“Tembak, pengecut, anda hanya akan membunuh seorang lelaki”. Ini adalah ucapan terakhir Che Guevara sebelum beliau dibunuh pada 9 Oktober 1967 di Bolivia, ketika umur Che hanya 39 tahun.
Hampir lima puluh tahun selepas kematiannya, bendera, sepanduk, potret dan slogan dengan gambar Che masih dipergunakan secara meluas termasuk dalam demonstrasi dan protes. Walaupun bagi kebanyakan orang ia adalah sekadar satu tarikan fesyen, tidak kurang juga yang menggunakannya sebagai instrumen untuk meluahkan bantahan atau menyatakan deklarasi politik mereka. Bagi mereka, Che Guevara adalah simbol perjuangan dan internasionalisme yang melambangkan aspirasi untuk membentuk dunia dan masyarakat yang lebih baik berlandaskan kepada idea-idea sosialisme.
Hari ini di kebanyakan negara, ahli-ahli politik dan institusi kerajaan dianggap korup, tidak mewakili kepentingan rakyat, tidak boleh dipercayai dan hanya mementingkan diri sendiri. Manakala Che Guevara dilihat oleh anak-anak muda sebagai pejuang dan revolusioner yang berprinsip. Selain mengupas pengalaman dan perjuangan Che menentang penindasan, kita juga harus mengambil pengajaran daripada pengalaman Che, termasuk beberapa kelemahan beliau. Ini adalah penting untuk generasi anak muda dan kelas pekerja yang sedang berdepan dengan gelombang perjuangan yang kini sedang melanda dunia, terutamanya di Asia, Amerika Latin dan Eropah, dimana sistem ekonomi kapitalisme sedang melalui satu era krisis yang teruk.
Che menyertai perjuangan
Sebagai seorang pelajar perubatan di Argentina, Che, pastinya mampu mencari kehidupan yang lebih selesa. Tetapi, beliau menjadi seorang revolusioner yang komited dan sanggup keluar dari latar belakang kelas menengah untuk menyertai golongan tertindas dan miskin dalam perjuangan melawan imperialisme dan kapitalisme. Che telah berkecimpung dalam perjuangan politik selepas menyaksikan kemiskinan dan keadaan sosial rakyat yang teruk ketika pengembaraanya pada tahun 1952 ke 1954 di negara-negara Selatan Amerika. Pengalaman tersebut telah dicatat secara terperinci oleh Che di dalam buku ‘Motorcycle Diaries’ (Diari Motosikal). Pengalaman ini telah menimbulkan keazaman dalam dirinya untuk melawan ketidakadilan dan kelas kapitalis.
Ketika pengembaraan tersebut, selain dari pertemuan dengan pejuang sosialis di Peru, pekerja lombong miskin di Chile, Che juga amat dipengaruhi oleh kunjungannya ke Guatemala. Disitu beliau menyaksikan perjuangan rakyat yang mengangkat kerajaan radikal kiri, tetapi ditumbangkan oleh muslihat CIA yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat. Semasa di Guatemala, buat pertama kali Che bertemu dengan pelarian politik dari Cuba yang sedang berjuang menentang pemerintahan diktator Batista di negara mereka.
Menyertai Gerakan 26 Julai di Cuba
Berdasarkan pengalaman Che di Guatemala, dan perbincangan tentang situasi Cuba, beliau mula membangunkan idea-idea awalnya untuk membina perjuangan. Dari awal lagi, Che telah menolak pendekatan segolongan parti-parti kiri yang ingin mewujudkan kesepakatan dengan elemen-elemen kapitalis di Amerika Selatan. Tetapi pada masa yang sama, Che juga tidak dapat memberikan alternatif yang jelas kepada agenda-agenda oportunis parti-parti kiri tersebut dan akhirnya menyertai ‘Gerakan 26hb Julai’ yang menentang rejim Batista di Cuba dan dipimpin oleh Fidel Castro. Pada waktu itu, Che berada di Mexico.
Bagi Che, ‘Gerakan 26 Julai’ mempunyai potensi untuk mengangkat perjuangan yang radikal dan menawarkan arena perjuangan yang paling agresif menentang kapitalis.
Pada peringkat itu, ‘Gerakan Julai 26’ merupakan gabungan yang lebar dan membawa matlamat untuk menggulingkan rejim Batista di Cuba bagi mendirikan sebuah ‘demokrasi ala Barat’ atau sistem politik yang mirip dengan Amerika Syarikat atau negara-negara di Eropah barat. Pada waktu itu, ia tidak mempunyai program atau niat untuk menumbangkan sistem kapitalisme yang menindas hak dan keperluan rakyat biasa. Di dalam ‘Gerakan 26 Julai’ tersebut, Che telah membawa dan mewakili elemen sosialis yang lebih radikal dan telah menjadi pemimpin yang mendapat sokongan yang besar di kalangan keahlian.
Pada 2 Disember 1956, kumpulan tersebut dengan 82 pejuang gerila, termasuk Che Guevara dan Fidel Castro, berjaya mendarat di Cuba. Ini merupakan titik permulaan kepada perang gerila yang berlangsung selama dua tahun. Pada awalnya pejuang gerila ini mendapat simpati dari masyarakat petani miskin di kawasan pedalaman. Tetapi apabila Gerakan ini mula tersebar luas, masyarakat bandar yang juga tidak berpuas hati dengan rejim boneka Amerika Syarikat Batista juga mula memberikan sokongan mereka kepada Castro. Rejim Batista akhirnya runtuh dan ketika pejuang gerila memasuki kawasan bandar pada Tahun Baru 1959, mereka disambut dengan sokongan massa dengan penuh harapan.
Sehingga ke hari itu, negara Cuba dikenali sebagai ‘taman permainan’ bagi negara imperialis. Ia merupakan pusat perjudian dan pelacuran mewah bagi para peniaga kaya dari seluruh dunia, terutamanya dari Amerika Syarikat.
Revolusi di Cuba
Di Cuba, revolusi tersebut telah didorong untuk terus mara ke hadapan disebabkan oleh konfrontasi dan penentangan yang berterusan dari Amerika Syarikat. Dalam hanya tiga tahun, kerajaan Cuba yang baru telah berjaya menghalau keluar semua kapitalis dan wakil imperialis Amerika dan menamatkan kewujudan tuan-tuan tanah yang mengeksploitasi para petani miskin. Proses ini berlaku akibat beberapa faktor, termasuk: tekanan yang berterusan oleh kelas pekerja dan petani yang menuntut perubahan; sekatan ekonomi ke atas Cuba oleh AS yang sedang berlanjutan sehingga ke hari ini; bantuan dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur. Kesatuan Soviet pada waktu itu telah mentadbir dengan ekonomi terancang dan menawarkan sebuah alternatif yang menentang sistem kapitalisme (ekonomi pasaran bebas).
Hasilnya, pasaran bebas telah dihalau keluar dan ‘ekonomi terancang’ telah diperkenalkan di Cuba. Ini merupakan satu langkah yang positif untuk mara ke hadapan dan telah memberikan kesan yang besar kepada gerakan rakyat di benua Amerika Latin dan di seluruh dunia. Che Guevara memainkan peranan yang penting dalam proses ini, dan dari awal lagi telah menyokong supaya revolusi mengambil jalan ‘sosialis’. Selain itu, Che juga menekankan keperluan bagi revolusi ini untuk disebarkan ke seluruh dunia, merentasi sempadan negara Cuba.
Kelas pekerja dan sosialisme
Walaupun Che berazam untuk membina revolusi sosialis antarabangsa, kelemahan terbesar beliau adalah kekurangan pemahaman tentang bagaimana ianya boleh dicapai. Beliau telah didorong ke arah perjuangan gerila sebagai satu-satunya kaedah untuk memenangi revolusi sosialis, dan bukannya berlandaskan kepada kepimpinan kelas pekerja massa. Malah di negara-negara di mana kelas pekerja terdiri daripada penduduk minoriti, peranan kolektif dan kesedaran yang timbul daripada keadaan sosial di kilang-kilang dan tempat kerja telah menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dan memimpin revolusi sosialis. Ini adalah pengalaman Revolusi Rusia 1917.
Ini kerana kelas kapitalis di negara-negara neo-kolonial, yang terikat dengan kedua-dua tuan tanah dan imperialisme, tidak berupaya untuk membangunkan ekonomi dengan sekata dan membina demokrasi yang stabil. Tugasan untuk membawa sebuah Revolusi Demokratik dalam zaman moden, tidak dapat dilakukan oleh kelas kapitalis di negara-negara neo-kolonial. Hari ini, di negara-negara di mana tugas Revolusi Demokratik masih belum dilaksanakan, ianya jatuh ke kepimpinan kelas pekerja, dengan sokongan petani miskin dan golongan lain yang dieksploitasi oleh kapitalisme. Seterusnya, Revolusi Demokratik perlu dikaitkan dengan Revolusi Sosialis dan keperluan untuk menyebarkan revolusi tersebut di peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun, di Cuba, kerana kekejaman rejim Batista dan vakum politik yang wujud, maka muncul perjuangan gerila yang telah menawarkan jalan keluar. Pada hakikatnya, letusan mogok umum dari kelas pekerja pada hari-hari akhir rejim Batista di bandar-bandar seperti Santa Clara dan Havana telah menjamin kemenangan tersebut. Juga, usaha kelas pekerja telah menerajui Cuba untuk keluar daripada aturan pasaran bebas dan untuk mendirikan ekonomi terancang.
Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman di Cuba, Che cuba untuk mengulangi perjuangan gerila, pertama di Afrika, dan kemudian di Amerika Latin. Tetapi masyarakat di negara-negara tersebut berada dalam keadaan yang sangat berbeza dengan Cuba, dan di sesetengah negara, kelas pekerja berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dengan pengalaman perjuangan dan tradisi revolusioner. Kekurangan pemahaman tentang peranan kelas pekerja dalam revolusi sosialis adalah kelemahan politik terbesar Che Guevara.
Manfaat ekonomi terancang
Walau bagaimanapun, di Cuba, revolusi yang menumbangkan kapitalisme, telah menunjukkan kehebatan ekonomi terancang.
Sampai ke hari ini, walaupun selepas kehilangan sokongan dana akibat keruntuhan Kesatuan Soviet dan kesan buruk embargo yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, manfaat revolusi Cuba masih boleh dirasai. Salah satunya adalah Cuba telah berjaya membina antara sistem kesihatan yang terbaik di dunia. Hanya beberapa tahun selepas revolusi, akses kepada kemudahan pendidikan telah ditingkatkan sehingga berjaya menghapuskan buta huruf di Cuba. Perkhidmatan kesihatan percuma disediakan untuk semua. Dengan seorang guru bagi setiap 57 penduduk, nisbah guru kepada murid adalah antara yang terbaik di dunia. Perkara yang sama boleh dikatakan dengan perkhidmatan perubatan. Walaupun jangka hayat di Cuba adalah 75 tahun, di Rusia, di mana kapitalisme dan sistem pasaran bebas telah dipulihkan, ia menjunam kepada kira-kira 57 tahun.
Manfaat-manfaat tersebut tidak akan menjadi kenyataan di Cuba tanpa revolusi dan ekonomi terancang. CWI menyokong semua manfaat yang diperoleh melalui revolusi Cuba. Namun, pada masa yang sama, bentuk revolusi yang dilalui di Cuba juga telah menghadkan penyebaran revolusi sosialis ke benua Amerika Latin dan menggugat semua kelebihan yang dirasai oleh rakyat atas manfaat sistem ‘ekonomi terancang’. .
Apakah jenis rejim yang memerintah selepas Revolusi Cuba?
Kerajaan yang dipimpin oleh Castro dan Che Guevara selepas revolusi adalah amat popular dan telah menikmati sokongan padu. Walau bagaimanapun, akibat ketiadaan kepimpinan kelas pekerja yang sedar untuk memimpin proses revolusi tersebut, sebuah sistem yang demokratik untuk pekerja dan petani tidak diwujudkan. Walaupun pada mulanya terdapat unsur-unsur kawalan pekerja di kilang-kilang, tetapi ini bukannya berlandaskan kepada sistem kawalan dan pengurusan secara demokratik oleh pekerja. Oleh itu, sebuah birokrasi rejim pemerintah yang membungkam suara kelas pekerja mula terbentuk.
Di Cuba, Che mula merasai halangan birokrasi dalam perkembangan proses revolusi tersebut. Beliau tidak bersetuju dengan keistimewaan atau faedah tertentu yang diterima oleh mana-mana wakil atau pegawai kerajaan. Apabila Che melawat Kesatuan Soviet dan Eropah Timur, beliau amat jijik melihat gaya hidup mewah dan sikap birokrasi rejim pemerintah terhadap kelas pekerja massa. Beliau juga semakin kecewa dengan ciri-ciri birokrasi yang semakin meningkat di Cuba. Walaupun mengecam pemerintahan diktator dan birokrasi kejam, Che tidak berjaya membangunkan alternatif yang jelas untuk melawan birokrasi ini, sama ada di Kesatuan Soviet, di Eropah Timur atau di Cuba.
Dengan pengalaman Che sebagai revolusioner semakin meningkat, beliau sedang menuju ke arah konklusi yang tepat. Salah satu ciri politik Che Guevara yang harus dikagumi adalah kesediaan beliau untuk berbincang dan meneroka idea dan pendapat yang berbeza. Malangnya, walaupun telah mula meneroka beberapa tulisan Trotsky dan Marxist, dengan kematian mengejut pada usia muda, Che tidak mampu untuk membentuk semua kesimpulan yang diperlukan untuk membangunkan perspektif yang jelas.
Kekurangan dalam kefahaman Marxisme telah menjurus kepada kesan tragis untuk dirinya, dan legasi Che juga boleh meninggalkan kesan untuk generasi baru kelas pekerja dan anak muda yang kini menyertai perjuangan melawan penindasan, peperangan dan kapitalisme. Namun, ciri-ciri positif dan legasi Che yang berkekalan, sebagai simbol perjuangan yang tidak bertolak ansur, sanggup mengorbankan diri dan penuh dengan integriti akan terus menjadi sumber inspirasi bagi generasi baru. Jika pengajaran dari kesilapan beliau boleh kita teladani, maka keazaman dan perjuangan Che untuk revolusi sosialis antarabangsa mampu tercapai.
2 Responses