Hari pekerja sedunia di sambut pada 1 Mei di seluruh dunia sebagai penghargaan bagi pengorbanan para pekerja dalam menyumbang kepada kemajuan negara. Hari ini, dalam keadaan krisis kesihatan pandemik Covid19, kita telah menyaksikan dengan sendiri, bagaimana kelas pekerja merupakan nadi utama bagi mana-mana masyarakat. Merekalah yang menguruskan segala barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh seluruh masyarakat dunia. Pada masa yang sama, walaupun kelas pekerja sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan rakyat, kelas majikan kaya pula tidak sanggup mengorbankan walau sedikit keuntungan mereka.
Walaupun hari pekerja ini adalah satu penghargaan kepada pengorbanan dan tanggung jawab yang sedang dipikul oleh pekerja, pada masa yang sama, hari ini juga merupakan satu peringatan kepada perjuangan-perjuangan kelas pekerja yang lepas, yang elah berjuang demi kebajikan semua pekerja.
Sambutan hari pekerja sedunia sudah bermula sejak lebih 100 tahun lalu. Pada zaman itu, para pekerja tidak mempunyai sebarang hak dan kondisi pekerjaan mereka sangat teruk. Para pekerja dipaksa untuk berkerja selama lebih 16 jam sehari dan mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan dari penindasan majikan. Ketiadaan had umur untuk pekerja juga telah mengakibatkan kanak-kanak dieksploitasi demi keuntungan oleh kelas majikan. Cerita-cerita ngeri mengenai kanak-kanak kilang yang lahir dan membesar di dalam kilang boleh di baca dalam karya-karya yang menghuraikan kondisi kelas pekerja pada zaman itu.
Dalam keadaan yang sangat susah, kelas pekerja telah berjaya menggabungkan tenaga kerja mereka dan membina kesatuan-kesatuan sekerja yang sangat kuat untuk memperjuangkan hak mereka. Antara tuntutan yang menjadi seruan para pekerja seluruh dunia pada masa itu adalah untuk menghadkan waktu kerja harian ke 8 jam. Slogan ‘pekerja menuntut 8 jam kerja, 8 jam rehat dan 8 jam untuk beriadah’ menjadi slogan yang popular di mana-mana gerakan pekerja di seluruh dunia.
Inilah asal usul kelahiran Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Pada 3 Mei 1888, sebuah perarakan pekerja yang menuntut had kerja ke 8 jam sehari di Haymarket Square, Chicago, Amerika Syarikat telah berakhir dengan tragedi apabila beberapa lapisan pekerja telah bertempur dengan pihak berkuasa. Berikutan insiden tersebut, pihak berkuasa dan kerajaan telah melancarkan serangan terhadap pemimpin-pemimpin pekerja dan ramai dikalangan mereka telah dihukum mati atau dipenjara seumur hidup.
2 tahun kemudian, Persatuan Buruh Amerika yang mempunyai keahlian yang banyak di kalangan pekerja Amerika telah mengistiharkan 1 Mei sebagai hari peringatan bagi pengorbanan kelas pekerja dan tragedi yang berlaku di Haymarket. Selepas itu, 2nd Internasional ( Pertubuhan antarabangsa sosialis ) yang bertapak di Eropah mengistiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Pekerja Sedunia, sebagai hari yang menandakan perjuangan bersama semua pekerja di seluruh dunia.
Gerakan dan perjuangan kelas pekerja tidak terhenti di situ sahaja. Sebuah Revolusi yang berjaya di terajui oleh kelas pekerja Russia pada 1917 telah membawa kepada kemajuan yang sangat besar bagi masyarakat dan kelas pekerja di sana. Walaupun kemenangan yang diperoleh di Revolusi Russia sendiri telah terhakis dan merosot menjadi sebuah pemerintahan kuku besi disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, gerakan pekerja yang hebat itu berjaya menjadi inspirasi kepada kelas pekerja dari seluruh dunia dan pembentukan-pembentukan kesatuan sekerja mula terbentuk di mana-mana sahaja.
Perayaan 1 Mei juga disambut oleh kelas pekerja dan kesatuan sekerja di Malaysia untuk pertama kali di bandar Ipoh pada 1921.Pada zaman 1930-an dan 40-an, Kesatuan-kesatuan Sekerja di Malaysia telah berkembang menjadi pertubuhan yang sangat berkuasa. Pertubuhan dan organisasi kelas pekerja merupakan pejuang kebebasan yang paling digeruni oleh penjajah British pada waktu itu. General Labour Union (GLU) dan Pan Malayan Trade Union Federation ( PMTUF ) merupakan gabungan kesatuan yang merangkumi lebih dari 70% daripada pekerja pada masa itu. Kekuatan Kesatuan Pekerja pada waktu itu tidak boleh dibandingkan dengan pertubuhan pekerja pada waktu ini yang cuma mempunyai 6% daripada jumlah tenaga kerja negara.
Dengan kekuatan itu, Kesatuan-kesatuan Sekerja di Malaysia telah melancarkan pelbagai perjuangan yang bersejarah. 20 Oktober 1947 menandakan Hari Hartal, iaitu satu-satunya aksi mogok umum yang pernah dilancarkan oleh kelas pekerja negara ini. Aksi Hari Hartal telah melumpuhkan segala ekonomi negara dan telah menggoncang kekuasaan pihak penjajah British yang telah bertindak untuk melancarkan serangan terhadap kelas pekerja dan kepimpinan mereka. 10 tahun seterusnya, perjuangan-perjuangan bersejarah dari kelas pekerja telah memaksa pihak British untuk berundur dari rantau ini.
Sisi sejarah ini jarang disentuh di media-media massa hari ini mahupun di dalam sistem pendidikan negara. Tetapi, kejayaan para pekerja dan kesatuan sekerja dalam menyatukan rakyat berbilang kaum dan berjaya mengalahkan sebuah kuasa yang sangat berkuasa seperti penjajah British, merupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan harus menjadi sebuah inspirasi.
Semua hak dan faedah yang dirasai oleh kelas pekerja hari ini merupakan hasil perjuangan – perjuangan hebat dari kelas pekerja pada masa lalu. Kita mendapat hak untuk menghadkan hari kerja ke 8 jam sehari, mempunyai hak untuk cuti rehat, had umur bagi pekerja dan beberapa undang-undang buruh yang melindungi hak pekerja. Tetapi, pada masa yang sama, penindasan terhadap kelas pekerja masih berleluasa dan mereka masih sedang dimangsakan oleh golongan-golongan kelas majikan kaya.
Walaupun terdapat beberapa undang-undang yang melindungi hak pekerja, pihak majikan masih didapati mencari jalan untuk melanggar undang-undang tersebut. Di sudut yang lain, jabatan-jabatan kerajaan juga seringkali tidak menjalankan tanggung jawab mereka untuk mempertahankan hak pekerja dan memberikan kelonggaran kepada pihak majikan yang menindas. Para majikan kaya dan kelas kapitalis masih menikmati kuasa yang banyak di dalam masyarakat dan diberikan ruang untuk terus menindas para pekerja dengan sesuka hati mereka.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelas pada waktu-waktu negara menghadapi krisis, sepertimana yang sedang berlaku sekarang. Kita dapat menyaksikan bagaimana para majikan diberikan kelonggaran dan dana yang banyak dan pada waktu yang sama, nasib kelas pekerja biasa sedang terumbang-ambing. Ramai dari kalangan pekerja sudahpun kehilangan kerja mereka dan tidak mempunyai sebarang jalan untuk meneruskan kehidupan mereka. Apakah yang akan terjadi kepada tanggungan dan keluarga mereka?
Banyak diantara syarikat-syarikat kecil dan industri besar seperti perhotelan sudahpun menutup operasi dan jutaan kelas pekerja sedang menghadapi sebuah krisis. Walaupun kerajaan sedang memberikan peruntukkan dana yang banyak kepada syarikat-syarikat ini, dana tersebut hanya digunakan untuk menambah kekayaan peribadi mereka dan dilarikan dengan gelojoh. Pada keadaan yang cemas, kelas majikan masih tidak ingin berkompromi dan memberikan sedikit sumbangan kepada kelas pekerja yang selama ini telah berkorban demi keuntungan majikan. Ini merupakan krisis yang akan memberi kesan kepada seluruh masyarakat, tetapi, kelas majikan yang mempunyai kemudahan yang secukupnya sedang berkelakuan tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Inilah hakikat sistem ekonomi dan politik yang hanya tertumpu untuk meningkatkan keuntungan kelas kapitalis dan kebajikan rakyat akan dipijak sesuka hati.
Walaupun PKP pada awalnya diumumkan sehingga 12 Mei, dan walaupun angka jangkitan Covid belum hapus dan malah sedang meningkat dalam beberapa hari yang lalu, pihak kerajaan telahpun mengumumkan untuk membuka balik operasi dan perniagaan-perniagaan swasta. Desakan dari pihak majikan untuk melindungi harta peribadi mereka akhirnya telah berjaya membuahkan hasil dan pihak kerajaan akhirnya akur dengan kehendak kapitalis dan pasaran bebas. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa kelas majikan kaya lebih mengutamakan keuntungan mereka berbanding dengan nyawa dan kesihatan para pekerja miskin. Pada masa yang sama, ini juga menunjukkan bahawa kelas kapitalis dan majikan kaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kerajaan dan seringkali dapat mencapai kehendak mereka.
Bukan sekadar kerajaan pada waktu ini merupakan hamba kepada kehendak golongan majikan, tetapi juga kerajaan sebelum ini dan sebelum itu sekalipun. Sistem politik perwakilan parlimen dibentuk untuk menjamin kekuasaan kelas kapitalis di dalam sistem ekonomi dan aturan masyarakat. Ahli-ahli politik dari kedua-dua pihak pembangkang dan pemerintah sangat mudah untuk dipengaruhi oleh golongan kapitalis yang mempunyai dana yang banyak. Ini merupakan asas kepada semua gejala rasuah yang berlaku bukan sahaja di negara kita, tetapi di semua negara di mana sistem ekonomi kapitalisme telah bertapak.
Oleh itu, kita harus ingat, terutamanya pada Hari Pekerja Sedunia, bahawa perjuangan kelas pekerja belum lagi selesai. Kita memerlukan sebuah sistem ekonomi dan politik yang mengutamakan kepentingan kelas pekerja dan rakyat miskin. Selagi kita tidak mencapai matlamat tersebut, kelas pekerja akan sentiasa terdedah dengan pemangsaan dan penindasan dari kelas majikan. Kita memerlukan sistem yang demokratik dan memberikan kuasa kepada kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menentukan hala tuju ekonomi dan perkembangan masyarakat mereka. Umat manusia akan sentiasa terdedah dengan krisis-krisis besar seperti krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis alam sekitar, dan jika kita tidak memperjuangkan sebuah sistem politik yang akan mengutamakan kelas pekerja dan rakyat biasa yang merupakan majoriti daripada populasi, maka, kelas kapitalis akan sanggup mengorbankan nyawa rakyat biasa demi mempertahankan kepentingan mereka.
Pada hari-hari yang akan datang, kita akan menyaksikan perjuangan-perjuangan kelas pekerja akan meningkat. Pemangsaan yang berlaku ke atas pekerja dan rakyat biasa akan mencetuskan pergelutan yang hebat dengan kelas majikan kaya. Oleh itu, kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa haruslah mula menyusunkan diri dalam organisasi massa seperti kesatuan sekerja, pertubuhan akar umbi dan gerakan-gerakan lain untuk memberikan kepimpinan yang jelas dalam perjuangan yang bakal berlangsung.
Pada Hari Pekerja Sedunia, perjuangan-perjuangan lampau para pekerja haruslah menjadi teladan dan pada masa yang sama menjadi inspirasi untuk menyusun perjuangan kita ke hadapan.