Perang dagang di antara negara Amerika dan China, yang sudah melebihi setahun masih berlanjutan tanpa sebarang titik noktah, dan ketegangan ini sedang mengkucar-kacirkan pasaran dan ekonomi dunia. Sebagai gergasi ekonomi dunia, Amerika dan China masing-masing menuding jari untuk menuduh punca kepada konflik ini, tetapi pada masa yang sama berlumba-lumba untuk menjadi jaguh ekonomi dunia. Donald Trump mengenakan tarif bagi barangan import dari China, selain meletakkan syarikat Huawei dalam senarai hitam untuk mendabik dada dan melaungkan bahawa Amerika sudah ‘kembali hebat’ seperti slogan yang dipegangnya. Sebagai tindak balas, Xi Jinping pula mengenakan tarif ke atas sebilangan barangan Amerika dengan menyatakan China tidak akan tunduk kepada Amerika. Sebenarnya, ekonomi kedua-dua negara ini sama-sama terikat dari segi ekspot, impot dan pelaburan, yang bermakna masing-masing akan berdepan dengan kesan ekonomi sekiranya tiada kesudahan kepada perang dagang ini.
Jika ketegangan di antara dua gergasi ekonomi semakin memuncak, ianya bukan sahaja akan memberikan kesan secara langsung kepada kehidupan pekerja dan rakyat di Amerika dan China, malah kesannya boleh merebak kepada sebahagian besar negara dan rakyat di dunia. Ini disebabkan kebergantungan ekonomi kebanyakan negara termasuk Malaysia kepada ekonomi kedua-dua negara ini. China dan Amerika adalah rakan dagang Malaysia yang paling utama.
Seperti bila ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk yang mati ditengah-tengah’, perang dagang ini mendedahkan motif elit-elit politik di kedua-dua negara ini yang sanggup berentap untuk menjadi jaguh tanpa mempedulikan akibatnya kepada ekonomi serta warga pekerja dan rakyat biasa. Dengan ketegangan ini, beberapa pakar ekonomi menyangkakan dunia kini sedang menuju satu lagi krisis ekonomi, kemungkinan pada tahun hadapan.
Semua pergolakan ekonomi yang berlaku, adalah akibat kepincangan yang wujud dalam sistem pasaran bebas yang dikawal oleh segelintir golongan bilionar. Kerajaan kedua-dua negara ini sanggup berentap dalam perang dagang ini semata-mata untuk mempertahankan keuntungan golongan bilionar di negara masing-masing, dan tindakan ini bukannya berniat untuk memanfaatkan rakyat biasa dan warga pekerja. Hanya melalui solidariti dan perjuangan pekerja di Amerika, China dan negara-negara lain termasuk Malaysia, benteng ekonomi kuku besi yang dikawal oleh segelintir golongan bilionar ini mampu diruntuhkan dengan matlamat mendirikan ekonomi terancang yang memanfaatkan semua dengan berlandaskan kepada keperluan dan demokrasi rakyat terbanyak iaitu kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lain.