Di Myanmar, seruan mogok umum pada 8hb Mac yang lepas telah berhadapan dengan tindakan yang kejam oleh pihak tentera. Berdasarkan laporan sedia ada, sekurang-kurangnya dua orang awam telah ditembak mati oleh pihak tentera – yang turut melakukan serbuan yang dilakukan pada waktu malam, bagi menangkap para aktivis dan pemimpin kesatuan. Namun, tindakan menindas ini tidak mematahkan gerakan sedia ada dan rakyat telah pun memasang penghalang di jalanan.

Mogok umum yang melibatkan pemberhentian sektor ekonomi telah disambut oleh kelas pekerja dari pelbagai sektor. Pekerja pelabuhan dan kereta api menutup laluan-laluan trek manakala pekerja industri memastikan penutupan penuh di tempat kerja. Kejadian mogok umum ini, serta mogok yang dilaksanakan pada 22hb Februari sebelumnya merupakan terjemahan kepada kemarahan yang wujud di kalangan pekerja dan kesemua lapisan masyarakat terhadap tindakan rampasan kuasa oleh pihak ketenteraan pada 1hb Februari yang lepas.

Mogok umum ini merangkumi pekerja dari pelbagai sektor. Perniagaan yang berskala kecil turut tutup dan turun membantah kudeta ini. Kini, pihak tentera Tatmadaw telah meningkatkan lagi penindasan dan serangan terhadap rakyat yang turun membantah. Walaupun ditembak dan dipukul oleh pihak tentera, rakyat yang membantah tetap meneruskan perjuangan melawan arahan kawalan pandemik yang diperintahkan oleh pihak ketenteraan. Setakat ini, lebih 280 orang telah dibunuh dan ramai lagi cedera.

Di antara negara-negara di Asia Tenggara, Myanmar juga mempunyai kadar jangkitan yang tinggi – melebihi 130,000 kes dan 3,200 kematian. Buat sementara ini, tidak ada langkah yang mencukupi bagi membendung jangkitan wabak, namun pihak ketenteraan mengambil kesempatan akan situasi ini dan melaksanakan langkah yang mengekang hak demokratik rakyat, termasuklah hukuman tiga tahun bagi sesiapa yang melanggar sekatan yang dilaksanakan. Kaedah yang digunakan oleh pihak tentera ini juga dipanggil sebagai “Kudeta Covid”.

Golongan atasan kepimpinan tentera pula menggunakan pilihanraya yang tidak sah sebagai asas utama kudeta ini. Pilihanraya yang lepas tidak sepenuhnya demokratik, di mana ramai golongan minoriti tidak dibenarkan untuk melibatkan diri. Berikutan kekalahan yang signifikan bagi parti pro-tentera United Solidarity Development Party (USDP) pada November yang lepas, berita perihal krisis dalaman dan ketegangan di kalangan pihak tentera mulai dilaporkan. Walaupun pihak National League of Democracy (NLD) yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi memenangi kerusi majoriti (440 kerusi daripada 476 kerusi) – namun terdapat tuduhan meluas berkenaan penipuan pilihanraya dan akhirnya digunakan oleh pihak tentera untuk melancarkan kudeta ini.

Ketua-ketua tentera telah pun mengumumkan bahawa mereka akan menangkap golongan aktivis yang masih membantah dan telah pun memecahkan protes-protes yang ada dengan menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup. Ketika ini, rakyat masih menentang dan tidak berganjak, namun berada di dalam ketidakpastian akan bagaimana mereka mampu bertahan dengan serangan pihak ketenteraan yang semakin mengganas. Sejarah menjadi saksi kepada pembunuhan yang brutal dan kejam oleh pihak ketenteraan selama ini, malah pihak yang sama juga memainkan peranan utama di dalam pembunuhan etnik Rohingnya, sebuah kes yang turut diketahui ramai.

Tidak lupa juga, kewujudan pegawai-pegawai atasan yang mengawal sebahagian besar daripada ekonomi. Ketenteraan Myanmar penuh dengan individu yang korup, perompak, malah ada yang sewenang-wenangnya melakukan jenayah perang. Walaupun begitu realitinya, pihak ketenteraan masih berjaya mendapatkan sokongan daripada segelintir pihak, terutamanya golongan yang bergantung kepada sokongan tentera di kawasan konflik sempadan. Golongan ini lah yang digunakan untuk melawan protes sedia ada. Samseng-samseng ini meliar menyerang rakyat dengan keselesaan sokongan tentera di belakang mereka.

Sebelum ini, pihak ketenteraan bersekongkol dengan golongan pimpinan agama Buddha yang cauvinis sambil bertindak ganas terhadap etnik minoriti. Segelintir sami dari agama Buddha versi Theravada (yang dominan di kawasan Myanmar dan Sri Lanka) menyebarluaskan tindakan keganasan kepada sesiapa yang menentang mereka. Kini, pucuk pimpinan Arakan National Party (ANP) yang terdiri daripada penganut Buddhisme, golongan tuan tanah dan nasionalis sayap kanan mulai bekerjasama dengan pihak tentera. Pada 2015, parti ini mendapat kerusi majoriti di daerah Rakhine. Namun sokongan terhadap mereka dicabar oleh pihak NLD melalui pelbagai cara, termasuklah pendekatan untuk menindas golongan nasionalis ini (Aung San Suu Kyi dilaporkan berkata bahawa dia akan menghancurkan kebangkitan etnik Arakan). 15 individu yang menjadi pucuk pimpinan kerajaan kudeta – yang dinamakan Majlis Pengurusan Daerah (State Administrative Council) turut merangkumi 5 sosok daripada parti ANP.

Bagaimanapun, gerakan menentang kudeta ini mulai mendapat sokongan daripada etnik-etnik minoriti, termasuklah etnik Rohingnya. Segelintir masyarakat juga mulai mengakui akan jenayah-jenayah yang pernah dilakukan oleh pihak ketenteraan terhadap golongan etnik minoriti sebelum ini.

Golongan Etnik Minoriti

Ada lebih 100 etnik yang berbeza hidup di Myanmar. Pada masa yang sama, rakyat di negara ini turut dipisahkan melalui perbezaan agama. Sejak berlangsungnya fasa ‘pemulihan ke arah demokrasi’, NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi tidak melakukan apa-apa usaha bagi menunaikan permintaan golongan etnik minoriti. Bukan hanya NLD turut berkongsi kuasa dengan pihak tentera, tetapi turut membela jenayah yang dilaksanakan oleh mereka secara terbuka di Mahkamah Antarabangsa pada Disember 2016.

Peranan Aung San Suu Kyi dalam menyembunyikan kebenaran yang sepenuhnya mengenai pembunuhan etnik Rohingnya telah merosakkan reputasinya sebagai pembela hak asasi manusia. Dia dilihat sebagai pembela demokrasi oleh pihak kapitalis barat dan media-media kepunyaan mereka. Penentangannya terhadap penguasaan pihak tentera tidak bermakna dia mengangkat hak-hak demokratik dan kebajikan untuk semua, lebih-lebih lagi apabila 30% daripada keseluruhan penduduk Myanmar berasal daripada etnik minoriti. Dia dan partinya tidak pernah membantu mahupun membaik pulih situasi kehidupan rakyat majoriti, walaupun diberi peluang menjadi kerajaan sebelum ini. Malah undang-undang jenayah siber yang membenarkan pihak tentera untuk memenjarakan hampir tiga tahun bagi yang membantah secara atas talian turut dirangkakan dan dilaksanakan oleh Aung San Suu Kyi dan kerajaannya.

Aung San Suu Kyi dan parti NLD tidak mempunyai sokongan di kalangan etnik minoriti. Disebabkan itu, dengan mudahnya NLD bersetuju untuk tidak mengadakan pilihanraya di kawasan penduduk minoriti. Wakil kepada etnik minoriti, seperti wakil rakyat Rohingnya, dihalang untuk bertanding. Akibatnya, hampir dua juta penduduk tidak terlibat di dalam proses pilihanraya. Keadaan yang tidak telus ini lah yang menjadi asas kepada pengukuhan sokongan pihak ketenteraan.

Pada awalnya, penangkapan pimpinan NLD tidak mencetuskan protes besar-besaran. Ini disebabkan oleh ketakutan rakyat terhadap kuasa ketenteraan Tatmadaw. Namun begitu ianya turut disebabkan oleh tindakan pimpinan NLD yang turut bekerjasama dengan junta sebelum ini, yang secara tidak langsung menjadi faktor kepada ketiadaan semangat untuk membela mereka. Walaupun begitu, perjuangan yang sudah dimulakan oleh sektor kesihatan dan sektor awam yang lain telah memberi keyakinan kepada massa untuk turut turun ke jalanan. Pelbagai kesatuan, termasuklah federasi kesatuan yang utama, dengan pantas turun berjuang dan membentuk Gerakan Ketidakpatuhan Sivil (Civil Disobedience Movement). Ini kemudiannya menjurus kepada mogok umum yang terus mengukuhkan kuasa penentangan sedia ada. Tambahan lagi, pembentukan Jawatankuasa Pemogokan Umum Rakyat (General Strike Committee of Nationalities) merangkumi 27 organisasi daripada pelbagai etnik.

Dengan demikian, kini gerakan rakyat yang wujud sedang menghadapi saat yang kritikal. Harapan yang wujud di segelintir masyarakat terhadap kuasa barat dan “komuniti antarabangsa” kian memudar. Tangisan palsu yang dibuat-buat oleh pihak kapitalis barat tidak menghasilkan apa-apa pun.

Kerajaan China, yang masih mengekalkan hubungan langsung dengan parti-parti tempatan dan pihak Tatmadaw, turut memberikan sokongan kepada rejim sedia ada – termasuklah  menghantar para pakar dari China untuk menghalang dan mengawal internet dan media-media sosial di Myanmar. Mereka turut menghalang segala jenis kecaman yang dipersetujui di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Security Council).

Peranan China

Sejak kebelakangan ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif One Belt One Road, rejim China telah melaburkan modal dalam jumlah yang signifikan di Myanmar. Walaupun pada mulanya pelaburan-pelaburan ini dijalankan di bawah rejim Tatmadaw, namun melalui pimpinan NLD-lah program China-Myanmar Economic Corridor mulai menjadi pesat dan berkembang. Berikutan tindakan “reformasi politik” yang bermula pada tahun 2011 di bawah pimpinan Thein Sein, beberapa kontrak oleh pihak China telah dibatalkan berikutan “tentangan” oleh penduduk tempatan. Tetapi kemenangan NLD pada tahun 2015 menjurus kepada perubahan keputusan di mana pimpinan mereka secara aktif mempromosikan pelaburan dari pihak China. Pembinaan hidroelektrik yang berjumlah lebih daripada RM 15 bilion ($ 3.6 billion), jaringan paip minyak dan gas Sino-Myanmar dan perlombongan tembaga adalah projek-projek besar yang dikawal oleh pihak China. Projek ini mencetuskan pelbagai jenis kontroversi, namun pada masa yang sama turut dipromosikan oleh pimpinan NLD. Situasi geo-politik inilah yang menggesa pihak Barat untuk memberi fokus kepada pembunuhan etnik Rohingnya dan ini kemudiannya menjurus kepada sabitan genosid di Mahkamah Antarabangsa. Namun demikian, tiada tindakan diambil terhadap pimpinan NLD mahupun Tatmadaw. Kerajaan China, yang terlibat secara langsung di dalam rundingan kes Rohingnya, kini berhujah bahawa pihak luar tidak perlu melibatkan diri di dalam isu dalaman di Myanmar.

General Ming Aung Hlaing, yang dilaporkan telah bertemu dengan pihak penguasa dari China sebelum kudeta, telah berkata bahawa mereka mendapat sokongan daripada pihak China. Walaupun begitu, hal ini dilihat rumit kerana pihak China juga mempunyai hubungan yang kukuh dengan pihak pimpinan NLD. Rejim China lebih selesa akan situasi dan perjanjian yang pernah ada sebelumnya, di mana NLD berada di tampuk kekuasaan bersama-sama dengan Tatmadaw – sekadar menunjukkan elemen demokrasi, walaupun dalam kadar yang tidak signifikan – bagi mengukuhkan kepentingan serantau mereka. Kini, kita juga dapat lihat pihak junta turut berurusan dengan pihak Rusia dan memperoleh kontrak-kontrak ketenteraan dan turut membeli vaksin yang dihasilkan oleh mereka. Rusia tidak hanya membela kudeta ini, malah turut menyeru pihak-pihak barat agar dapat menyediakan bimbingan dan bantuan bagi kelas penguasa Myanmar yang baru, dengan tujuan supaya tugasan mereka dapat terus berlangsung, termasuklah di dalam bidang yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Baru-baru ini, negara-negara ini juga menghalang apa-apa kecaman yang dinyatakan di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu.

Keterlibatan rejim-rejim lain yang berada di rantau yang sama, yang turut menghadapi penentangan di kawasan mereka yang tersendiri, tidak akan berjaya menghentikan pemerintahan junta di Myanmar. Manakala bagi pihak kerajaan barat yang mewakili kepentingan kapitalis mereka, hanya digerakkan oleh kepentingan pemodal mereka sendiri dan juga persaingan mereka dengan kuasa-kuasa seperti Rusia dan juga China. Kerajaan-kerajaan ini tidak akan membela hak-hak demokratik, selagi kepentingan mereka masih berada di dalam situasi yang stabil dan tanpa apa-apa cabaran – sebagai contoh di Arab Saudi, India dan Turki di mana rejim autoritarian dengan sewenang-wenangnya melanggar hak asasi manusia di negara mereka sendiri. India melakukan paksaan langsung dan menghalau kehadiran etnik Rohingnya di sana. Tidak mengejutkan, pihak Tatmadaw berfikir mereka mampu meyakinkan pihak barat bahawa pihak NLD-lah yang meletakkan Myanmar di bawah pengaruh utama China dan mengupah firma perhubungan awam dari Canada untuk menjalankan kerja tersebut.

Justeru, dengan adanya faktor-faktor yang mengukuhkan lagi kuasa ketenteraan, gerakan rakyat yang kian berkembang sedang menghadapi persoalan yang lebih besar dan kompleks berbanding apa yang difahami dari aspek luaran semata-mata – iaitu untuk mengembalikan kuasa kepada NLD. Cubaan NLD untuk mengimbangi kuasa-kuasa yang sedang bersaing telah memakan diri mereka sendiri. Faktor ini, bersamaan dengan penindasan yang sedang berlaku, bakal menghasilkan perasaan ketidakkuasaan yang melemahkan gerakan massa, sekaligus membenarkan dan meneruskan pemerintahan rejim ketenteraan. Namun melalui mogok-mogok umum, gerakan massa telah pun berjaya menunjukkan kekuatan yang jelas. Telah terbukti bagaimana keterlibatan kelas pekerja ke dalam gerakan ini telah mengembangkan dan mengukuhkan lagi perjuangan sedia ada. Seperti mana-mana gerakan perjuangan rakyat di keseluruhan pelusuk dunia, kita juga dapat melihat kewujudan pelbagai jenis organisasi yang penting – seperti kerjasama sesama rakyat untuk menyediakan bantuan makanan dan kesihatan, mengambil kira hal-ehwal keselamatan massa dan sebagainya.

Namun demikian, inisiatif seperti ini sahaja tidak mencukupi. Majlis-majlis pekerja perlu ditubuhkan di kawasan tempat kerja bagi mengukuhkan asas kuasa yang mandiri dan di luar institusi yang di kawal dan diduduki oleh pihak rejim. Gerakan yang sama juga perlu meyakinkan pegawai-pegawai rendah polis dan askar dan melibatkan diri mereka di dalam perjuangan yang sama. Tindakan solidariti perlu dikembangkan lagi ke negara-negara lain dan berjuang seiring dengan gerakan rakyat yang ada di rantau berdekatan, seperti di Thailand dan juga Hong Kong. Kelas pekerja, baik dari negara China mahupun Rusia turut menghadapi penindasan oleh majikan mereka. Kerjasama dan inisiatif untuk mengukuhkan hubungan bersama-sama organisasi dan gerakan kelas pekerja di barat dan di seluruh pelusuk dunia merupakan salah satu cara yang penting bagi mengukuhkan gerakan demokrasi ini.

Kini tuntutan gerakan massa telah berkembang dan tidak lagi tertumpu kepada tuntutan membebaskan pihak NLD mahupun pembangkang yang telah ditahan dan ditangkap. Tuntutan untuk mengubah keseluruhan perlembagaan turut disokong dan mulai diperjuangkan. Perlembagaan Myanmar yang sedia ada, dirangka oleh pihak rejim dan memberikan kuasa besar kepada pimpinan ketenteraan. Suku daripada kerusi-kerusi di parlimen dan posisi kementerian utama (seperti kementerian dalam negeri, pertahanan dan juga isu sempadan) secara automatiknya diberikan kepada pimpinan pihak ketenteraan. Oleh yang demikian, tuntutan untuk menggubal semula perlembagaan turut berkait rapat dengan persoalan mengenai jenis perlembagaan apakah yang perlu diganti dan siapakah pula yang akan mengawalnya.

Keperluan Gerakan Kelas Pekerja yang Mandiri.

Gerakan buruh di Myanmar perlu mengambil pendekatan yang mandiri. Perjuangan menentang tindakan kudeta tidak semestinya memberi sokongan politik kepada pimpinan NLD, sebaliknya tertumpu kepada perjuangan untuk mendapatkan hak-hak demokratik. Tuntutan penubuhan kerajaan sivil tidak bermakna bahawa rakyat perlu bekerjasama dengan pimpinan NLD. Gerakan buruh sebaiknya berjuang untuk mendapatkan hak-hak demokratik dan juga, kepentingan kelas pekerja dan rakyat miskin seluruhnya.

Perkembangan gerakan massa yang semakin kuat akan menjurus kepada persoalan siapakah yang seharusnya menggantikan rejim tentera. Pastinya ramai yang menuntut kepulangan Aung San Suu Kyi dan pimpinan NLD ke tampuk pemerintahan, namun kami selaku sosialis berhujah bahawa tiada kepercayaan dapat kita letakkan kepada pihak pimpinan yang pada suatu masa dahulu, secara terbuka membela elit-elit tentera rejim. Sebaliknya, dengan membentuk kerajaan revolusioner yang mewakili kepentingan kelas pekerja dan golongan miskin – sebuah kuasa yang kukuh dapat dibina bagi menewaskan pihak kepimpinan yang merancang semua ini dan membenarkan, pada akhirnya, sebuah keputusan dan hala tuju yang dipersetujui secara demokratik – iaitu ke arah sebuah masa hadapan yang benar-benar berpihak kepada kelas pekerja.

Tuntutan ke arah pembentukan perhimpunan konstituen yang revolusioner dapat memainkan peranan yang penting dalam perjuangan ini. Wakil rakyat yang dipilih daripada perhimpunan keseluruhan negara dapat bekerjasama dan berbincang akan masa hadapan yang lebih makmur buat rakyat di Myanmar. Ianya juga berkait rapat dengan jaminan hak demokratik untuk semua, termasuklah hak untuk menentukan nasib sendiri bagi etnik minoriti.

Tugas ini tidak dapat kira berikan kepada kelas kapitalis ataupun golongan tuan tanah – sejarah menjadi saksi kepada kerjasama mereka dengan rejim tentera yang menindas. Justeru, pimpinan kelas pekerja dalam perjuangan ke sebuah dunia sosialisme menjadi lebih penting. Di bawah kerajaan yang dikawal selia oleh kelas pekerja, sebuah konfederasi sosialis yang murni dapat ditubuhkan di Myanmar. Sudah tentu, tugas kita semua tidak akan berhenti di situ sahaja. Perlaksanaan sebuah ekonomi sosialis dan terancang bukan hanya penting untuk mempertahankan hak-hak demokratik sedia ada, tetapi juga untuk membebaskan masyarakat itu sendiri. Bagi menjayakan gerakan rakyat kini, idea-idea ini perlu dibincangkan, didebatkan dan dilaksanakan.

Organisasi Sosialis Alternatif memohon kepada sesiapa yang berminat untuk berhubung dan membincangkan idea-idea ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *