[et_pb_section admin_label=”section”]
[et_pb_row admin_label=”row”]
[et_pb_column type=”4_4″][et_pb_text admin_label=”Text”]Tahun 2021 juga akhirnya berakhir dengan kehampaan bagi jutaan rakyat Malaysia yang belum melihat sebarang pemulihan dalam kehidupan mereka selepas bergelut dengan Pandemik Covid-19 selama 2 tahun. Hujah kerajaan bahawa vaksin merupakan satu-satunya solusi untuk menamatkan pandemik dan kembali ke kehidupan lama nampaknya tidak benar dan jangkitan Covid-19 masih membelenggu kehidupan rakyat. Janji kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara juga tidak tertunai dengan kadar inflasi yang naik di seluruh dunia dan menyekat perkembangan ekonomi. Jutaan rakyat sedang terkapai-kapai untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan mereka yang terkesan akibat kegawatan ekonomi dan kecemasan kesihatan yang berpanjangan.

Ekonomi

Pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan (lockdown) telah mendatangkan kerugian yang besar bagi majoriti daripada kelas pekerja dan rakyat biasa yang telah kehilangan mata pencarian, mengalami pemotongan gaji dari pihak majikan dan di beban dengan kos kehidupan yang melambung tinggi.

Sebahagian besar daripada rakyat biasa sememangnya sudahpun berada dalam keadaan yang miskin dan penuh dengan ketidaktentuan walaupun sebelum ketibaan pandemik ini. Industri pembuatan dan IT melihat penutupan operasi daripada syarikat-syarikat besar yang sedang mengalihkan modal mereka ke negara-negara yang mempunyai harga buruh yang lebih murah. Keadaan ini berterusan dan bertambah teruk pada waktu pandemik apabila ekonomi tempatan yang bergantung dengan pelaburan asing melihat kehilangan pelabur-pelabur besar kepada negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

Pada masa yang sama, berpuluh-puluh ribu perniagaan kecil juga telah ditutup pada waktu pandemik tanpa sebarang prospek untuk kembali membuka perniagaan. Ini juga menyumbang kepada kehilangan kerja bagi para pekerja yang bergantung dengan perniagaan kecil. Mengikut kajian pakar ekonomi, daripada lebih 1.2 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (SME), hampir 50% daripadanya sedang berhadapan dengan masalah hutang dan risiko muflis. Ini akan memberi kesan kepada lebih 7 juta orang pekerja yang sedang menggerakkan sektor ekonomi yang penting ini.

Kadar pengangguran negara juga sedang meningkat terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Perak, Sarawak dan Terengganu yang masing-masing mencatatkan hampir 5 % pengangguran. Kadar ini juga meningkat ke lebih 10% bagi anak muda. Ini merujuk kepada ratusan ribuan siswa dan siswi yang sedang menganggur selepas tamat pengajian di institut pengajian. Juga harus diteliti bahawa ini merupakan jangkaan dari jabatan kerajaan dan kadar pengangguran sebenar merupakan jauh lebih tinggi daripada yang dipamerkan.

Satu-satunya industri yang berkembang di Malaysia pada waktu ini merupakan industri logistik dan industri khidmat penghantaran. Oleh itu, jutaan kelas pekerja yang sebelum ini mempunyai kerja yang stabil, terpaksa beralih ke industri ‘gig’ dan menjadi pemandu di syarikat-syarikat seperti ‘Foodpanda’, ‘Grab’, ‘Lalamove’ dan sebagainya untuk mencari nafkah. Ini merupakan industri yang menggunakan aplikasi telefon pintar untuk menyusun tenaga kerja mereka dan oleh itu dapat melepaskan diri daripada penyeliaan undang-undang yang merangkumi hak-hak pekerja. Industri ini tidak membayar gaji minimum, tidak mencarum kepada KWSP dan SOCSO dan tidak menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat sepertimana yang dikehendaki oleh jabatan keselamatan pekerjaan (OSHA).

Pada masa yang sama, kelas majikan kaya sedang mempergunakan situasi peningkatan pengangguran untuk menekan dan menindas para pekerja dengan lebih teruk. Eksploitasi yang meningkat ini tercermin dengan peningkatan sebanyak 4 orang bilionair baru di kalangan usahawan Malaysia pada tahun 2021. Walaupun majoriti daripada kelas pekerja sedang berhadapan dengan pengangguran dan gaji yang menurun dalam waktu peningkatan inflasi, para jutawan dan kelas majikan Malaysia tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk meningkatkan keuntungan mereka.

Pihak kerajaan juga mencurahkan berbilion-bilion Ringgit dana awam kepada para jutawan yang segelintir supaya mereka dapat mengekalkan kekayaan mereka. Pakej-pakej perangsang ekonomi di sepanjang pandemik melihat sebahagian besar daripada peruntukan tersebut masuk ke kocek kelas majikan kaya dan rakyat biasa hanya mendapat saki baki yang sedikit. Walaupun pihak kerajaan berpeluang untuk menggunakan rizab awam tersebut untuk meningkatkan taraf hidup rakyat biasa dan untuk menguatkan infrastruktur awam seperti hospital dan institut pendidikan di samping mengukuhkan ekonomi tempatan, malangnya ia tidak berlaku. Sebaliknya, para kapitalis kaya seperti Tony Fernandez dari Air Asia (ditukar nama ke Capital A) telah diberikan dana bernilai berbilion-bilion, kononnya untuk menyelamatkan industri pelancongan daripada tenggelam. Tony Fernandez pula menerima dana tersebut dan terus memecat ribuan staf Air Asia dan pada waktu ini sedang melihat kepada industri-industri lain seperti logistik dan servis penghantaran untuk mengembangkan perniagaannya.

Pada masa yang sama, para kapitalis yang mendapat keuntungan yang luar biasa sepanjang pandemik seperti Top Glove pula tidak dikenakan sebarang cukai tambahan bagi keuntungan mereka. Syarikat Top Glove telah mencatatkan rekod profit sebanyak lebih 400% pada 2 tahun lepas dan hanya membayar cukai dengan kadar yang sama. Seharusnya, syarikat-syarikat seperti ini haruslah di kenakan cukai ‘durian runtuh’ bagi membantu rakyat memerangi pandemik Covid-19. Sebaliknya, Top Glove merupakan antara syarikat yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Malaysia kerana tidak menyediakan tempat tinggal yang berpandukan kepada penetapan kerajaan. Top Glove telah membayar RM1000 sahaja untuk segala kesalahan mereka yang melayan para pekerja migran seperti haiwan!

Politik

Krisis politik yang bermula pada awal Pandemik Covid-19 pada Februari 2020 sedang berpanjangan tanpa kesudahan. Malah kecamuk politik sedang bertambah teruk dengan melihat penukaran kerajaan-kerajaan negeri dan Perdana Menteri. Akhirnya Ismail Sabri Yaakub telah dipilih sebagai calon kompromi untuk menjadi PM menuju ke PRU ke 15 yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan ataupun hujung tahun 2022.

Barisan Nasional dan UMNO yang mengalami kekalahan untuk pertama kali di PRU lepas dilihat sudah berjaya merangkak balik ke tampuk kekuasaan dan memegang kuasa federal. Tetapi, parti itu sendiri sudah mengalami perubahan dan dipenuhi dengan faksi-faksi berbeza yang tidak sehaluan. Pengaruh kepimpinan UMNO lama seperti Najib dan Zahid Hamidi masih kuat di kalangan penyokong akar umbi parti. Oleh itu, kepimpinan UMNO lama ini tidak dapat disingkirkan daripada kuasa dan masih memegang birokrasi yang menetapkan hala tuju parti tersebut. Pada masa ini, UMNO sedang bermain politik untuk mengelakkan daripada ketua pembangkang Anwar Ibrahim daripada menjadi PM dan sedang mengatur strategi untuk menghadapi PRU depan.

Walaupun BN dan UMNO sedang bertambah yakin dengan kemenangan di PRK Melaka, tetapi skandal-skandal korupsi mereka yang terdedah di khalayak umum masih mendominasi memori rakyat, terutamanya dari pengundi dari Pantai Barat. Tambahan dengan perpecahan dalaman, ianya tidak jelas jika BN dapat mengekalkan kuasa mereka dan memulihkan sokongan rakyat di PRU 15 nanti.

Pakatan Harapan pula di hantui dengan perpecahan dalaman dan krisis politik yang telah melemahkan kedudukan politik mereka. Sejak digulingkan dari tampuk kekuasaan oleh PPBM yang diketuai oleh bekas PM Muhyiddin Yassin pada awal 2020, PH sedang kehilangan kuasa di peringkat federal dan negeri. Sebahagian daripada ahli mereka yang juga merupakan wakil-wakil rakyat telah berpecah dan memasuki pertubuhan-pertubuhan politik yang berbeza atau menubuhkan parti-parti yang baru. Juga keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka dan Sarawak baru-baru ini tidak menyebelahi PH dan terus melemahkan posisi politik mereka.

PH yang telah memerintah selama 2 tahun sejak 2018 sebenarnya telah menghampakan rakyat dengan tidak menunaikan janji-janji PRU mereka. Tambahan pula, PH juga mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan politik diri sendiri dan mengabaikan janji mereka untuk mereformasi sistem politik tempatan. Di bawah pengurusan ekonomi PH, sama dengan BN sebelum itu, hanya kelas kapitalis dan majikan kaya dapat meningkatkan keuntungan mereka dan rakyat biasa terus ditindas dan bertambah miskin. Ini merupakan aturan kapitalisme yang di dokong oleh BN, PH, PN dan semua serpihan politik berbeza yang wujud pada waktu ini.

Oleh itu, walaupun ada sebahagian daripada rakyat yang masih menaruh harapan kepada PH untuk membawa masyarakat keluar daripada krisis yang sedang dihadapi, pada masa yang sama, sebahagian besar daripada pengundi mereka sudahpun hilang kepercayaan dan tidak akan kembali menyokong PH. Oleh itu, sama seperti BN dan PN, PH juga tidak mempunyai sebarang jaminan untuk menawan kuasa federal melalui PRU yang akan datang. Situasi krisis politik yang tidak mempunyai madat yang jelas di Parlimen ini dijangka akan berterusan selagi ekonomi dan sosial tempatan tidak pulih dan terus merosot.

Pada masa yang sama, beberapa Parti-parti baru juga telah mula muncul daripada perpecahan yang berlaku di kalangan Parti-parti besar. Parti Bangsa Malaysia, Parti Kuasa Rakyat dan Parti Perkasa yang baru ditubuhkan dijangka akan cuba masuk ke dalam kerajaan Federal dengan melakukan kerjasama politik dengan UMNO dan BN. Manakala Parti Pejuang dan Parti Muda pula lebih cenderung untuk mempergunakan PH untuk mendapatkan kuasa. Walaupun begitu, dalam permainan politik yang tidak mempunyai peraturan, kita boleh menjangkakan pelbagai jenis formasi politik yang baru yang akan cuba mengaburi mata rakyat demi mendapatkan kuasa kerajaan dan pangkat politik.

Apa yang jelas, semua pertubuhan politik arus perdana yang wujud merupakan perwakilan kepada kelas kapitalis dan golongan elit kaya dan langsung tidak berupaya untuk meningkatkan taraf kehidupan bagi majoriti rakyat miskin. Tidak ada satu pun Parti yang bebas dari cengkaman golongan elit dan membawa program rakyat untuk diperjuangkan di dalam dan di luar Parlimen. Parti Sosialis Malaysia yang memanggil diri mereka sebagai Sosialis juga menjadi mangsa dalam percaturan politik ini dan terus menyokong PH di setiap pilihan raya yang diadakan tanpa memberi satu alternatif yang jelas kepada isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.

Beberapa perjuangan dan protes-protes di jalanan yang dipimpin oleh anak muda telah memberikan inspirasi dan boleh berkembang menjadi formasi politik alternatif yang mampu membawa perubahan. Tetapi, gerakan-gerakan seperti protes “Lawan” dan “Bendera Hitam” sebagainya masih didominasi oleh kepimpinan yang dikawal oleh pertubuhan PH. Kebanyakan gerakan ini tidak mempunyai kepimpinan yang jelas dan hanya membawa tuntutan-tuntutan yang terhad dan tidak dapat menarik sokongan massa.

Sosial

Kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang memerhati segala gelagat ahli-ahli politik yang sedang asyik dengan rebutan kuasa dan tidak mengendahkan nasib rakyat biasa sedang semakin kehilangan harapan dengan sistem dan ahli-ahli politik yang wujud. Walaupun nasib rakyat terumbang-ambing dengan krisis ekonomi dan sosial, pihak kerajaan dan para kapitalis sedang menggondol segala kekayaan awam dan meletakkan segala beban hutang negara di atas kepala rakyat biasa. Sehingga sekarang, tidak ada mana-mana pihak dari parti pemerintah ataupun pembangkang yang telah berjaya membawa sebuah program yang munasabah untuk memulihkan ekonomi dan sosial masyarakat yang sedang merosot.

Walaupun kritikan demi kritikan dilontarkan ke arah kerajaan dan ahli-ahli politik, terutamanya selepas tragedi banjir yang menutup tirai 2021 yang melihat kegagalan kerajaan untuk memberikan respon yang sewajarnya untuk membantu mangsa banjir tersebut, pihak kerajaan langsung tidak mengendahkan segala kritikan tersebut. Segala malapetaka yang ditimpa rakyat miskin semuanya dirujuk sebagai nasib malang dan salah alam sekitar dan bukannya kesalahan para pemerintah yang seharusnya mengambil tanggung jawab ke atas keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan sistem kesihatan awam yang langsung tidak bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan. Hospital-hospital awam yang sangat sedikit berbanding jumlah pesakit telah membawa kepada situasi kecemasan di mana banyak diantara institusi awam telah kehabisan katil untuk menerima pesakit. Ini merupakan kesan kepada pemotongan dana kesihatan awam oleh kerajaan selama berdekad-dekad lamanya yang tidak dapat menyediakan kesihatan yang baik kepada populasi yang meningkat. Pada waktu pandemik, walaupun hospital-hospital swasta yang mewah di dapati kosong, hospital kerajaan sedang dibanjiri dengan pesakit yang terpaksa duduk di kaki lima selama berjam-jam lamanya.

Pandemik ini juga telah memberi kesan kepada kesihatan mental bagi kelas pekerja dan rakyat biasa. Kes bunuh diri didapati telah meningkat sebanyak 143% pada tahun 2021 dan hospital-hospital sedang dibanjiri dengan rakyat yang sedang mengalami kemurungan dan tekanan hidup yang melampau. Kes-kes seperti ini dijangka akan terus meningkat selagi ekonomi dan sosial rakyat yang sedang merosot tidak dipulihkan dengan kadar yang segera.

Vaksin

Majoriti daripada rakyat dunia mengimpikan bahawa kehidupan mereka akan pulih dan bebas daripada virus Covid-19 pada akhir tahun 2021. Tetapi malangnya, keadaan ini belum pulih, dan vaksin yang diharapkan untuk menyelamatkan umat manusia telah setakat ini gagal untuk membebaskan kita daripada pandemik ini dengan sepenuhnya. Masa depan dan kesihatan rakyat juga masih kabur seperti tahun-tahun sebelum ini. Tetapi, pada masa yang sama, pengusaha farma gergasi dan pengeluar vaksin pula sedang mendapat keuntungan yang sangat lumayan dan sedang terus merancang untuk membekalkan vaksin bagi rakyat dunia setiap 6 bulan, tanpa mengambil kira keberkesanan vaksin ini bagi mutasi-mutasi virus yang baru.

Pada waktu ini, walaupun tidak ada kajian jangka masa panjang yang terperinci mengenai vaksin penggalak (booster) ataupun imunisasi melalui vaksin dos tambahan, rakyat biasa sedang ditekan untuk melalui prosedur kesihatan tersebut. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat jika adakah motif keuntungan syarikat-syarikat pengeluar vaksin menjadi pendorong utama untuk menekan populasi dunia untuk menerima vaksin secara berterusan setiap 6 bulan? Adakah kesan jangka masa panjang daripada vaksin ini sudahpun dikenal pasti?

Tambahan pula, kerajaan juga sedang menyediakan vaksin bagi kanak-kanak berumur 5 sehingga 11 tahun. Ini juga dilakukan tanpa sebarang kajian yang terperinci untuk  jangka masa panjang dan dilancarkan secara terburu-buru dan tanpa menghuraikan keperluannya dengan jelas. Ini juga sedang meningkatkan kerisauan ibu bapa yang mungkin tidak bersedia untuk meletakkan anak-anak mereka di bawah risiko kesihatan yang belum dikenal pasti dan tidak ingin dimangsakan semata-mata untuk melindungi keuntungan golongan elit.

Walaupun pihak kerajaan tidak mewajibkan penerimaan vaksin, tetapi, kelas majikan sedang menggunakan isu ini sebagai alasan untuk memecat dan menekan pekerja mereka. Walaupun tidak menjadi kewajiban dan vaksin sudahpun disahkan sebagai tidak akan menghalang penyebaran gejala Covid-19, pihak kerajaan masih meletakkan sekatan-sekatan tertentu kepada mereka yang menolak vaksin dan membuatkan kehidupan mereka lebih sukar. Ini merupakan penindasan di mana walaupun pihak kerajaan tidak ingin mengambil tanggung jawab untuk mewajibkan vaksin tersebut kepada semua, mereka masih menekan dan memaksa rakyat untuk menerima vaksin ini dengan meletakkan sekatan-sekatan tersebut.

Sistem kesihatan dan industri-industri berkaitan seharusnya di letakkan di bawah pengawasan dan kawalan demokratik kelas pekerja dan rakyat biasa supaya ketelusan kerja dan keselamatan rakyat boleh terjaga. Sebaliknya, sistem kesihatan kita di kawal oleh segelintir birokrat yang memegang semua maklumat dan kuasa untuk mengambil keputusan-keputusan yang akan memberikan kesan kepada jutaan rakyat. Tambahan pula Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin sendiri bukanlah seorang yang mempunyai kepakaran untuk melaksanakan tugasan berkaitan dengan kesihatan awam dan juga mempunyai pelbagai tuduhan korupsi yang mencurigakan. Di bawah kawalan BN yang sudahpun didedahkan sebagai parti yang korup dan dengan kadar keuntungan yang luar biasa yang diterima oleh pengeluar vaksin dan industri farma, ia adalah sangat munasabah bagi rakyat biasa untuk merasa sangsi dan menolak program imunisasi nasional dan kempen vaksin.

Walaupun pada waktu ini kebanyakan daripada rakyat sudahpun menerima 2 dos vaksin untuk lengkapkan program imunisasi, sambutan awam untuk dos penggalak dan untuk vaksinasi kanak-kanak sedang semakin berkurangan. Baru-baru ini, seramai 113 doktor dan pakar-pakar perubatan daripada pelbagai sektor telah menghantar sebuah surat terbuka kepada Kementerian Kesihatan untuk mengkaji kembali rancangan untuk meneruskan program imunisasi ini, terutamanya untuk kanak-kanak yang mempunyai risiko kematian Covid-19 yang sangat minimum, dan kesan sampingan vaksin yang tidak didedahkan kepada khalayak umum.  Mereka juga mempersoalkan konflik kepentingan (conflict of interest) bagi Majlis-majlis kerajaan yang mengawal pentadbiran dan distribusi vaksin ini.

Perjuangan rakyat

Suara bantahan dari kelas pekerja dan rakyat biasa terhadap penindasan dari kelas majikan kaya sudah mula didengari di beberapa tempat kerja dan kilang-kilang. Pekerja industri ‘gig’ seperti J&T dan Lazada misalnya telah melancarkan mogok untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka. Pada Julai lalu, para Doktor yang bekerja di bawah syarat kontrak di hospital-hospital kerajaan seluruh negara telah melancarkan aksi ‘hartal’ ataupun mogok separa untuk menyuarakan isu kondisi kerja dan syarat perkhidmatan mereka yang tidak adil.

Cetusan-cetusan bantahan dan mogok daripada kelas pekerja sedang terus berlaku secara sporadik dan belum mengambil bentuk yang lebih luas dan bersepadu dengan semua industri-industri yang berbeza. Ini adalah kerana kekurangan kepimpinan bagi kelas pekerja yang betul-betul bersedia untuk menyusun tenaga pekerja ke dalam satu gerakan yang mantap untuk memperjuangkan kebajikan bagi semua rakyat.

Kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mempunyai ratusan ribuan ahli hanya membisukan diri dan tidak membawa sebarang tuntutan ataupun program untuk membantu rakyat miskin yang sedang ditindas oleh kelas majikan kaya dan birokrasi kerajaan. Kebanyakan daripada kepimpinan Kesatuan Sekerja ini tidak mempunyai pengalaman dan semangat untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja melalui aksi mogok atau piket dan sering menyerah kepada ‘keharmonian perindustrian’. Mereka lebih selesa untuk membawa perjuangan pekerja ke arah rundingan dan kes mahkamah yang seringkali tidak menyebelahi kelas pekerja.

Namun, dengan krisis-krisis ekonomi dan politik yang berterusan, ianya tidak mustahil bagi kepimpinan baru yang lebih bersemangat juang untuk muncul dan mengambil alih untuk membina sebuah gerakan kelas pekerja yang bersepadu. Kelas pekerja, terutamanya dari kalangan anak muda sedang semakin marah dengan kepimpinan Kesatuan Sekerja yang sedia ada yang tidak mengangkat isu-isu yang penting bagi mereka.

Kelas pekerja yang merupakan lapisan masyarakat yang memegang kuasa produksi dan ekonomi tidak boleh berdiam diri dan membiarkan kepimpinan yang rakus untuk menghadkan perjuangan mereka. Mereka haruslah mencabar kepimpinan mereka yang sedia ada yang tidak peka dengan kehendak rakyat dan menggunakan pertubuhan mereka untuk memimpin perjuangan dan gerakan rakyat yang lebih besar.

Rakyat terbanyak yang tidak mempunyai sebarang pilihan politik yang benar-benar mewakili aspirasi mereka haruslah menolak pertubuhan-pertubuhan politik arus perdana dan mula membina kepimpinan politik yang bebas dan berasaskan oleh kepimpinan kelas pekerja dan rakyat massa. Kepimpinan tersebut haruslah berdasarkan kepada perjuangan, tuntutan dan program rakyat dan mempunyai perspektif yang jelas untuk melawan kekuasaan kelas kapitalis ke atas kehidupan kita.

Pada tahun-tahun yang akan datang, sistem kapitalisme yang rakus akan terus menelan nyawa dan tenaga rakyat untuk menjadikan segelintir daripada masyarakat kaya raya. Bukan sekadar itu, sistem ini juga akan menggadaikan kesihatan alam semula jadi yang akan membawa padah kepada umat manusia secara keseluruhan. Oleh itu, selagi sistem ini digulingkan dari kuasa dan digantikan dengan sistem ekonomi dan politik yang lebih demokratik dan mengutamakan kepentingan rakyat, masyarakat negara dan dunia tidak akan berjaya menjamin sebuah kesejahteraan kehidupan.

Kami membawa idea sosialisme untuk menggantikan sistem kapitalisme yang dianggap sebagai tidak berupaya untuk membawa masyarakat manusia ke arah kemajuan. Sedia ada, sistem kapitalisme sedang mengheret kita semua ke arah krisis ekonomi yang parah, krisis alam sekitar dan krisis kemanusiaan yang tidak terhingga. Oleh itu, kita memerlukan sebuah aturan ekonomi dan sosial yang meletakkan kesejahteraan manusia dan rakyat majoriti sebagai keutamaan dan bukanlah motif profit bagi segelintir elit.

Oleh itu kami menyeru kepada kelas pekerja, anak muda, rakyat akar umbi dan semua lapisan masyarakat yang sedar untuk segera menggabungkan tenaga dan mula membina sebuah kepimpinan politik yang kuat dan membawa alternatif sosialisme melalui program-program kebajikan rakyat yang akan dapat menyatukan semua rakyat tertindas dan memperjuangkan sebuah masa depan yang lebih adil.[/et_pb_text][/et_pb_column]
[/et_pb_row]
[/et_pb_section]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *