Kenyataan Gabungan Bantah Rm1050
Bajet 2019 mengecewakan para pekerja, gaji minimum RM1100 tidak boleh diterima!
Gabungan Bantah RM1050 sangat kecewa dengan pengumuman Belanjawan 2019 dari kerajaan yang menawarkan pelbagai jenis habuan dan kelonggaran cukai kepada korporat kaya disamping memangsakan jutaan rakyat miskin dengan pelbagai jenis penjimatan sosial.
Semua kritikan dan cadangan yang diberi oleh perwakilan pekerja dan pertubuhan yang mempertahankan hak pekerja langsung tidak diendahkan oleh pihak kerajaan PH. Penetapan gaji minimum ke RM1100 masih lagi kurang daripada angka RM1170 yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji dan jauh daripada tuntutan para perwakilan pekerja iaitu RM1800. Nampaknya, kerajaan baru yang kononnya ingin membina sebuah ‘Malaysia Baru’ masih lagi bertekad untuk mempertahankan kepentingan pihak majikan dan jutawan kaya sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.
Jika kerajaan menganggap bahawa peningkatan RM50 ini akan memuaskan hati jutaan para pekerja miskin dan kepimpinan kelas pekerja, mereka silap! Gabungan Bantah RM1050 akan mengekalkan tuntutan supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum yang lebih adil iaitu RM1800 dengan segera. Pada masa yang sama, kami juga menuntut kerajaan untuk mendedahkan laporan daripada Jawatankuasa Teknikal yang dirahsiahkan tanpa sebarang alasan yang munasabah. Kami tidak bersedia untuk membiarkan golongan miskin dan tulang belakang ekonomi kita untuk terus menderita sepertimana di bawah kerajaan BN sebelum ini.
Adalah sangat jelas bahawa kerajaan PH tidak bersedia untuk menentang para jutawan dan kelas majikan kaya demi mempertahankan kebajikan pekerja miskin. Maka, kami juga menuntut kerajaan supaya memberikan kebebasan kepada para pekerja untuk menyusunkan diri ke dalam Kesatuan Sekerja tanpa sekatan birokrasi, supaya kami boleh mempertahankan diri sendiri daripada dianiaya oleh kelas majikan kaya. Sikap tidak prihatin kerajaan dan penindasan yang berterusan yang dialami oleh Kesatuan Sekerja sedang membuka ruang kepada korporat kaya untuk mengeksploitasi para pekerja miskin yang sudahpun menanggung beban ekonomi yang melampau pada masa ini.
Gabungan Bantah Rm1050 telah menyenaraikan langkah-langkah kerajaan yang dianggap akan memangsakan golongan miskin dalam pembentangan Belanjawan 2019, dan pada masa yang sama menyeru kepada semua organisasi yang membela nasib rakyat miskin untuk bersama kami dalam menentang polisi-polisi ini.
- Tidak ada pengenalan cukai progresif yang menyasarkan peningkatan cukai ke atas keuntungan para korporat gergasi, jutawan kaya dan pertubuhan elit yang memiliki aset bernilai jutaan ringgit.
- Bantuan Sara Hidup yang menggantikan BRIM telah mengetepikan segolongan besar rakyat miskin terutamanya dari kalangan anak muda yang belum mendirikan rumah tangga.
- Penswastaan pesat ke atas prasarana kesihatan, pendidikan dan pengangkutan yang hanya akan meningkatkan keuntungan bagi para pemaju dan pemilik syarikat.
- Pemotongan dana bagi petani, nelayan dan penoreh getah yang akan mengalami kesusahan pada musim-musim tertentu.
- Anak muda dan pekerja yang mendapat gaji yang rendah masih dipaksa untuk membayar hutang PTPTN. Ini bercanggah dengan janji PRU PH untuk memberikan pengecualian kepada mereka yang bergaji RM4000 ke bawah.
- Pemotongan dana pendidikan seperti bantuan makanan bagi pelajar sekolah, bantuan buku teks, baucer buku dan pengurangan biasiswa awam yang mendadak.
- Program rumah pertama yang hanya akan mendedahkan rakyat kepada pemangsaan daripada pihak bank atau pemaju kaya yang ingin memaksa pembelian rumah dengan harga yang mahal.
- Tidak ada sebarang langkah mengawal kenaikan harga spekulasi rumah dan pengawalan harga sewa.
- Dana perlindungan kesihatan dibiayai oleh syarikat insurans swasta bagi tujuan menjana keuntungan swasta.
Banyak skim pelepasan cukai bagi korporat dan kelas majikan elit jutawan.
Kami menolak alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan bahawa peningkatan cukai terhadap korporat kaya kan mengakibatkan ‘kejutan’ dalam sistem kewangan negara. Bagaimana dengan jutaan rakyat miskin yang sedang mengalami ‘kejutan’ ekonomi akibat polisi-polisi kerajaan yang menyebelahi kelas majikan? Kes 1MDB Najib hanya dipergunakan sebagai alat politik untuk menghancurkan pihak lawan dan kerajaan PH tidak serius dalam menangani korupsi yang sedang berleluasa di kalangan pihak majikan kaya. Syarikat-syarikat besar dan kroni BN termasuk bank dan GLC tidak dikenakan sebarang cukai walaupun telah menggandakan kekayaan mereka di bawah rejim korup kerajaan sebelum ini.
Pihak kerajaan setakat ini gagal untuk mengenalpasti bahawa jurang kekayaan yang sedang melebar adalah masalah utama yang sedang dihadapi oleh pekerja miskin di Malaysia. Walaupun kelas pekerja telah menjana keuntungan bernilai jutaan ringgit bagi para majikan selama ini dan para jutawan sedang meningkatkan kekayaan peribadi mereka setiap tahun, pihak kerajaan masih tergamak untuk menetapkan sebuah gaji kemiskinan kepada golongan pekerja yang paling miskin. Ini mendedahkan sifat sebenar kerajaan PH yang hanya bersedia untuk mendukung kepentingan pihak kaya 1% walaupun ini akan memangsakan 99% rakyat biasa dan kelas pekerja.
Gabungan Bantah RM1050 sedang dalam proses untuk membina kekuatan kita bagi menentang penetapan gaji minimum yang tidak memuaskan dan pembentangan Belanjawan yang tidak berpihak kepada jutaan rakyat miskin tertindas. Lebih banyak aksi dan protes akan disusun pada bulan-bulan yang akan datang. Oleh itu, kami menyeru kepada semua lapisan masyarakat yang bersetuju dengan pendirian dan tuntutan kami untuk bersama kami dalam menjayakan perjuangan kelas pekerja ini. Kami juga ingin menyeru kepada semua kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menyebarkan perjuangan ini di setiap tempat kerja dan komuniti setempat supaya lebih banyak tenaga rakyat dapat dikerah untuk memastikan tuntutan kita terlaksana. Kami akan memobilisasi seberapa banyak gerakan akar umbi yang diperlukan bagi memenangi gaji minimum yang berpatutan dan adil.