Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Bank Negara telah mengumumkan bahawa hutang isi rumah di Malaysia sudah mencapai 89.9 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) atau bernilai lebih 1 trillion ringgit. Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai hutang isi rumah yang tertinggi bukan sahaja di rantau Asia malah di seluruh dunia. Peratusan hutang isi rumah ini didapati telah berganda sejak tahun 2007 pada awal krisis ekonomi dunia.

Hutang isi rumah ditakrifkan sebagai jumlah hutang yang dimiliki oleh semua orang dewasa di negara ini kepada institusi-institusi kewangan. Ini termasuk hutang konsumer seperti kad kredit, hutang perumahan, hutang kenderaan dan juga termasuk pinjaman berbentuk gadai.

Sebahagian besar daripada perbelanjaan isi rumah adalah diperuntukkan bagi perumahan, pengangkutan dan makanan dan kadar inflasi yang menyebabkan peningkatan harga barang terutamanya makanan telah memberikan impak yang buruk bagi setiap isi rumah di negara ini. Tambahan pula, kerajaan sedang mengambil langkah-langkah penjimatan dengan memperkenalkan cukai GST, pencabutan subsidi barangan asas dan pembekuan pengambilan tenaga kerja. Serangan berganda dari kadar inflasi yang bertambah dan langkah penjimatan kerajaan sedang memaksa rakyat biasa terutamanya dari golongan kurang pendapatan untuk mengambil hutang bagi menjalankan kehidupan seharian.

Data-data mengenai isi rumah ini menunjukkan bahawa kebanyakkan daripada rakyat Malaysia amat terdedah kepada krisis dalam keluarga mereka akibat hutang yang tinggi. Ramai yang akan mendapati diri mereka dalam keadaan krisis jika berlaku sebarang kejutan kewangan yang boleh berpunca daripada kehilangan pekerjaan, kecederaan fizikal atau mental dan faktor-faktor lain.

Keadaan ekonomi juga memainkan peranan utama dalam kehidupan rakyat biasa yang sedang menanggung hutang. Pengurangan ekspot negara sedang memberikan impak yang negatif dalam ekonomi pembuatan dan kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah penjimatan yang amat tidak popular dikalangan rakyat biasa.

Situasi masa ini amat merisaukan memandangkan semakin banyak syarikat-syarikat besar terutamanya dari sektor pembuatan yang mengupah ramai pekerja bergaji rendah sedang menutup operasi dan berpindah ke negara lain untuk mengejar keuntungan. Beratus ribu pekerja kilang sedang menghadapi kehilangan kerja yang dicerminkan dalam peningkatan kadar hutang isi rumah negara.

Golongan berpendapatan rendah (pendapatan isi rumah kurang daripada RM 3000 sebulan) yang membentuk 40% daripada isi rumah Malaysia merupakan mangsa yang paling besar dalam keadaan ekonomi sekarang. Sebuah kajian mendedahkan bahawa hampir 50 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang simpanan dan tidak mampu menjalankan kehidupan selama 3 bulan jika mereka hilang mata pencarian. Semakin ramai pekerja juga terpaksa membuat dua atau tiga kerja bagi memastikan kesinambungan hidup keluarga mereka.

Kajian yang sama juga menunjukkan bagaimana sistem ekonomi memberikan kesan yang berbeza bagi kelas yang berbeza. Contohnya, golongan 20 peratus terkaya di Malaysia hanya perlu memperuntukkan 10 peratus daripada pendapatan mereka bagi perbelanjaan makanan manakala 40 peratus rakyat termiskin terpaksa menghabiskan lebih dari 30 peratus daripada pendapatan mereka untuk makanan. Walaupun golongan kaya menikmati makanan yang berkualiti tinggi dengan beban yang rendah, rakyat miskin terpaksa ikat perut dan menanggung beban yang tinggi.

Golongan kelas pekerja dan rakyat biasa akan semakin dimangsakan oleh golongan elit pemerintah yang bersekongkol dengan kelas majikan jika tidak ada sebarang penentangan bagi kondisi yang semakin teruk ini. Kondisi ekonomi dan krisis sosial yang dihadapi oleh rakyat biasa adalah disebabkan oleh ketamakkan segelintir elit yang mengawal dan mengaut keuntungan dari segala aspek hidup rakyat biasa. Sistem kapitalisme yang diamalkan oleh dunia sekarang sedang memiskinkan dan memangsakan semakin ramai rakyat yang bertungkus lumus menghasilkan segala kekayaan yang ada. Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa perlu membantah sistem yang hanya memihak kepada golongan kaya dan menuntut untuk pengawalan secara demokratik oleh rakyat biasa, kelas pekerja dan komuniti tempatan terhadap ekonomi negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *