Satu lagi mangsa POCA dan SOSMA… Mansuhkan semua akta zalim !
Sosialis Alternatif membantah sekeras-kerasnya penganiayaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar sarjana Usuluddin UM, bagi kesalahan memiliki buku-buku yang berbahaya. Pihak polis telah menggunakan akta-akta yang tidak demokratik seperti POCA dan SOSMA untuk menindas seorang anak muda dari kalangan rakyat biasa yang tidak melakukan kesalahan mengikut undang-undang negara.
Kes Siti Noor Aishah telahpun dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas ditahan lebih 7 bulan dibawah akta SOSMA pada September lalu. Dalam perbicaraan tersebut, didapati bahawa semua 12 buku yang dikatakan mengandungi unsur keganasan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri sehingga ke hari ini dan Hakim bagi kes tersebut telah mengarahkan pihak pendakwaraya supaya membebaskan pembela. Pada hari yang sama dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, pihak polis telah menahan semula Siti Aishah yang ditahan selama 60 hari, kali ini dibawah akta POCA. Kemudian dia diletak dibawah tahanan rumah dengan memasang alat peranti pengawasan selama beberapa bulan sebelum ditahan sekali lagi pada 27 Mac lalu. Kini Siti Aishah sedang ditempatkan di penjara Kajang di bawah akta SOSMA.
Akta-akta yang zalim seperti POCA dan SOSMA mencabul hak-hak asasi seorang individu dan meletakkan kuasa muktamad pada golongan pemerintah kerajaan. Seperti yang terdedah dalam kes Siti Aishah, sistem kehakiman yang wujud juga tidak mampu dirujuk untuk membela nasib rakyat biasa apabila ditindas oleh pihak berkuasa. Siti Aishah yang belum didapati bersalah bagi mana-mana jenayah sudahpun ditahan selama 8 bulan di penjara dan kehidupannya bersama keluarga dan saudara-mara turut terpaksa merana. Siti Aishah yang datang dari latar belakang keluarga miskin sedang mengharungi masalah hutang dan menghadapi pelbagai beban dan tekanan dalam menanggung kos membiayai kes anak mereka yang berpanjangan untuk lebih setahun.
Bukan sekadar POCA dan SOSMA, malah banyak lagi akta-akta yang mencabul hak asasi individu sedang dipergunakan oleh kerajaan untuk menindas hak dan demokrasi rakyat biasa. Kes Siti Aishah ini merupakan cuma setitik dalam lautan penindasan yang sering dihadapi oleh para aktivis sosial, media-media bebas, kelas pekerja dan ramai lagi yang bersuara mempersoalkan norma pentadbiran kerajaan setiap hari. Akta-akta yang menindas ini menyekat suara rakyat biasa dan menindas perjuangan kelas pekerja di setiap penjuru.
Tindakan keras ke atas Siti Aishah ini bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan kelas pemerintah dan untuk berfungsi sebagai satu amaran kepada anak muda yang ingin membawa aspirasi kebebasan berekspresi dan bersuara. Ia adalah sebuah langkah untuk melemahkan pembinaan gerakan anak muda atau mahasiswa yang bertujuan untuk menentang penindasan dan penganiyaan. Ini menjelaskan bahawa anak muda tidak harus leka atau tidak mengambil peduli dengan penindasan yang semakin bermaharajalela, dan ini memerlukan perjuangan dan solidariti di kalangan anak muda untuk menangkis pencabulan hak dan membina demokrasi anak muda.
Bagi mencapai aspirasi, perjuangan perlu dibina untuk membantah undang-undang yang mencabul hak dan demokrasi. Pada masa yang sama, kita juga harus sedar akan ketempangan sistem pertubuhan kerajaan yang dibina untuk berkhidmat bagi segelintir yang berkuasa sahaja. Semua aparatus kerajaan seperti polis, kehakiman dan sebagainya dikongkong oleh segelintir elit yang mempergunakannya untuk kepentingan politik dan sosial diri sendiri. Ini menyulitkan perjuangan membantah akta-akta zalim dimana jika mana-mana satu akta dapat dikalahkan, satu lagi akan diwujudkan untuk mengambil tempatnya dengan segera.
Oleh itu, satu-satunya cara untuk perjuangan ke atas akta-akta yang tidak demokratik ini adalah dengan memantapkan penentangan massa dari akar umbi masyarakat. Anak muda dan aktivis sosial harus menyeru kepada kelas pekerja dan rakyat biasa disamping menaikkan kesedaran mereka mengenai perhubungan sistem dan kehidupan harian mereka. Sistem yang menindas kebebasan bersuara anak muda juga bertanggungjawab untuk mewujudkan kondisi kehidupan yang teruk bagi majoriti kelas pekerja. Akta-akta yang serupa juga boleh dipergunakan keatas pejuang kelas pekerja yang berani memobilisasi pekerja dan membantah polisi kerajaan yang tidak adil. Ramai pemimpin kesatuan sekerja dan aktivis buruh pernah dipenjara bertahun-tahun dibawah akta ISA dalam sejarah perjuangan pekerja Malaysia.
Bagi mencapai sebuah perubahan yang nyata, struktur sosial dan ekonomi yang diperlukan oleh sebuah masyarakat haruslah dikawal oleh majoriti rakyat bagi kepentingan semua. Akan tetapi, sistem yang sedia ada tidak serasi dengan bentuk pemerintahan yang demokratik dan bagi membawa perubahan yang nyata, Sebuah alternatif yang berkesan harus dicari sebagai penggantinya. Segala perjuangan menentang perundangan yang tidak demokratik daripada kerajaan haruslah dibantah dan juga diperkaitkan dengan masalah struktur sistem kapitalisme yang didukung oleh kerajaan. Sistem kapitalisme yang hanya berfungsi bagi segelintir elit yang berkuasa harus diganti dengan sistem sosialisme sebagai alternatif yang mampu menampung keperluan dan hak demokrasi untuk majoriti kelas pekerja dan anak muda.