Sebanyak RM280 bilion telah diperuntukkan dalam bajet 2018 yang dilaungkan oleh kerajaan Barisan sebagai ‘Ibu Segala Bajet’. Persoalannya adakah kekayaan negara yang dicerminkan dalam peruntukan bajet yang paling tinggi dalam sejarah negara, mampu menyelesaikan serta meningkatkan keperluan asas dan taraf hidup pekerja dan rakyat biasa ? Pendapatan per kapita yang bermakna jumlah wang yang seorang rakyat patut terima sekiranya pendapatan negara tahunan dibahagikan kepada setiap penduduk dengan sama rata, juga dinyatakan telah meningkat kepada RM40,713 pada tahun ini. Adakah dengan pendapatan per kapita ini, pendapatan semua pekerja juga akan meningkat ?
Adakah warga pekerja atau golongan berpendapatan rendah dapat memiliki satu kediaman yang diidamkan selama ini dengan rumah mampu milik kerajaan yang ditetapkan pada harga RM250,000 hingga RM450,000, pada hal gaji minimum hanya ditahap RM1000 ? Mengapa harga minyak serta kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat dan semakin membebankan rakyat tidak mampu dikawal oleh kerajaan dengan peruntukan bajetnya ? Mengapa GST yang menekan rakyat tidak ditamatkan, tetapi BRIM diteruskan ? Adakah anak muda tidak lagi akan dibebankan dengan hutang dengan bajet yang bersejarah ini ? Adakah bajet ini akan menjamin supaya anak-anak kita mendapat pendidikan percuma dan berkualiti di setiap peringkat ? Adakah keperluan perubatan dan perkhidmatan awam yang berkualiti mampu diperolehi oleh semua lapisan masyarakat ?
Begitu juga dengan bajet kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor. Adakah bajet mereka mampu menyekat kenaikan harga rumah yang semakin melambung tinggi di kedua-dua negeri ini atau menyelematkan persekitaran dan alam daripada aktiviti pembinaan yang tidak terkawal oleh pembangun-pembangun hartanah yang hanya fokus kepada keuntungan maksimum?
Dengan hadiah dan wang yang dijanjikan oleh kedua-dua pihak, rakyat yang tidak mempunyai alternatif dipengaruhi untuk menyokong salah satu gabungan. Sebenarnya, bajet Barisan dan Pakatan menggunakan acuan yang sama iaitu berlandaskan kepada sistem pasaran bebas kapitalisme yang mementingkan keperluan minoriti iaitu pemodal dan pelabur, lebih daripada keperluan majoriti iaitu kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa.
Kedua-dua Barisan dan Pakatan berlumba-lumba untuk menyenaraikan berbagai-bagai habuan dalam bentuk wang dan hadiah kepada lapisan masyarakat tertentu dengan matlamat untuk memenangi pilihanraya ke -14 pada tahun hadapan. Pada masa yang sama, keperluan dan hak pekerja dan rakyat biasa terus dipinggirkan tanpa mendapat penyelesaian yang sewajarnya. Ini membuktikan bahawa rakyat biasa tidak dilibatkan dan tidak diberikan hak demokratik dalam merangka perancangan berdasarkan kepada keperluan mereka. Seperti tahun-tahun sebelum ini, peruntukan berbilion ringgit dalam bajet kali ini hanyalah kosmetik dan manisan untuk mendapatkan undi, dan masih tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi yang sedang diharungi oleh rakyat biasa.
Satu kerajaan yang prihatin kepada pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat tidak akan teragak-agak untuk memiliknegarakan entiti-entiti kewangan, hartanah, bank dan syarikat-syarikat besar yang kini sedang mengongkong ekonomi negara untuk diorganisasi secara demokratik di bawah kawalan dan pengurusan kelas pekerja dan rakyat biasa atas landasan ekonomi terancang dengan matlamat untuk memenuhi keperluan rakyat. Seperti yang dipaparkan dalam bajet mereka, Barisan Nasional mahupun Pakatan Pembangkang dengan landasan ekonomi pasaran bebas dan kapitalisme tidak mampu berpihak kepada keperluan dan demokrasi pekerja dan rakyat biasa. Satu alternatif harus dibina oleh kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa dengan kepimpinan yang jelas untuk mencapai matlamat tersebut.