Kematian Fidel Castro, berumur 90 tahun, telah diumumkan oleh adiknya Raul, di televisyen negara Cuba hampir seminggu lalu. Berjuta-juta pekerja di Cuba dan di seluruh dunia akan meratapi pemergian pemimpin revolusi Cuba 1959 bersama dengan Che Guevara. Pada masa yang sama, kuasa-kuasa reaksi kapitalisme akan mempergunakan waktu ini untuk cuba dan memulihkan sistem ekonomi pasaran bebas di pulau tersebut. Matlamat kuasa-kuasa reaksioner ini adalah untuk menghakis balik segala kemudahan sosial yang dimenangi oleh rakyat biasa melalui revolusi dan hasil kesan ekonomi terancang termasuk dalam bidang pendidikan dan perubatan.
Di bawah Tony Sounious ( aktivis CWI ) melihat kehidupan dan warisan Fidel Castro dan juga revolusi Cuba. Artikel ini juga membincangkan hala tuju Cuba untuk mempertahankan kemenangan sosial mereka dan membangkitkan isu-isu penting mengenai demokrasi pekerja dan perjuangan demi sosialisme di seluruh dunia.
Penerbitan buku ‘My life (Hidup Saya) – Fidel Castro’ dalam bahasa Inggeris pada tahun 2007 tiba pada masa yang amat sesuai apabila pemerintahan Castro telah hampir tamat dan Castro sendiri sedang membuat persediaan untuk bersara. Berdasarkan lebih 100 jam wawancara dengan penulis Ignacio Ramonet yang juga merupakan editor akhbar Le Monde Diplomatique, jawapan-jawapan yang diberikan oleh Castro menjelaskan dengan dalam mengenai revolusi Cuba dan perkembangannya sejak 1959. Ia juga banyak membincangkan tentang prospek politik dan kaedah-kaedah yang dipilih oleh Fidel Castro.
Castro dengan wajarnya telah mengetengahkan kelebihan sosial yang mengagumkan bagi rakyat negara itu dalam sektor pendidikan dan kesihatan selepas revolusi Cuba 1959-1960. “ Jangka hayat rakyat Cuba pada masa ini adalah 18 tahun lebih lama secara purata jika dibanding dengan tahun 1959, sebelum revolusi. Cuba mempunyai kadar kematian bayi yang amat kurang, cuma 6 dalam 1000, hanya sedikit di belakang Canada” hujah Castro.
“Pada waktu revolusi, jangka hayat adalah cuma 60 tahun! Ini adalah selepas 50% daripada doktor melarikan diri ke luar negara berikutan revolusi. Bagi setiap doktor yang kekal pada waktu itu, kita ada 15 hari ini!”
Pendidikan percuma terbuka kepada semua yang tidak mempunyai pekerjaan dan lebih 90,000 pelajar sedang mengikuti pengajian perubatan, kejururawatan atau lain-lain aspek pendidikan kesihatan. Semua ini berjaya dilakukan walaupun dengan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh imperialisme Amerika Syarikat sejak tahun 1960 dan kemerosotan ekonomi yang teruk diikuti kejatuhan Soviet Union pada tahun 1992.
Kejayaan sebegini dan pencapaian lain yang mengagumkan seperti yang disebut oleh Castro memberikan gambaran kecil kepada apa yang mungkin dapat dilaksanakan dengan ekonomi terancang sosialis yang demokratik, dikawal dan diuruskan oleh kelas pekerja. Satu lagi pencapaian ekonomi terancang dapat dilihat dalam beberapa aspek dasar luar negara Cuba. Selain menggerakkan lebih 30,000 doktor untuk bekerja di lebih 40 negara, salah satu pencapaian yang paling besar adalah mobilisasi puluhan ribu “sukarelawan antarabangsa”, dari tahun 1975 dan seterusnya, ke Angola dan Namibia. Di Angola, 36,000 tentera bertempur dengan tentera apartheid Afrika Selatan dan mengalahkannya. Tentera Cuba memainkan peranan yang amat penting dalam perjuangan pembebasan Namibia daripada pemerintahan Afrika Selatan. Dalam jangka masa 15 tahun, lebih daripada “300,000 pejuang antarabangsa telah memenuhi misi mereka di Angola”. Perjuangan ini telah memainkan peranan penting dalam keruntuhan rejim apartheid di South Africa. Cuba adalah, hujah Castro “Satu-satunya negara bukan Afrika yang pernah berperang dan menumpahkan darah untuk rakyat Afrika dan menentang rejim apartheid yang dibenci.”
Permusuhan dengan Imperialis Amerika Syarikat
Dari awal lagi, revolusi Cuba telah membangkitkan murka imperialisme Amerika Syarikat yang telah berusaha untuk menumbangkannya beberapa kali. Hari ini, imperialisme Amerika Syarikat dan wakilnya masih sedang mengharapkan kematian rejim Kuba dan keruntuhan model ‘ekonomi terancang’.
Kemelut ‘Bay of Pigs’ pada tahun 1962 adalah peristiwa yang dikenali umum, di mana imperialisme AS melancarkan serangan ketenteraan terhadap revolusi Cuba, sejurus selepas Castro mengisytiharkan ciri-ciri ekonomi sosialisme dalam revolusi itu.
Castro menyenaraikan satu siri serangan-serangan lain yang pernah di cuba oleh AS dan pelarian revolusi yang disokong oleh AS. “Pada tahun 1971, di bawah presiden Nixon, ‘Swine fever’ (sejenis virus demam) telah diperkenalkan di Cuba dalam sebuah bekas, menurut sumber CIA.” Pada tahun 1981 pula, virus denggi jenis 2 telah dilepaskan di Cuba dan telah mengakibatkan 158 kematian termasuk 101 kanak-kanak. Kemudian, seperti yang dilaporkan, dikatakan terdapat lebih 600 percubaan untuk membunuh Fidel Castro oleh Amerika Syarikat.
Manfaat sosial yang dinikmati rakyat, dan pada masa yang sama serangan bertubi-tubi oleh imperialis AS telah berjaya meraih simpati terhadap revolusi Cuba dari seluruh dunia dan terutamanya di Amerika Latin. Ini juga terjadi dengan situasi Venezuela, walaupun revolusi di negara itu gagal untuk untuk maju dan menumbangkan kapitalisme. Kedua-dua Cuba dan Venezuela dianggap sebagai satu-satunya rejim yang bersedia untuk menentang serangan kapitalisme neo-liberal dalam era selepas kejatuhan Soviet, 1990 – 2000. Negara Cuba memenangi simpati yang meluas sebagai satu-satunya rejim yang bersedia untuk berdiri menentang “empayar” – imperialisme Amerika Syarikat.
Kejatuhan USSR
Sambutan Castro bagi beberapa soalan, terutamanya mengenai tahun 1990-an dan kejatuhan bekas Kesatuan Soviet, mendedahkan individu yang sangat rajin membaca, yang mengikuti keadaan dan perkembangan dunia dengan rapi. Berikutan pengalaman buruk akibat pemulihan sistem ekonomi pasaran bebas di bekas Kesatuan Soviet, Castro telah mengelak untuk mengambil jalan yang sama bagi Cuba. Hakikat bahawa Cuba mampu untuk terus hidup tanpa berpecah dengan model ekonomi terancang dan tanpa memulihkan kapitalisme adalah bukti kepada akar sosial yang telah ditubuhkan oleh revolusi. Selepas kedegilan Cuba untuk lebih satu dekad, akhirnya mereka diselamatkan oleh minyak Venezuela selepas Chavez mendapat kuasa. Rejim Cuba juga dapat mengekalkan lebih banyak sokongan apabila berhadapan dengan dasar agresif daripada imperialisme Amerika Syarikat.
Castro mendedahkan peranan yang dimainkan oleh Felipe González, (bekas pemimpin Parti Sosialis Sepanyol – PSOE) dalam memujuk bekas pemimpin Soviet, Gorbachev untuk menyokong dasar pemulihan kapitalis di USSR. González, bersama-sama dengan yang lain, seperti Manual Fraga (bekas Menteri di rejim fasis Franco dan Presiden di Galicia) cuba memujuk Castro untuk mengambil jalan yang sama pada tahun 1990. “Fraga adalah salah satu daripada orang-orang, bersama-sama dengan González dan lain-lain … yang merupakan sebahagian daripada kumpulan yang telah secara mendesak cuba memberikan saya nasihat ekonomi pada masa kejatuhan USSR. Dia membawa saya ke sebuah restoran yang mewah satu malam – dan dia cuba untuk memberikan saya sebuah formula. ‘Formula untuk Cuba adalah sama dengan formula untuk Nicaragua, katanya … “
Castro menolak nasihat ini. Hujahnya bahawa formula yang dicadangkan “..telah menarik Nicaragua ke dalam jurang rasuah, kecurian, kecuaian yang teruk. Mereka mahu saya untuk mengikuti formula Rusia, salah satu perkara yang Felipe dan penasihat elit menggesa Gorbachev untuk mengikuti … dan tidak ada apa yang tinggal. Semua yang menasihati untuk mematuhi prinsip-prinsip neo-liberalisme – penswastaan, pematuhan ketat kepada peraturan IMF – telah mendorong banyak negara dan penduduk mereka ke dalam krisis sosial dan ekonomi “.
Keruntuhan ‘Globalisasi’ dan Peranan Kelas Pekerja
Terpencil, menghadapi gelombang pasang surut dasar neo-liberal di peringkat antarabangsa pada tahun 1990, Castro menerangkan pendekatan beliau dalam tempoh itu. Pada dasarnya, Castro mengamalkan polisi melengahkan masa. Ini telah dikaitkan dengan perspektif menunggu sehingga ‘projek globalisasi’ itu runtuh dengan sendiri. Ini, hujah Castro, “akan mewujudkan keadaan yang lebih kritikal dari krisis 1929.” kapitalisme moden, Castro berpendapat, telah menjadi sekadar monopoli, “Tidak ada kapitalisme hari ini, tidak ada persaingan. Hari ini, apa yang kita ada adalah monopoli dalam semua sektor besar “.
Cuma 500 syarikat global sedang mengawal 80% daripada ekonomi dunia. Merujuk kepada krisis yang berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Castro menyimpulkan: “Ia tidak lagi hanya sekadar krisis di Asia Timur, sama seperti pada tahun 1977, ia adalah satu krisis global, ditambah dengan perang di Iraq, hutang yang besar, sisa yang semakin meningkat bersama dengan kos tenaga … .” Castro menyimpulkan akibat jika sistem ini dikekalkan,” dunia sedang dipandu ke jalan buntu “.
Kelas sosial yang mana mampu melawan sistem ini dan membina alternatif sosialis demokratik tulen? Buku ini juga mendedahkan kekurangan pemahaman Castro tentang bagaimana dan kelas mana yang akan dapat mengalahkan kapitalisme dan membina alternatif sosialis demokratik. Ini menjurus kepada penggunaan idea dan kaedah yang bercanggah. Sepanjang keseluruhan buku ini, langsung tidak ada sebarang rujukan kepada kelas pekerja dan peranannya dalam mencapai revolusi sosialis.
Ketiadaan penekanan terhadap peranan kelas pekerja mendedahkan serba sedikit tentang sikap Castro terhadap revolusi Cuba dan, secara amnya, untuk watak sebuah revolusi sosialis. Bagi Castro, kelas pekerja tidak memainkan peranan yang penting. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Castro merujuk kepada revolusi Cuba, “Tetapi, bagi kita, peperangan gerila adalah pencetus bagi proses-proses lain yang bermatlamatkan penguasaan negara oleh revolusioner. Dan titik kemuncaknya adalah mogok umum revolusi dan pemberontakan umum oleh masyarakat itu “.
Dalam erti kata lain, perjuangan gerila akan mencetuskan sokongan dikalangan rakyat jelata di mana kelas pekerja hanya memainkan peranan sokongan dan bukannya peranan utama di hadapan. Sepertimana yang dijelaskan oleh CWI dalam artikel-artikel dan dokumen lain, disebabkan oleh faktor-faktor sejarah dan kondisi subjektif, perjuangan gerila telah berjaya dibentangkan di Cuba dan hanya selepas tentera gerila memasuki bandar, para penduduk turun ke jalan raya.
Dalam buku Castro : My Life, terdapat beberapa perbezaan antara bagaimana Castro dan Gerakan 23 Julai telah melihat revolusi daripada awal perjuangan. Castro memberi gambaran bahawa dia mempunyai objektif ‘sosialis’ yang sudah dirumuskan dengan jelas dari awal. Walau bagaimanapun, seperti yang dijelaskan dalam artikel-artikel dan dokumen militan / CWI lain, pada masa itu, dan seterusnya, kita tidak boleh menyimpulkan perkara tersebut sebagai fakta. Para pemimpin Gerakan 23 Julai itu, pada hakikatnya, mempunyai objektif untuk menumbangkan Batista dan mewujudkan “demokrasi Cuba moden.” Che Guevara mengambil sikap yang berbeza dengan pemimpin lain dalam gerakan itu. Sebagai akibat sekatan imperialisme AS dan tekanan daripada orang ramai, para pemimpin itu dengan cepat ditolak ke arah jalan yang lebih radikal, yang akhirnya terpaksa berpecah dengan kapitalisme.
Walaupun proses revolusi Cuba telah berjaya memecahkan rejim diktator Batista, ia telah menyumbang kepada sifat kerajaan yang telah menggantikannya. Walaupun kelas pekerja telah menyokong revolusi tersebut, tetapi mereka tidak memainkan peranan kepimpinan seperti yang dilakukan oleh kelas pekerja dalam Revolusi Rusia pada tahun 1917.
Rejim Negara Cuba
Di Cuba, kapitalisme telah digulingkan selepas beberapa tindakan balas antara kerajaan baru negara tersebut dan imperialisme Amerika Syarikat. Walaupun hal ini sememangnya merupakan satu langkah yang besar dalam menubuhkan sebuah kerajaan sosialis, ianya tidak dapat mewujudkan sebuah demokrasi yang dipimpin oleh kelas pekerja dan petani, sepertimana yang dilihat di Rusia pada 1917. Sebaliknya, ia mewujudkan sebuah rejim yang birokratik (dengan beberapa elemen-elemen kawalan pekerja pada awalnya yang sekarang sudahpun terhakis), yang menguruskan sebuah ekonomi terancang yang dinasionalisasikan.
Pendirian sebenar kerajaan baru tersebut secara tidak sengaja didedahkan oleh Ignacio Ramonet dalam pengenalannya ke buku My Life, apabila dia menyatakan: “Walaupun beliau [Fidel Castro] hanya satu suara, beliau membuat semua keputusan, tidak kira besar atau kecil. Walaupun beliau berkonsultasi dengan pihak yang berkuasa dalam kerajaan dan dalam parti dengan begitu hormat dan dengan profesionalisme dalam proses membuat keputusan, ia adalah Fidel akhirnya yang mengambil keputusan”.
Castro juga mendedahkan bagaimana aspek-aspek kerajaan berfungsi pada masa-masa kritikal. Apabila dihadapi dengan keputusan untuk menjalankan hukuman mati atas ketua tentera, Arnoldo Ochoa, yang didakwa mengedarkan dadah, ia merupakan sebuah keputusan yang “sebulat suara oleh dewan negara yang mempunyai 31 ahli. Dalam tempoh masa, dewan negara telah menjadi hakim dan apa yang paling penting adalah perjuangan untuk memastikan setiap keputusan dibuat dengan permuafakatan ahli”.
Hakikat bahawa keputusan ini diambil tanpa perbezaan pendapat menunjukkan sifat badan ini dan pengaruh Castro, terutamanya memandangkan hakikat kes Arnoldo Ochoa yang bersifat sangat kontroversial.
Castro juga mempertahankan idea kerajaan satu parti: “Bagaimana negara kita dapat memperjuangkan hak kita jikalau dipecah belahkan?”
Castro juga terus mengelirukan isu ini dengan menyerang korupsi dan manipulasi media massa di negara-negara kapitalis barat sebagai demokrasi palsu. Namun begitu, ini merupakan isu yang berlainan daripada hak bagi pekerja, belia dan golongan intelek untuk menubuhkan parti-parti politiknya sendiri, termasuk parti-parti Trotskyists, untuk bertanding dalam pilihanraya dalam sebuah demokrasi untuk kelas pekerja dan petani.
Sebuah demokrasi untuk kelas pekerja yang tulen akan memastikan pemilihan semua pegawai dengan demokratik dan tertakluk kepada perlucutan, pegawai kerajaan dan parti mendapat gaji yang tidak melebihi jumlah pendapatan seorang pekerja biasa, serta kebebasan bersuara dari segi pandangan dan kritikan. Sebuah rejim sebegini, yang telah berkuasa hampir 50 tahun, tidak sepatutnya takut akan pekerja, belia dan golongan intelek untuk terlibat dalam politik dan menubuhkan parti-parti mereka sendiri, untuk mempertahankan ekonomi terancang ataupun bersetuju untuk tidak mengangkat senjata.
Ini bukan menyatakan bahawa Cuba di bawah pimpinan Castro adalah sama dengan USSR di bawah pimpinan Stalin, dengan pembunuhan dan pemenjaraan ahli-ahli parti yang menentang birokrasi, kultus personaliti Stalin dan sebagainya. Masih tiada potret atau jalan raya yang di nama sebagai tanda kehormatan kepada Castro. Tiada bukti yang memaparkan taktik penyeksaan telah diguna oleh kerajaan terhadap banduan atau tahanan. Namun ini tidak maksud bahawa birokrasi dan elemen korupsi tidak wujud. Ini dibuktikan oleh pengakuan kerajaan Cuba baru-baru ini bahawa hanya 15% jumlah penduduk memiliki sebanyak 90% jumlah mata wang peso dalam akaun bank.
Negara Cuba dalam Pengasingan
Masalah yang dihadapi Castro pada 90-an, selepas kejatuhan USSR, merupakan masalah pengasingan, digabungkan dengan batasan yang disebabkan oleh kewujudan sebuah birokrasi dan ketiadaan sebuah demokrasi pekerja yang tulen. Langkah-langkah seperti pembukaan ekonomi separa dan juga dollarisation separa (memperkenalkan dolar Amerika), diperkenalkan oleh rejim Cuba untuk membeli lebih masa. Hal-hal sebegini telah membesarkan kontradiksi, terutamanya dollarisation separa, yang telah meningkatkan perbezaan antara jumlah penduduk yang mempunyai akses ke dollar AS dan jumlah penduduk yang tidak mempunyai akses ini, sambil mewujudkan pertumbuhan pasaran gelap dan korupsi.
Isu pengasingan Cuba dikaitkan dengan kekalahan gerakan revolusioner di Latin Amerika pada 70an dan 80an. Castro, dalam My Life, tidak memberi konklusi yang cukup untuk sebab-sebab kekalahan ini. Castro menyatakan: “Nicaragua mendapat kemenangannya 12 tahun selepas kematian Che [Guevara] di Bolivia. Ini bermakna kondisi objektif untuk revolusi di kebanyakkan negara di seluruh Latin Amerika sudah melebihi Cuba”. Namun persoalan utama ialah kenapa Sandinista di Nicaragua kalah sekali lagi dalam kaunter revolusi? Mengenai isu ini, Castro tidak memberi penjelasan yang memuaskan. Beliau juga tidak memberi komen mengenai kegagalan Sandinista untuk menggulingkan kapitalisme. Pihak Sandinista sendiri tidak dapat bertindak dengan tegas dalam tugasnya untuk menggulingkan sistem kapitalisme, terutamanya pada 1984, sebahagian besar akibat tekanan oleh birokrasi Stalinis di Moscow yang membantah langkah ini. Cuba, dan Castro, menyokong tekanan Moscow pada masa itu.
Mengenai penggulingan Allende pada 1973 di Chile, Castro dengan betul mengecam peranan imperialisme AS, namun tidak berkata mengenai kesalahan kepimpinan parti-parti kiri disana. Walaupun menghadapi kegagalan, proses-proses perjuangan di Latin Amerika pada masa itu adalah begitu penting kerana ia meningkatkan pengasingan Cuba di rantau Latin Amerika dan pada masa yang sama meningkat pergantungannya kepada birokrasi di Moscow. Lebih-lebih lagi, Castro mengulang kesilapan yang dibuat oleh pemimpin Sandinista, Allende dan sebagainya, dalam nasihatnya kepada Hugo Chavez di Venezuela. Castro menyatakan bahawa pada masa rampasan kuasa sayap kanan yang gagal pada 2002, beliau menasihati Chavez supaya tidak letak jawatan. Dia menggesa Chavez supaya “berhubung dengan seorang pegawai yang berkuasa di antara ahli-ahli yang ingin menjalankan rampasan kuasa tersebut dan meyakinkan mereka bahawa dia akan meninggalkan negara.”
Castro berhujah bahawa bekas presiden Allende tiada pilihan selain mengorbankan nyawanya sendiri pada masa rampasan kuasa oleh sayap kanan di Chile pada 1973 kerana Allende tidak mempunyai “sokongan dari seorang askar pun”. Ini tidak benar. Sebahagian besar tentera darat dan laut menyokong proses revolusi. Ia dianggarkan bahawa Allende mempunyai sebanyak 30% sokongan dari tentera darat dan laut pada waktu rampasan kuasa itu. Namun, kesilapan Allende adalah dalam kegagalannya untuk mempersenjatai dan mengerahkan kelas pekerja.
Dalam My Life, Castro menyatakan bahawa dia telah menasihatkan Chavez bahawa “percubaan untuk berjumpa dengan penduduk Venezuela untuk mencetus pertahanan nasional adalah mustahil dan tidak mempunyai kemungkinan untuk berjaya dalam kondisi-kondisi tersebut.” Walaubagaimanapun, pertahanan nasional telah pun bangkit dari bawah dan kuasa dipulangkan kepada Chavez oleh rakyat jelata. Ini merupakan satu lagi contoh di mana Castro memaparkan bahawa dia tidak percaya dengan keupayaan kelas pekerja sebagai kuasa utama dalam mencapai revolusi. Dia mempercayai bahawa mereka hanya dapat bertindak sebagai kuasa tambahan kepada organisasi guerrilla dan sektor tentera.
Walaupun mengkritik birokrasi Stalinis USSR, Castro tidak memberi sebarang alternatif. Ini disebabkan oleh kesangsian Castro terhadap kelas pekerja itu sendiri. Oleh itu, kritikan Castro tidak membawa sebarang bisa terhadap birokrasi Stalins. Castro juga kadang-kadang memilih untuk berdiam tanpa sebarang komen, misalnya semasa pergelutan antara kerajaan dan pekerja dan belia di beberapa negara.
‘Prague Spring’ yang berlaku di Czechoslovakia pada tahun 1968, walaupun pada awalnya Castro menyokong beberapa tuntutan kebangkitan tersebut seperti meningkatkan tahap demokrasi dan kebebasan bersuara, tetapi akhirnya Castro menyimpulkan: “Walaupun dengan slogan yang adil, kebangitan tersebut telah beralih kepada polisi yang bersifat reaksioner secara terbuka. Oleh itu, kami – dengan susah hati – terpaksa bersetuju dengan intervensi tentera oleh USSR”. Namun pada 1968, tuntutan untuk mengembalikan kapitalisme tidak merupakan idea yang utama di kalangan yang terlibat dalam kebangkitan tersebut. Kesedaran sebahagian besar rakyat di Czechoslovakia pada masa itu adalah untuk sosialisme yang demokratik dan bukan untuk kapitalisme.
Sudah pasti Cuba pada masa itu bermotivasi oleh kepentingan diplomatik dan perdagangan, maka terpaksa berdiam sahaja apabila beratusan pelajar dibunuh oleh kerajaan Mexico pada 1968. Castro tidak bercakap mengenai hal ini di dalam bukunya.
Castro mengenal pasti sesetengah masalah yang penting di USSR; pembaziran, korupsi, salah urus dan kegagalannya untuk membangunkan dan mengaplikasikan komputer moden. Walaubagaimanapun, Castro masih gagal untuk memberi penyelesaian kepada birokrasi Stalinis dan mendirikan sebuah sistem demokrasi pekerja yang tulen. Tanpa ini, semua masalah yang disorot oleh birokrasi tersebut tidak dapat diselesaikan.
Lebih-lebih lagi, ciri-ciri yang di lihat di USSR juga terdapat di Cuba. Dalam My Life, Castro mendedahkan sesetengah konflik yang terjadi antara birokrasi Soviet dan rejim Cuba. Apabila ditanya jika pihak Cuba dikonsultasi tentang aksi USSR untuk mengeluarkan tenteranya dari Cuba, Castro berjawab; “Dikonsultasi? Mereka tidak berkonsultasi. Pada masa itu, mereka sedang berpecah-belah. Semua keputusan diambil oleh mereka tanpa berkonsultasi.”
“Ia merupakan pendirian saya bahawa apabila serangan telah berlaku, pihak yang menyerang tidak harus diberi peluang untuk membuat keputusan… bila senjata nuklear akan digunakan oleh mereka?…sebaik sahaja imperialisme melancarkan serangan ke atas Cuba, dan di Cuba di mana askar USSR telah ditempatkan, oleh itu ia harus dianggap sebagai sebuah serangan kepada USSR…sebuah balasan balik yang hebat kepada penceroboh Cuba dan USSR harus diberikan dengan jelas.”
Kruschev dan birokrasi Soviet tidak menerima cadangan ini.
Hari ini, Castro bercanggah dengan cadangannya pada 1962. Beliau berkata; “anda akan menghapuskan diri – senjata nuklear merupakan cara yang efektif untuk membunuh diri.”
Stalin dan Trotsky
Agak signifikan bahawa Castro mengkritik Stalin dan membuat kesimpulan: “ Antara mereka berdua, yang lebih intelektual ialah Trotsky.” Namun ini bukan menyatakan bahawa Castro menyokong idea dan kaedah Trotsky. Malah Castro juga, dengan silap telah menolak cadangan bahawa Che Guevara, pada hari-hari akhirnya, sedang mencari alternatif dan sudah mula membaca karya Trotsky dan mula dipengaruhi dengan idea-idea Trotsky. Namun, terdapat banyak bukti dalam karya dari Celia Hart, John Lee Anderson dan penulis dari Mexico, Paco Ignacio Taibo yang menyatakan sebaliknya.
Sebuah ciri yang menarik perhatian dalam buku My Life ialah sikap Castro terhadap pemimpin dunia dan pemimpin pro-kapitalis dalam bekas parti-parti pekerja massa. Untuk Marxis
, menentang sistem yang dipertahankan oleh pemimpin ini bukan persoalan peribadi. Namun, Castro memuji pemimpin pro-kapitalis ini sambil mengkritik mereka di atas permukaan. Bekas presiden AS Jimmy Carter dipanggil sebagai “seorang yang mempunyai integriti”. Charles De Gaulle di label sebagai penyelamat Perancis, “tradisinya, patriotismenya, tantangannya yang pekuliar kepada orang Perancis.”
Seorang menteri dalam pentadbiran Franco yang fasis, pada pandangan Castro merupakan “seorang yang bijak dan licik.” [Bekas] Presiden Lula di Brazil dipuji sebagai seorang yang gigih berjuang untuk hak pekerja dan kuasa sayap kiri.” Ini dengan Lula melanjutkan polisi-polisi neoliberal.
Mengenai masa depan Cuba, Castro teguh bahawa revolusi mereka akan dipelihara tanpa ancaman restorasi kapitalisme. Namun, walaupun warisan revolusi 1959 dan sokongan untuknya yang masih kukuh, ancaman restorasi semakin berkembang. Sejak penerbitan buku My Life, Castro telah meletak jawatan dan adiknya Raul dan birokrasi rejim Cuba telah mengambil langkah untuk membuka ekonomi Cuba. Jikalau Castro nampak ancaman ini, beliau jelas tidak bersedia untuk memainkan peranan untuk memudahkan proses ini seperti Gorbachev dan Yeltsin.
Penerbitan My Life menyediakan pandangan yang terang ke dalam peranan dan kaedah Fidel Castro. Selepas semuanya dipertimbangkan, ia sangat penting untuk belajar dari pengalaman yang diceritakan oleh Castro. Ia juga pada masa yang sama menekankan keperluan untuk membina demokrasi pekerja yang tulen dan sosialisme sedunia.