Sejak pengumuman Presiden Jokowi untuk meluluskan Undang-undang Cipta Kerja atau lebih dikenali sebagai ‘Omnibus Laws’ pada Isnin 5 Oktober, kelas pekerja dan anak muda Indonesia telah bangkit dan sedang melancarkan sebuah bantahan besar-besaran di seluruh negara. Langkah kerajaan untuk meluluskan akta-akta yang akan menghakis hak pekerja disamping mengabaikan kesihatan alam sekitar ini telah meraih kemarahan dari jutaan rakyat Indonesia.

Seramai lebih 5000 mahasiswa daripada 300 institut pengajian tinggi telah mencetuskan protes ini dengan berhimpun dan berarak ke Istana Presiden sebagai simbol bantahan mereka terhadap perkenalan undang-undang baru itu. Berikutan, Gabungan Kesatuan Pekerja Indonesia (GSBI) juga mengesahkan sokongan mereka dengan gerakan ini apabila lebih 1 juta pekerja di bawah payung mereka telah meninggalkan kilang dan tempat kerja mereka untuk menyertai protes-protes yang sedang berkembang di seluruh Indonesia. Para pekerja dan anak muda dari Lampung, Bandung, Tangerang, Makassar, Yogyakarta, Surabaya, Palembang, Jakarta, Semarang, Cikarang, Papua Barat dan tempat-tempat lain telah turun ke jalan raya bagi mempertahankan hak mereka daripada ancaman kerajaan dan kelas majikan di Indonesia. Protes ini juga terus berkembang ke kawasan-kawasan lain pada minggu-minggu seterusnya sehingga ke hari ini. 

Keadaan ekonomi dan sosial yang semakin tenat

Omnibus Law ini telah pun dibentangkan di Parlimen sejak September tahun 2019 lagi dan ianya tidak berjaya diluluskan dengan mudah akibat bantahan yang kuat daripada anak muda dan mahasiswa yang telah berjuang menentang undang-undang tersebut. Malah 2 orang anak muda telah terbunuh dan ratusan lain telah cedera parah dalam pertempuran yang berlaku di antara anak muda dengan anggota keselamatan kerajaan. Peristiwa yang tragik itu tidak melemahkan semangat perjuangan anak muda dan kelas pekerja yang bertekad untuk menewaskan agenda kerajaan untuk menghakis hak mereka. ( rujuk artikel : Anak Muda Indonesia Bangkit Mempertahankan Demokrasi dan Melawan Korupsi )

Tetapi, Presiden Jokowi dan kabinetnya dalam kerajaan gabungan telah mempergunakan situasi kecemasan akibat pandemik Covid-19 untuk meluluskan Omnibus Law dengan tergesa-gesa. Dalam keadaan krisis kesihatan di mana lebih 12 ribu rakyat telah menjadi mangsa Covid19, pihak kerajaan Indonesia tidak menjangkakan bahawa akan berlaku sebuah bantahan besar-besaran di jalanan daripada rakyat. Tetapi, seperti yang disaksikan selama tiga minggu sekarang, walaupun dengan ancaman Covid-19, ia tidak berjaya melunturkan semangat juang kelas pekerja dan anak muda Indonesia. Seruan dan aksi mahasiswa untuk turun protes di jalanan telah disahut oleh jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang dicengkam oleh kondisi kehidupan yang semakin merosot.

Sama seperti pada September tahun lepas, pihak berkuasa Indonesia telah sekali lagi menggunakan kekerasan dan menindas kelas pekerja dan anak muda yang menyertai mogok atau protes. Demonstrasi-demonstrasi aman yang dianjurkan oleh rakyat biasa telah menjadi medan pertempuran dan kekecohan akibat tindakan pihak berkuasa yang menggunakan kekerasan yang keterlaluan. Selain itu, seramai lebih 10 000 kelas pekerja dan anak muda telah ditahan oleh pihak berkuasa dan ratusan yang lain telah dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan yang teruk.

Rakyat Indonesia yang sedang berhadapan dengan krisis Covid-19 yang paling teruk di rantau ini sedang menghadapi masa depan yang mengerikan. Jutaan pekerja formal dan informal telah kehilangan kerja dan ekonomi negara sedang menuju ke arah resesi yang lebih teruk berbanding krisis kewangan yang berlaku pada 1997. IMF yang meramalkan penyusutan pertumbuhan GDP Indonesia sebanyak 0.3% pada Jun lepas telah menukar ramalan mereka selepas menyaksikan kes jangkitan Covid-19 yang sudah meningkat sebanyak 340 ribu dan seramai 4 ribu rakyat sedang dijangkiti setiap hari. Kini IMF menjangkakan bahawa GDP Indonesia akan menyusut sebanyak 1.5%, iaitu 5 kali ganda ramalan awal mereka. Pada suku kedua tahun ini, GDP Indonesia telah menyusut sebanyak 5.32% dan kebanyakan pakar ekonomi sedang menganggarkan sebuah resesi yang tidak boleh dielakkan sebelum suku ketiga 2020.

Kegagalan kerajaan Jokowi

Jokowi yang muncul di arena politik Indonesia sebagai figura progresif dan harapan rakyat Indonesia telah mengecewakan majoriti daripada populasi setakat ini. Pemerintahan Jokowi telah hanya memberikan keutamaan terhadap para kapitalis kaya sehingga mengabaikan kehidupan jutaan rakyat miskin yang tidak merasa sebarang hasil produktiviti negara. Pengenalan Omnibus Law ini mencerminkan sifat Jokowi yang mesra pasaran bebas dan membolehkan para kapitalis untuk meningkatkan eksploitasi mereka terhadap alam sekitar dan rakyat Indonesia. (rujuk artikel Bahasa Inggeris : Indonesia: “New Hope” president faces intense pressures)

Walaupun membawa propaganda untuk memajukan ekonomi Indonesia, kemajuan ini langsung tidak meringankan beban ekonomi kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menghadapi kondisi kehidupan yang semakin merosot. Sebelum ketibaan pandemik Covid-19, Presiden Jokowi sudahpun menjadi kurang popular di kalangan rakyat miskin dan tidak mendapat majoriti yang besar dalam PRU lepas (rujuk artikel Bahasa Inggeris : Indonesia: Jokowi re-elected president as discontent deepens). Tetapi, selepas kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 dengan efektif, kemarahan rakyat tidak dapat dipendam lagi dan langkah kerajaan untuk meluluskan Omnibus Law yang menindas telah mencetuskan gerakan dan protes-protes massa di setiap pelosok negara.

Kerajaan gabungan Indonesia hanya memperuntukkan sebanyak 63.9 bilion Dolar Amerika sebagai bantuan dana kecemasan Covid-19. Jumlah tersebut adalah kurang daripada jumlah perbelanjaan negara-negara yang lebih kecil di rantau ini seperti Malaysia dan Singapura. Tambahan pula, setakat ini, hanya sebanyak 20% daripada bantuan tersebut telah berjaya disalurkan kepada rakyat akibat pelbagai masalah teknikal dan birokrasi. Infrastruktur kesihatan awam di Indonesia juga sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan peralatan kesihatan dan kakitangan perubatan bagi menangani kes-kes Covid-19 yang telah berganda dalam 6 minggu sahaja. Kekurangan PPE, pusat rawatan, katil ICU, kakitangan perubatan, peralatan kecemasan seperti ventilator dan sebagainya sedang menyebabkan keadaan huru-hara yang tidak menentu.

Walaupun Covid19 telah mengakibatkan sebanyak 4 juta kehilangan kerja yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan di Indonesia yang sudahpun berada pada lebih 10% sebelum dilanda pandemik, 15 orang terkaya di Indonesia telah berjaya meningkatkan kekayaan mereka dan disenaraikan dalam majalah Forbes, edisi ‘Real Time Billionaires’ (Bilionair Masa Ini). Fenomena ini mencerminkan pendirian kerajaan Indonesia yang hanya tertumpu untuk menjamin keuntungan para kapitalis kaya, walaupun pada waktu-waktu krisis di mana jutaan rakyat biasa memerlukan bantuan kecemasan dengan segera. Walaupun segala kekayaan yang dijana oleh para kapitalis datang daripada hasil bumi dan tenaga kerja jutaan rakyat tertindas, tetapi, kekayaan tersebut langsung tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan rakyat terbanyak. Pengenalan Omnibus Law merupakan langkah kerajaan untuk memelihara kehendak ahli-ahli korporat, pemilik syarikat besar dan para kapitalis yang tamak mengejar keuntungan peribadi apabila majoriti daripada populasi negara sedang merana.

Gerakan menentang Omnibus Law

Kali terakhir resesi ekonomi seperti ini melanda Indonesia, anak muda dan kelas pekerja telah bangkit dan menggulingkan diktator Suharto yang telah memerintah negara itu secara kuku besi selama lebih 3 dekad. Segala jenis hak demokrasi yang sedang dinikmati oleh rakyat Indonesia pada masa ini adalah hasil perjuangan yang mengalahkan rejim tentera Suharto pada 1998. Oleh itu, anak muda dan kelas pekerja di Indonesia mempunyai sejarah perjuangan dan kemenangan yang masih segar dalam pemikiran massa. Jutaan kelas pekerja yang mempunyai pertubuhan yang kukuh dan tersusun dalam kesatuan-kesatuan sekerja merupakan nadi utama yang boleh memimpin gerakan rakyat yang sedang berkembang.

Undang-undang Omnibus bukan sahaja akan memangsakan kelas pekerja dengan memberikan ruang kepada kelas majikan untuk meningkatkan eksploitasi terhadap pekerja, ia juga akan memberikan impak yang negatif terhadap majoriti daripada anak muda dan rakyat tertindas di Indonesia. Kanun tanah perladangan dan perlombongan di dalam akta tersebut akan memberikan kelonggaran kepada syarikat-syarikat swasta untuk menggondol hasil bumi dan merampas tanah daripada komuniti-komuniti setempat. Selain itu, akta ini juga akan memberikan kelebihan kepada pihak pemaju swasta dengan melonggarkan peraturan-peraturan yang melindungi alam sekitar. Oleh itu, buruh tani, golongan peladang dan aktivis alam semula jadi dan banyak lagi organisasi rakyat juga telah menyertai seruan rakyat untuk menghapuskan Undang-undang Omnibus dengan serta-merta. Tambahan pula, beberapa organisasi Islam juga telah menyahut seruan ini dan sedang menyusun aksi-aksi protes di kalangan anggota mereka untuk menyokong gerakan massa yang masih sedang berkembang.

Anak muda dan mahasiswa yang telah mencetuskan gerakan massa ini haruslah di puji dan semangat mereka haruslah dicontohi. Walaupun protes-protes bantah kerajaan dari kalangan anak muda sudah bermula di negara-negara lain seperti Thailand, di Indonesia, gerakan ini mendapat tenaga yang luar biasa daripada penyertaan daripada jutaan kelas pekerja yang melancarkan aksi mogok. Kepimpinan kelas pekerja yang merupakan pemimpin Kesatuan Sekerja telah dipaksa untuk memberikan sokongan terhadap gerakan ini hanya selepas sebahagian besar daripada pekerja telah turun ke jalanan. Perkara ini mendedahkan kelemahan kepimpinan Kesatuan Sekerja yang tidak proaktif untuk memimpin perjuangan rakyat sepertimana yang dikehendaki oleh majoriti daripada ahli mereka.

Dalam situasi pandemik Covid19 yang sedang parah, anak muda, kelas pekerja dan rakyat tertindas Indonesia sudahpun hilang harapan dengan semua kepimpinan ataupun parti-parti politik arus perdana yang sedang membentuk kerajaan waktu ini. Semua kerajaan yang mengambil alih kuasa setakat ini telah membuktikan bahawa mereka akan sentiasa mengutamakan kemahuan kelas majikan atau kapitalis kaya dan akan meminggirkan kepentingan majoriti daripada rakyat biasa. Oleh itu, rakyat Indonesia tidak mempunyai pilihan lain selain untuk membina sebuah kepimpinan politik yang bukan sahaja akan mengangkat perjuangan rakyat, malah akan mencabar kekuasaan para kapitalis bagi tujuan mendapatkan kebajikan untuk rakyat terbanyak.

Anak muda dan kelas pekerja di Indonesia haruslah menyeru kepada kepimpinan Kesatuan Sekerja untuk mengumumkan mogok umum dan menyusun semua pekerja dalam aksi-aksi perjuangan menentang Undang-undang Omnibus dan menuntut kebajikan dan kemudahan kesihatan yang secukupnya untuk rakyat biasa. Pada masa yang sama, gerakan ini juga harus menjadi kepimpinan politik yang demokratik dan berasaskan perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa. Jika pada waktu ini, semua organisasi anak muda, kelas pekerja, buruh tani, aktivis alam sekitar, pejuang kebebasan dan semua organisasi akar umbi rakyat dapat disatukan di bawah satu payung perjuangan, sebuah alternatif yang bermakna dapat dicapai untuk majoriti daripada rakyat tertindas.

Alternatif Sosialisme

Semenjak gerakan rakyat dalam Reformasi 1998 yang menjatuhkan diktator Suharto, kerajaan Indonesia telah diambil alih oleh ahli-ahli politik yang kononnya progresif, tetapi masih mempertahankan sistem kapitalisme yang hanya mementingkan segelintir golongan kapitalis yang kaya dan berkuasa. Oleh itu, walaupun pelbagai hak demokrasi telah dapat dimenangi di Indonesia jika dibandingkan dengan zaman diktator Suharto, kelas pekerja dan rakyat miskin masih belum melihat sebarang perubahan yang ketara dalam kehidupan mereka. Pada setiap tahun pilihan raya, berpuluh-puluh Parti politik bertanding untuk mendapatkan undi rakyat. Tetapi, akhirnya, apabila mendapat pangkat dan posisi di kerajaan, masing-masing melupakan segala janji mereka kepada rakyat dan terus berkhidmat untuk kesejahteraan kelas kapitalis kaya.

Kelas pekerja dan rakyat biasa di Indonesia memerlukan sebuah alternatif ekonomi yang akan mengutamakan aspirasi massa majoriti dan menentang agenda kapitalis korporat yang merupakan kurang daripada 1% daripada populasi negara. Sistem sosialisme meletakkan kuasa kepada kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menentukan hala tuju ekonomi termasuk pengagihan kekayaan dan polisi-polisi ekonomi yang adil dan menyebelahi rakyat biasa. Sebuah kerajaan yang dikawal dan di kendalikan oleh pertubuhan kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik merupakan impian sosialisme.

Perjuangan rakyat di Indonesia memerlukan satu hala tuju yang jelas yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi rakyat. Hanya dengan mengalahkan Omnibus Law dan mengekalkan struktur kerajaan dan ekonomi yang sama, semua masalah yang sama akan terus membelenggu masyarakat. Oleh itu, gerakan yang sedang berkembang haruslah dipimpin oleh sebuah perspektif untuk mengubah struktur politik dan ekonomi kapitalisme yang hanya berfungsi untuk para kapitalis, kepada struktur politik dan ekonomi sosialisme yang demokratik dan berteraskan kehendak majoriti rakyat.

Pertubuhan-pertubuhan anak muda dan kelas pekerja harus membina sebuah program yang membawa tuntutan-tuntutan progresif di bawah panji sosialisme dan membekalkan diri dengan perspektif untuk melawan aturan ekonomi pasaran bebas bagi menunaikan kehendak rakyat. Dengan tuntutan seperti gaji kehidupan dan hak berkesatuan untuk kelas pekerja, pendidikan percuma yang berkualiti untuk mahasiswa, hak pemilikan tanah dan pelindungan alam sekitar untuk petani dan rakyat, hak demokrasi, semua rakyat yang berjuang dapat disatukan di bawah satu perjuangan yang mantap. Tetapi, semua tuntutan ini dan aspirasi rakyat massa hanya boleh dicapai dengan mencabar sistem ekonomi dan politik kapitalisme yang sedang semakin lemah setiap hari dan menggantikannya dengan sosialisme yang sedang menjadi semakin relevan.

One Response

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *