Dengan kemunculan sebuah generasi baru yang menginginkan jawapan untuk menentang seksisme, Laura Fitzgerald menunjukkan bagaimana sebuah gerakan feminis yang berorientasi sosialis dan anti-kapitalis adalah amat relevan.
“Dan akhirnya, kepada semua wanita di mana jua kamu, saya bersamamu. Apabila kamu rasa sunyi, saya bersamamu. Apabila orang lain meragui kamu, saya bersamamu. Saya berjuang setiap hari untukmu. Oleh itu jangan berhenti berjuang. Saya mempercayaimu. Walaupun saya tidak mampu menyelamatkan semua orang, saya berharap hujah saya hari ini akan memberi anda harapan untuk menghadapi perjuangan ini, sebuah jaminan kecil bahawa kezaliman akan di atasi, sebuah jaminan kecil bahawa perjuangan kami semakin berkembang, dan sebuah jaminan yang amat besar bahawa kamu amat penting, kamu tidak boleh dicabul, kamu cantik, kamu di nilai, di hormati, tidak boleh dinafikan bahawa kamu berkuasa dan tiada sesiapa yang boleh merampasnya daripada kamu. Kepada kaum wanita dimana sahaja, saya berdiri bersamamu. Terima kasih.”
Inilah merupakan kenyataan terhadap seorang mangsa serangan seksual, kes seorang wanita 23 tahun dari Amerika Syarikat (AS) yang telah menjadi viral di media sosial dan diliputi luas oleh saluran berita nasional di AS. Pesalah Brock Turner, seorang pelajar di Universiti Stanford yang tidak dikenali oleh mangsanya, membawa wanita tersebut ke sebuah kawasan terpencil selepas diperkenalkan di sebuah acara sosial. Si mangsa berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri apabila Turner mencabulinya. Dua orang lelaki yang membawa basikal pada masa itu nampak apa yang berlaku dan menghentikan serangan tersebut dan menangkap Turner.
Dalam sebuah kenyataan, si mangsa telah cuba mendedahkan sistem keadilan jenayah dan media yang telah cuba meremehkan serangan yang telah berlaku terhadapnya, sebuah jenayah yang telah memberikan kesan yang amat mengerikan kepada kesihatan dan kehidupan mangsa. Brock Turner, seorang pelajar Stanford yang berkulit putih dan aktif dalam sukan renang (seperti mana yang kerap diulangi oleh media dan peguamnya), telah diberikan hukuman enam bulan di sebuah penjara daerah. Ini berlaku di sebuah negara yang sering menjatuhkan hukuman berat terhadap kesalahan yang lebih remeh yang dilakukan oleh masyarakat berkulit hitam atau minoriti lain.
Sebuah gelombang feminis baru?
Kes rogol Stanford yang di bawa ke mahkamah pada Jun 2016 telah bergema di seluruh dunia. Ini adalah kerana mengikut statistik, satu daripada tiga wanita dunia akan mengalami keganasan dari segi fizikal atau seksual dalam hidup mereka. Ianya juga kerana secara global, sebuah gerakan wanita sedang mula bercambah. Sebuah generasi baru wanita sedang menjadi semakin radikal disebabkan oleh penindasan terhadap mereka dan komuniti LGBTQ yang tidak terhenti. Mereka juga semakin melibatkan diri dalam tindakan-tindakan politik. Mereka berjuang untuk hak-hak reproduksi dalam bilangan besar di Ireland, Poland, Sepanyol dan di tempat lain. Mereka mencabar sebuah budaya lazim di kampus-kampus di AS yang membuka ruang bagi kaum lelaki untuk melakukan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dari segi fizikal dan seksual sambil menyalahkan mangsa. Mereka telah melibatkan diri dalam protes-protes yang berlaku di seluruh dunia seperti mana yang berlaku di Latin Amerika dan juga protes “Rage Against Rape” yang berlaku di India pada 2013.
Pengulas-pengulas hal ehwal semasa menganggap ini sebagai sebuah gelombang feminis baru. Gelombang ini sememangnya mengesahkan hak-hak komuniti LGBTQ+, menolak norma-norma jantina yang tegar yang dikenakan oleh struktur masyarakat di bawah kapitalisme. Ia menolak sifat eksklusif yang timbul dalam gelombang feminis yang muncul pada lewat tahun 60an dan awal 70an. Gelombang tersebut digelar “second wave feminism” (gelombang feminis kedua). Gerakan yang baru ini memberi alternatif untuk merangkumi lebih ramai – dengan memasukkan wanita transgender dan golongan LGBTQ dalam perjuangan. Walaupun, idea-idea gelombang feminis baru ini paling ketara di AS dan Eropah, kepesatan media sosial dalam hidup kebanyakkan orang muda telah memudahkan penyebaran idea-idea sebegini ke seluruh dunia.
Terdapat pemikiran yang lebih terbuka di kalangan anak muda terhadap seksualiti dan jantina di kebanyakkan negara di dunia pada masa ini. Di United Kingdom (UK) misalnya, 49% dari anak muda berumur 18 ke 24 tahun tidak mengenal pasti diri mereka sebagai heteroseksual dalam sebuah pemungutan suara YouGov pada Ogos 2015. Dalam satu lagi survey, juga dari YouGov menunjukkan bahawa hanya 2% daripada lelaki yang berumur 18 ke 24 mengenal pasti diri mereka sebagai sepenuhnya maskulin – menunjukkan bahawa di kalangan lelaki muda, kejantanan ataupun sifat maskulin tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang positif. Kemungkinan besar ini adalah hasil positif dari kesedaran ‘anti-macho’ dan ‘pro-LGBTQ’ di kalangan anak muda.
Menentang ‘machismo’ dan ‘femisid’
Di Latin Amerika, keperluan yang terdesak untuk menentang ‘machismo’ (kelelakian) dan apa yang digelar sebagai ‘femisid’(pembunuhan wanita oleh lelaki yang dimotivasi oleh kedudukan gender) oleh para aktivis telah membangkitkan demonstrasi-demonstrasi besar di Brazil, Mexico, Argentina, Colombia dan Bolivia dalam 12 bulan terakhir ini. Satu kes di Brazil pada Jun 2016 lalu merupakan kes yang telah mencetuskan sebuah demonstrasi besar-besaran yang penuh dengan kemarahan. Seorang budak perempuan berusia 16 tahun telah di perkosa oleh 33 lelaki di Rio de Janeiro. Apabila mangsa tersebut pergi ke balai polis untuk melaporkan kes tersebut, beliau diejek oleh pegawai polis di situ. Bagi mereka, budak perempuan yang tinggal di favela (kawasan rumah setinggan di Brazil) memang “layak” di perkosa sebegini. Kes ini telah dikongsi di laman-laman sosial di internet dan telah menerima liputan yang luas.
Tindak balas yang besar-besaran di jalan raya diikuti dengan sebuah rampasan kuasa dari sayap kanan terhadap kerajaan Dilma Roussef dan partinya PT di Brazil. Kerajaan baru yang menggantikan kerajaan Roussef hanya terdiri daripada lelaki berkulit putih – satu simbol yang tidak hilang dalam pemikiran wanita dan kelas pekerja di Brazil yang kebanyakannya terdiri daripada orang yang bukan berkulit putih. Dalam hal ini, terdapat peluang untuk sayap kiri dalam parti PSOL dan PTSU untuk bekerjasama dengan gerakan-gerakan yang lain, termasuk gerakan wanita untuk mencabar kerajaan Temer yang tidak sah dan bersifat reaksioner. Tetapi, mereka juga harus membina sebuah cabaran sayap kiri terhadap pertubuhan-pertubuhan politik elit, termasuk PT yang telah gagal memperjuangkan hak-hak dan kepentingan pekerja, orang miskin, kaum minoriti dan wanita yang tertindas.
Gerakan wanita yang baru ini muncul empat dekad selepas “second wave feminism” di mana gerakan wanita dan pekerja telah memperjuangkan dan memenangi kemajuan besar untuk wanita, termasuk kesaksamaan undang-undang di banyak negara. Ia adalah amat berguna untuk memperhalusi tempoh ini, dimana sebuah perjuangan yang dibina dari bawah atas usaha rakyat yang tertindas telah berjaya memenangi, antaranya : akta gaji setara, hak untuk kontrasepsi, hak pengguguran di banyak negeri di AS dan Eropah, dana untuk tempat perlindungan wanita yang menjadi mangsa keganasan dan banyak lagi. Namun begitu, kita juga harus menghalusi cara-cara lain yang sesuai bagi masa ini yang boleh mengenalpasti punca penindasan wanita dan mencari penyelesaian yang berkesan.
Neo-liberalisme dan membuat untung dari seksisme
Hester Eisenstein telah menulis bahawa:
“…gerakan wanita telah berjaya mewujudkan sebuah revolusi borjuis untuk wanita…Ia mengambil posisi gerakan wanita pada abad 19 dan 20 untuk menuntut hak kesaksamaan bagi semua wanita. Walaupun revolusi tersebut belum lengkap, ia seolah-olah sudah selesai : wanita, terutamanya wanita kelas pertengahan dapat lihat jalan keluar dari di kategorikan hanya sebagai isteri dan ibu, dan melangkah ke dalam dunia pasaran yang bersifat kompetitif dan individualistik.
Hester juga berhujah bahawa revolusi feminis tahun 60an dan 70an ini didukung oleh keperluan ekonomi kapitalis untuk memasukkan golongan wanita ke dalam arena produksi dan menjadi pekerja. Tahun 70an telah membawa krisis kepada ekonomi kapitalisme dan mula bergerak kearah sistem ekonomi neo-liberal kapitalisme. Idea neo-liberalisme ini diangkat oleh pemimpin-pemimpin dunia seperti Margaret Thatcher dan Ronald Reagan. Neo-liberalisme ini boleh disimpulkan sebagai sebuah idea yang ingin menyingkirkan semua halangan yang wujud untuk mencari keuntungan oleh pihak swasta. Ia menolak balik gerakan pekerja dan melancarkan serangan terhadap kondisi tempat kerja dan gaji; melemahkan organisasi pekerja seperti Kesatuan; melakukan penswastaan terhadap industri negeri; mewujudkan kapitalisme yang lebih mengutamakan industri ‘kewangan’ seperti perbankan; dan mengalihkan industri-industri perkilangan dari dunia pertama ke dunia ketiga. Hester juga telah memetik perubahan indikatif dalam pasaran buruh di AS dari 40an hingga ke 60an, peningkatan buruh wanita kebanyakannya tertumpu pada pekerjaan manual dan servis seperti kerani, operator telefon dan sebagainya. Malah lebih 50% daripada peningkatan buruh wanita dari 60an ke 90an adalah dalam jawatan kerani dan staf ofis.
Kemajuan dalam beberapa undang-undang kesamarataan telah membolehkan kemajuan bagi segelintir wanita-wanita elit. Sekarang, terdapat wanita yang menjadi CEO untuk syarikat-syarikat besar (namun, bilangan orang yang berkuasa atau para kapitalis elit masih kebanyakannya terdiri daripada lelaki). Hillary Clinton, dengan kempen untuk menjadi presiden pada 2008 dan 2016 juga melambangkan pemberdayaan wanita di dunia moden. Namun, kejayaan wanita-wanita elit ini dipergunakan oleh kelas kapitalis sebagai simbol untuk justifikasi kesinambungan sistem tersebut. Kemasukan pekerja wanita di skala global dalam beberapa dekad terakhir ini – sebagai sumber tenaga kerja separuh masa yang fleksibel dan murah – telah dipergunakan oleh kapitalisme dalam memperkukuhkan agenda ekonomi neo-liberal. Semasa feminisme borjuis berfokus terhadap wanita dikalangan elit, eksploitasi pekerja wanita semakin bertambah. Di Barat, wanita sering bekerja dalam pekerjaan yang bergaji rendah dalam sektor servis. Di Timur seperti Asia dan Afrika, wanita dan budak perempuan terpaksa bekerja dalam kondisi yang sangat teruk untuk gaji yang sangat rendah dalam kilang-kilang gergasi – seperti yang dilihat di industri pakaian di Bangladesh. Di Dhaka pada 2012, lebih 1000 orang pekerja telah terkorban nyawa akibat keruntuhan kilang pakaian yang mengeluarkan pakaian untuk di jual di negara-negara maju.
Kapitalisme merupakan sistem yang bersifat oportunis dan sentiasa mengejar keuntungan. Salah satu ciri “second wave feminism” ialah bahawa ia telah dengan berani menyokong tuntutan kebebasan seksual wanita dan autonomi badan untuk wanita. Ini pun telah dirampas oleh kapitalisme, di mana badan wanita dipergunakan dalam iklan-iklan komersial untuk menggalakkan konsumerisme dan mempromosikan idea bahawa wanita merupakan objek yang boleh di miliki. Ia juga dihubungkan dengan percambahan besar-besaran industri seks global, salah satu industri yang mendapat keuntungan yang terbesar di dunia, yang dengan tidak ikhlasnya menggunakan terma kebebasan seksual untuk mewajarkan sebuah industri yang menaja pandangan bahawa seks dan seksualiti sememangnya harus bersifat patriarki. Wanita hanya di lihat sebagai objek keinginan dan “keperluan” lelaki, tanpa mempertimbangkan bahawa wanita juga mempunyai seksualiti yang berbagai-bagai seperti lelaki, dan langsung diabaikan oleh industri tersebut.
Buruh domestik yang tidak dibayar
Era neo-liberal melambangkan serangan terhadap idea dan aplikasi negara kebajikan dengan mengurangkan dana perbelanjaan sosial dari kerajaan dan melakukan penswastaan secara menyeluruh. Secara menyeluruh, fenomena ini dipergiatkan lagi apabila krisis ekonomi 2008 berlaku. Ideologi yang mendukung keluarga nuklear, dengan suami/ayah berperanan sebagai ketua keluarga dan isteri yang patuh, merupakan laknat untuk kebanyakan orang biasa tanpa kira identifikasi jantina. Sememangnya kelas pemerintah jarang mempromosikan visi ini yang mendedahkan posisi sebenar mereka. Kebanyakkan kelas pemerintah juga menyokong kesaksamaan perkahwinan, namun, ini hanya berlaku atas tekanan perjuangan golongan LGBTQ selama berdekad-dekad lamanya.
Dengan kemasukkan buruh wanita secara besar-besaran ke dalam produksi, ditambah pula dengan penghakisan dana awam, wanita masih dibebankan dengan pekerjaan domestik yang ‘tidak dibayar’ – tugas pekerjaan rumah tangga, buruh emosi termasuk pemeliharaan kanak-kanak dan penjagaan warga tua dan yang sakit. Walaupun tugas itu adalah sangat penting untuk mewujudkan tenaga kerja yang baru bagi kesinambungan sistem kapitalisme, sistem tersebut meletakkan semua beban ke atas golongan wanita yang sudah di kondisi untuk menerimanya.
Feminisme borjuis: sebuah jalan mati?
Kemajuan dalam undang-undang kesaksamaan di kebanyakan negara tidak dapat menyampaikan kesaksamaan secara konkrit untuk kebanyakan wanita yang hidup di sana, terutamanya wanita dari kelas pekerja dan yang miskin. Industri-industri seperti pasaran kosmetik global bernilai lebih 500 bilion dolar dan industri pembedahan kosmetik global dijangka akan memanjat nilai lebih 27 bilion dolar pada 2019. Tetapi ini hanya salah sebuah cara untuk meraih keuntungan melalui eksploitasi terhadap kekurangan keyakinan diri dan kesihatan mental wanita yang diwujudkan melalui industri pengiklanan dan perfileman. Secara global, kemungkinan wanita untuk mengalami masalah depresi adalah dua kali ganda berbanding lelaki. Oleh itu, ianya penting untuk membina gerakan wanita yang bersifat anti-kapitalis.
Anti-kapitalisme secara praktikal sememangnya perlu menjadi anti-rasis dan anti-imperialis. Di Cologne, Jerman, beberapa serangan seksual yang berlaku terhadap wanita di sekeliling bandar raya pada perayaan Tahun Baru 2015 telah dipergunakan oleh media dan pertubuhan politik untuk menghidupkan sentimen Islamofobia dan anti-imigran. Disebabkan populasi pelarian dari negara Islam seperti Syria yang ramai di rantau itu, pihak media mula mendendangkan propaganda untuk memangsakan komuniti Muslim yang tertindas. Sosialis di sana menganjurkan protes untuk membantah segala bentuk serangan seksual dan keganasan dengan tegas sambil menentang rasisme dan Islamofobia yang memangsakan pelarian perang dengan prejudis. Demonstrasi ini dengan tepat menunjuk kepada peningkatan kes-kes ganguan seksual terhadap wanita oleh penduduk tempatan German yang sedang berganda.
Menentang penindasan dan kapitalisme
Garisan untuk sebuah gerakan wanita baru sedang membentuk secara global pada masa krisis politik dan ekonomi sistem kapitalisme sedang meruncing. Secara umunya, kesedaran wanita muda sedang semakin radikal di seluruh dunia. Di Malaysia, walaupun protes yang spesifik berfokuskan terhadap penindasan wanita belum berlaku secara besaran, ramai golongan wanita sedang rasa terancam dengan situasi yang sedang berlaku di mana kerajaan sedang mengurangkan dana perbelanjaan sosial bagi wanita dan juga bercadang untuk memperkenalkan undang-undang yang akan menindas kaum wanita. Kemarahan yang sedang terpendam akan membawa kepada sebuah demonstrasi yang akan mengangkat perjuangan wanita. Penglibatan gerakan-gerakan LGBTQ di protes seperti Bersih merupakan sebuah tanda positif juga bagi perjuangan wanita.
Sebenarnya, semua perjuangan untuk membebaskan wanita akan menjadi kuat apabila dikaitkan dengan perspektif anti-kapitalis dan sosialis. Contohnya, perjuangan kami untuk mendapat hak pengguguran yang lebih adil. Di Malaysia sekarang, pengguguran janin hanya boleh dilakukan jikalau doktor berpendapat bahawa ia lebih baik untuk menggugurkan bayi bagi menyelamatkan ibu yang mungkin akan mengalami penderitaan dari segi fizikal dan mental. Tetapi dari segi praktik, pengguguran janin amat jarang dibenarkan dan masih dianggap sebagai jenayah di Malaysia. Malah, masih ramai daripada mangsa rogol termasuk mangsa bawah umur yang terpaksa mencari jalan lain atau terpaksa memikul beban seumur hidup mereka. Tidak hairan bahawa kes pembuangan bayi sedang semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Tidak kurang juga bilangan wanita yang terpaksa menghadapi risiko kesihatan dan mental akibat ketiadaan kemudahan untuk menggugurkan anak dengan selamat di hospital atau klinik. Risiko utama untuk kematian dalam prosedur pengguguran bayi adalah disebabkan amalan prosedur yang tidak selamat. Sebanyak 68 000 wanita mati setiap tahun akibat amalan pengguguran yang tidak selamat di dunia ketiga, dan sebanyak 5 juta mengalami kesan negatif dari segi fizikal dan mental.
Mengikut statistik, penyebab utama untuk pengguguran bayi adalah disebabkan kekangan kewangan, cuba mengelak kehidupan ibu tunggal, menganggap dirinya terlalu muda untuk menjaga anak dan sebagainya. Masalah yang wujud disebabkan oleh ketempangan sistem ekonomi kapitalis menjadi pendorong utama bagi memilih jalan pengguguran bayi, walaupun dalam situasi yang merbahaya.
Statistik untuk kes-kes rogol dan sumbang mahram yang dilaporkan sedang semakin meningkat. Walaupun tanpa mengira kes-kes yang tidak dilaporkan pun, kontraseptif kecemasan dapat mengurangkan kehamilan akibat kes rogol dan pencabulan. Oleh itu, ini merupakan sesuatu hak yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk memerangi wabak tersebut. Ini hanya akan menjadi kemungkinan dengan sebuah gerakan untuk pembebasan wanita yang berorientasi sentimen sosialis yang akan menawan kuasa kerajaan untuk memerintah demi kebaikan dan keperluan rakyat sejagat.
Gerakan solidariti kelas pekerja
Secara global, kelas kapitalis memegang kuasa ekonomi dan politik yang besar. Untuk membina masyarakat sosialis di mana sumber kekayaan dapat dikawal dan diguna demi kebaikan majoriti, ia memerlukan satu cabaran yang bersepadu terhadap sistem, berdasarkan solidariti di kalangan semua lapisan kelas pekerja. Wanita mempunyai kepentingan dalam pembinaan gerakan ini, dan untuk mengaitkan tuntutan dan aspirasi mereka: sebagai pekerja wanita yang lebih diwakili di sektor-sektor yang bergaji rendah; sebagai wanita muda yang memerlukan kebebasan reproduktif dan seksual (di mana kekurangan kebebasan reproduktif dan seksual ini di manifestasi dengan keganasan terhadap wanita yang bertambah); sebahagian dari komuniti LGBTQ yang ingin menghentikan budaya heteronormatif dan norma-norma jantina yang tegar.
Arus massa yang berpaling dari politik pertubuhan elit di AS dan Eropah melambangkan potensi untuk membina sebuah gerakan bagi membina dunia sosialis. Sambil itu, ia juga melambangkan potensi untuk pertumbuhan populisme sayap kanan yang taksub dan berbahaya. Kemenangan Trump di AS dan kemajuan parti-parti politik sayap kanan populis di Austria, Perancis dan UK misalnya – kuasa-kuasa yang berpegang kepada pandangan terhadap wanita yang ketinggalan zaman dan jahil – mewakili ancaman yang serius terhadap kemajuan yang telah dicapai oleh gerakan wanita sehingga sekarang. Oleh itu, perspektif anti-kapitalisme dan sosialisme perlu mendapat tempat penting dalam gerakan wanita.
Rujukan :
1 Katie Baker, 3 June 2016, “Here is the powerful letter the Stanford victim read to her attacker”, Buzzfeed, buzzfeed.com
2 WHO et al, Global and Regional Estimates of Violence Against Women, p.2
3 16 June 2016, “1 in 2 Young People Say they are not 100% heterosexual”, YouGov.co.uk
4 13 May 2016, “Only 2% of young men feel completely masculine”, YouGov.co.uk
5 Uki Goni & Jonathan Watts, 3 June 2016, “Brazil and Argentina unite in protest against culture of sexual violence”, The Guardian, theguardian.com
6 Hester Eisenstien, 2009, Feminism Seduced: How Global Elites Use Women’s Labor & Ideas to Exploit the World, Paradigm, p. 64
7 Ibid, p. 48
8 Ibid, p. 52
9 Lise Vogel,2013, Marxism and the Oppression of Women: Toward a Unitary Theory, Haymarket Books
10 www.businesswire.com
11 March 2015, “Global Cosmetic Surgery and Service Market Report”, Kelly Scientific Publications, bharatbook.com
12 WHO, “Gender and Women’s Mental Health”, who.int
13 www.iraqbodycount.org
14 Alan Rappeport, 7 February 2016, “Gloria Steinem and Madeleine Albright Rebuke Young Women Backing Sanders”, New York Times, nytimes.com
15 29 February 2016, “Sanders Supporters Rally in NYC, Say They’re “Not here for boys””, democracynow.org
16 Larry Elliot, 18 January 2016, “Richest 62 people as wealthy as half of world’s population, says Oxfam”, The Guardian, theguardian.com
17 The UN Refugee Agency, “Figures at a glance, global trends 2015”, unhcr.org