Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Rakyat Amerika Syarikat dan seluruh dunia terkejut dengan berita kemenangan jutawan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke 45 baru-baru ini. Tahun ini menandakan kebangkitan politik rakyat Amerika dalam menentang parti-parti politik yang dianggap sebagai sebahagian daripada pertubuhan elit yang mengawal hidup mereka dan membawa polisi-polisi neo-liberalisme yang hanya menguntungkan segelintir elit. Ini dicerminkan dengan sokongan padu bagi calon-calon yang datang dari luar pertubuhan elit seperti Bernie Sanders yang membawa program yang progresif dan Donald Trump yang menjalankan kempen yang bersifat memecah belahkan rakyat.

Trump telah menganjurkan kempen negatif yang bersifat perkauman disamping menyelitkan beberapa tuntutan yang popular dikalangan rakyat. Ini telah mewujudkan ruang kepada pihak reaksioner dan organisasi-organisasi nasionalis yang rasis untuk keluar dari lubang mereka dan cuba mendekati kelas pekerja dan anak muda yang sedang kecewa dengan hala tuju politik dan sosial negara. Ini merupakan perkembangan yang amat berbahaya dan boleh membawa kesan buruk dalam masa-masa yang akan datang.

Walaubagaimanapun, kami menolak tanggapan yang sering diulang oleh golongan liberal bahawa majoriti daripada kelas pekerja berkulit putih di Amerika turut menyokong rasisme dan xenofobia yang dianjurkan oleh kempen Trump. Sebenarnya, calon parti Demokrat Hillary Clinton telah menang tipis dalam kiraan undi popular. Trump hanya berjaya meraih 47.5% daripada undi keseluruhan. Tambahan pula, jutaan rakyat biasa yang miskin telah memilih untuk langsung tidak mengundi untuk kedua-dua parti.

Undi yang diraih oleh Trump adalah sebahagian besar merupakan undi untuk membantah Hillary Clinton yang dilihat sebagai boneka untuk korporat besar dan pertubuhan elit yang memangsakan rakyat biasa untuk berdekad-dekad lamanya. Ramai dikalangan rakyat biasa tertarik dengan retorik Trump yang kononnya akan melawan politik elit yang korup dan membawa balik peluang pekerjaan ke Amerika dengan menghancurkan perjanjian perdagangan yang dibenci oleh rakyat. Malangnya, walaupun ini adalah sekadar retorik yang tidak boleh dipercayai, tidak ada sebarang pilihan lain yang lebih progresif yang boleh menawarkan alternatif yang berkesan terhadap populisme dari Trump.

trumpbclinton
Trump menyokong Clinton sebagai calon Presiden pada 2008

Kedua-dua Clinton dan Trump merupakan calon presiden yang paling dibenci dalam sejarah Amerika Syarikat. Penyelewengan Clinton sudah lama diketahui dan rakyat biasa sudah merasai kesan-kesan negatif akibat polisi Bill Clinton dan Hillary Clinton di tampuk pemerintahan mereka. Peranan Clinton sebagai calon korporat yang akan menyambung kekuasaan golongan elit sudah lama terdedah di mata rakyat dan malangnya, Donald Trump menjadi pilihan mereka untuk meluahkan kekecewaan terhadap golongan elit. Hillary Clinton tidak berjaya meraih undi yang lebih besar dari kalangan minoriti, wanita dan golongan berkulit hitam yang telah keluar dalam angka yang banyak untuk memenangkan Presiden Obama sebelum ini. Kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap polisi-polisi neo-liberalisme dan perang yang dibawa oleh Obama juga menjadi penyebab utama bagi kemenangan Trump.

Pemilihan Trump merupakan sebuah bencana yang akan membawa pelbagai kesan buruk.. Tetapi pada masa yang sama, ia juga merupakan satu fasa dalam proses kebangkitan politik dan sosial rakyat Amerika Syarikat. Sistem ekonomi kapitalisme dan institusi politiknya diragui oleh rakyat dalam skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan di bawah kepimpinan orang seperti Trump, ia akan menjadi lebih teruk.

Pastinya ramai di kalangan aktivis-aktivis dan organisasi yang progresif akan mula putus asa dan menganggap bahawa semua usaha mereka adalah sia-sia. Ia adalah amat penting bagi kita untuk menolak perasaan negatif yang tidak tepat itu. Seperti yang diistilahkan oleh Bernie Sanders sebelum ini, perubahan yang nyata hanya boleh dimenangi oleh gerakan dari bawah, gerakan yang mengambil tempat diluar arena politik arus perdana, di jalan raya dan di tempat-tempat kerja rakyat biasa.  

Kemenangan Trump akan mewujudkan huru-hara dan provokasi yang akan mendorong berjuta-juta rakyat untuk menjadi defensif dan gelisah. Inilah sebabnya ia amat penting bagi kita semua untuk menggandakan usaha kita untuk membina satu gerakan massa yang benar-benar mampu membawa perubahan yang nyata.

Adalah juga penting untuk ingat bahawa polisi-polisi yang akan dibawa oleh Presiden Trump akan akhirnya mengecewakan penyokongnya sendiri. Polisi-polisi anti-migran dan retorik yang dibawa oleh Trump tidak boleh menjamin sebarang pekerjaan dan masa depan yang cerah bagi rakyat Amerika. Trump yang juga datang dari golongan elit pastinya akan membawa polisi yang akan menguntungkan para jutawan seperti dirinya sendiri dan akan cuba memastikan kesinambungan sistem ekonomi kapitalisme yang semakin rapuh di serata dunia. Kepimpinan Trump akan memberikan banyak peluang bagi aktivis dan pejuang progresif untuk membina satu gerakan yang bersatu.

Gerakan massa terhadap Trump perlu menyeru kepada kelas pekerja terutamanya pekerja berkulit putih dan menerangkan bagaimana kita boleh membina masa depan untuk semua dengan bersatu dan dengan menjauhi retorik berunsur perkauman. Sebuah masa depan sebegitu hanya boleh dicapai melalui sistem ekonomi sosialisme yang adil dan mengutamakan kepentingan rakyat biasa dan kelas pekerja.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *