Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Kebangkitan massa secara besar-besaran sedang tercetus di banyak negara dunia pada waktu ini. Pada 25 Oktober lalu, seramai dua juta orang telah membanjiri jalan raya- jalan raya utama di ibu kota Chile, Santiago, bagi meluahkan kemarahan mereka dengan kepimpinan kerajaan dan keadaan ekonomi rakyat yang sedang merosot. Pada minggu yang sama, seramai lima ratus ribu rakyat Catalonia di Barcelona Spain telah melancarkan aksi protes untuk membebaskan tahanan politik, ratusan ribu melancarkan protes anti-kerajaan di Iraq dan sebuah rangkaian protes sepanjang lebih 100 kilometer tercetus di Lebanon.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, cetusan-cetusan protes massa juga dirasai di Hong Kong, Ecuador, Algeria, Mesir, Indonesia, Bolivia, Haiti dan di tempat-tempat lain. Sebelum ini, kebangkitan gerakan ‘Gilet Jaunes’ di Perancis dan gerakan revolusi di Sudan yang menggulingkan diktator Omar al-Bashir telah berlangsung dengan partisipasi jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa. Di kebanyakan negara ini, protes-protes gergasi sebegini sedang berlaku dalam skala yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah. 

Gerakan-gerakan ini sedang menjadi inspirasi kepada satu sama lain yang melihat penggunaan taktik protes dan simbol yang sama berulang kali di negara-negara lain.

Walaupun pencetus dan tuntutan gerakan-gerakan protes ini berbeza-beza mengikut negara, tetapi secara umumnya ia mencerminkan kemarahan rakyat yang timbul akibat pemotongan dana kebajikan oleh kerajaan, jurang antara kaya dan miskin yang melebar dan korupsi yang berleluasa di dalam struktur kepimpinan negara. “ Di seluruh dunia, nampaknya kita sedang menyaksikan kemarahan dari rakyat jelata terhadap ketidakadilan yang sedang berlaku” kata seorang editor akhbar Times. Salah seorang penulis artikel New York Times berkata “ Ini merupakan luahan rakyat menentang golongan elit di negara-negara di mana sistem demokrasi menjadi sumber kekecewaan, gejala rasuah yang tidak terkawal dan segelintir kelas atasan yang hidup mewah manakala majoriti daripada rakyat, terutamanya golongan anak muda yang sedang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian”. 

Di Lebanon, rakyat sedang mengatasi pelbagai perbezaan agama dan mazhab di antara golongan Sunni, Syiah, Druze dan Kristian dengan membina perjuangan yang bersatu padu. Juga di Iraq, sebarang perbezaan yang berbentuk sektarian sedang di atasi melalui perjuangan bersama. Walaupun protes di Lebanon dikatakan tercetus ekoran percubaan kerajaan untuk mencukaikan data internet bagi penggunaan Whatsapp pada awalnya, aspirasi rakyat yang berjuang telah menjangkaui batasan ekonomi dan sedang menuntut untuk penyingkiran elit politik yang korup dan untuk menubuhkan sebuah sistem ekonomi dan politik yang adil. Satu daripada lima orang rakyat ataupun seramai 1.3 juta orang telah menyertai protes tersebut. 

Di Chile, gerakan itu juga menuntut untuk perubahan politik dengan sokongan massa untuk menubuhkan sebuah majlis konstituen bagi merombak dan menyusun semula ‘struktur sosial masyarakat’. 

Ratusan ribuan rakyat yang melancarkan protes di Ecuador pula amat marah dengan pakej penjimatan dana kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dianggap sebagai mencekik kehidupan mereka. Sebuah mogok umum yang dipimpin oleh Kesatuan Umum Pekerja Ecuador telah berlangsung, Dewan Rakyat telah diserbu oleh ribuan demonstran dan kerajaan Lenin Moreno telah terpaksa berpindah keluar dari ibu kota Quito.

Kerajaan-kerajaan dunia sedang bergelut dengan massa dengan pelbagai bentuk penindasan. Di beberapa negara tersebut, walaupun diserang dengan ganas oleh aparatus kerajaan seperti polis dan tentera, ia masih tidak berjaya menjatuhkan semangat perjuangan rakyat yang kental dan nekad meneruskan protes-protes besar-besaran. Lebih dari 15 orang telah di tembak mati di Chile. Di Iraq, 42 orang telah terbunuh pada protes yang berlangsung pada 25 Oktober sahaja. 

Akibat kegagalan kerajaan untuk meleraikan protes tersebut, beberapa konsesi sedang diumukan secara tergesa-gesa di beberapa negara berkenaan. Kabinet Iraq sedang dirombak, Presiden Chile, Pinera telah membatalkan kenaikan tambang pengangkutan dan memecat beberapa ahli kabinet sendiri, PM Lebanon Hariri telah meletakkan jawatan dan membatalkan levy terhadap data internet bagi Whatsapp dan bil ekstradisi ke China telah di tarik balik di Hong Kong. Tetapi, hampir di semua negara, langkah-langkah sedemikian dianggap sebagai tidak cukup, remeh dan ditolak oleh rakyat disamping meneruskan protes-protes massa.

‘Tanpa Kepimpinan’

Satu ciri utama yang menyatukan kebanyakan gerakan massa yang tercetus di seluruh dunia adalah ianya berlaku secara spontan, tanpa kepimpinan yang jelas dan disusun melalui media-media sosial. Kepimpinan kerajaan sedang mengalami kesukaran untuk menjalankan sebarang rundingan dengan rakyat yang marah kerana bentuk-bentuk protes yang sedang tercetus tanpa sebuah tuntutan yang nyata. Walaupun sebagai sosialis kami amat bersimpati dan menyokong semua gerakan ini, pada masa yang sama, kami ingin menyeru kepada kelas pekerja dan anak muda dari semua negara untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa dan organisasi-organisasi yang mewakili suara mereka, untuk membolehkan sebuah perbincangan secara demokratik antara satu sama lain bagi mempertahankan aksi-aksi protes tersebut, di samping meningkatkan gerakan ini ke arah sebuah kemenangan bagi rakyat tertindas. 

Kesangsian yang wujud di kalangan rakyat terhadap organisasi politik berdasarkan dengan pengalaman mereka adalah sangat wajar. Dalam sejarah, pelbagai parti politik dan ‘pemimpin’ yang kononnya mempertahankan aspirasi rakyat telah pada akhirnya mengkhianati perjuangan rakyat dan bersekongkol dengan elit kapitalis yang menindas. Tetapi, pada masa yang sama, pembinaan sebuah parti pekerja yang tulen, dengan kepimpinan yang dipilih secara demokratik dan dikawal oleh rakyat biasa adalah sangat diperlukan bagi mengekalkan perpaduan dalam hala tuju gerakan dan bagi merumuskan sebuah program yang secara tegas mengangkat aspirasi kelas pekerja dan rakyat tertindas. 

Para pekerja yang tersusun di bawah Kesatuan Sekerja haruslah menjadi tulang belakang kepada sebuah parti pekerja massa yang boleh memimpin gerakan massa. Pengalaman mereka dalam perjuangan pekerja dan potensi untuk membantutkan sistem ekonomi melalui aksi-aksi mogok merupakan senjata utama yang mampu mengatur sebuah hala tuju gerakan ke arah kejayaan. Berdasarkan kepada kepentingan bersama dalam kelas yang tertindas, kelas pekerja mampu menjadi kepimpinan yang boleh menyatukan gerakan massa dengan idea untuk menentang kelas kapitalis yang merupakan musuh utama. Secara praktikal, sebuah kejayaan bagi gerakan massa hanya boleh diwujudkan melalui pembinaan sebuah program sosialis yang bertujuan untuk menghapuskan sistem kapitalisme, menentang gabungan atau koalisi pro-kapitalis di tampuk pemerintahan kerajaan dan dengan menubuhkan sebuah kerajaan kelas pekerja yang mampu membina sebuah struktur masyarakat yang berpihak kepada kepentingan majoriti. 

Walaupun organisasi-organisasi revolusioner ini belum di bina, tetapi, perjuangan-perjuangan rakyat besar-besaran sejak kebangkitan massa di Timur Tengah dan Afrika Utara sejak tahun 2011 telah memberikan banyak pengajaran dan pengalaman kepada rakyat dunia. Kebanyakan daripada protes massa yang tercetus pada masa ini berlaku dengan kesedaran bahawa, sebuah perubahan kerajaan atau penggulingan diktator sahaja tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat biasa. Seperti yang berlaku di perjuangan-perjuangan lampau, kerajaan yang digulingkan akan seringkali di ganti dengan wakil-wakil pendokong sistem kapitalisme yang akan meneruskan penindasan mereka terhadap rakyat. Kitaran ini hanya boleh dihentikan jika rakyat yang berjuang mempunyai sebuah alternatif kepada sistem politik dan ekonomi yang sedia ada dan berbekalkan dengan hala tuju perjuangan yang boleh menggantikan sistem kapitalisme dengan sistem yang lebih baik. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *