Hari Pekerja Sedunia merupakan hari peringatan kepada perjuangan kelas pekerja dalam mendapatkan hak-hak yang sedang dinikmati oleh para pekerja di seluruh dunia. Perjuangan hari pekerja ini bermula dengan tuntutan untuk menghadkan hari kerja kepada 8 jam sehari hampir 150 tahun lalu. Sejak itu, kelas pekerja dari seluruh dunia telah menggunakan hari pekerja yang ditetapkan pada Mei 1 sebagai pentas perjuangan yang membawa tuntutan dan aspirasi rakyat tertindas dalam aksi-aksi protes, mogok, perarakan dan sebagainya sehingga ke hari ini.

Di Malaysia, Hari Pekerja Sedunia akan berlangsung hampir setahun selepas pilihan raya umum ke-14 yang telah melihat perubahan kerajaan untuk pertama kali di negara ini. Sudah tiba masanya bagi kelas pekerja untuk menilai semula jika aspirasi dan kepentingan mereka sedang terpelihara di ‘Malaysia Baru’ di bawah kepimpinan PH.

Penindasan Pekerja Berterusan

Walaupun kelas pekerja dunia sudah berjuang dan memenangi hak untuk menghadkan jam berkerja ke 8 jam sehari lebih seratus tahun dahulu, walaupun had kerja ini tertera dalam akta dan undang-undang negara, masih lagi majoriti daripada pekerja miskin dan golongan B40 sedang berkerja untuk lebih 10 jam sehari bagi menampung kehidupan mereka. Sebanyak 50% daripada rakyat Malaysia hanya menerima gaji kurang daripada RM1700 sebulan, dan dengan kenaikan harga barangan, inflasi, pemotongan dana sosial, pembekuan tenaga kerja, pencabutan subsidi dan sebagainya, kelas pekerja di Malaysia sedang semakin tersepit dalam krisis ekonomi. Kondisi kehidupan yang semakin merosot terutamanya bagi golongan miskin adalah fakta yang di ketahui umum dan telah didedahkan dalam pelbagai kajian yang dikendalikan oleh badan-badan kerajaan sendiri. Faktor-faktor inilah yang telah mewujudkan kemarahan rakyat terhadap pemerintahan BN dan menaruh harapan dan membuang undi ke arah PH. Akan tetapi, walaupun dengan perubahan kerajaan, kelas pekerja dan rakyat tertindas sedang menghadapi masalah-masalah yang sama. Malah, kondisi mereka sedang merosot akibat kemerosotan ekonomi dunia.       

Kerajaan PH telah menabur pelbagai janji manis bagi meraih sokongan yang telah dinikmati di PRU lepas. Tetapi, sejurus mengambil alih kerajaan, pengkhianatan mereka terdedah dengan polisi-polisi ekonomi, sosial dan politik yang diangkat setakat ini. Sudah setahun berlalu dan sebahagian besar daripada janji-janji PRU masih tidak termakbul dan malah tidak lagi dibincangkan secara serius. Perdana Menteri sendiri telah merendahkan manifesto PRU PH dengan menggelarnya sebagai ‘bukan kitab suci’ untuk dipatuhi sepenuhnya. Pada belanjawan tahun 2019, Kementerian Kewangan baru telah membentangkan sebuah bajet yang tidak jauh beza daripada bajet-bajet lepas di bawah BN, iaitu untuk menjamin keuntungan golongan korporat kaya sambil memangsakan jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin. Tambahan pula, kerajaan PH juga mengumumkan pemotongan dana sosial di hampir setiap sektor seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan bagi rakyat miskin.

Kelas kapitalis terus menimbun keuntungan

Kerajaan PH hanya menuding ke arah kemerosotan ekonomi global sebagai punca utama kepada pemotongan dana dan kekurangan polisi-polisi yang memihak kepada rakyat biasa. Tetapi, pada masa yang sama, kelas majikan dan kapitalis kaya di Malaysia masih boleh mengekalkan kadar keuntungan yang lumayan walaupun pekerja yang mewujudkan keuntungan tersebut terpaksa mengharungi kehidupan yang serba kekurangan. Kerajaan PH, sama dengan kerajaan BN sebelum ini bukan sahaja tidak mengenakan sebarang regulasi seperti cukai ke atas keuntungan yang di buat oleh majikan kaya, mereka juga mewujudkan polisi-polisi yang berat sebelah dan hanya melindungi kepentingan kelas kapitalis. Di ‘Malaysia Baru’, sama seperti di ‘Malaysia Lama’ sebelum ini, pihak majikan kaya akan terus mengeksploitasi kelas pekerja dengan restu dan sokongan kerajaan.

Perjuangan Kelas Pekerja dan Rakyat Biasa Sedang Meningkat

Kesan kepada belanjawan 2019 dan polisi-polisi kerajaan semenjak itu sudahpun mula dirasai di setiap pelosok rakyat. Golongan petani dan nelayan sedang menghadapi kesukaran untuk menyambung kehidupan dalam situasi bencana alam di musim tengkujuh. Para mahasiswa yang menghadapi kos pendidikan yang tinggi sedang mencapai jalan buntu dan telah melancarkan beberapa aksi protes umum. Para pemandu teksi telah melancarkan protes (blockade) di beberapa lokasi menuntut kerajaan untuk menunaikan janji menghapuskan bayaran tol dan memberi subsidi petrol. Rakyat biasa juga telah mula meluahkan rasa tidak puas hati dengan hala tuju kerajaan baru dalam pelbagai bentuk. Petanda yang paling besar yang mencerminkan kemarahan rakyat adalah dalam 3 pilihanraya kecil lalu, di mana pihak kerajaan telah gagal untuk memenangi sokongan rakyat walaupun dengan mengawal segala sumber dan mesin propaganda kerajaan.

Selain itu, kelas pekerja juga sudah mula bergerak dalam beberapa aksi umum untuk mempertahankan hak mereka. Pada Oktober tahun lalu, beratus-ratus para pekerja bersama dengan penyokong mereka telah melancarkan protes di hadapan Parlimen untuk menuntut sebuah gaji minimum yang adil. Berikutan itu, pelbagai protes dan piket di tempat kerja telah dilancarkan oleh para pekerja dan pihak Kesatuan Sekerja. Piket pekerja HSBC, pekerja AIROD dan beberapa piket lain yang disertai oleh beratus-ratus pekerja merupakan tanda-tanda awal perjuangan pekerja yang harus berkembang di era ‘Malaysia Baru’ ini. Dengan kemerosotan ekonomi global, kelas pekerja dari seluruh dunia sedang bangkit dan mempersoalkan kesahihan sistem ekonomi kapitalisme yang sedang membawa bencana ekonomi dan sosial kepada jutaan rakyat miskin. Kelas pekerja di Malaysia juga harus bangkit dan memperjuangkan hak mereka dalam keadaan ekonomi yang sedang merosot dan berusaha untuk mencari alternatif kepada sistem yang rakus ini.

Kelas Pekerja Sebagai Kuasa Perubahan ke arah Alternatif Sosialis

Kelas pekerja yang merupakan majoriti dan memegang kuasa produksi merupakan kuasa sosial yang paling berkuasa dan berpengaruh di dalam masyarakat. Kelas kapitalis yang merupakan minoriti yang kecil bergantung dengan usaha dan kerjasama dari pihak pekerja untuk bukan sahaja mewujudkan segala keperluan asas bagi masyarakat, tetapi juga untuk menjamin keuntungan bagi pihak majikan. Tetapi, dengan mempergunakan kerajaan yang berpihak kepada kelas kapitalis, golongan minoriti ini berjaya menipu rakyat, memiliki segala peralatan produksi secara peribadi, menggondol segala sumber alam dan mengawal hala tuju ekonomi negara dan seterusnya dunia. Golongan kapitalis yang tidak perlu berkerja dan hanya hidup dengan titik peluh pekerja miskin ini mengawal segala aspek hidup kita dan mengeksploitasi tenaga kerja manusia bagi keuntungan yang berganda-ganda setiap tahun.

Sebagai kuasa produksi dan kuasa sosial yang digeruni, para pekerja harus memikul beban untuk memimpin perjuangan rakyat dalam menentang pihak kapitalis dan membebaskan rakyat daripada cengkaman eksploitasi dan penindasan yang berterusan. Kelas pekerja, terutamanya dari kalangan pekerja yang tersusun di dalam organisasi ataupun Kesatuan Sekerja, merupakan kepimpinan yang mampu menyatukan semua aspirasi rakyat tertindas dalam satu perjuangan untuk mengubah sistem ekonomi kapitalisme kepada sistem sosialisme. Sosialisme berlandaskan kepada pemilikan peralatan produksi dan sumber alam oleh kelas pekerja itu sendiri secara kolektif dan demokratik. Jika sosialisme berjaya diperjuangkan, kelas pekerja dan rakyat biasa akan mendapat hak yang saksama dalam menentukan hala tuju ekonomi dan pengagihan kekayaan di dalam sesebuah masyarakat secara demokratik. Pengeluaran barangan dan keperluan tidak lagi akan berlandaskan kepada keuntungan pihak korporat kaya, tetapi berlandaskan kepada keperluan rakyat yang akan berkembang mengikut kemajuan teknologi.           

Kelas pekerja dunia, termasuk di Malaysia, sedang menghadapi situasi krisis ekonomi, politik dan sosial yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Di bawah susunan sistem ekonomi kapitalisme dan kawalan para kapitalis, dunia hari ini sedang menghadapi krisis ekonomi, kemiskinan, kebuluran, kekurangan keperluan asas, kemerosotan alam sekitar dan perang yang tidak berkesudahan bagi majoriti penduduk dunia. Tambahan pula, disebabkan oleh kegawatan ekonomi, kuasa-kuasa besar kapitalis dunia sedang bersaing antara satu sama lain untuk mengaut keuntungan dan sedang mewujudkan geseran dan pertelingkahan di antara beberapa negara besar. Maka, adalah semakin jelas bagi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin di dunia bahawa sistem kapitalis tidak mampu untuk mengangkat keluar umat manusia daripada krisis yang sedang dihadapi dan sebuah alternatif sosialisme diperlukan untuk menyelamatkan hidup kita dan masa hadapan generasi yang akan datang. Sentimen ini sedang merebak dengan laju di seluruh dunia dan kelas pekerja di Malaysia juga harus mengaitkan diri mereka dengan pejuangan yang sedang berkembang di skala global.

Tuntutan Hari Pekerja 2019

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *