Mogok doktor kontrak yang dilancarkan pada hari Isnin lepas telah mengetengahkan isu yang membelenggu bukan sahaja para pekerja kesihatan yang terlibat, tetapi juga mewujudkan tanda tanya mengenai sistem kesihatan negara yang sedang menjurus ke arah krisis.

Bina Perjuangan Politik untuk Menangani Krisis Kesihatan Negara


Mogok doktor kontrak yang dilancarkan pada hari Isnin lepas telah mengetengahkan isu yang membelenggu bukan sahaja para pekerja kesihatan yang terlibat, tetapi juga mewujudkan tanda tanya mengenai sistem kesihatan negara yang sedang menjurus ke arah krisis.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia selama lebih 2 tahun telah mendedahkan dengan lebih menyeluruh mengenai sistem kesihatan negara yang penuh dengan kekurangan dan sedang reput. Hospital yang dibanjiri dengan pesakit Covid telah mengakibatkan para pesakit lain terabai. Rawatan susulan bagi pesakit di bawah pengawasan terpaksa ditangguh mengakibatkan peningkatan kematian pesakit yang mengidap sakit jantung, kanser, darah tinggi, kencing manis dan penyakit-penyakit kronik lain. Tambahan pula, kemudahan kesihatan awam juga gagal untuk menampung jumlah pesakit mental yang meningkat mendadak pada waktu PKP dan sedang berterusan sekarang akibat tekanan ekonomi dan kehidupan yang turut meningkat.

Walaupun dunia sedang melangkah meninggalkan pandemik Covid, sistem kesihatan negara masih tidak mampu menampung pesakit yang memerlukan perkhidmatan yang cukup. Berita mengenai pesakit yang terpaksa tunggu untuk berbulan-bulan semata-mata untuk mendapatkan rawatan sudah semakin biasa didengari. Kebanyakan hospital kerajaan tidak mempunyai wad dan katil yang cukup dan para pesakit terpaksa ditempatkan di kerusi sambil menerima rawatan. Bagi yang tidak bernasib baik, mereka langsung tidak mendapat rawatan akibat kesesakan yang tidak berjaya ditampung oleh hospital.

Selain itu, akibat peruntukkan kerajaan yang tidak mencukupi, pengurusan hospital dan KK juga sedang semakin kedekut untuk memberikan ubatan yang diperlukan dan berhenti menyediakan ubat-ubat yang dianggap sebagai mahal. Walaupun kos bagi penyelenggaraan hospital yang dikendalikan oleh syarikat swasta meningkat setiap tahun, peruntukkan yang diterima bukan sahaja tidak cukup untuk menampung kos tersebut, malah ia juga tidak cukup untuk menaiktaraf perkhidmatan yang sedia ada selaras dengan peningkatan populasi dan permintaan dari rakyat. 

Kini, tindakan para doktor kontrak untuk melancarkan aksi bantahan di seluruh negara telah membuka mata rakyat kepada satu lagi isu yang membelenggu sistem kesihatan awam, iaitu layanan buruk ke atas kakitangan sektor kesihatan oleh kerajaan dan kementerian. Bagi tujuan untuk menutup mulut para doktor kontrak, Kementerian Kesihatan telah mengugut mereka dan melabel aksi ini sebagai ‘perhimpunan haram’. Ini mendedahkan sifat sebenar kerajaan yang meremehkan krisis kesihatan yang sedang berkembang. 

Isu doktor kontrak

Sejak 2016, kerajaan Malaysia telah mengurangkan pengambilan doktor sebagai pekerja tetap di hospital awam dan memperkenalkan sistem kontrak yang diperbaharui setiap 2 tahun. Ini adalah akibat kekurangan hospital awam untuk menempatkan semua graduan baru dan akibat kekurangan dana untuk pembiayaan hospital yang ada. Walaupun populasi yang meningkat memerlukan doktor yang lebih ramai, tetapi, sistem kesihatan awam yang tidak diperkembangkan untuk berdekad-dekad lamanya sudah tidak boleh menampung doktor-doktor baru. 

Doktor kontrak, berbeza daripada doktor tetap, tidak mempunyai gred kenaikan gaji seperti kakitangan kerajaan lain. Oleh itu, seorang pekerja doktor kontrak yang sudah bekerja selama 5 tahun misalnya, akan menerima hanya separuh daripada gaji seorang doktor tetap bagi tugasan kerja yang sama akibat perbezaan yang besar dalam kenaikan gaji tahunan. Tambahan pula, walaupun pekerja tetap boleh terus menyambung kerja dan mempunyai jaminan kerja yang kukuh, doktor kontrak terpaksa meninggalkan khidmat kerajaan selepas 5 tahun. Hanya segelintir daripada pekerja kontrak ini diserap menjadi kakitangan kerajaan dan selebihnya terpaksa mencari kerja di syarikat-syarikat swasta. 

Selain itu, sepanjang perkhidmatan mereka, doktor kontrak tidak dapat menikmati manfaat yang sama dengan doktor lantikkan tetap seperti cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod untuk peperiksaan, cuti sakit atau kemalangan dan peluang latihan persekutuan untuk melanjutkan pendidikan mereka. Ini merupakan sebuah penindasan yang tidak adil oleh pihak KKM dan kerajaan. Walaupun doktor kontrak ini menampung beban kerja yang sama dengan doktor lantikan tetap, terutamanya pada waktu pandemik yang penuh dengan cabaran, mereka masih ditindas dan dilayan seperti pekerja yang tidak mempunyai hak. 

Akar kepada krisis kesihatan negara

Ada beberapa pihak yang merujuk kepada isu doktor kontrak sebagai isu lambakkan doktor. Ini merupakan pandangan yang kurang tepat dan tidak menyeluruh. Hakikatnya, nisbah doktor bagi penduduk adalah masih rendah di negara ini dan kerajaan harus melatih seramai doktor yang boleh untuk menampung peningkatan populasi dan peningkatan rakyat miskin yang bergantung dengan perkhidmatan awam. Malaysia hanya mempunyai 75 ribu orang doktor di kedua-dua institut kerajaan dan swasta apabila populasi negara sudah mencecah 33 juta. Masalahnya merupakan kekurangan fasiliti kesihatan awam dan peruntukan kerajaan untuk menampung para graduan doktor dan petugas kesihatan lain.

Pihak kerajaan ingin berbangga dengan peruntukkan kesihatan awam di dalam bajet yang kononnya meningkat sebanyak 4 bilion berbanding bajet tahun lalu. Tetapi, peruntukkan keseluruhan bernilai 36.3 bilion tersebut bukanlah sebuah bajet yang boleh memulihkan sistem kesihatan awam, menawarkan jawatan tetap untuk ribuan pekerja kesihatan yang berada di bawah kontrak dan meningkatkan kemudahan kesihatan di setiap komuniti. Dengan peningkatan harga ubat dan kos operasi pusat perubatan awam, bajet PM Anwar Ibrahim belum pasti cukup untuk menampung perkhidmatan yang sedia wujud, apatah lagi menambahbaik sistem kesihatan secara keseluruhan.

Bajet 2023 yang dibentang semula selepas perubahan kuasa kerajaan pada tahun lepas melihat hampir 100 bilion diperuntukkan sebagai belanja pembangunan dan insentif cukai perniagaan termasuk pelepasan dan pemotongan cukai korporat. Manakala subsidi keseluruhan rakyat adalah hanya sekitar 64 bilion ringgit. Ini termasuk subsidi barangan asas, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur awam lain. Peruntukan bagi Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Anwar sendiri melihat peningkatan sebanyak 173% berbanding sebelum, iaitu dari 30 bilion ke 81 bilion!

Akibat ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan negara yang lebih mengutamakan golongan kaya dan korporat dan mengetepikan keperluan rakyat miskin, kini rakyat Malaysia dan kakitangan sektor kesihatan sedang menghadapi krisis. Semua parti politik yang pernah menduduki kuasa kerajaan di negara ini harus memikul tanggungjawab ke atas isu yang bangkit sekarang dan tidak boleh dipercayai untuk memulihkan krisis kesihatan yang sedang berkembang.

Kerajaan tidak mempunyai solusi yang munasabah

Setelah para doktor kontrak melancarkan aksi industri dan mengetengahkan penindasan yang dihadapi mereka ke khalayak umum, barulah PM Anwar Ibrahim mula mengambil serius berkenaan dengan isu tersebut. Pada waktu ini, satu solusi jangka masa pendek yang penuh dengan kekurangan telah dibentangkan. Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan sebanyak 1.7 bilion untuk menerapkan hampir 13 ribu doktor kontrak menjadi pekerja awam tetap secara berperingkat dalam 3 tahun. Tahun ini hanya sekitar 4 ribu doktor akan mendapat penyelesaian, manakala, yang lain harus tunggu untuk tahun-tahun yang akan datang. Walaubagaimanapun, solusi yang ditawarkan oleh kerajaan hanya merujuk kepada separuh daripada bilangan doktor kontrak di institusi awam. Hampir 20 ribu doktor kontrak lain tidak mempunyai sebarang solusi daripada pihak kerajaan dan dibiarkan tergantung begitu sahaja.

Pada masa yang sama PMX masih tidak menjelaskan dari manakah tambahan 1.7 bilion itu akan diperoleh. Adakah subsidi rakyat lain akan dikikis ataupun adakah negara akan menanggung lebih banyak hutang? Tambahan pula, tanpa sebuah program untuk meningkatkan infrastruktur kesihatan awam seperti pembinaan hospital baru yang akan menelan belanja puluhan bilion ringgit, isu kesihatan awam, termasuk isu doktor kontrak tidak akan selesai. Bagaimana dengan populasi negara yang dijangka akan melihat peningkatan setiap tahun? Bagaimana dengan peningkatan golongan miskin yang bergantung dengan perkhidmatan awam akibat kenaikan kos hidup? Bagaimana dengan 8 ribu graduan doktor baru yang keluar dari institusi pengajian setiap tahun?  

Polisi cukai dan peruntukan 

Apa yang dibentangkan oleh PMX merupakan sebuah solusi yang berbentuk kosmetik dan tidak mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah ini walaupun untuk jangka masa yang pendek. Hakikatnya, apa yang diperlukan adalah pengagihan kekayaan yang lebih adil dan mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat biasa.

Syarikat-syarikat korporat gergasi yang sedang menjana keuntungan yang lumayan tidak memerlukan sebarang pemotongan atau insentif cukai. Pelepasan cukai ini bukannya digunakan untuk kepentingan negara dan masyarakat tetapi untuk meningkatkan kemewahan peribadi mereka. Sebaliknya, kerajaan harus meningkatkan cukai bagi korporat kaya untuk membiayai subsidi rakyat dan pembangunan infrastruktur awam. Syarikat-syarikat multinasional sudah lama menikmati keutamaan dan sekarang merupakan giliran rakyat biasa untuk menerima penghargaan daripada kerajaan. 

Polisi pencukaian dan peruntukan yang diamalkan oleh pihak kerajaan setakat ini harus di hentikan segera dan polisi-polisi pro rakyat harus diperkenalkan. Golongan yang berpendapatan tinggi dan memiliki kekayaan yang besar harus dicukai dengan lebih agresif dan hasilnya harus disalurkan kepada kebajikan rakyat miskin. 

Dalam beberapa dekad, Malaysia melihat industri kesihatan swasta yang berkembang seperti cendawan selepas hujan. Pusat-pusat kesihatan mewah yang hanya boleh diakses oleh golongan kaya telah didirikan di hampir semua bandar-bandar utama di seluruh negara. Pihak kerajaan juga telah memberikan pelbagai subsidi, pelepasan cukai dan insentif-insentif tertentu untuk menggalakkan pembinaan infrastruktur swasta yang hanya berkhidmat kepada minoriti daripada populasi negara manakala rakyat majoriti merana dan bertarung nyawa di kemudahan awam yang penuh dengan kekurangan. 

Infrastruktur swasta yang tidak melayan golongan miskin haruslah di milik negara dan digunakan untuk kepentingan awam. Para pemilik syarikat besar harus sedar akan krisis yang menghadapi rakyat, bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi juga dalam ekonomi dan sosial. Kini merupakan giliran golongan kaya untuk melakukan sedikit pengorbanan demi menyelamatkan rakyat dan kelas pekerja yang selama ini telah berusaha untuk menjana keuntungan mereka. 

Pada masa yang sama, perlu juga ada perubahan yang drastik dari segi pengurusan sistem kesihatan negara yang sedang merosot di bawah para birokrat kerajaan yang tidak pernah turun padang. Sebaliknya, para pekerja industri kesihatan termasuk doktor, jururawat, pegawai kesihatan, pemandu ambulans dan semua kakitangan hospital haruslah dilibatkan secara demokratik dalam semua pengurusan dan keputusan yang dibuat. Para pekerja yang melaksanakan tugasan harian mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk bukan sahaja menguruskan kerja mereka dengan lebih baik, malah untuk menambah baik perkhidmatan untuk rakyat.

Selain itu, pengawasan yang demokratik akan berfungsi secara lebih efektif, mengurangkan ketirisan dan mengurangkan pergantungan dengan perkhidmatan swasta yang mencekik darah. Sistem kesihatan awam negara harus dikembangkan dan juga mengambil tanggungjawab penuh dalam segala penyeliaan dan operasi pusat kesihatan, bebas dari pengaruh pihak swasta. 

Perjuangan politik untuk menyelesaikan krisis kesihatan

Gerakan-gerakan kelas pekerja seperti Doktor Kontrak Mogok ini haruslah disanjung dan disokong oleh semua kelas pekerja lain. Malangnya Jawatankuasa Hartal Doktor Kontrak yang telah melancarkan aksi pada 2021 untuk mengetengahkan isu yang sama tidak memberi kepimpinan kepada aksi Doktor Kontrak Mogok kali ini. Persatuan Perubatan Malaysia juga gagal untuk memberikan sokongan kepada perjuangan para doktor tersebut. Ini merupakan perkara yang mengecewakan dan mewujudkan tanda tanya terhadap hala tuju kedua-dua pertubuhan tersebut yang nampak lebih mesra dengan pihak kerajaan dan tidak berani untuk memimpin perjuangan yang mencabar. 

Seharusnya kepimpinan Hartal Doktor Kontrak bukan sahaja memberi sokongan dan kepimpinan, malah mereka juga harus mengembangkan aksi ini kepada para pekerja kesihatan lain yang turut menghadapi isu yang sama. Selain daripada para doktor, pekerja lain yang bertugas di dalam pusat kesihatan awam juga sedang menghadapi nasib yang sama dan hanya ditempatkan sebagai pekerja kontrak yang tidak mempunyai jaminan kerja. 

Aksi Doktor Kontrak Mogok ini merupakan perjuangan yang boleh dicontohi oleh jutaan pekerja lain yang juga sedang menghadapi masalah-masalah yang serupa pada waktu ini. Malah para pekerja di kilang, pekerja ‘gig’ seperti penghantar makanan dan pekerja servis di negara ini sedang menghadapi penindasan yang melampau dari pihak majikan. Dengan jalinan solidariti daripada semua kelas pekerja dan aksi-aksi yang tersusun, kelas pekerja boleh melangkah ke hadapan dan menuntut perubahan-perubahan yang lebih bermakna bagi semua rakyat. 

Kelas pekerja, yang menjadi nadi utama dalam menguruskan semua keperluan masyarakat dalam keadaan pendemik haruslah disanjung dan diiktiraf sebagai kepimpinan yang betul-betul layak untuk memegang kuasa kerajaan. Kelas pekerja barisan hadapan seperti doktor kontrak, kakitangan kesihatan, bersama dengan pekerja industri, penghantar makanan, pekerja pembersihan dan sebagainya telah mengambil risiko yang besar dan berkorban selama lebih dua tahun demi kepentingan rakyat. Manakala, para CEO, pemegang saham syarikat besar, ahli-ahli politik dan kelas majikan kaya pula didapati menyembunyikan diri, menghabiskan masa dengan bercuti dan membuat helah untuk menghirup duit rakyat. 

Oleh itu, selagi kelas majikan, CEO kaya dan ahli politik pro-kapitalis sedang bermaharajalela, kelas pekerja dan rakyat biasa akan sentiasa ditindas demi kepentingan sebuah minoriti kecil. Rakyat biasa memerlukan sebuah perwakilan politik yang mampu membawa aspirasi dan tuntutan rakyat ke hadapan. Sebuah program sosialis yang membawa tuntutan untuk sistem kesihatan percuma yang mencukupi, sistem pendidikan awam percuma, gaji kehidupan kepada semua pekerja, bantuan kebajikan rakyat dalam waktu kecemasan, pengawalan ke atas ekonomi secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa merupakan satu-satunya solusi kepada semua krisis yang wujud. 

Kelas pekerja dari semua latar belakang haruslah bersatu dan membawa sebuah alternatif sosialisme kepada sistem kapitalisme yang sedia ada secara tersusun dan melalui perjuangan rakyat. Sebuah parti pekerja massa haruslah di bina melalui perwakilan dari kelas pekerja sendiri dan berpaksikan kepada kehendak majoriti rakyat. Hanya sebuah pertubuhan politik yang mempunyai sokongan massa, program yang kukuh dan gerakan yang kuat boleh menjadi kepimpinan yang boleh menggantikan penguasaan sistem kapitalisme dengan sosialisme demokratik yang adil kepada semua. 

Kongsi artikel ini

Berita & Analisa Berkaitan

Analisa PRN 2023: Krisis politik berterusan
Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di enam buah negeri pada Ogos 2023 telah mendapat perhatian yang luar biasa di kalangan penduduk negara. Biasanya, PRN di Malaysia diadakan seiring dengan Pilihan Raya Umum yang menentukan agihan kerusi...
BACA
Book Review : Megathreats
Tony Saunois reviews ‘Megathreats: The Ten Trends that Imperil Our Future, and How to Survive Them’ by Nouriel Roubini Capitalism’s ‘Megathreats’ Many bourgeois economists have tended to put a gloss on the deep systemic crisis...
BACA
Kerajaan Campuran PH-BN akan Gagal. Bina Alternatif Politik untuk Mempertahankan Kebajikan dan Hak Rakyat!
Sebahagian daripada rakyat Malaysia telah menarik nafas lega apabila Anwar Ibrahim akhirnya dipilih menjadi PM dan Pakatan Harapan kembali menjadi kerajaan. Tetapi pada masa yang sama, sebahagian besar daripada rakyat, terutamanya rakyat...
BACA

Bina Perjuangan Politik untuk Menangani Krisis Kesihatan Negara

One Response