Oxfam (NGO yang mengkaji jurang kaya miskin global) telah mengeluarkan sebuah laporan yang mendedahkan bahawa hanya 2153 orang jutawan kaya di dunia kini memiliki lebih banyak duit berbanding 60% daripada populasi global, iaitu 4.6 bilion orang biasa. Golongan kaya 1% teratas kini memiliki dua kali ganda lebih daripada jumlah harta bagi 99% rakyat. Jurang kekayaan di antara orang kaya dan miskin sedang berkembang setiap tahun dan kerajaan-kerajaan dunia tidak berupaya untuk melakukan sebarang regulasi yang mampu memulihkan keadaan ini. Walaupun kemelesetan ekonomi kapitalisme yang bermula dengan krisis kewangan global pada tahun 2007 merupakan punca utama kepada kadar kemiskinan yang sedang bertambah, pada masa yang sama, para kapitalis kaya tidak menghadapi sebarang kekangan untuk meningkatkan kekayaan mereka. 3 individu terkaya dunia, Mark Zuckerberg, Bill gates dan Jeff Bezos telah berjaya mengumpul sebanyak 231 bilion USD (RM 947 bilion) dalam hanya satu dekad.

Laporan Oxfam ini dikeluarkan sebelum persidangan Davos 2020 yang dihadiri oleh 120 orang jutawan yang mempunyai jumlah kekayaan melebihi 500 Bilion Dolar Amerika. Dalam persidangan tersebut, kapitalis-kapitalis besar membawa cadangan-cadangan untuk menangani krisis ekonomi yang sedang melanda dunia selama lebih sedekad dan merancang untuk memelihara kadar keuntungan mereka di samping mempertahankan sistem ekonomi kapitalisme. Selama lebih dari 12 tahun semenjak krisis ekonomi melanda dunia, ratusan perancangan dan pelan para kapitalis masih gagal untuk mengemudi ekonomi ini balik ke tahap pra-krisis. Tambahan pula, pelbagai institut kapitalisme yang berbeza sedang meramalkan ketibaan satu lagi krisis kewangan global dalam masa yang terdekat selepas mengambil kira kadar hutang dunia yang sedang menggunung. Walaupun krisis demi krisis melanda sistem ekonomi kapitalisme, sistem ini akan sentiasa mewujudkan ruang untuk golongan berada untuk meneruskan kehidupan mewah sambil mengalihkan segala beban ekonomi ke bahu jutaan rakyat biasa.

Laporan Oxfam juga mendedahkan bahawa golongan wanita sedang menyumbang kerja bernilai 10.8 trilion USD (RM 44.3 trilion) dengan melakukan tugasan yang tidak dibayar seperti kerja penjagaan anak, pengurusan rumah, kerja pembersihan dan penjagaan warga tua. Nilai kerja ini adalah 3 kali ganda lebih besar daripada industri teknologi, dan golongan kapitalis tidak mungkin boleh menggondol kekayaan yang berlimpah-limpah jika kerja-kerja domestik seperti penjagaan kanak-kanak dan warga tua dibayar dengan setimpal. Kelas pekerja bukan sahaja menyumbang untuk masyarakat dengan mencurah tenaga mereka di tempat kerja bagi menjana keuntungan bagi para majikan, mereka juga diberikan tanggung jawab penuh untuk mewujudkan tenaga kerja masa hadapan supaya kesinambungan sistem ini dijamin. Sistem kapitalisme gagal untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang sedang mengorbankan kehidupan mereka untuk menggerakkan sistem yang tidak adil ini.

“Sistem ekonomi kita sedang menyumbat kekayaan di poket jutawan dan peniaga besar sambil mengorbankan rakyat biasa. Tidak hairanlah bahawa rakyat sudah mula mempersoalkan logik dibelakang kewujudan para jutawan yang kaya raya.”, kata seorang jurucakap Oxfam. Kenyataan ini menggambarkan kekecewaan yang dihadapi oleh populasi dunia yang ditindas dengan teruk sehingga tercetusnya gerakan-gerakan massa yang mencabar aturan masyarakat di bawah sistem yang hanya memanfaatkan segelintir golongan kaya. Kekayaan yang sedang dinikmati oleh kelas kapitalis adalah berdasarkan kepada penindasan terhadap kelas pekerja dan majoriti populasi dunia dan perkara ini tidak boleh berterusan tanpa meraih reaksi dan kemarahan daripada rakyat massa. Pada waktu ini, lebih daripada 30 buah negara sedang dilanda protes-protes massa pada skala yang bersejarah.

Sistem kapitalisme yang mengatur pergerakan ekonomi dunia juga menentukan sistem politik yang akan mengukuhkan penguasaan mereka terhadap masyarakat. Oleh itu, di dalam situasi krisis global yang sedang menimbulkan pelbagai ancaman kepada rakyat biasa, kerajaan-kerajaan dunia di dapati tidak mampu untuk memberi sebarang solusi atau menangani masalah ini dengan berkesan. Parti-parti politik yang menabur pelbagai harapan kepada rakyat jelata sebelum menjadi kerajaan seringkali meminggirkan aspirasi rakyat biasa dan berpihak kepada kehendak para kapitalis dan pemodal kaya. Sistem ‘Demokrasi Parlimen’ atau ‘Demokrasi Perwakilan’ yang diguna pakai di kebanyakan negara kapitalis merupakan sebuah sistem yang tidak demokratik dan di reka oleh para kapitalis bagi mengekang hak dan suara kelas pekerja dan rakyat biasa.

Oxfam juga melaporkan bahawa salah satu jalan penyelesaian yang mampu memberi impak adalah untuk meningkatkan cukai ke atas golongan kaya bagi membiayai dana kebajikan yang boleh membantu warga miskin. “Cuma 0.5% cukai ke atas golongan 1% kaya akan dapat menampung pelaburan yang boleh mewujudkan sebanyak 117 juta pekerjaan berbayar di sektor penjagaan warga tua dan kanak-kanak, kesihatan, pendidikan dan sektor domestik” kata jurucakap Oxfam. Tetapi, sepertimana yang diketahui umum, kerajaan-kerajaan dunia sedang mengurangkan kadar cukai korporat dan perniagaan besar, kononnya untuk menarik modal asing dan menggalakkan sektor perniagaan di negara masing-masing. Bukan sahaja pihak kerajaan gagal untuk meregulasi penggondolan harta pihak kapitalis yang melampau, malah, kerajaan memainkan peranan utama dalam menghakis hak rakyat biasa dan menyediakan ruang kepada kelas majikan untuk mengeksploitasi tenaga kerja mereka. Inilah yang sedang dirasai oleh rakyat biasa dari seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Kadar hutang dunia yang menggunung dan kemelesetan ekonomi yang berpanjangan merupakan hasil kerakusan segelintir pemilik syarikat gergasi dan kapitalis pemodal kaya dunia. Kelas kapitalis dengan bebas menyeleweng ribuan jutaan wang rakyat dan meneruskan penyelewengan mereka walaupun sudah terdedah ke pengetahuan awam apabila tercetusnya krisis ekonomi yang paling teruk dalam sejarah kapitalisme pada 2007. Tetapi, tanpa mengakui kerakusan dan kegelojohan mereka, para kapitalis menggunakan kuasa wang dan pengaruh politik untuk meneruskan agenda mereka yang sedang memimpin umat manusia ke arah kesengsaraan. Pada masa yang sama, sistem kapitalisme juga sedang menghumban majoriti daripada populasi dunia ke dalam situasi perang yang tidak berkesudahan, keruntuhan ekonomi dan struktur sosial, krisis politik yang mewujudkan kecelaruan dan degradasi ekologi dan alam sekitar dalam skala yang tidak terkawal.

Melalui pergelutan dengan golongan penguasa, rakyat massa yang terlibat dalam pelbagai gerakan yang sedang berkembang pada waktu ini sudah mula menyedari bahawa satu-satunya solusi bagi masalah mereka adalah untuk mencari jalan keluar daripada sistem ekonomi yang tidak adil ini. Oleh itu, melalui pengalaman perjuangan, kelas pekerja dan rakyat biasa sedang mencari sebuah sistem alternatif yang boleh menggantikan sistem kapitalisme yang sudah rakus ini. Sebarang jenis reformasi dalam sistem kapitalisme hanya akan bersifat sementara dan hak rakyat akan terus terhakis jika tidak mencapai satu solusi yang mampu membawa perubahan yang kekal.

Oleh itu, kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang sedar mengenai hakikat ini haruslah berusaha untuk menyusun tenaga massa untuk berjuang demi sistem ekonomi yang demokratik dan mampu menampung kemahuan rakyat majoriti. Sosialisme merupakan sistem ekonomi yang di anjur oleh kepimpinan kolektif kelas pekerja dan rakyat tertindas yang akan memastikan pengagihan kekayaan yang saksama di kalangan masyarakat dan berpaksikan pada aspirasi dan kehendak rakyat biasa. Sistem Sosialisme menegaskan demokrasi rakyat yang akan melibatkan seluruh komuniti dalam proses mengambil keputusan dan menetapkan hala tuju ekonomi negara. Ia tidak memerlukan sebuah kepimpinan daripada golongan kaya yang tidak mementingkan kebajikan rakyat seperti sistem kapitalisme. Jika perjuangan ke arah sistem Sosialisme tersebar ke seluruh dunia, ia akan dapat meningkatkan taraf kehidupan bagi 99% rakyat, menggunakan teknologi untuk meringankan beban kerja manusia, menjalin solidariti dengan semua perjuangan rakyat biasa, menghentikan perang dan mewujudkan silaturahim di kalangan masyarakat dan memelihara alam semula jadi untuk memastikan kesejahteraan umat manusia.

Sistem Sosialisme tidak akan terbentuk tanpa sebuah perjuangan yang tersusun dari massa yang menuntut perubahan. Kelas pekerja yang sedang memegang segala peralatan pengeluaran ekonomi merupakan golongan yang paling tersusun dan mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang boleh melemahkan sistem kapitalisme melalui aksi perjuangan mereka seperti mogok. Pada masa yang sama, kelas pekerja juga merupakan kepimpinan yang mampu menubuhkan sebuah aturan sosial yang baru di bawah sistem Sosialisme. Pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja boleh memainkan peranan dalam memimpin gerakan rakyat untuk menekan sistem kapitalisme dan membawa sebuah alternatif sosialis. Oleh itu, kelas pekerja, rakyat tertindas dan anak muda yang sedang berjuang demi masa hadapan mereka haruslah mewujudkan organisasi-organisasi yang bebas dari pengaruh kuasa kapitalis sebagai benih yang mampu memimpin gerakan rakyat biasa ke arah konklusi sosialisme pada masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *