Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Tragedi seperti penyebaran wabak Novel Coronavirus (Covid-19) yang telah membunuh lebih 1300 orang setakat ini bukanlah sekadar sebuah bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Bencana seperti ini tidak boleh diasingkan daripada sistem sosial dan terbentuk sebagai akibat kepada kelemahan sistem kapitalisme itu sendiri. 

Menjelang bulan Februari, lebih daripada 63 ribu orang disahkan telah dijangkiti oleh virus yang merbahaya ini dan majoriti besar daripada kes adalah dilaporkan di negara China. Walaubagaimanapun, selepas tersebar ke lebih 20 buah negara, virus ini mempunyai potensi untuk merebak ke seluruh dunia.

Setakat ini, peratusan kematian akibat jangkitan virus adalah masih rendah dan banyak daripada pesakit tersebut telah berjaya pulih. Tetapi, oleh kerana Coronavirus ini boleh menjangkiti manusia tanpa mendedahkan sebarang simptom sehingga keadaan menjadi serius, jumlah sebenar rakyat yang sedang membawa virus ini sukar untuk dikenal pasti dengan tepat. 

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) sudahpun mendeklarasi sebuah kecemasan global dan mendesak kerajaan-kerajaan dunia untuk bertindak dengan cepat untuk menangani masalah ini. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa sedang risau dengan prospek virus ini tersebar ke negara-negara dunia ketiga yang miskin dan tidak mempunyai infrastruktur untuk menghadapi krisis ini. Keadaan itu akan mengakibatkan huru-hara dan mengancam kestabilan sistem kapitalisme dan imperialisme itu sendiri.

Di Malaysia, sebanyak 18 kes telah dilaporkan dan 4 daripada pesakit tersebut sudahpun pulih. WHO telah memberikan pujian kepada sistem kesihatan Malaysia yang sedang menangani virus ini dengan berjaya setakat ini. Tetapi, adakah insfrastruktur dan sistem kesihatan di Malaysia akan dapat bertahan jika virus seperti ini tersebar dengan luas sepertimana yang berlaku di negara China? 

Dengan kekurangan hospital kerajaan, kekurangan doktor (seorang doktor untuk 520 pesakit) dan kekurangan dana rizab kerajaan, sistem kesihatan Malaysia tidak boleh dianggap sebagai kukuh dan boleh menghadapi krisis kesihatan dalam skala yang besar. Sistem kesihatan di Malaysia, selari dengan sistem kesihatan global, sedang bergerak ke arah penswastaan yang pesat dan operasi yang berlandaskan kepada keuntungan pemodal dan pemegang saham kaya. Sektor kesihatan merupakan antara sektor yang mendatangkan keuntungan yang besar kepada para kapitalis kaya. 

Ketidakcekapan

China telah bertindak dengan lebih pantas pada masa ini berbanding pada waktu krisis wabak Sars 2003. Tetapi, pelbagai jenis masalah masih wujud akibat birokrasi kerajaan China yang telah melambatkan pengumuman dan amaran kepada masyarakat dunia mengenai virus ini untuk menyelaraskan respon. Birokrasi China didapati lebih mementingkan imej mereka dan tidak mendedahkan butiran mengenai wabak ini walaupun sudahpun dikenalpasti oleh mereka lebih awal. 

Bercanggah dengan laporan yang diberikan oleh kerajaan China, rakyat negara itu telah membawa kemarahan mereka ke media-media sosial yang sedang dipenuhi dengan cemuhan terhadap kerajaan. Walaupun kerajaan China dikenali untuk menapis dan mengawal segala aktiviti di dalam laman web atau media sosial, kali ini, mereka sedang gagal untuk menekan suara rakyat yang sedang teraniaya. Pekerja-pekerja kesihatan di China sedang keletihan dan terpaksa berkerja tanpa henti disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja. 

Ini merupakan wabak Coronavirus yang ketiga sejak awal abad ini. Apa yang tragis sekali adalah, sejurus wabak Sars telah berjaya dibendung pada 2003, semua pelaburan ke dalam penyelidikan vaksin virus ini sudah berhenti dengan serta-merta. Sememangnya, sistem yang berlandaskan kepada keuntungan tidak berminat untuk meneruskan kajian yang tidak akan membuahkan hasil dalam jangka masa yang terdekat. Sekiranya sebuah usaha terhadap mewujudkan vaksin yang berkesan terhadap virus ini telah diteruskan semenjak 2003, kemungkinan besar krisis yang sedang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini dapat dielakkan sama sekali. 

Industri farmaseutikal awam – di bawah kawalan dan pengurusan kelas pekerja secara demokratik -amat  diperlukan pada waktu-waktu seperti ini untuk memaksimumkan tindak balas. Pada masa yang sama, kerjasama antarabangsa dikalangan kelas pekerja, terutamanya dari kalangan pekerja kesihatan,  juga penting untuk memecahkan sekatan-sekatan yang wujud pada masa ini. 

Wabak Coronavirus ini sedang bertindih dengan pergeseran yang sedang berlaku diantara ekonomi-ekonomi dunia. Walaupun pengenaan sekatan perjalanan terhadap mana-mana negara tidak akan membawa sebarang hasil positif mengikut WHO, beberapa kerajaan dunia termasuk Amerika Syarikat telah melancarkan sekatan terhadap rakyat China. 

Jika di sesetengah negara, rakyat dipaksa untuk menggunakan jalan-jalan yang tidak sah untuk pergi ke negara lain, ia akan meningkatkan risiko penyebaran wabak tersebut. Ini berlaku semasa wabak Ebola yang memuncak beberapa tahun lalu.

Ekonomi

Ahli ekonomi sedang meramalkan bahawa wabak Coronavirus ini akan memakan lebih banyak belanja berbanding wabak SARS yang telah menelan sebanyak 22 bilion dolar Amerika. Beribu-ribu kilang telah ditutup di China untuk sementara waktu dan puluhan juta orang di kuarantin di kawasan masing-masing. 

Berserta dengan impak terhadap industri pelancongan, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan China untuk membendung penyebaran wabak ini akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi China yang sudahpun mula lesu sejak beberapa tahun lalu dan sedang menghadapi perang dagang daripada Amerika Syarikat.

Rejim di Beijing telah membanjiri pasaran wang China dengan lebih daripada £ 130 bilion wang tunai baru untuk mengatasi harga pasaran saham yang sedang runtuh. Kerajaan China terpaksa mengambil langkah untuk menyuntik dana ke dalam ekonomi untuk beberapa tahun kebelakangan ini yang sedang mewujudkan hutang kerajaan yang melampau.

Dalam situasi-situasi krisis seperti penyebaran wabak Coronavirus, krisis ekonomi, perang dan sebagainya, kelemahan dan kerakusan sistem kapitalisme akan terdedah untuk tatapan umum. Kelemahan sistem kapitalisme di China sudahpun memberikan impak yang buruk kepada seluruh dunia. Tambah pula dengan kemunduran sistem kesihatan di kebanyakan negara dunia ketiga, sistem kapitalisme sedang mewujudkan sebuah dunia dan persekitaran yang tidak selamat bagi majoriti daripada penghuni dunia. 

Sebarang krisis global yang sedang muncul pada waktu ini merupakan hasil kegagalan sistem kapitalisme dan sistem ini tidak boleh diharapkan untuk memulihkan keadaan ini. Umat manusia memerlukan sebuah pembinaan gerakan kelas pekerja dari skala global untuk mencabar sistem kapitalisme dan menggantikannya dengan sistem sosialisme yang akan berfungsi demi kemakmuran rakyat terbanyak.   

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *