Gerakan massa yang menentang boneka rejim Beijing di Hong Kong sedang berhadapan dengan penindasan yang teruk. Sepanjang 9 minggu yang lalu, kira-kira 600 orang ditahan dan lebih 40 orang daripada itu dituduh sebagai pencetus rusuhan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun.
Pada Sabtu (10 Ogos) protes-protes besar tercetus di seluruh bandar yang telah bertempur dengan pihak berkuasa. Beribu-ribu rakyat Hong Kong telah menduduki lapangan terbang antarabangsa selama 3 hari berturut-turut walaupun dengan kerajaan China sedang menekan syarikat Cathay Pacific untuk memecat semua juruterbang dan kakitangan pesawat yang menyokong dan menyertai protes tersebut.
Pada Ahad lepas (11 Ogos) beratus ribu rakyat telah berhimpun di Victoria Park bersama membawa payung yang simbol protes mereka. Protes-protes besar juga tercetus di kawasan industri yang diduduki oleh majoriti kelas pekerja seperti di Sham Sui Po dan North Point. Pertempuran yang berlaku di antara para demonstran dan pihak penguasa di ‘pusat kewangan Asia’ ini sudahpun menjadi sebuah norma kehidupan bagi jutaan rakyat Hong Kong. Tetapi ketegangan ini nampaknya menjadi semakin parah setiap hari berlalu.
Tuntutan awal rakyat merupakan untuk melawan draf undang-undang yang akan memberikan kuasa penuh kepada kerajaan China untuk mengarahkan mana-mana rakyat Hong Kong untuk dipindah ke China untuk menjalani perbicaraan dan dijatuhkan hukuman. Sekarang, selepas lebih dari 2 bulan berjuang, tuntutan rakyat telah berkembang ke arah menuntut demokrasi yang lebih telus dan bebas dari pengaruh atau kawalan kerajaan China.
Penempatan Kuasa Tentera di Sempadan
Salah seorang pegawai kanan Trump telah melaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat sedang memantau aktiviti tentera China di sepadan Hong Kong yang sedang meningkat. China pula telah mengadakan sebuah sidang media yang telah mendeklarasi bahawa sebuah situasi yang berbahaya sedang berkembang di Hong Kong dan pihak kerajaan China sedang bersiap-sedia menghadapi situasi tersebut. Salah seorang jurucakap Beijing, Yang Guan mengesahkan bahawa ini merupakan krisis yang terburuk yang dihadapi oleh mereka semenjak penyerahan Hong Kong dari kawalan Britain ke China pada tahun 1997.
Tentera China mempunyai 6,000 kakitangan yang ditempatkan di Hong Kong dan komander mereka, Mayor Jeneral Chen Daoxiang telah memberikan sokongan penuh terhadap tindakan polis Hong Kong yang sedang menindas rakyat yang melibatkan diri dalam protes tersebut. Chen mendakwa bahawa protes yang disertai oleh 25% daripada populasi Hong Kong ini adalah hasil agitasi dan komplot oleh pihak kerajaan Taiwan dan Amerika Syarikat.
Pada waktu ini, majoriti daripada penduduk Hong Kong, termasuk golongan pemilik syarikat-syarikat besar sedang membantah campur tangan tentera China yang akan menimbulkan keadaan yang huru hara. Golongan kelas majikan elit yang telah membuat keuntungan mereka melalui situasi ‘2 sistem satu negara’ di Hong Kong khuatir bahawa penglibatan tentera China akan memberi kesan buruk kepada perniagaan dan keuntungan mereka.
Bagaimana Konflik ini Berkembang
Selama lebih 9 minggu sekarang, seramai 2 juta rakyat Hong Kong telah terlibat dalam aksi protes, okupasi dan mogok gergasi yang disokong padu oleh majoriti rakyat. Tindak balas yang ganas oleh pihak polis dan penguasa tidak berjaya mencegah protes ini daripada berkembang dan hanya meningkatkan kadar penyertaan rakyat ke dalam protes tersebut.
Pada 21 Julai lepas, pihak berkuasa kerajaan dan polis yang berkerjasama dengan kumpulan-kumpulan pengganas yang menggelar diri mereka sebagai pasukan ‘baju putih’ telah menyerang rakyat biasa dengan ganas di kawasan Yuen Long. Pada minggu berikutnya, seramai 30 ribu rakyat tidak mengendahkan sekatan polis untuk berhimpun dan telah berarak di jalan raya Yuen Long sebagai tanda solidariti dengan rakyat yang diganasi oleh kumpulan kongsi gelap tersebut. Mereka telah bertempur dengan pihak polis untuk berjam-jam lamanya bagi mempertahankan diri mereka.
Di tempat-tempat lain, pelbagai jenis alat pertahanan telah digunakan secara kreatif untuk menghadapi serangan pihak berkuasa. Telur, payung, kon jalan dan banyak lagi objek yang mudah diperolehi digunakan untuk menggagalkan semua usaha pihak polis untuk meleraikan himpunan tersebut. Pihak polis pula telah menyerang para demonstran dengan semburan lada (pepper spray), peluru getah dan gas pemedih mata. Juga terdapat beberapa laporan bahawa pihak polis telah mengacukan dan menembak senjata mereka ke arah rakyat yang sedang protes menggunakan peluru hidup. Seperti yang dijangkakan, pihak kerajaan menafikan perkara ini bulat-bulat di dalam media massa.
Pada 2 Ogos lalu, pihak polis telah menyerbu sebuah bangunan di Sha Tin dan merampas beberapa objek yang digelar sebagai ‘senjata’ yang digunakan ke atas pihak polis. Seramai 8 orang ditahan dalam serbuan itu termasuk Andy Chan, salah seorang pengasas Parti Kebangsaan yang telah diharamkan oleh kerajaan Hong Kong atas arahan daripada China. Sejurusnya, beratus orang yang terdiri daripada majoriti anak muda telah mengelilingi balai polis tempatan dan menuntut supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta-merta.
Pada 4 Ogos lalu, para demonstran melancarkan ‘flash mob’ di 7 buah daerah sebagai taktik untuk mengelirukan pihak polis dan melemahkan pertahan mereka di Pejabat Perhubungan China yang menjadi sasaran utama untuk melancarkan protes. Pada petang yang sama, sebuah terowong berdekatan dengan pelabuhan telah di sekat dan sebuah balai polis di Kwun Tung telah diserang dengan batu bata.
Pekerja
Minggu lalu, protes ini mencapai tahap baru, dengan penyertaan ribuan para pekerja dalam aksi-aksi mogok yang berbeza yang memuncak pada 5 Ogos di dalam mogok umum.
Walaupun begitu, penglibatan kepimpinan Kesatuan Sekerja dalam aksi mogok ini tidak jelas. Gabungan Kesatuan Sekerja Hong Kong yang mempunyai lebih 60 cawangan telah gagal untuk menggunakan posisi mereka di dalam dewan perundangan kerajaan (LegCo) untuk mengembangkan perjuangan ini dengan nyata. Pada masa yang sama, terdapat juga Kesatuan Sekerja yang berpihak kepada kerajaan China yang tidak berani untuk bergerak menentang rejim tersebut dalam apa cara sekalipun.
Walau bagaimanapun, puluhan ribu pekerja Hong Kong telah melancarkan aksi mogok di tempat kerja pada hari-hari yang berbeza di sepanjang minggu lepas. Pekerja dari sektor-sektor berbeza telah mengambil inisiatif sendiri untuk memanggil mogok tersebut bagi melafazkan aspirasi mereka dalam perjuangan yang sedang berkembang di jalanan. Pada 2 Ogos lalu, berpuluh ribu penjawat awam tidak mengendahkan larangan kerajaan yang mengharamkan sebarang tindakan industri dan melancarkan mogok untuk membantah rejim Ketua Menteri Carrie Lam yang sedang meraih kemarahan rakyat. Manakala, Carrie Lam pula sedang bersembunyi selama 2 minggu dan tidak tampil ke khalayak umum bagi memberi sebarang keterangan.
Mogok umum pada Isnin lalu menyaksikan para pekerja dari setiap lapisan masyarakat melancarkan aksi industri yang membantutkan ekonomi negara. Pekerja bank, pekerja pengiklanan, buruh binaan dan pekerja kedai semuanya telah mengambil bahagian secara meluas. “ Saya tidak pernah lihat protes dan kemarahan rakyat ke atas kerajaan dalam skala ini “, kata seorang pekerja teater.
Salah seorang aktivis pro-demokrasi yang terkenal Joshua Wong, mengulas kepada pemberita : “ Pekerja Hong Kong yang dikatakan sebagai pro-perniagaan telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kapasiti untuk melancarkan bantahan dan memilih untuk tidak berkerja jika ditekan.. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan hak kami”.
Carrie Lam yang telah menghadiri perayaan PLA ( tentera China ), akhirnya keluar memberikan keterangan akhbar, mengulangi kata-kata bosnya di Beijing bahawa protes ini sedang ‘mengancam kedaulatan China’ dan akan terpaksa di hentikan dengan apa cara sekalipun.
Dua hari selepas itu, beratus-ratus peguam telah turun ke jalan raya sambil melancarkan protes damai untuk membantah layanan buruk yang dilakukan oleh rejim Hong Kong terhadap para demonstran. Mereka menuntut supaya dewan perundangan Hong Kong melindungi kebebasan jabatan perhakiman dan tidak dicemari oleh campur tangan oleh kerajaan China.
Konfrontasi
Komplot pihak polis dengan geng kongsi gelap yang digelar sebagai ‘Blue Ribbon Volunteers’ dan ‘baju putih’ yang menyerang penumpang tren di Yuen Long telah menimbulkan kemarahan dan tindak balas dari rakyat. Carrie Lam pula enggan untuk menyifatkan apa yang berlaku sebagai sebuah ‘rusuhan’ bagi mengelakkan daripada sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang terlibat dalam menyerang rakyat biasa.
Begitu juga dengan serangan ganas oleh pihak polis ke atas para demonstran di Sha Tin pada 14 Julai lalu yang menyebabkan kecederaan yang parah kepada puluhan rakyat biasa yang melancarkan protes aman. Pegawai polis juga telah mengacukan senjata api yang mengandungi peluru hidup terhadap rakyat yang berkumpul di luar balai polis Kwai Chung. Ramai di antara para demonstran telah di masukkan ke hospital akibat kecederaan selepas ditembak oleh gas pemedih mata dan peluru getah.
Dalam suasana sekarang, sebarang kematian kepada pejuang demokrasi Hong Kong akan mencetuskan tindak balas yang besar dari kalangan rakyat dan polis Hong Kong terpaksa berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara tersebut. Tetapi ia tidak mencegah mereka untuk teruskan penindasan mereka secara ganas. Pada waktu-waktu begini, rakyat perlu mendekati aksi protes yang lebih tersusun seperti melancarkan mogok-mogok gergasi di tempat kerja di seluruh Hong Kong. Walaupun kepimpinan gerakan ini mengutuk dengan lantang retorik dan tindakan pihak kerajaan Hong Kong, masih lagi sebuah perspektif dan hala tuju yang jelas belum dipersembahkan kepada rakyat.
Sebuah parti yang dapat mengungkapkan perasaan jutaan rakyat yang sedang berdemonstrasi untuk melawan penindasan melalui alternatif kepada sistem kapitalisme di seluruh Hong Kong dan China belum lagi terbentuk. Berita mengenai pergolakan rakyat di Hong Kong sedang ditapis dengan tergesa-gesa oleh media massa di China. Tetapi, pekerja dan anak muda di China yang juga menghadapi penindasan di bawah rejim kapitalis China sedang mendahagakan berita-berita perjuangan dari seberang. Suara perjuangan akan berkembang dan peranan sosialis juga akan berkembang sejajar dengan itu.
Gerakan Rakyat
Laungan “ Revolusi zaman ini “ didengari di luar bilik mahkamah semasa perbicaraan para demonstran sedang berlangsung. Ada juga laungan berbunyi “ Bebaskan Hong Kong “. Apakah jenis revolusi yang dikehendaki oleh rakyat? Pembebasan dari cengkaman diktator China tetapi dikuasai pula oleh golongan kaya elit dan sistem kapitalisme yang menindas? Ada di kalangan rakyat yang berjuang yang mempunyai ilusi terhadap zaman di bawah penjajahan British. Tetapi realitinya, rakyat Hong Kong tidak pernah mengalami kebebasan di bawah kedua-dua rejim China mahupun penjajah British.
Gerakan yang sedang berkembang ini merangkumi pelbagai jenis lapisan masyarakat dan pandangan politik. Orang ramai yang ditangkap oleh kerajaan dan polis datang dari lapisan berbeza. Guru, juruterbang, jururawat, juruteknik, buruh binaan, tukang masak, pemilik kedai kecil dan ramai lagi ditangkap dan sedang menghadapi masa depan yang kabur. Antaranya adalah anak muda dan mahasiswa sekolah. Seorang anak muda yang hanya berusia 13 tahun kini sedang berada di penjara.
Antara pejuang-pejuang yang paling komited merupakan anak muda dan golongan mahasiswa. Mereka bukan sahaja berjuang demi kebebasan politik Hong Kong, tetapi juga memperjuangkan masa depan mereka, peluang pekerjaan, perumahan yang mencukupi, alam sekitar yang lestari dan peruntukan sosial yang adil dan mencukupi. Bagi mereka, hak-hak ini akan membawa makna yang besar daripada sekadar membebaskan Hong Kong dari cengkaman China. Mereka sedang berjuang untuk masa depan yang tidak mampu dijamin bukan sahaja oleh rejim kuku besi China, malah oleh syarikat-syarikat multi-nasional dan para jutawan kaya yang hanya tertumpu untuk mengeksploitasi tenaga kerja rakyat untuk tujuan memaksimumkan keuntungan peribadi segelintir.
China dan Sosialisme
Walaupun rejim Xi Jin Peng China sesekali melafazkan ide sosialisme di situ dan sini, tetapi mereka sebenarnya membantah sebarang ide tersebut di dalam praktik. Mereka telah berjaya menubuhkan sejenis sistem kapitalisme yang di kawal oleh kerajaan negara yang melanggar segala nilai sosialis dan demokrasi. Semenjak 1949, sejak mengusir kuasa imperialisme dan penjajahan kapitalis dunia di China, pihak pemerintah telah bergilir-gilir mengeksploitasi jutaan rakyat biasa, petani dan kelas pekerja bagi tujuan menambah kekayaan bagi segelintir. Pendekatan asal Mao Zedong yang meniru modal Stalinisme dengan mengawal ekonomi secara birokratik dan tanpa demokrasi telah memberi laluan kepada penindasan rakyat oleh lapisan ‘pemimpin’ Parti Komunis yang menggelar diri mereka sebagai pejuang rakyat. Segelintir ‘pemimpin’ ini telah berjaya mengumpul kekayaan yang lumayan dan kini berada di kalangan jutawan terkaya dunia.
Penentangan terhadap rejim China tersebut kadang-kadang didukung oleh Kesatuan Sekerja yang berada di bawah kawalan kerajaan itu sendiri. Beberapa kali, penentangan yang berjaya, malah mogok-mogok industri pernah dilancarkan oleh mereka dengan menggunakan ruang-ruang terhad yang wujud di media sosial dengan kreatif. Perkara ini dilakukan walaupun dengan penindasan dan penapisan media sosial yang sangat teruk oleh rejim China. Beratus ribu para pekerja dan aktivis telah ditahan oleh pihak berkuasa hanya kerana melafazkan ketidakpuasan hati mereka di media sosial.
Disamping penentangan dari kelas pekerja di dalam negara, hubungan antarabangsa yang semakin goyah dan ekonomi kapitalis dunia yang semakin tidak stabil bermakna perjuangan hebat di Hong Kong menentang rejim merupakan sesuatu yang berbahaya dan boleh menggugat rejim China. Disebabkan oleh kebencian yang terpendam, kebangkitan rakyat Hong Kong mampu merebak ke seluruh China, termasuk di beberapa kawasan jajahan rejim tersebut.
Ini merupakan perkara yang sangat serius bagi rejim Xi Jin Ping yang tidak akan teragak-agak untuk meningkatkan penindasan terhadap para demonstran di Hong Kong dengan menggunakan kuasa tentera mereka. Sebuah peristiwa berdarah yang mempunyai persamaan dengan perjuangan Tiananmen hampir 30 tahun lalu boleh berulang kembali.
Perspektif
Jika tentera China PLA dimasukkan ke dalam Hong Kong untuk menjatuhkan perjuangan rakyat disana, adalah sangat mustahak bagi rakyat Hong Kong untuk menyeru kepada para pekerja atau petani yang memakai seragam askar untuk bertindak tadah terhadap kelas penindas dan mengalihkan sokongan kepada rakyat biasa yang berjuang. Inilah yang terjadi apabila kereta kebal pertama di hantar oleh rejim Stalinis ke Hungary pada tahun 1956. Tetapi ini juga akan memerlukan kepimpinan dari kelas pekerja yang tersusun sebagai kuasa utama yang mampu menjalinkan hubungan perjuangan dengan bahagian-bahagian masyarakat yang berjuang, termasuk anak muda yang radikal.
Seorang pengulas telah menggambarkan keadaan di Hong Kong sebagai “Krisis politik yang semakin mendalam akibat penindasan yang berterusan oleh pihak berkuasa”. Tempoh dan kesan gerakan ini amat mengagumkan. Walau bagaimanapun, pertempuran yang panjang, tanpa program dan perspektif yang jelas untuk perjuangan, boleh mengakibatkan kelesuan di kalangan rakyat yang terlibat. Apa yang diperlukan sekarang adalah strategi yang jelas dengan taktik dan tujuan yang mampu membawa perjuangan ini menjangkaui tuntutan jangka masa pendek dan menuju ke arah perubahan yang boleh menjamin aspirasi rakyat.
Semakin lama perjuangan ini berlanjutan, ianya menjadi semakin penting untuk mengatur pertahanan yang kukuh menentang asakan dari pihak kerajaan. Tugas yang paling penting adalah untuk sambung mengatur aksi-aksi mogok yang boleh mewujudkan keyakinan di kalangan kelas pekerja untuk memimpin gerakan ini ke matlamat akhir. Para pemimpin Kesatuan Sekerja harus di tekan untuk melancarkan mogok umum demi mogok umum sehinggalah ia melumpuhkan kebolehan rejim ini untuk melawan semula. Kelas pekerja harus berhimpun di tempat kerja dan mengadakan pemilihan wakil pejuang mereka secara demokratik dan membantah sebarang cubaan dari ‘pemimpin’ yang birokratik dan bertujuan untuk menghadkan gerakan ini.
Kelas pemerintah di dalam Hong Kong sudahpun menjadi lemah dan mula bertelingkah antara satu sama lain. Sepanjang 9 minggu lalu, kelas pemerintah telah mula berpecah dalam membawa solusi kepada pergolakan rakyat yang sedang berkembang. Terdapat beberapa laporan yang mendakwa bahawa pihak polis juga sudah tidak sepakat dan sedang berpecah di kalangan mereka. Ada daripada mereka yang sudah menjadi pasif dan malah menghulurkan sokongan kepada rakyat yang berjuang. Lapisan kelas menengah dan remaja, dan sekarang kelas pekerja juga telah menunjukkan keinginan yang luar biasa untuk bertarung walaupun tanpa sebuah hala tuju yang jelas.
Adalah menjadi tugas utama sosialis untuk menyalurkan perjuangan yang belum sedar ini ke arah perjuangan yang mampu mengubah struktur kelas di dalam masyarakat – di Hong Kong dan mahupun di China.