Sosialis Alternatif membantah sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri dan pihak kerajaan persekutuan yang telah menahan seramai 14 orang ahli politik pembangkang, aktivis kiri, aktivis mahasiswa dan aktivis NGO pada hari Jumaat, sehari sebelum acara Bersih 5 berlangsung. Walaupun 13 orang daripada tahanan tersebut telah dibebaskan pada hari-hari berikutnya, ketua penganjur Bersih 5 dan pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sedang ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan 2012 ( SOSMA ).
Kerajaan Najib yang sedang menghadapi kelembapan ekonomi yang serius amat khuatir dengan perhimpunan aman sebegini yang mempunyai potensi untuk mencetuskan gerakan yang lebih luas. Oleh itu, beberapa orang aktivis yang dikenali ramai telah ditahan untuk menakutkan rakyat biasa dengan harapan mereka akan menjauhi perhimpunan Bersih 5. Walaupun dengan pelbagai jenis ancaman dan percubaan untuk menggagalkan perhimpunan tersebut, pada Sabtu pagi, lebih daripada 40 ribu rakyat telah turun menghadapi kerajaan pemerintah di jalan-jalan utama di tengah Kuala Lumpur.
Akta SOSMA merupakan akta yang tidak adil dan dikecam oleh pelbagai organisasi hak asasi manusia dari dalam dan luar negara. Sama seperti ISA sebelum ini, akta SOSMA, akta Pencegahan Keganasan POTA, Akta Hasutan 1948 dan pertubuhan Majlis Keselamatan Negara (NSC) adalah alat-alat kerajaan yang digunakan untuk menindas suara-suara yang bangkit mempersoalkan kesahihan pemerintahan kerajaan BN.
Perhimpunan Bersih 5 telah berlangsung secara aman dan demonstrasi sebegini adalah landasan yang sah bagi rakyat untuk meluahkan pembantahan mereka terhadap tingkah laku kerajaan yang dilihat sebagai tidak demokratik. Akibat korupsi yang meluas dan langkah-langkah penswastaan yang pesat, rakyat biasa sedang menghadapi kesukaran untuk mengharungi kehidupan seharian manakala segelintir elit yang kaya menikmati keuntungan berjuta-juta.
Kemarahan rakyat biasa dapat dilihat pada perhimpunan Bersih dimana penyertaan dari setiap lapisan masyarakat dapat dilihat. Selain isu-isu demokrasi, ramai diantara rakyat yang turun juga mengangkat sepanduk yang meluahkan isu korupsi dan ekonomi.
Aktivis dan rakyat biasa yang telah turun ke Bersih, harus menyambung perjuangan mereka dengan membantah penangkapan aktivis dengan tidak adil oleh kerajaan BN. Jika kerajaan BN dibenarkan untuk membuat sesuka hati mereka, segala keluhan rakyat akan dapat disenyapkan dengan menggunakan kekerasan. Apa yang berlaku pada Maria Chin dan aktivis-aktivis lain perlu dilihat sebagai serangan keatas kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan perbezaan pendapat.
Pada masa yang sama, gerakan menuntut kebebasan bersuara dan hak-hak demokrasi perlu juga mengangkat isu-isu ekonomi yang akan melibatkan lapisan masyarakat yang lebih luas. Para pekerja dan rakyat miskin yang sedang menghadapi penindasan teruk daripada pihak korporat dan kerajaan pemerintah akan turun dalam jutaan jika wujud sebuah seruan yang mampu menarik perhatian mereka. Tuntutan-tuntutan ekonomi juga dapat menyatukan perjuangan rakyat kearah mengukuhkan sebarang gerakan rakyat.
Ahli-ahli kesatuan dan organisasi kelas pekerja juga harus mengeluarkan kenyataan membantah tindakan kerajaan yang kejam dan memberikan sokongan kepada gerakan-gerakan rakyat. Kelas pekerja yang tersusun juga harus terlibat secara beramai-ramai dan memimpin gerakan rakyat ini dengan yakin. Pekerja yang mempunyai kuasa industri dan ekonomi mampu menggerakkan aspirasi rakyat kehadapan dan membawa perubahan yang nyata.