Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Penulis : Hannah Sell, Socialist Party ( CWI di UK )

Parti Konservatif keluar! Pilihanraya umum dengan serta-merta! Berjuang untuk mogok umum 24 jam!

Financial Times telah melaporkan hasil referendum Brexit (terma yang digunakan untuk menandakan peninggalan negara Britain daripada EU) sebagai titik hitam dalam sejarah Kesatuan Eropah ( EU ) dan golongan elit di serata dunia sedang berteriak dengan kemarahan terhadap majoriti penduduk Britain yang memutuskan untuk meninggalkan EU.

Bagi kelas kapitalis di Britain dan di Kesatuan Eropah secara keseluruhan, ini adalah satu tamparan yang hebat seperti yang dilaporkan oleh Financial Times sendiri sebagai “ancaman terbesar dalam sejarah EU”.

Bagi kapitalisme Britain khususnya, hasil referendum ini adalah satu kekalahan yang amat dahsyat. Ia boleh menjurus kepada perpecahan di United Kingdom jika terdapat satu lagi undi untuk kemerdekaan di Scotland. Referendum ini juga membawa kepada perpecahan dan kemerosotan Parti Konservatif yang merupakan antara parti kapitalis yang paling berjaya di dunia.

Brexit juga boleh menyebabkan perpecahan di dalam Parti Buruh (Labour), dimana beberapa pihak sudah mula bergerak untuk menggulingkan pemimpin sayap kiri Jeremy Corbyn yang dipilih oleh majoriti penyokong dan ahli parti itu kurang dari setahun lalu.

Walaubagaimanapun, ramai daripada 17 juta orang yang mengundi untuk keluar dari EU akan berpuas hati kerana dapat meluahkan rasa marah mereka terhadap penguasaan golongan elit kapitalis yang memaksa kelas pekerja biasa untuk membayar hutang-hutang mereka. Kelas pekerja dan rakyat biasa di Britain sedang menghadapi pemotongan gaji, kontrak pekerjaan yang tidak stabil, pemotongan dalam perbelanjaan sosial, kekurangan rumah mampu milik dan pemotongan perkhidmatan awam yang teruk semenjak krisis ekonomi global 2008.

Lebih-lebih lagi, Brexit sudahpun memaksa perletakan jawatan Perdana Menteri Parti Konservatif yang amat dibenci rakyat buat masa ini.

Bukan sahaja di Britain, tetapi rakyat biasa di seluruh Eropah telah mendapat semangat daripada keputusan ini yang mereka lihat sebagai satu undi yang menolak penguasaan kapitalis EU. Pastinya kelas pekerja di Greece bersorak mendengar keputusan ini dimana mereka sendiri sedang berhadapan dengan penindasan yang teruk daripada institusi EU dan pernah mengundi untuk meninggalkan EU sebelum ini.

Sebagai tindak balas kepada keputusan referendum, pasaran kewangan berada dalam pergolakkan dengan sterling menjunam ke tahap yang paling rendah dalam tiga puluh tahun. Cameron, Osborne dan elit-elit kapitalis tidak menjangkakan keputusan referendum dan jelas tidak bersedia menghadapi perpecahan daripada EU ini. Keadaan terumbang-ambing matawang Sterling adalah bukti kepada keyakinan buta golongan elit yang tidak dapat membaca gerakan sosial dan politik yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Kekecohan di pasaran kewangan tidak semestinya serta-merta mencerminkan keadaan ekonomi ‘sebenar’, sama ada di Britain atau di seluruh dunia. Walaupun tanpa kewujudan referendum ini sekalipun, Eropah dan Britain masih sedang menghadapi krisis kewangan dan kerajaan telah memulakan langkah-langkah pemotongan perbelanjaan yang kejam.

Pendokong Projek Kapitalis EU Tegar, Cameron dan Merkel
Pendokong Projek Kapitalis EU Tegar, Cameron dan Merkel


Projek ketakutan

Semasa referendum, projek menakutkan rakyat telah mencapai kadar gergasi : malapetaka ekonomi, perang dunia ketiga, peningkatan dalam perkauman dan sikap tidak bertoleransi semuanya digunakan untuk cuba menakutkan pengundi supaya menyokong untuk kekal dalam EU. kebimbangan yang sah di sekitar isu-isu ini merupakan faktor utama mengapa 48% daripada orang telah membuat keputusan untuk tidak keluar dari EU. Juga didapati bahawa majoriti golongan muda yang mengundi ‘kekal’ adalah sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan bahawa perkauman akan berkembang.

Namun begitu, ia adalah luar biasa bahawa sejumlah besar orang yang mengundi ‘Keluar’ telah menggunakan referendum ini sebagai satu peluang untuk menentang pemerintahan yang tidak demokratik oleh EU dan untuk membantah kepimpinan semua parti-parti yang menyokong pemotongan perbelanjaan di Britain. Mereka berjaya melakukan perkara ini walaupun menghadapi amaran-amaran keras bukan sahaja daripada kapitalis tempatan, malah dari Obama ke Merkel yang telah berhujah menentang agenda Brexit.

Dalam langkah yang sinis, pembunuhan kejam MP Parti Buruh dan penyokong kempen ‘Kekal’ Jo Cox juga telah dipergunakan untuk mengukuhkan undi untuk kempen ‘Kekal’.

Memang tidak boleh dipertikaikan bahawa ahli politik sayap kanan telah mempergunakan ruang yang ada untuk mendendangkan propaganda rasisme yang merbahaya, tetapi ini tidak datang dari sebelah pihak sahaja. Kedua-dua pihak yang memimpin kempen ‘Keluar’ dan ‘Kekal’ sama-sama mengambil posisi sebegitu. Cameron dari kem ‘kekal’ telah menambah propaganda perkaumannya secara mendadak terutamanya pada hari-hari terakhir tarikh referendum. Apa sahaja keputusan referendum ini, memang terdapat satu keperluan bagi kelas pekerja untuk membina sebuah penentangan terhadap propaganda perkauman yang disebarkan oleh pihak sayap kanan selama berdekad lamanya.

Pada masa yang sama, ia adalah satu kesilapan untuk menganggap bahawa undi ‘keluar’ adalah berwatak rasis atau nasionalis. Sudah tentu, beberapa orang-orang yang mengundi untuk keluar telah berbuat demikian atas sebab-sebab perkauman atau nasionalis, tetapi watak asas undi ‘keluar’ adalah penentangan daripada kelas pekerja terhadap politik pertubuhan (establishment).

Terutamanya dalam bentuk referendum sebegini di mana pengundi diberi pilihan binari ‘ya atau tidak’ – pastinya terdapat motivasi yang berbeza di kalangan orang-orang yang mengundi di kedua-dua belah pihak. Tidak ada gerakan kelas pekerja yang 100% tulen, benar-benar tanpa elemen reaksioner atau elemen sub-arus. Ia adalah tugas sosialis untuk melihat apa yang utama disebalik permukaan.

Secara umum, terdapat korelasi diantara majoriti pengundi ‘keluar’ dan kawasan-kawasan miskin. Scotland dan Ireland Utara, di mana referendum itu dilihat berbeza menjadi pengecualian. Walau bagaimanapun, di England dan Wales, bukan sahaja di kawasan majoriti kelas pekerja berkulit putih, tetapi juga di kawasan yang mempunyai bilangan pekerja migran yang ramai telah mengundi untuk meninggalkan Eropah.

Majoriti di Bradford, dengan penduduk Asia yang tinggi sebagai contoh, telah mengundi untuk ‘keluar’. Walaupun pengundi yang lebih berada dan majoriti anak muda terutamanya di London telah mengundi untuk ‘kekal’, pekan-pekan kecil di London mempunyai jumlah pengundi ‘keluar’ yang ramai.

Di Barking dan Dagenham, di mana kurang daripada separuh daripada penduduk kini mengenal pasti diri mereka sebagai rakyat British berkulit putih, 62% telah mengundi untuk ‘keluar’.

Di Newham, antara kawasan yang paling miskin dan memiliki komposisi kaum yang paling banyak, 47% telah mengundi untuk keluar.

Walaupun skala imigresen menjadi isu utama dalam kempen referendum, bagi majoriti rakyat, ini adalah bukan untuk menentang orang yang telah datang ke Britain dari negara-negara lain. Sebaliknya, ia adalah berdasarkan pengalaman dimana majikan menggunakan semua cara yang boleh – termasuk pekerja dari negara-negara lain – untuk menurunkan gaji di Britain. Ditambah dengan langkah-langkah penjimatan kerajaan terhadap perkhidmatan awam yang juga telah mewujudkan ketakutan bahawa Britain tidak dapat menampung peningkatan selanjutnya dalam populasi.

Hakikatnya, bagi memastikan bahawa pekerja migran dari negara EU tidak kehilangan hak untuk tinggal di Britain, ia memerlukan satu gerakan pekerja yang harus berjuang berganding bahu dengan pekerja migran.

Ini perlu dikaitkan dengan perjuangan untuk gaji minimum £ 10/jam bagi semua pekerja dan pembantahan terhadap pemotongan perbelanjaan dalam perkhidmatan awam sebagai satu-satunya cara untuk mempertahankan hak bagi semua pekerja, tanpa mengira negara asal mereka.

Jeremy Corbyn
Sokongan padu untuk Jeremy Corbyn

Luahan kemarahan

Pemberontakan terhadap elit yang baru berlaku telah diramalkan oleh Parti Sosialis (CWI UK). Seperti yang kami jelaskan dalam dokumen yang dipersetujui pada persidangan kebangsaan pada Mac yang berbunyi “Seperti undi kemerdekaan Scotland 2014, ia adalah satu kemungkinan bahawa referendum EU boleh menjadi satu cara di mana jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin akan meluahkan kemarahan mereka terhadap penjimatan perbelanjaan kerajaan yang dihadapi secara berterusan. Kita harus mendekati referendum dengan perspektif sebegitu, menjelaskan bahawa mengundi ‘Keluar’ boleh membawa kepada kemungkinan untuk menendang Parti Konservatif juga untuk keluar. “

Kini, selepas referendum berakhir, Jeremy Corbyn dan penyokongnya sedar akan realiti ini dan jelas dilihat apabila dia berkata: “Jutaan telah memilih ‘Keluar’ sebagai satu undi menentang globalisasi yang tidak terkawal yang telah menyaksikan taraf kehidupan merosot akibat kos sara hidup yang meningkat mendadak “. Malangnya, mereka hanya menyedari perkara itu sekarang, selepas menghabiskan lebih 4 bulan berkempen untuk Kekal!

Malah, pemberontakan berlaku walaupun dengan majoriti pemimpin gerakan kesatuan sekerja dan juga Jeremy Corbyn gagal untuk meletakkan kedudukan kelas pekerja bebas dalam referendum bagi mengambil kepimpinan kempen ‘Keluar’ daripada pengawalan parti-parti sayap kanan Ukip dan sebagainya.

Ini adalah apa yang dilakukan Parti Sosialis; menjelaskan bahawa kami menentang pihak kapitalis EU yang bertindak demi kepentingan 1% elit, tetapi kami memihak kepada perpaduan pekerja di seluruh benua dan menawarkan diri untuk pembinaan sebuah persekutuan sosialis Eropah.

Sebaliknya, Frances O’Grady, Setiausaha Agung Majlis Kesatuan Pekerja telah muncul bersama pemimpin Konservatif di Scotland, Ruth Davidson, tanpa melafazkan walau satu kritikan terhadap kerajaan Parti Konservatif di Britain.

Jeremy Corbyn dan John McDonnell bertindak tepat apabila enggan berkongsi pentas bersama ahli-ahli Parti Konservatif tetapi mereka masih dipergunakan oleh David Cameron untuk mencuba dan memenangi majoriti bagi kempen ‘Kekal’ yang bertujuan untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Keadaan politik sudah pastinya berbeza jika Jeremy Corbyn berpegang dengan posisinya sendiri yang telah selama berdekad-dekad menentang pertubuhan EU. Ini adalah ucapannya pada masa Perjanjian Maastricht mengenai pertubuhan EU: “Ia merampas kuasa dari parlimen negara untuk menetapkan dasar ekonomi dan mengalihkan kuasa tersebut ke tangan penguasa bank dan ahli korporat yang tidak melalui mana-mana pilihanraya”.

Satu kempen yang dapat menjelaskan bagaimana nasionalisasi kereta api atau industri keluli adalah tidak sah di bawah undang-undang EU sepatutnya dilancarkan. Disamping itu, jika kempen itu juga berjaya membina solidariti dengan kelas pekerja di Greece, Ireland dan seluruh Kesatuan Eropah yang sedang menghadapi penjimatan kerajaan yang teruk, ia pastinya telah dapat meningkatkan majoriti untuk keluar dan memaksa bukan sahaja peletakan jawatan PM Cameron, tetapi juga untuk mengadakan pilihan raya umum dengan serta-merta. Situasi ini akan membuka peluang yang besar bagi Jeremy Corbyn yang mempunyai sokongan yang padu bukan sahaja di kalangan ahli Parti Buruh (Labour), malah dikalangan rakyat biasa yang membenci agenda penjimatan dari kerajaan.

Ketiadaan suara kelas pekerja dalam kempen ‘Keluar’ bagi referendum telah meninggalkan ruang bagi bekas ahli Parti Konservatif dan broker saham Nigel Farage untuk menyamar sebagai menyebelahi ‘orang kecil’. Pada hakikatnya idea-idea kolot Parti UKIP yang hanya mampu memecah belahkan perpaduan dikalangan rakyat tidak menawarkan sebarang jalan ke hadapan bagi golongan kelas pekerja biasa.

Walaupun kesilapan yang serius yang dibuat oleh majoriti pemimpin-pemimpin gerakan pekerja dalam kempen referendum ini, ia tidak bermakna bahawa UKIP atau kuasa-kuasa nasionalis sayap kanan yang lain akan dapat meraih kemenangan secara otomatik.

Seruan yang jelas untuk pilihan raya umum dengan segera masih boleh memacu Jeremy Corbyn ke tampuk kepimpinan, terutamanya jika program anti-penjimatan diletakkan ke hadapan sebagai program utama.

Pada masa yang sama gerakan kesatuan sekerja perlu melangkah secara aktif menentang kerajaan Konservatif yang sudah lemah dan sedang berpecah, menggunakan mogok umum 24-jam sebagai pertahanan bagi mana-mana langkah penjimatan yang bakal dilakukan selepas ini.

91% daripada ahli kesatuan perguruan NUT yang telah mengundi untuk melancarkan satu tindakan mogok dapat memberikan petunjuk bagi suasana yang telah membangunkan walaupun sebelum referendum. Begitu juga dengan undi untuk menuntut majlis tempatan bagi tidak melaksanakan pemotongan oleh kesatuan Unison dan Unite di persidangan Majlis Kesatuan Sekerja di Wales.

Bagaimanapun, resolusi-resolusi itu harus ditukar menjadi tindakan. Persidangan Kebangsaan Rangkaian Pekerja Kedai yang akan berlangsung pada 2 Julai akan menjadi satu peluang penting bagi ahli-ahli biasa kesatuan untuk datang bersama-sama dan membincangkan penyusunan aksi mereka.

Sudah tentu, bagi kapitalis besar dan elit-elit Parti Buruh sekalipun sangat gentar dengan prospek gerakan pekerja ini dan akan melakukan apa sahaja untuk mengelakkan situasi tersebut. Mereka khuatir dengan tepat bahawa gerakan-gerakan sebegini mampu menyemarakkan kemarahan kelas pekerja yang telah mengalami situasi kemerosotan dalam taraf kehidupan mereka selama bertahun-tahun.

Oleh itu, pendokong kapitalis yang duduk di bangku MP Parti Buruh sudah memulakan serangan mereka terhadap Jeremy Corbyn seperti yang diramalkan oleh kami dari awal lagi. Mereka ingin menyalahkan Jeremy Corbyn bagi keputusan referendum yang tidak menyebelahi mereka dan menggunakan peluang ini untuk menggulingkannya dari kepimpinan Parti Buruh.

Pemilihan Jeremy Corbyn sebagai pemimpin Parti Buruh mencerminkan sokongan kepada agenda anti-penjimatan yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Tanpa disangka, ia mendapat ekspresi dalam pertandingan kepimpinan Parti Buruh yang merupakan sebuah gerakan dari luar Parti Buruh, terutamanya dari kalangan anak-anak muda yang sedang mencari sesuatu yang berbeza untuk menggantikan kepimpinan Parti Konservatif dan Parti Buruh Baru yang bertindak demi kepentingan elit 1%.

Malangnya, dari awal lagi Jeremy Corbyn telah dikelilingi oleh kuasa-kuasa sayap kanan Parti Buruh (Blairites) yang telah bernekad untuk melemahkan dan menggulingkannya.

Seperti amaran kita sebelum ini, bulan lepas telah membuktikan bahawa kompromi dengan wakil-wakil pertubuhan kapitalis adalah sesuatu yang mustahil. Sebaliknya, setiap langkah ke belakang oleh kepimpinan Parti Buruh telah menjurus kepada kemerosotan bagi sokongan Jeremy Corbyn.

Sebaliknya, cabaran dari kanan perlu dihadapi dengan serangan balas. Jeremy Corbyn mengulas dengan tepat apabila mengatakan bahawa undi untuk keluar dari EU oleh rakyat merupakan undi protes terhadap langkah-langkah penjimatan kerajaan.

seuan untuk Mogok Umum oleh Kesatuan PCS dan NUT
Seruan untuk Mogok Umum oleh Kesatuan PCS dan NUT!

Lawan balik langkah-langkah penjimatan

Jeremy Corbyn kini harus melancarkan perjuangan terhadap penjimatan dengan program yang dia sendiri telah bawa pada pemilihan kepimpinan Parti Buruh setahun lepas. Ini termasuk menentang langkah penjimatan dari mana-mana pihak, biarlah Brussels, Westminster atau majlis tempatan Britain. Jeremy Corbyn juga harus menambah tuntutan gaji minimum £ 10 /jam dan pembinaan perumahan majlis secara besar-besaran yang akan dapat menarik minat bukan hanya dikalangan mereka yang melantik dia menjadi pemimpin, tetapi juga majoriti pekerja yang telah terlibat dalam proses referendum.

Kelas kapitalis sedang menghadapi krisis; mereka meraba-raba disekitar mereka untuk mencuba dan mencari pihak yang boleh bertindak dengan waras bagi mempertahankan kepentingan mereka. Adalah sukar bagi mereka untuk mengelakkan pilihan raya umum dalam masa terdekat. Ia juga tidak mustahil sekarang dimana kedua-dua Parti Buruh dan Konservatif yang hanya berpecah disebabkan oleh sistem pilihan raya, boleh membawa kepada penyusunan semula struktur politik Britain. Perpecahan dalam Parti Konservatif dan Parti Buruh boleh membawa kepada pertubuhan baru bagi sayap kanan pro-kapitalis dari kedua-dua Parti Buruh dan Parti Konservatif yang menyokong EU.

Seperti komen Janan Ganesh dalam Financial Times (14 Jun 2016): “. Parti Konservatif dan ahli Parti Buruh pro-kapitalis yang bermesra di pejabat kempen ‘Kekal’ harus bergabung sahaja”. Ia adalah tidak mustahil bahawa kelas kapitalis boleh beralih arah dan menyokong perubahan dalam sistem pilihan raya yang sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar dalam usaha untuk mencuba dan meletakkan apa-apa jenis gabungan pendokong pasaran bebas ke dalam kuasa.
Tetapi manakala kelas kapitalis berada dalam huru-hara, ia adalah penting bahawa kelas pekerja mencari suara politik sendiri. Hasil referendum menunjukkan potensi besar bagi massa untuk melawan langkah-langkah penjimatan di Britain. Tugas utama buat masa ini adalah untuk mewujudkan sebuah parti politik massa yang mampu memimpin segala penentangan dengan bersenjatakan perspektif sosialis yang jelas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *