Kebelakangan ini wujud ketidakpastian atau kekeliruan di kalangan beberapa golongan Kiri sama ada patut menyertai dan memberikan sokongan atau berkerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan UMNO/BN dalam PRU14 kerana kini Pakatan berkerjasama dengan Mahathir, yang telah bersifat diktator ketika menjadi perdana menteri. Manakala segolongan Kiri yang lain termasuk beberapa individu yang dianggap Kiri dalam PKR, DAP dan PAN pula sanggup melupakan kediktatoran Mahathir semata-mata untuk satu projek âbarisan bersatuâ menjatuhkan UMNO/BN.
Kedua-dua golongan ini pernah mempergunakan landasan pembangkang di PRU-PRU sebelum ini termasuk PRU13 dengan slogan âAsalkan Bukan UMNO/BNâ untuk berkempen untuk pembangkang atau memenangi pilihanraya. Alasan-alasan mereka adalah âBN musuh utamaâ, ârakyat sokong Pakatanâ, âmanifesto Pakatan adalah agenda rakyatâ, âPakatan lebih progresifâ, âmusuh kepada musuh saya adalah kawan sayaâ, âagenda Kiri akan dipertahankan oleh golongan kiri dalam Pakatanâ dan sebagainya.
Kini sebilangan mereka berhujah bahawa mereka tidak akan menyertai PH semata-mata kerana PH telah bergabung dengan Mahathir, dan individu Mahathir menjadi hujah utama mereka tanpa melihat sifat dan politik Pakatan, dan untuk kelas mana Pakatan telah memihak selama ini. Seperti kata Engel âMereka yang gagal belajar dari sejarah pasti akan mengulanginyaâ. Walaupun banyak konflik dan kehancuran yang sudah dilalui oleh Kiri di Malaysia dan antarabangsa dalam politik kerjasama dengan âborjuis progresifâ dan âbarisan bersatu dengan borjuisâ, mereka masih enggan belajar dari sejarah.
Apa beza Mahathir dengan Anwar, apakah sifat pembangkang ketika Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan telah berubah ?
Konflik kuasa atau perpecahan dalam parti pemerintah bukan satu perkara yang baru dalam politik Malaysia atau politik antarabangsa. Ianya juga bukan satu perkara yang baru bagi pembangkang yang berlandaskan agenda âpasaran bebasâ untuk bergabung dengan parti-parti serpihan daripada parti pemerintah.
Asasnya, pembangkang di Malaysia sentiasa konsisten dengan slogan âmusuh kepada musuh saya adalah kawan sayaâ, tetapi golongan Kiri yang sering terperangkap sama ada dengan mengambil posisi opurtunis untuk tujuan semata-mata âpolitik parlimenâ atau berhujah bahawa Kiri boleh berkerjasama dengan pembangkang yang âprogresif borjuisâ untuk menjatuhkan pemerintah yang juga âborjuisâ tetapi zalim, dengan alasan itu adalah satu âtaktikâ Kiri, sepertimana golongan Kiri dalam âbarisan bersatu dengan borjuisâ juga mengatakan itu juga salah satu âtaktikâ Kiri.
Kalau kita melihat hanya ke belakang dalam 30 tahun politik Malaysia, posisi pembangkang amat jelas. Bermula dengan Semangat 46 dengan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 di mana DAP, PAS dan parti-parti lain menyokongnya, susulan daripada konflik dalaman UMNO di antara faksi Mahathir dengan faksi Tengku Razaleigh. Pada masa itu, segolongan yang dianggap Kiri juga menyokong gabungan ini untuk menjatuhkan Mahathir. Manakala konflik kuasa di antara Anwar dan Mahathir pada 1998 menjadi landasan kepada penubuhan Barisan Alternatif dan seterusnya Pakatan Rakyat. Kini konflik di antara Najib dan Mahathir pula telah mewujudkan Pakatan Harapan.
Manakala posisi politik PAS yang pernah berganding tangan dengan UMNO pada era 1970an adalah tidak menghairankan apabila kini mereka sanggup bersatu dengan UMNO di bawah Najib yang penuh dengan skandal dan korupsi. Niat mereka hanyalah satu, untuk memenangi pilihanraya dengan bersatu tenaga dengan UMNO, disebabkan musuh mereka sekarang iaitu Pakatan juga musuh kepada UMNO. Ironinya, segolongan Kiri pernah menggelarkan salah seorang pemimpin PAS sebagai âSosialis Islamâ dan kini dia sedang berganding bahu dengan âdiktatorâ Mahathir. Mereka juga menjustifikasi kerjasama dengan PAS kerana untuk âmendapatkan undi Melayuâ, âparti negara berkebajikanâ, âpemimpinya sederhanaâ dan sebagainya tanpa melihat politik âpasaran bebasâ mereka yang digabungkan dengan politik Islam untuk mengaburkan mata rakyat luar bandar dan miskin.
Justeru, sifat gabungan pembangkang di bawah Anwar dan kini dengan Mahathir adalah sama, iaitu kedua-duannya menjadi agen untuk mempertahankan âpasaran bebasâ. Agenda populis hanyalah semata-mata untuk mendapatkan undi, dan program-program pilihanraya mereka telah dicairkan untuk memenuhi kehendak âpasaran bebasâ sepertimana yang sedang berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Malahan, mereka terbukti berfungsi lebih baik kepada âsistem pasaran bebasâ daripada BN dengan kemampuan mereka meningkatkan keuntungan kepada kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa. Baru-baru ini, Lim Guan Eng berbangga bahawa kerajaan Pakatan telah berjaya meningkatkan simpanan kerajaan negeri dua kali ganda berbanding ketika BN, tetapi harga rumah dan kos hidup di Pulau Pinang terus melambung tinggi.
Kerajaan hanyalah satu alat penindasan terhadap kelas pekerja dan rakyat biasa oleh kelas pemerintah pro-kapitalis dan pasaran bebas, sama ada kerajaan tersebut bersifat lebih demokratik atau kurang demokratik. Keperluan asas rakyat biasa tidak dapat ditunaikan oleh elit politik ini yang sanggup mempertahankan keuntungan kapitalis lebih daripada keperluan rakyat.
Apa sepatutnya posisi Kiri ?
Taktik âkerjasama dengan borjuis progresifâ atau âbarisan bersatu dengan borjuisâ adalah polisi yang di bawa oleh Stalin dan Mao pada satu ketika dengan agenda âmusuh kepada musuh saya adalah kawan sayaâ. Sejarah menunjukkan ia telah menghancurkan banyak revolusi kelas pekerja seperti revolusi Spanyol 1936 dan perjuangan-perjuangan yang lain. Elemen progresif/liberal/populis hanya menjadi alat untuk mengaburkan keperluan dan agenda rakyat dan seterusnya untuk mempertahankan kapitalisme. Tetapi ini telah dan sedang menjadi agenda parti-parti Sosial Demokrasi termasuk DAP (yang kini di kebanyakan negara mempertahankan kapitalisme) dan parti-parti Stalinisme/Maoisme.
Berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman ini, Kiri termasuk kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi yang berlandaskan rakyat biasa dan anak muda haruslah mengambil posisi bebas daripada agenda kapitalisme dan platform parti-parti pro-kapitalisme. Hanya melalui cara tersebut, satu parti massa yang mewakili kelas pekerja dapat dibina bersama gerakan-gerakan pekerja dan rakyat biasa untuk ke arah pembentukan kerajaan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk memenuhi keperluan dan hak demokrasi yang sebenarnya.