Pada tiap-tiap 8 Mac, Hari Wanita Sedunia diraikan sebagai titik tolak kepada permulaan wanita untuk berorganisasi, bergerak dan bangkit berjuang untuk hak-hak mereka. Bahkan, seluruh perjuangan yang dilakukan oleh wanita-wanita terdahulu, meskipun sudah berpuluh-puluh tahun yang lalu, masih relevan dengan situasi wanita di dunia pada hari ini. Walaupun Hari Wanita Sedunia berawal di negara-negara lain, 8 Mac menjadi peringatan perjuangan wanita di seluruh dunia, mengingat perjuangan di masa yang lepas, dan terus melanjutkan perjuangan tersebut di masa hadapan.
Di Malaysia sendiri, kita melihat masih wujud isu-isu pemerdagangan wanita, upah wanita yang tidak setara dengan lelaki, keganasan wanita, gangguan seksual, keselamatan kanak-kanak perempuan, hak wanita Orang Asal/Asli, perkahwinan kanak-kanak, penceraian yang tidak berpihak kepada wanita dan sebagainya. Malah, budaya patriarki yang semakin menguat telah memberikan kesan dalam semua aspek kehidupan wanita. Ketika wanita harus keluar bekerja untuk membantu suami menyara keluarga, beban domestik masih tidak berkurangan. Ia mengakibatkan mereka mengalami ketidakadilan gender, dipinggirkan, diberikan beban kerja yang lebih dan lainnya, hanya kerana kedudukan sosial mereka dilihat berada di lapisan paling bawah dalam masyarakat. Hal-hal inilah yang sengaja dibiarkan dalam sistem kapitalisme.
Kita mengingati Hari Wanita Sedunia dengan menghargai perjuangan terhadap hak-hak wanita dan upaya untuk menghilangkan pelbagai bentuk diskriminasi yang dialami oleh mereka. Perjuangan ini tidak hanya dipertahankan oleh wanita sahaja, bahkan ramai lelaki yang turut menyertai perjuangan tersebut. Mereka sedar bahawa perjuangan wanita adalah elemen-elemen dalam perjuangan kelas. Dalam sejarah Hari Wanita Sedunia, ia tercetus atas semangat untuk menentang kondisi kerja yang buruk yang dihadapi oleh para pekerja pada saat itu, khususnya buruh-buruh wanita. Ia berjaya menggerakkan aksi massa dan menjadi simbol yang penting dalam menuntut kedamaian, menolak peperangan, pengurangan jam kerja dan respons atas kemiskinan yang membuatkan semua rakyat menderita.
Hari Wanita Sedunia juga adalah sebahagian daripada perjuangan gerakan sosialisme sedunia. Justeru, sejarah menunjukkan bahawa perjuangan wanita adalah amat penting bagi perjuangan massa. Ia merupakan momentum perjuangan sebelum tibanya Hari Pekerja pada 1 Mei.
Kesetaraan dalam sosialisme dapat menamatkan ketidakadilan terhadap wanita dan lelaki dan pada masa yang sama membebaskan kita dari belenggu patriarki. Perkara ini boleh menjadi nyata kerana alat produksi di bawah sistem ekonomi sosialisme akan dapat dimanfaatkan secara demokratik oleh kedua-dua wanita dan lelaki. Mereka akan dilihat sebagai sama rata dan memiliki status sosial yang sama taraf. Sosialisme meletakkan sistem ekonomi yang dirancang dengan demokratik dan untuk hak yang sama bagi semua orang tanpa mengira jantina. Maka, pembebasan wanita cuma boleh dicapai dengan perjuangan ke arah sistem sosialisme. Perjuangan untuk sosialisme dan pembebasan wanita berjalan seiring.