Sejak 16 Disember 2021, Malaysia digegarkan dengan banjir-banjir besar yang membawa satu malapetaka yang besar. Setakat ini, 52 nyawa telah terkorban dan sekurang-kurangnya 200 ribu rakyat mendapat kesan buruk akibat banjir ini. Mengambil kira jumlah kematian, kemusnahan harta dan keluasan kawasan terbabit, ini merupakan antara insiden banjir yang paling teruk dalam sejarah Malaysia. 

Rakyat semenanjung Malaysia terutamanya sudah sering menjadi mangsa banjir-banjir besar yang dikatakan melanda setiap 10 ke 15 tahun akibat hujan-hujan besar yang datang secara berkala. Antara fenomena banjir besar yang dirakam sejarah adalah seperti Banjir Kuala Lumpur 1971 yang memakan 32 nyawa dan juga memberi kesan kepada ratusan ribuan rakyat lain yang terpaksa mengalami kehilangan harta. Semenjak itu, ada beberapa insiden banjir besar yang lain berlaku pada 1990 an. 

Walaubagaimanapun, kebelakangan ini, Semenanjung Malaysia sedang dilanda bencana banjir dengan lebih kerap dan merangkumi kawasan yang lebih luas berbanding sebelumnya. Pada Disember 2014, masyarakat negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu dan negeri Utara seperti Kedah telah di landa banjir besar yang telah menghancurkan kehidupan mereka. Hanya dalam 6 tahun selepas tragedi tersebut, rakyat Malaysia dilanda dengan satu lagi bencana banjir yang teruk dan masih sedang berterusan di beberapa negeri seperti Johor dan beberapa kawasan di Selangor. 

Mengikut beberapa pakar geologi, aktiviti pembalakkan dan pencemaran alam sekitar di skala dunia sedang menyumbang kepada perubahan iklim yang mempengaruhi cuaca yang tidak boleh di ramalkan dan sedang berubah-ubah dengan cepat. Akibat peningkatan karbon di udara akibat aktiviti manusia, dunia sedang mengalami bencana-bencana alam yang besar dan tidak terkawal. Pada waktu ini, selain Malaysia, negara-negara lain seperti Filipina, Australia, United Kingdom juga telah melihat bencana banjir yang besar pada tahun 2021. Selain itu, kebakaran hutan yang berlaku di California dan Australia pada 2 tahun lepas telah membawa kepada kehancuran ribuan spesis haiwan dan tumbuhan liar dan penempatan manusia. 

Aktiviti pembalakan, perlombongan dan pembangunan yang tidak terkawal

Kalau mengambil fenomena di Malaysia, banjir yang berlaku pada 2014 misalnya adalah dengan jelas berkaitan dengan aktiviti pembalakan dan perlombongan di hutan-hutan Semenanjung Malaysia. Pada waktu itu, sumber-sumber kajian telah mendedahkan bahawa Semenanjung Malaysia telah mengalami kehilangan hutan dalam kadar yang kedua tertinggi di dunia, di belakang Bolivia. Di Malaysia, aktiviti pembalakan yang membotakkan hutan-hutan simpan negara berlaku tanpa kawalan. Tambahan pula, sebahagian besar daripada pembalakan yang berlaku di Pahang dan Kelantan adalah aktiviti haram yang beroperasi tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa. 

Situasi ini mendedahkan tahap korupsi yang sangat berleluasa di industri pembalakan dan perlombongan di peringkat kerajaan negeri dan federal. Ahli-ahli politik dan para birokrat yang memegang kuasa sentiasa bersedia untuk menghancurkan hutan-hutan yang berharga bagi tujuan keuntungan yang lumayan. Pada masa yang sama, tapak hutan-hutan yang dihancurkan itu akan didagangkan dan projek-projek pembangunan akan didirikan untuk membawa lebih banyak keuntungan kepada ahli-ahli politik dan para kapitalis elit. 

Kawasan hutan di Semenanjung Malaysia juga mempunyai bahan galian yang bernilai seperti bauksit. Sebelum berlaku banjir pada hujung tahun 2014, hutan-hutan di negeri Pahang dan Kelantan telah ditoreh untuk menggali bauksit yang membawa nilai yang tinggi. Pada waktu itu, Indonesia yang menghentikan ekspot Bauksit bagi digunakan untuk industri tempatan telah menyebabkan harga Bauksit melambung tinggi. Semenjak itu, kehancuran hutan di Malaysia menjadi lebih ketara dengan para pengusaha industri perlombongan berebut-rebut untuk melombong Bauksit. Bukit-bukit diratakan dan hutan yang berusia jutaan tahun telah digondol licin. 

Beberapa kawasan yang terlibat dalam bencana banjir 2014 telah melihat air banjir berwarna merah. Ini merupakan kesan daripada lombong bauksit yang menghasilkan sisa yang dikenali sebagai ‘lumpur merah’. Malah pada waktu ini, gambar-gambar hutan yang digondol di Pahang dan Kelantan boleh dilihat di dalam carian ‘google imej’ dan sering dikongsi oleh rakyat di media-media sosial. 

Di Selangor, Perak, Johor dan beberapa kawasan dari negeri-negeri lain juga melihat peningkatan insiden banjir pada fenomena kali ini. Ini juga menunjukkan bagaimana pembangunan yang pesat dan tidak terkawal di beberapa kawasan ini juga sedang menyumbang kepada bencana banjir yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Para penghuni di Selangor terutamanya telah terkejut dan tidak bersedia apabila paras air naik di tempat tinggal mereka dengan tiba-tiba. 

Kemarahan rakyat

Kegiatan para kapitalis dan kerajaan di hutan-hutan yang terpencil tidak didedahkan kepada rakyat umum. Hanya komuniti orang asli yang bergantung dengan kehidupan di hutan yang sering melancarkan perjuangan-perjuangan yang gagah. Bagi komuniti orang asli, mereka berhadapan dengan pengusiran paksa dan rampasan tanah yang sedang menghancurkan kehidupan mereka setiap hari. Tanpa perjuangan orang asli dan aktivis-aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia, rakyat biasa langsung tidak berpeluang untuk menyedari bahawa hutan-hutan yang bernilai sedang semakin hilang setiap hari akibat kegelojohan segelintir orang kaya.  

Tetapi, apabila berlaku banjir-banjir yang besar yang memberi kesan yang meluas, rakyat menjadi semakin sedar dan kritikan-kritikan mula dilontarkan ke arah pihak kerajaan. Walaupun bencana-bencana alam seperti ini sering terjadi, masih lagi pihak kerajaan tidak bersedia menghadapi kecemasan tersebut. Kawasan perumahan rakyat tidak dirancang dengan baik dan ini menjadi antara sebab utama kepada kehilangan harta benda bagi ratusan ribuan rakyat. Selepas berlaku banjir, respon kerajaan adalah sangat lambat dan setakat ini belum memberikan bantuan yang mencukupi kepada mangsa-mangsa banjir. Walaupun sudah mempunyai pengalaman banjir-banjir besar berulang kali, pihak kerajaan masih tidak mempunyai mekanisme untuk menghadapi kecemasan banjir dengan efektif. Teknologi-teknologi  ketenteraan yang canggih dan bernilai jutaan Ringgit juga langsung tidak dikerahkan untuk membantu mangsa banjir. 

Selain itu, rakyat biasa juga sudah semakin sedar mengenai hubungkait kelestarian pembangunan dan bencana-bencana alam seperti banjir. Akibat pembalakan yang berleluasa di negeri Pahang dan Kelantan dan akibat pembangunan yang tidak terkawal di Selangor, tempat-tempat tadahan air dan kawasan hutan yang sangat penting untuk menyerap air hujan yang berlebihan sudah tiada. Oleh itu, rakyat biasa tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa bencana-bencana seperti ini tidak akan berulang pada masa yang akan datang. 

Sebenarnya, pihak kerajaan sudahpun menerima kritikan dan ditekan oleh rakyat biasa untuk mengawal aktiviti pembalakan, perlombongan dan pembangunan yang akan membahayakan nyawa dan kehidupan mereka sejak 2014 lagi. Pihak Pakatan Harapan yang menjadi pembangkan kerajaan pada waktu itu merupakan salah satu suara yang vokal dalam mengutuk kerajaan Barisan Nasional yang dilihat sebagai korup dan sedang menggadaikan alam sekitar demi duit. Selain itu, ramai di antara aktivis-aktivis alam sekitar juga menyokong atau bersama dengan PH pada waktu itu. 

Pertubuhan politik yang mengecewakan rakyat

Tetapi, apabila PH menjadi kerajaan pada 2018, rakyat Malaysia tidak melihat sebarang perubahan atau usaha daripada kerajaan baru untuk memelihara alam semula jadi tempatan. Malah aktiviti-aktiviti ekonomi yang memudaratkan alam sekitar diteruskan dan lebih banyak lagi hutan-hutan di negeri Selangor dan Pulau Pinang di bersihkan bagi tujuan pembangunan dan perniagaan. PH juga menggunakan kuasa dan posisi politik mereka untuk menyahwarta beberapa hutan simpan di Selangor bagi tujuan membangun projek perumahan dan membina lebuh raya. Sebenarnya, Selangor dan Pulau Pinang yang berada di bawah kawalan PKR dan DAP sememangnya sudah lama mendedahkan bahawa mereka bukanlah sahabat alam dan lebih cenderung untuk memberi keutamaan kepada keuntungan kelas kapitalis. 

Melalui pengalaman, rakyat biasa sudah melihat wajah sebenar semua ahli politik arus perdana yang hanya menabur janji-janji kosong untuk menang di PRU dan memegang kuasa kerajaan. Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan serpihan-serpihan lain merupakan formasi politik yang tidak beramanah dan tidak mengambil kisah mengenai kesejahteraan rakyat biasa. Masing-masing merupakan hamba kelas kapitalis yang akan sentiasa melindungi perniagaan dan keuntungan segelintir yang kaya raya dan mengorbankan majoriti daripada rakyat miskin. Selain itu, parti-parti tersebut hanya wujud untuk memastikan kesinambungan sistem ekonomi kapitalisme dan berlandaskan kepada kemahuan kelas kapitalis yang sentiasa menindas rakyat majoriti demi kepentingan diri sendiri. 

Oleh itu, ianya tidak cukup untuk sekadar melontarkan kritikan terhadap ahli-ahli politik ataupun kerajaan tertentu, tetapi sistem ekonomi kapitalisme yang berkuasa ke atas kehidupan rakyat haruslah dirujuk sebagai punca kepada segala penderitaan yang dialami rakyat majoriti. Punca utama kepada kemerosotan alam sekitar dan ancaman utama kepada keselamatan umat manusia adalah kelas kapitalis dan sistem kapitalisme. 

Sistem kapitalisme memudaratkan alam sekitar dan keselamatan rakyat

Sistem kapitalisme merupakan sistem yang tidak demokratik dan tidak adil kepada rakyat biasa. Segala keputusan penting yang akan memberi kesan kepada jutaan rakyat adalah bergantung dengan segelintir elit kaya yang mempunyai kuasa politik yang luar biasa. Hanya sebilangan kecil yang terdiri daripada beberapa pemegang saham besar atau para korporat mempunyai lebih banyak kuasa berbanding jutaan rakyat biasa. Kapitalis besar daripada industri yang berbeza sedang mengawal kerajaan dan mempengaruhi segala polisi-polisi ekonomi yang akan sentiasa berpihak kepada mereka dan menindas rakyat majoriti. 

Kelas kapitalis dan kerajaan bukanlah sebuah entiti yang sama. Kerajaan dibentuk oleh kelas pemerintah yang mempunyai segala harta dan kekayaan untuk memastikan bahawa kekuasaan mereka ke atas masyarakat akan dikuatkuasakan dengan menggunakan institusi kerajaan seperti polis, kehakiman dan tentera. Pilihanraya perwakilan Parlimen pula adalah sekadar untuk memberikan ilusi demokrasi kepada rakyat biasa supaya mereka tidak memberontak melihat ketidakadilan yang berlangsung di bawah sistem ini. 

Oleh itu, bagi kelas kapitalis yang memegang segala kuasa ekonomi dan politik dan hanya tertumpu untuk memelihara sistem kapitalisme dan keuntungan mereka, persoalan berkenaan dengan alam sekitar dan keselamatan rakyat biasa adalah sesuatu yang tidak penting. Bagi mereka, ada banyak lagi peluang perniagaan di dalam industri pembalakan, perlombongan dan pembangunan dan kesihatan alam sekitar tidak akan menjadi penghalang kepada kehendak mereka. 

Selain itu, pihak kapitalis juga tidak mempunyai keupayaan untuk memelihara keselamatan rakyat dan meningkatkan taraf hidup rakyat biasa. Cara sistem ini berfungsi adalah berdasarkan kepada persaingan diantara para kapitalis yang merebut keuntungan. Oleh itu, ia tidak mempunyai kesepakatan diantara pertubuhan-pertubuhan kapitalis yang berbeza untuk bersatu dan mencari sebarang solusi untuk menyelamatkan rakyat biasa. Akibatnya, walaupun kemerosotan alam ini akan memberi kesan kepada seluruh masyarakat, termasuk kelas kapitalis, sistem kapitalisme yang hanya berpandukan kepada logik keuntungan akan terus mengheret umat manusia ke arah kehancuran. 

Bagi memelihara alam semula jadi yang berharga dan untuk memelihara kehidupan manusia, sistem kapitalisme ini haruslah di gantikan sistem yang lebih mengutamakan kelestarian dan keperluan rakyat sejagat. Malah kita memerlukan sebuah sistem yang bertentangan dengan sistem kapitalisme dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan motif keuntungan peribadi disingkirkan. 

Alternatif Sosialisme untuk menyelamatkan umat manusia

Sosialisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang meletakkan segala kuasa produksi, termasuk industri-industri besar seperti, pembalakan, perlombongan, pembangunan, pembuatan dan kewangan di letakkan di bawah kawalan kelas pekerja secara kolektif. Kelas pekerja dan rakyat biasa yang merupakan majoriti akan mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan polisi-polisi ekonomi yang membawa kelebihan kepada rakyat biasa dan bukan kelas kapitalis. Pada masa yang sama, alam sekitar dan hutan-hutan simpan yang seharusnya dimiliki bersama akan dilindungi daripada menjadi hasil buruan dan keuntungan para kapitalis yang tamak. 

Sosialisme membawa idea demokrasi kepada rakyat terbanyak dan segala keputusan akan dibuat secara kolektif dan penglibatan rakyat massa dalam proses politik. Sistem Parlimen yang tidak demokratik akan di bubarkan dan digantikan dengan kepimpinan yang dipilih melalui pilihan raya di setiap tempat kerja dan komuniti setempat. Walaupun wakil-wakil akan dipilih di dalam sistem ini, tetapi kuasa akan berada di tangan rakyat yang tidak perlu tunggu bertahun-tahun untuk menggantikan wakil mereka. Di bawah sistem demokratik Sosialisme, wakil-wakil rakyat akan dikawal rapi melalui Majlis-majlis komuniti dan kelas pekerja yang boleh memanggil balik wakil mereka pada bila-bila masa untuk digantikan. Juga, wakil-wakil rakyat di bawah Sosialisme tidak akan menerima sebarang kelebihan dan akan melaksanakan tugasan mereka dengan gaji yang sama dengan kelas pekerja.

Ini merupakan visi Sosialisme yang harus diterapkan kepada setiap perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menuntut seuah kehidupan yang bebas dari belenggu kelas kapitalis. Rakyat yang berjuang perlu mempunyai kepimpinan dari kelas pekerja yang tersusun dan mempunyai perspektif untuk merampas kuasa produksi, ekonomi dan politik dari kelas kapitalis melalui aksi-aksi industri. 

Kesatuan-kesatuan sekerja merupakan titik tolak yang sesuai untuk mewujudkan kepimpinan politik dan ekonomi bagi rakyat biasa. Kelas pekerja yang mengemudi ekonomi negara setiap hari mempunyai kuasa yang sangat besar di dalam masyarakat. Jika kuasa ini dapat disatukan di bawah satu kepimpinan politik yang dengan jelas ingin menentang kekuasaan kelas kapitalis, ia mempunyai potensi untuk berkembang menjadi gerakan politik yang hebat. Oleh itu, kelas pekerja, komuniti akar umbi dan anak muda haruslah dengan segera menggabungkan tenaga mereka dan membawa sebuah jalan penyelesaian yang munasabah bukan sahaja untuk krisis alam sekitar yang sedang dialami, juga untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan politik yang sedang membawa masyarakat ke arah kemusnahan. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *