Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Penulis : Vincent Kolo ( editor bagi chinaworker.info )

Pemenang terbesar dalam  tribunal ini adalah industri senjata!

Pada 12 Julai lalu, sebuah badan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahkamah Permanent Court of Arbitration (PCA), telah mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Filipina dalam perebutan beberapa pulau kecil di Laut Cina Selatan oleh negara China. Walaupun China sudah menarik diri daripada sebarang penglibatan dalam tribunal ini dan tribunal itu sendiri tidak mempunyai sebarang penguatkuasaan, keputusan itu masih merupakan satu tamparan diplomatik yang hebat kepada China.

Perintah tribunal 500 muka surat itu mengandungi banyak perkara, tetapi pada asasnya ia menolak tuntutan China keatas beberapa pulau kecil yang berada di perairan Filipina mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh negara China sendiri di 1980 di bawah undang-undang perairan antarabangsa. Sebarang tuntutan yang membawa unsur sejarah ditolak secara terang-terangan berdasarkan perundangan yang sedang berkuatkuasa semenjak 1980 itu.

Walaupun reaksi pelbagai kuasa yang bersaing di rantau Asia Timur amat sukar untuk diramalkan pada peringkat ini, keputusan tribunal itu akan memberikan kesan geopolitik diantara hubungan China dan Amerika Syarikat.

Apakah kesan keputusan tribunal ini?

Apa yang pasti adalah bahawa keputusan ini tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah. Konflik perairan di rantau ini sedang semakin meruncing dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan aktiviti ketenteraan oleh pelbagai pihak. Ia mempunyai potensi untuk mencetuskan konflik ketenteraan dalam skala yang lebih besar, walaupun pada masa ini ia bukanlah sebuah prospek yang segera bagi pihak-pihak yang terlibat. Keputusan mahkamah ini akan dipergunakan oleh semua pihak bagi mengasak musuh masing-masing dengan lebih agresif lagi. Berita ini pastinya telah diraikan oleh pengeksport senjata dan usahawan perang yang akan sambung operasi mereka dan mengaut keuntungan bernilai berbilion-bilion.  

Sebagai sosialis, kita tidak pernah meletakkan apa-apa kepercayaan karut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. PBB tidak pernah menyelesaikan sebarang krisis utama atau konflik bersenjata, malah seringkali menjadi penyebab kepada konflik-konflik baru. Keputusan ini oleh PBB boleh membawa kesan yang tidak menentu bagi kuasa-kuasa yang sedang  bersaing di rantau ini. Laut Cina Selatan adalah pusat pertindihan kuasa dan persaingan dimana keputusan sebelah pihak akan mencetuskan tindak balas yang tidak boleh dijangka dengan tepat. Terdapat banyak pihak yang sedang bersaing; ia bukanlah sekadar China lawan Amerika Syarikat.

Apa yang akan China buat sekarang?

Ia adalah amat sukar untuk menjangka apa yang akan dilakukan oleh China atau jika kelas pemerintah China mempunyai sebarang rancangan yang kukuh. Walaupun Beijing menolak keputusan itu, situasi ini telah mengasingkan China secara diplomatik dikalangan pesaing-pesaing utama mereka terutamanya Filipina dan kuasa-kuasa lain yang boleh mengukuhkan kuasa diplomatik dan propaganda mereka. Tanpa sebarang ragu-ragu, tribunal ini merupakan satu kemenangan retorik bagi Amerika Syarikat, tetapi keputusan ini akan membuahkan masalah-masalah dan konflik-konflik baru.

Pemimpin China, Xi Jinping yang telah membina imej ‘orang kuat’ selama empat tahun sedang menghadapi cabaran-cabaran baru. Dia telah menggunakan propaganda nasionalisme selama ini dan sedang menghadapi cabaran untuk melakukan tindak balas terhadap langkah badan PBB yang dilihat sebagai berpihak kepada Amerika Syarikat. Walaupun Xi Jinping bergantung sepenuhnya kepada pasaran bebas, propaganda nasionalisme yang digunakan sedang mewujudkan masalah-masalah baru.

Laman sosial di China dipenuhi dengan cemuhan terhadap produk-produk Amerika seperti Apple Iphone dan sebagainya walaupun kebanyakkan produk tersebut dibuat di kilang-kilang tempatan. Cetusan sebarang gerakan daripada bawah oleh rakyat biasa akan dipergunakan oleh pihak-pihak yang sedang menunggu masa yang baik untuk menggulingkan Xi Jinping. Perpecahan dalaman Parti Komunis dan rebutan kuasa merupakan perkara yang diketahui umum dan peningkatan suhu gerakan massa dalam China akan memaksa banyak perubahan.

Keputusan tribunal ini sedang memberikan tekanan kepada Xi dan sekutu-sekutunya untuk bertindak balas dengan segera. Gerakan anti-kerajaan dan anti-China di kalangan belia Hong Kong misalnya boleh mendapat nafas baru jika diktator China dilihat sebagai sekadar ‘harimau kertas’ yang tidak dapat membalas asakan barat di Laut China Selatan. Perkara ini juga boleh berlaku di Tibet, Xinjiang dan di kawasan-kawasan dimana rejim Beijing dibenci dan tidak popular.

Di bawah kerajaan DPP yang baru, kesan tribunal ini lebih rumit bagi Taiwan sebagai ‘Republic of China’ (ROC) yang juga mempunyai tuntutan sejarahnya sendiri di Laut Cina Selatan, sama seperti China. Keputusan tribunal ini akan melemahkan tuntutan Taiwan dalam hal ini dan meletakkan presiden baru, Tsai Ing-wen dalam keadaan serba salah. Jika dia tidak bertindak balas dengan cukup bersungguh-sungguh, ini akan membuka peluang kepada pembangkang Kuomintang dan ‘ROC nasionalis’ yang akan menuduh Tsai sebagai tidak mempertahankan kepentingan Taiwan. Tsai telah diberi tekanan daripada Kuomintang untuk mengadakan lawatan ke Pulau Taiping yang berada di bawah kawalan Taiwan bagi menegaskan tuntutan kedaulatan mereka. Pulau Taiping juga telah diturunkan taraf dari ‘pulau’ kepada ‘batu’ oleh tribunal itu, bermakna ia tidak mempunyai asas untuk menuntut perairan sekitar sebagai perairan wilayah Taiwan. Tetapi Tsai juga khuatir untuk mengambil apa-apa tindakan yang boleh memburukkan lagi hubungan kerajaan Taiwan dengan Amerika Syarikat dan Jepun.

Apakah implikasi serantau perundangan ini?

Kita tidak boleh menjangkakan implikasi serantau pada peringkat ini kerana banyak perkara akan bergantung kepada bagaimana Amerika Syarikat akan mengendalikan urusannya. Jika ia cuba untuk bertindak sebagai penguatkuasa ‘undang-undang’ seperti yang ditetapkan oleh tribunal dengan meningkatkan misi tentera laut di perairan rantau ini, ia akan menjadi satu provokasi yang serius bagi China. Pada masa ini, situasi di Timur Asia dan Laut China Selatan adalah amat tidak stabil dan boleh menjurus kepada situasi yang lebih teruk lagi. Keadaan ekonomi, politik dan krisis dalaman setiap pihak akan mempengaruhi cara mereka menonjolkan diri dalam konflik ini.

China sebelum ini telah mengancam bahawa ia boleh mengenakan Pertahanan Zon Air (ADIZ) di Laut Cina Selatan yang akan memberi tekanan kepada tindak balas Amerika Syarikat. Ia juga telah mengancam untuk memulakan pembinaan sebuah pangkalan tentera di Scarborough Shoal (Huangyan Island dalam bahasa Cina) yang akan meletakkan tentera China dalam jarak beberapa ratus kilometer dari pangkalan tentera Amerika di Filipina. Kedua-dua pilihan ini mempunyai risiko yang tinggi.

Pada masa yang sama, China juga berupaya untuk meningkatkan pertikaian di perairan Laut Cina Timur dimana ia sedang bergelut dengan satu lagi kuasa besar, Jepun. Pemimpin Jepun, Abe Shinji yang baru memenangi pilihanraya (Dewan Rakyat), akan bergerak untuk menggubal perlembagaan negara untuk menjadi lebih agresif dari segi ketenteraan. Abe akan mempergunakan situasi baru di Asia Timur untuk mendendangkan propaganda nasionalis dalam usaha untuk membawa Jepun keluar dari pegangan perlembagaan Pasifis mereka bagi menambah aktiviti ketenteraan di rantau ini. Xi boleh mengambil langkah yang lebih agresif terhadap Jepun bagi menyembunyikan kelemahan mereka di Laut China Selatan, tetapi langkah ini juga akan membuahkan risiko-risiko yang tinggi.

Kerajaan Filipina dengan Presiden baru mereka Duterte akan terpaksa bergerak dengan gelombang nasionalisme yang sedang menyelubungi seluruh negara hasil keputusan tribunal tersebut. Walaubagaimanapun, kedudukan Duterte adalah untuk cuba memulihkan hubungan dengan China bagi memulakan kerjasama ekonomi yang lebih besar. Kes terhadap China telah difailkan oleh bekas Presiden Aquino yang memang jelas telah bersekutu dan mengambil arahan daripada Amerika Syarikat dan ini adalah berbeza dengan kedudukan Presiden baru Duterte. Pihak Amerika Syarikat tidak menginginkan sebarang kerjasama diantara Duterte dan China berkenaan hal ini dan akan menggunakan keputusan tribunal ini untuk mengecam Duterte dengan menggunakan sekutunya dari dalam dan luar Filipina untuk membantah sebarang usaha sedemikian.

Apa yang jelas adalah bahawa sebarang jalan penyelesaian yang dibawa oleh kelas pemerintah tidak akan menyelesaikan permasalahan yang wujud, malah ia memburukkan lagi keadaan.  Ia tidak menerangkan punca pertikaian itu tetapi menyuntik risiko yang lebih besar yang boleh menjurus kepada konflik bersenjata atau pertempuran. Bagi rakyat massa dan kelas pekerja di China, Filipina dan di seluruh dunia, ini merupakan sebuah berita yang tidak baik. Situasi yang semakin tegang ini akan memberikan alasan kepada pihak-pihak tertentu untuk merampas dana awam bagi perbelanjaan ketenteraan dan menimbulkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat biasa bagi mengalihkan kemarahan mereka terhadap krisis ekonomi yang sedang menimpa.

Sosialis perlu sentiasa menjelaskan bahawa institusi kapitalis seperti PBB tidak akan memainkan peranan progresif. Tiada seorang pun daripada golongan elit pemerintah yang terlibat dalam konflik ini menawarkan jalan penyelesaian yang berkesan kerana mereka tidak mempunyai sebarang aspirasi untuk membina solidariti dikalangan umat manusia. Elit-elit ini perlu memecahbelahkan perpaduan dikalangan rakyat biasa bagi menyambung penguasaan mereka terhadap segala kekayaan harta benda dan harta intelektual. Kami berdiri untuk perpaduan antarabangsa dan mendesak untuk pembinaan parti kelas pekerja di seluruh Asia Timur yang bukan sahaja akan menentang kapitalisme, tetapi juga menentang agenda nasionalisme dan ketenteraan yang dipergunakan oleh elit-elit dunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *