai untuk berhubungan dengan penguasa baru di Kabul. Kuasa-kuasa Barat setakat ini tidak pernah segan silu untuk melaksanakan hubungan perdagangan dan politik dengan negara yang menindas rakyat mereka dengan teruk seperti rejim Arab Saudi. Sejak Trump membuat ‘kesepakatan’ dengan Taliban, dan Biden mengumumkan peninggalan semua pasukan AS dari Afghanistan menjelang 11 September, AS telah mendorong pihak-pihak berbeza untuk bekerja sama dengan Taliban termasuk di dalam sebuah perundingan damai di Doha. Jelas, kuasa barat tidak keberatan untuk berhubungan dengan rejim reaksioner, anti-wanita dan anti-pekerja, selagi ia tidak menghalang kepentingan perniagaan mereka di rantau Timur Tengah dan secara global.

Seruan “Perang menentang keganasan” merupakan sekadar dalih dari imperialis AS untuk menceroboh Afghanistan pada tahun 2001. Lebih-lebih lagi, Al Qaeda sendiri merupakan hasil intervensi AS yang memberikan senjata kepada pejuang Mujahidin untuk melawan pasukan Soviet Union di Afghanistan pada tahun 1980-an. Penjajahan Afghanistan oleh tentera imperialis Barat pada tahun 2001 merupakan sebahagian daripada usaha AS, dan ‘rakan gabungan’ lain seperti Britain, untuk meningkatkan pengaruh dan kawalan mereka di Asia Tengah.

Kesan yang Mendalam

Kemenangan Taliban akan memberi kesan yang besar di rantau ini. Dalam minggu-minggu yang akan datang, gelombang pelarian baru akan mula membanjiri negara-negara jiran dan akhirnya juga akan mempengaruhi jumlah kemasukan pelarian ke Eropah. 

Kemenangan Taliban merupakan berita baik untuk tentera dan perkhidmatan perisikan nasional Pakistan yang mempunyai hubungan rapat dengan Taliban. Selama beberapa dekad, Pakistan berfungsi sebagai pangkalan rahsia bagi pemimpin Taliban untuk beroperasi. Bagaimanapun, pemerintah Pakistan sekarang akan berhadapan dengan rejim yang tidak stabil dan tidak boleh diramal di persempadannya.

China dan Rusia akan gembira melihat kemunduran pasukan barat dari Afghanistan. Taliban telah memberi jaminan kepada negara-negara China dan Rusia bahawa kakitangan kedutaan mereka selamat di Kabul. Tetapi kedua-dua China dan Rusia juga akan khuatir bahawa Afghanistan yang dikawal oleh Taliban dapat bertindak sebagai dorongan untuk kebangkitan perjuangan minoriti Islam di negara mereka yang boleh menjurus kepada peningkatan serangan terorisme domestik oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Walaupun peristiwa di Kabul merupakan tamparan serius terhadap prestij dan pengaruh AS, imperialis NATO dan barat, kelas pekerja dan rakyat miskin Afghanistan dibiarkan dengan kesan dari pendudukan penjajah selama 2 dekad dan sekarang terpaksa kembali ke pangkuan Taliban. 

CWI berpendapat bahawa organisasi dan tindakan kendiri kelas pekerja yang bebas adalah mustahak di Afghanistan. Ini memerlukan pembangunan organisasi massa kelas pekerja dan orang miskin, dengan program untuk perubahan sosialis yang mendasar, yang memperjuangkan kekuasaan untuk mengakhiri mimpi buruk perang, pencerobohan, kemiskinan dan penindasan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *