Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun menandakan perjuangan wanita dalam mempertahankan hak dan kebajikan mereka yang bermula lebih 110 tahun dahulu dan masih berpanjangan sehingga ke hari ini. Walaupun golongan wanita zaman ini sedang menikmati hak-hak yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini, penindasan terhadap wanita masih lagi menjadi isu yang besar, terutamanya di negara-negara yang kurang maju ataupun sedang membangun seperti Malaysia. Malah, golongan wanita dari negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terlepas daripada ditindas teruk, dilayan secara tidak setara dengan lelaki, dan mengalami pelbagai ancaman dalam kehidupan mereka.
Apatah lagi bagi jutaan kelas pekerja wanita yang tidak mempunyai kebebasan ekonomi untuk melepaskan diri daripada kondisi kehidupan yang sukar dan penuh dengan onak dan duri. Wanita kelas pekerja bukan sekadar membanting tulang untuk mencari nafkah untuk diri dan keluarga, malah mereka juga dibebankan dengan kerja-kerja menjaga anak, menguruskan rumah, memasak, menunaikan kebajikan kepada warga tua dan banyak lagi tugasan tambahan. Jutaan wanita kelas pekerja mendapati diri mereka bukan sahaja dieksploitasi di tempat kerja oleh pihak majikan, malah juga dieksploitasi di rumah oleh para suami.
Pelbagai kajian dan statistik mendedahkan bahawa pekerja wanita menerima bayaran gaji yang lebih rendah berbanding pekerja lelaki yang menjalankan kerja yang sama di hampir setiap industri. Tambahan pula, pekerja wanita juga sering menghadapi diskriminasi gender dan gangguan seksual di tempat kerja tana perlindungan yang sewajarnya. Walaupun kes-kes gangguan seksual di tempat kerja sedang meningkat, jarang sekali kita mendapat berita berkenaan pihak majikan yang disabit kesalahan ataupun dihukum untuk perbuatan keji mereka.
Kelas majikan kaya juga melihat wanita sebagai golongan yang senang untuk dieksploitasi. Akibat kekurangan perlindungan dan hak bagi pekerja wanita, mereka seringkali dilihat sebagai tenaga kerja yang lebih senang untuk ditindas berbanding golongan lelaki. Oleh itu, kelas majikan sangat gemar untuk mengambil pekerja wanita untuk bekerja dan memberikan gaji yang kurang sambil memeras kerja yang lebih. Tetapi, apabila golongan wanita ini hamil dan sedang menanggung satu lagi beban, mereka akan dihentikan secara tiba-tiba, tanpa sebarang pampasan dan penghargaan bagi tenaga yang dicurahkan selama ini demi keuntungan syarikat.
Kesan pandemik Covid-19 dan PKP kepada wanita
Pada tahun lepas dan tahun ini, para wanita telah dilanda dengan satu lagi dugaan dalam bentuk pandemik Covid-19 yang telah memusnahkan jutaan kehidupan rakyat miskin. Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang mendalam kepada semua kelas pekerja dan rakyat biasa, terutamanya kepada golongan wanita yang sudahpun berada dalam keadaan yang tersepit sebelum ini.
Mengikut laporan beberapa NGO wanita di Malaysia, aduan berkenaan keganasan domestik sudah meningkat lebih 3 kali ganda pada waktu ‘lockdown’ ataupun perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berbanding sebelumnya. Bukan sahaja itu, malah jumlah laporan berkenaan keganasan terhadap kanak-kanak kecil juga dilihat semakin bertambah. Pakar-pakar sosiologi wanita telah menegaskan bahawa dalam situasi kehidupan yang sedang semakin merosot dan penuh dengan ketidaktentuan, golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak mempunyai perlindungan akan sering menjadi mangsa keganasan domestik dan mereka terperangkap dalam kehidupan yang penuh dengan ketakutan.
Kelas pekerja wanita merupakan sebahagian besar daripada pekerja barisan hadapan yang ditugaskan untuk menguruskan penyebaran pandemik Covid-19. Hampir 70 ke 80% daripada pekerja kesihatan, pekerja pembersihan, pekerja sosial dan pekerja perkhidmatan kesihatan adalah para wanita. Dengan penyebaran pandemik ini, wanita di sektor-sektor ini sedang dibebankan dengan kerja yang berat, risiko kesihatan yang tinggi dan tekanan kerja yang melampau.
Kelas pekerja wanita juga merupakan majoriti daripada pekerja yang menggerakkan sektor-sektor yang mendapat kesan akibat pandemik Covid-19 seperti peruncitan, perhotelan, perawatan dan pekerjaan domestik. Oleh itu, majoriti daripada para pekerja yang kehilangan kerja pada waktu PKP dan Covid ini merupakan golongan wanita.
Situasi ekonomi yang semakin merosot sedang memberikan impak yang besar kepada kehidupan jutaan wanita miskin yang tertindas. Dengan peningkatan beban kerja, kehilangan nafkah hidup dan ancaman keganasan, para wanita sedang mendapati diri mereka dalam situasi yang tidak menawarkan sebarang jalan keluar daripada neraka ini. Pada masa yang sama, pihak kerajaan dan ahli-ahli politik yang sedang khusyuk untuk merebut kuasa politik dan kekayaan, sedang meminggirkan rakyat biasa yang sedang terkapai-kapai menuntut bantuan.
Kerajaan dan ahli politik tidak melindungi hak kelas pekerja dan wanita
Bukan sahaja kerajaan PN yang berkuasa pada hari ini, malah semua pertubuhan politik yang menaburkan segala janji-janji manis untuk kelas pekerja dan golongan wanita tertindas telah hanya membawa kekecewaan. Malah, kerajaan PH yang mendapat sokongan rakyat dan mengambil alih kuasa selama 2 tahun juga telah gagal untuk membawa sebarang perubahan kepada rakyat biasa sambil mendedahkan wajah sebenar mereka yang tidak jauh berbeza dengan kerajaan BN yang korup.
Kedua-dua koalisi politik pemerintah dan pembangkang merupakan hanya sekadar orang suruhan kepada para kapitalis dan kelas majikan kaya. Mereka hanya berusaha untuk menjaga kebajikan golongan yang kaya raya sambil mengabaikan jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin yang mengundi mereka ke tampuk kekuasaan. Inilah yang mengakibatkan kepada penindasan yang berterusan yang dialami oleh kelas pekerja, terutamanya golongan wanita. Walaupun kerajaan demi kerajaan baru bersilih ganti, hanya kelas kapitalis kaya sahaja yang meningkatkan kekayaan mereka setiap tahun, manakala kelas pekerja menjadi semakin miskin.
Keadaan ini juga tidak berubah pada waktu pandemik yang melihat jutaan kehidupan sedang hancur setiap hari. Pihak majikan kaya yang mengaut keuntungan yang lumayan hasil usaha kelas pekerja sehingga ke hari ini langsung tidak teragak-agak untuk menutup operasi dan memotong pekerjaan jutaan pekerja apabila terpaksa menanggung sedikit kerugian. Bagaimana pula dengan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh jutaan kelas pekerja yang kehilangan kerja?
Pihak kerajaan juga didapati tidak menghalang kelakuan rakus syarikat-syarikat swasta ini dan mencurahkan lagi kebajikan dan batuan kepada mereka. Sebahagian besar daripada rizab awam yang digunakan sebagai dana membanteras Covid telah disalurkan kepada syarikat-syarikat swasta yang besar bagi menampung kerugian segelintir orang-orang kaya dan pemegang saham elit. Rakyat biasa pula diarahkan untuk menggunakan wang simpanan hari tua mereka sendiri bagi menampung krisis ekonomi yang sedang berkembang dengan pesat.
Peranan wanita dalam perjuangan kelas
Golongan wanita yang merupakan separuh daripada tenaga kerja yang menggerakkan ekonomi dan membangun negara. Oleh itu, mereka mempunyai kuasa sosial yang besar dalam bentuk tanggung jawab dan tugasan mereka untuk menguruskan keperluan masyarakat. Pandemik Covid-19 telah mendedahkan dengan jelas kepada semua bahawa kelas pekerja, terutamanya yang digolongkan sebagai ‘essential workers’ (tugasan penting), merupakan nadi utama yang membekalkan segalanya yang diperlukan oleh mana-mana masyarakat. Tanpa jutaan pekerja kesihatan, pekerja pembersihan, pekerja penghantaran barangan dan makanan, pekerja barisan hadapan dan sebagainya, segala urusan ekonomi dan sosial negara akan terbantut dengan begitu sahaja.
Covid-19 mendedahkan bagaimana kelas pekerja yang mengambil risiko dan sanggup berkorban demi melaksanakan tanggung jawab mereka, merupakan penggerak utama ekonomi dan merupakan kepimpinan kepada semua rakyat tertindas. Para CEO dan kelas majikan kaya pula di dapati hanya tertumpu untuk membuat keuntungan, tidak menawarkan sebarang bantuan dan mengambil kesempatan ini untuk memerah kebajikan daripada dana awam rakyat. Pihak kerajaan juga mendedahkan wajah mereka sebagai pak turut kepada kelas kapitalis kaya, tidak mengendahkan nasib rakyat biasa dan hanya ingin menjamin kedudukan politik bagi diri sendiri.
Hari Wanita Sedunia mengingatkan kita terhadap perjuangan kelas pekerja dan rakyat tertindas wanita, dan peranan yang dimainkan oleh pejuang-pejuang wanita dalam membawa perubahan yang bermakna kepada jutaan rakyat tertindas. Kelas pekerja wanita merupakan kepimpinan dan pencetus gerakan-gerakan massa yang telah mencorak sejarah perjuangan kelas pekerja untuk lebih 100 tahun. Wanita kelas pekerja merupakan pencetus kepada Revolusi Russia yang bukan sahaja menamatkan pemerintahan Tsar (kuasa feudal- kapitalis) tetapi juga membawa kepada peningkatan hak bagi kelas pekerja wanita dan lelaki. Hasil Revolusi tersebut, Soviet Russia telah menjadi negara pertama yang memberikan hak untuk mengundi bagi wanita dan menegaskan hak kesaksamaan bagi wanita di dalam perlembagaan.
Apabila negara-negara yang lebih maju di Eropah sedang mengamalkan penindasan terhadap wanita pada waktu itu, perjuangan kelas pekerja dan golongan wanita di negara yang mundur seperti di Russia pada 1917 telah menjadi pencetus kepada gerakan-gerakan massa yang berkembang di seluruh dunia. Sejak tahun itu, Hari Wanita Sedunia disambut oleh golongan wanita dan lelaki dari seluruh dunia sebagai simbol perjuangan yang hebat dan harus menjadi inspirasi kepada perjuangan-perjuangan kelas yang akan berlangsung pada masa akan datang.
Kepimpinan wanita kelas pekerja diperlukan untuk menjamin hak rakyat tertindas.
Pada waktu ini yang penuh dengan krisis dan ketidaktentuan, rakyat biasa amat memerlukan kepimpinan dari kelas pekerja, terutamanya kelas pekerja wanita yang sedang mengalami penindasan yang berganda. Semua pertubuhan politik dan ahli-ahli politik sudahpun mendedahkan wajah sebenar mereka dan meminggirkan rakyat yang sedang merana. Sudah tiba masanya untuk rakyat menubuhkan kepimpinan politik mereka sendiri yang terdiri daripada kelas pekerja dan rakyat tertindas, bagi memperjuangkan hak dan nasib kita semua.
Bagi mencapai kebebasan yang terjamin, golongan wanita harus berganding bahu dengan semua rakyat tertindas lain dan berjuang menentang sistem kapitalisme yang bukan sahaja menindas masyarakat miskin, malah mewujudkan ruang untuk menggandakan penindasan terhadap wanita. Para pejuang kelas pekerja wanita harus menyedari bahawa perjuangan mereka tidak akan selesai selagi mereka tidak berjaya mencapai perubahan dalam sistem ekonomi dan politik yang sedang membentuk aturan masyarakat kita. Ia juga amat penting bagi mereka untuk terlibat dalam perjuangan politik, kerana kelas pekerja wanita merupakan sebahagian dari penggerak ekonomi negara yang penting. Tanpa wanita, perjuangan kelas pekerja ibarat tempang.
Seruan Hari Wanita Sedunia
- Hapuskan perbezaan gaji di antara pekerja wanita dan pekerja lelaki untuk jawatan dan pekerjaan yang sama. Gaji minimum yang adil berlandaskan inflasi negara untuk semua pekerja.
- Mengiktiraf suri rumah sebagai penyumbang kepada ekonomi negara dan menuntut kerajaan dan majikan menyumbang kepada elaun bulanan serta simpanan KWSP yang adil kepada mereka.
- Menjamin hak dan kebebasan wanita dengan meningkatkan hak ekonomi dan sosial mereka seperti hak pekerjaan yang saksama dan perumahaan yang selesa dengan harga yang berpatutan.
- Kemudahan kesihatan dan pendidikan yang percuma yang secukupnya dan berkualiti untuk semua termasuk golongan wanita.
- Tingkatkan cukai bagi golongan terkaya 1% untuk meningkatkan kebajikan sosial kepada rakyat biasa termasuk wanita.
- Solidariti di antara pekerja wanita dan lelaki untuk melawan seksisme dan kegaganasan seksual di tempat kerja dan di institusi pendidikan.
- Solidariti kelas pekerja antara pekerja tempatan dan pekerja migran untuk memperkuatkan kesatuan sekerja.
- Hak dan kebebasan untuk berorganisasi dan menubuhkan kesatuan sekerja untuk semua termasuk pekerja wanita. Kesatuan sekerja harus meningkatkan serta menggalakkan penglibatan dan kepimpinan pekerja wanita termasuk menerajui kesatuan sekerja.
- Membina solidariti di kalangan semua pekerja tanpa mengira perbezaan gender, budaya, kaum atau agama melalui hak kesatuan sekerja serta membina politik alternatif berlandaskan sosialisme untuk hak ekonomi dan sosial yang adil dan saksama.
- Lawan kapitalisme dan bina alternatif sosialis berpandukan perjuangan rakyat yang dipimpin oleh kelas pekerja.