2 orang terbunuh dan beratus-ratus lain cedera dalam pertempuran yang berlaku di antara anak muda, mahasiswa/i universiti/sekolah dan rakyat Indonesia dengan pihak berkuasa kerajaan seperti polis dan anggota keselamatan negara sepanjang minggu terakhir September lepas. Tambahan pula, pada minggu yang sama, tidak kurang daripada 32 warga di Wamena Papua Barat, sama ada yang berbangsa Papua mahupun yang berbangsa Indonesia telah terkorban akibat serangan kumpulan yang belum dikenal pasti. Protes besar-besaran yang kebanyakkannya dianjurkan oleh kumpulan anak muda dan mahasiswa/i itu berlangsung di bandar-bandar utama Indonesia termasuk di Jakarta, Bandung, Denpasar, Yogyakarta, Palembang, Makassar dan Surabaya. Di Jakarta pada 25 September lepas, di laporkan bahawa lebih daripada 10 ribu demonstran telah melancarkan protes di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan dikasari dengan ganas oleh pihak polis. Di Yogyakarta pula, protes ini disertai oleh lebih 13 ribu orang. Ini merupakan protes massa yang terbesar selepas gerakan reformasi pada tahun 1998 yang telah menggulingkan bekas diktator Suharto yang menguasai politik Indonesia selama lebih 3 dekad. 

Protes ini tercetus ekoran beberapa protes kecil yang di lancarkan oleh mahasiswa/i institut  pendidikan tinggi di kawasan Riau yang membantah pembakaran hutan haram yang di lakukan oleh syarikat-syarikat perladangan dari dalam dan luar negara. Mahasiswa/i tersebut telah mengepung dan menduduki Bangunan Majlis Tempatan bagi tujuan untuk menyebarkan perjuangan tersebut ke seluruh negara. Sebanyak 2000 pembakaran hutan yang berpanjangan di Indonesia sedang mengakibatkan jutaan rakyat menghadapi masalah pernafasan dan jatuh sakit. Selain itu, beberapa akta-akta perundangan baru yang diperkenalkan di DPR pada pertengahan bulan September juga mendapat penentangan yang padu terutamanya dari kalangan anak muda dan mahasiswa/i di seluruh negara.

Gerakan anak muda dan mahasiswa ini juga mendapat sokongan dari koalisi organisasi pekerja GEBRAK ( Gerakan Buruh Bersama Rakyat ) dan di ikut serta oleh KPBI, KASBI, KSN, SGBN, FPPI, SINDIKASI dan kesatuan-kesatuan sekerja lain. 

Korupsi dan Penindasan

DPR di bawah kepimpinan Joko Widodo ( Jokowi ) telah membentangkan dan meluluskan beberapa akta yang sangat kontroversial, di lihat sebagai memihak kepada para pemodal kaya disamping memangsakan jutaan rakyat biasa. Antara akta yang paling banyak mendapat penentangan adalah pindaan yang di lakukan bagi suruhanjaya pembasmian korupsi atau di kenali sebagai Komisi Pemberantasan Korupsi, KPK. Dengan pindaan terbaru ini, KPK akan kehilangan sebahagian besar daripada kuasanya untuk membasmi korupsi dan akan secara asasnya tidak boleh beroperasi secara bebas. KPK akan ditukar menjadi badan kerajaan yang tertakluk dengan kawalan badan pengawas yang di pilih oleh kerajaan itu sendiri. Ia perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tertentu untuk melaksanakan kerja mereka dan diwajibkan untuk mengambil anggota daripada badan Polis negara yang sudahpun dianggap sebagai sebuah institusi yang sangat korup. Jokowi yang berkempen untuk membanteras gejala rasuah pada pilihan raya presiden yang lepas kini sedang berusaha untuk melonggarkan hukuman minimum yang akan di kenakan kepada pihak yang disabit dengan tuduhan korupsi dari 5 tahun ke 2 tahun. 

Selain daripada akta KPK, sebilangan akta lain dalam kanun jenayah atau di kenali sebagai Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP) juga mewujudkan reaksi yang negatif di kalangan rakyat terutamanya anak muda. Kebanyakan media massa dalam negara dan antara bangsa hanya mengetengahkan beberapa akta yang di anggap konservatif seperti pengharaman hubungan seks di luar nikah, seks sejenis dan hukuman berat bagi pasangan yang tinggal bersama tanpa bukti pernikahan yang sah. Tetapi, pada masa yang sama, pindaan akta KUHP ini juga akan menghakis hak demokrasi, hak pekerja, hak wanita dan banyak lagi pengenalan undang-undang baru yang akan memberikan kelebihan kepada para korporat besar untuk memangsakan rakyat biasa. Di bawah akta KUHP baru, rakyat biasa, pihak media dan para pejuang hak asasi atau aktivis sosial tidak boleh meluahkan kritikan terhadap Presiden, Naib Presiden, Kerajaan dan sebarang agensi kerajaan yang boleh dianggap sebagai penghinaan dan boleh dikenakan hukuman penjara yang berat. Selain itu, rakyat Indonesia juga dilarang untuk menyertai atau melibatkan diri dalam sebarang aktiviti atau organisasi yang dianggap sebagai mengikut aliran ‘Marxisme’ (tiada sebarang definisi yang konkrit diberikan bagi label ini)  atau kiri secara umum.  

Pengenalan beberapa kanun di dalam akta ini didapati sedang memangsakan golongan wanita yang di paksa untuk memberikan alasan bagi keberadaan mereka di luar rumah selepas pukul 10 malam. Wanita dan doktor yang didapati menggugurkan kandungan akan di kenakan hukuman penjara. Malah, para gelandangan juga akan di anggap sebagai penjenayah di bawah akta ini kerana terpaksa bermalam di jalan raya atau di tempat-tempat umum. Banyak lagi kanun yang disenaraikan di dalam akta ini dianggap sebagai sebuah usaha untuk memangsakan rakyat biasa dengan menggunakan naratif konservatif dengan tujuan untuk memecah belahkan perpaduan di kalangan rakyat biasa. 

Akta-akta yang ingin diperkenalkan ini akan memudahkan kerajaan untuk menindas dan memenjara mana-mana pihak yang dianggap sebagai akan menyulitkan aliran pelaburan ke dalam negara. Tambahan pula, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional sedang mengusulkan agar penjara-penjara yang kini berada di bawah kawalan penuh kerajaan untuk diuruskan oleh syarikat-syarikat swasta milik kerajaan pada masa akan datang. Langkah ini kononnya akan mengurangkan perbelanjaan negara dan sudahpun di implimentasi di beberapa negara seperti di Amerika Syarikat dan di Australia. Tetapi pada hakikatnya, ini merupakan usul yang hanya akan meningkatkan keuntungan syarikat swasta yang akan mendapat konsesi daripada wang cukai rakyat dan para banduan akan menjadi pekerja kos rendah yang akan menjana keuntungan sambil menghadapi hukuman. Ini mencerminkan sifat kerajaan yang pada satu sisi ingin mengurangkan hukuman kepada para pemodal kaya yang melakukan korupsi bernilai jutaan dan pada masa yang sama meningkatkan bilangan banduan daripada rakyat terbanyak yang sedang menjadi mangsa kepada keadaan ekonomi dan sosial yang sedang merosot teruk. 

Langkah kerajaan untuk melemahkan kuasa agensi pencegah rasuah merupakan sekadar salah satu langkah yang diperkenalkan untuk memberi kelebihan kepada golongan pemodal kaya. Selain itu, KUHP juga mengandungi beberapa akta seperti kanun tanah perladangan dan perlombongan yang akan memberikan kuasa kepada syarikat-syarikat swasta untuk menggondol hasil bumi yang umum bagi semua dan meningkatkan eksploitasi tenaga kerja rakyat biasa. Penswastaan bekalan air misalnya sudahpun diluluskan dan akan dikuat kuasakan dalam bulan-bulan yang akan datang.     

Kebangkitan Kelas Pekerja 

Selain daripada protes dari anak muda, kelas pekerja di Indonesia juga sudah mula melancarkan aksi-aksi protes untuk membantah regulasi buruh dan kondisi pekerja yang sedang merosot. Polisi pengiraan gaji minimum yang sedia ada dan cadangan untuk meningkatkan premium bayaran insurans kesihatan membawa kekecewaan kepada jutaan para pekerja yang sedang berhimpun dengan angka yang banyak untuk meluahkan bantahan mereka. Pada 2 Oktober, seramai 50 ribu pekerja telah berhimpun di hadapan DPR di Jakarta dan seramai 150 ribu orang pekerja telah terlibat dalam aksi protes ini di seluruh Indonesia. 

Malangnya, protes yang dianjurkan oleh kepimpinan Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia KSPI seperti Said Iqbal dan Andi Gani Nena Wea gagal untuk membawa konklusi yang munasabah bagi kelas pekerja Indonesia. Mereka sekadar menuntut untuk menjadi Menteri Sumber Manusia di dalam kerajaan yang ada dan menolak sebarang prospek untuk membina sebuah Parti Pekerja yang independen untuk membawa alternatif yang jelas kepada jutaan rakyat. 

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara ini mempunyai jutaan kelas pekerja yang mantap dan bersedia untuk berjuang demi masa depan mereka sekiranya ada kepimpinan yang mampu membawa perspektif, program dan hala tuju yang jelas. Pada waktu ini, kepimpinan kesatuan sekerja belum lagi menawarkan sebarang jalan keluar yang munasabah bagi rakyat Indonesia yang sedang terlibat dalam pelbagai bentuk pergelutan dengan kerajaan semenjak pemilihan Presiden Jokowi pada April lalu. Pembinaan sebuah alternatif melalui Parti Pekerja yang mampu memimpin massa ke arah perubahan yang bermakna akan menyatukan semua gerakan-gerakan sosial yang wujud dan memberikan kekuatan kepada massa yang sedang berjuang menentang dominasi ekonomi para pemodal dan kapitalis kaya minoriti. 

Presiden Jokowi Semakin Tidak Popular

Presiden Jokowi yang bakal ditabalkan menjadi Presiden untuk kali kedua sudahpun mendapat penentangan yang kuat daripada anak muda, rakyat biasa dan kelas pekerja Indonesia pada waktu ini. Kondisi ekonomi yang semakin merudum sedang memaksa Jokowi untuk mendedahkan wajah sebenarnya yang ingin melaksanakan polisi-polisi yang hanya berpihak kepada para pemodal dan ahli korporat kaya. Walaupun mempunyai kuasa eksekutif untuk menunda kelulusan akta-akta yang amat tidak popular tersebut, Jokowi tidak ingin berganjak dari pendiriannya untuk meluluskan akta KPK yang melindungi golongan oligarki yang korup. Ini membuktikan bahawa Jokowi dan kelas pemerintah Indonesia amat bergantung dengan korupsi yang berleluasa bagi menjaga kepentingan masing-masing dan ingin mencantas sebarang sekatan yang wujud bagi meneruskan eksploitasi sumber alam dan tenaga kerja rakyat biasa. Pada waktu ini, hampir separuh daripada ahli-ahli parlimen yang dilantik untuk menduduki posisi-posisi penting adalah daripada golongan korporat dan pemilik syarikat kaya. Ini memberikan gambaran yang jelas mengenai hal tuju kerajaan yang sangat fokus kepada kepentingan para kapitalis dan tidak mengambil peduli mengenai nasib rakyat biasa. 

Beribu-ribu anak muda yang melancarkan protes menentang hala tuju kerajaan ini juga disertai oleh para pekerja, petani dan rakyat terbanyak yang enggan untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan penindasan di bawah kerajaan kapitalis. Anak muda sedang menyeru untuk mempertahankan beberapa reformasi yang telah di menangi selepas gerakan massa 1998 dan untuk mengelakkan negara ini daripada di heret ke era ‘Orba’ (politik ‘order baru’ di bawah Suharto yang sangat kejam dan tidak mempunyai sebarang ruang demokrasi). Presiden Jokowi dan ahli kabinet kerajaan Indonesia di anggap sebagai golongan yang korup dan bertanggungjawab dengan penindasan dan kesengsaraan yang sedang di hadapi oleh jutaan rakyat. Malangnya, tiada satu pun parti politik yang wujud pada waktu ini yang boleh dianggap sebagai mampu membawa perubahan yang bermakna bagi rakyat.

Perjuangan ribuan para demonstran di jalan raya dan di bandar-bandar utama ini tidak terhenti dengan sekadar tuntutan hak-hak sosial dan demokrasi sahaja. Mereka juga sedang berjuang menentang kekurangan regulasi terhadap syarikat-syarikat perladangan yang sedang membakar hutan-hutan di Indonesia dengan sesuka hati, penggondolan hasil alam dan penindasan kejam terhadap rakyat Papua Barat di bawah cengkaman bersenjata Tentera Nasional, penahanan aktivis dan pejuang hak asasi manusia dengan tidak adil, dan kini, pengenalan akta-akta yang akan membuka ruang kepada para kapitalis dalam dan luar negara untuk meneruskan penindasan terhadap rakyat biasa dengan lebih bebas. 

Anak muda, mahasiswa/i, kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang berjuang untuk membebaskan diri dari cengkaman kerajaan yang sedang memangsakan mereka harus mencari jalan untuk menyatukan tenaga massa dan membawa sebuah alternatif kepada struktur politik korup yang sedia ada. Sistem kapitalisme yang telah mengakibatkan krisis ekonomi juga merupakan punca kepada krisis sosial dan ketempangan politik yang wujud bukan sahaja di Indonesia, malah di seluruh dunia pada waktu ini. Sistem yang korup, rakus dan di kawal oleh oligarki yang terdiri daripada kuasa-kuasa tentera dan kapitalis kaya ini harus digantikan dengan sistem ekonomi sosialis yang terancang dan di bina untuk berkhidmat kepada kehendak majoriti rakyat biasa. 

Kegagalan Gerakan Reformasi 1998

Gerakan massa yang tercetus pada waktu ini sedikit sebanyak mengingatkan kembali situasi selepas krisis ekonomi 1997 yang telah melemahkan kerajaan kuku besi Indonesia dan mencetuskan pelbagai gerakan mahasiswa dan kelas pekerja yang telah menumbangkan Presiden (diktator) Suharto pada tahun 1998. Parti Rakyat Demokratik (PRD) merupakan kepimpinan gerakan sosial rakyat yang paling terserlah pada waktu itu dan telah berjaya menyatukan gerakan-gerakan akar umbi rakyat, mahasiswa, petani, kelas pekerja dan rakyat miskin sehingga diktator Suharto telah berjaya digulingkan. 

Akan tetapi, PRD yang tidak berbekalkan sebuah program dan kepimpinan yang kukuh, telah memberikan ruang kepada parti-parti kapitalis untuk mengambil alih struktur kerajaan Indonesia dan menubuhkan sebuah aturan ekonomi yang masih lagi mengekalkan sistem kapitalisme untuk menyusun masyarakat. Oleh kerana itu, walaupun pelbagai hak-hak demokrasi telah diperkenalkan kepada rakyat, kondisi kehidupan rakyat biasa tidak dapat diperbaiki dan kebajikan mereka tidak berjaya ditingkatkan. 

PRD pada waktu itu telah memberikan sokongan kepada Parti Demokratik Indonesia – Perjuangan (PDI-P) yang didominasi oleh kelas kapitalis di bawah naungan Megawati Soekarnoputri. Kini, Jokowi yang di lihat sebagai pendokong kapitalis dan menindas rakyat juga merupakan ahli parti tersebut yang masih berada di bawah kepimpinan yang sama selepas lebih 20 tahun. 

Hasilnya, aspirasi jutaan rakyat telah dipesongkan ke arah beberapa reformasi di dalam kerangka kapitalisme tanpa mengambil kira nasib majoriti rakyat miskin yang masih sedang melalui kehidupan yang serba kekurangan dan terseksa. Program-program yang di bawa oleh kononnya ‘borjuis progresif’ ini didapati hanya membawa kemewahan kepada golongan elit, oligarki kelas atasan dan kelas pemodal yang kaya raya di samping meminggirkan kelas pekerja dan rakyat tertindas yang diperah demi keuntungan yang berlimpah-limpah. 

Tanpa menggantikan watak kerajaan yang membawa sistem kapitalisme yang dikawal oleh golongan minoriti kaya dengan kekuasaan kelas pekerja yang mampu membawa aturan sosialisme, sebarang ‘reformasi’ yang dimenangi oleh perjuangan rakyat tidak dapat dijamin dan boleh ditarik balik dengan begitu mudah oleh golongan pemerintah. Pada masa ini juga, bagi menjamin hak demokrasi, di samping membawa kesejahteraan ekonomi kepada jutaan rakyat miskin, sistem kapitalisme yang rakus haruslah dicabut dari akarnya dan digantikan dengan sistem sosialisme yang progresif dan mengangkat aspirasi rakyat tertindas. Sudah jelas bahawa agenda ‘reformasi’ sahaja tidak boleh memuaskan aspirasi rakyat terbanyak dan hanya dengan  sebuah revolusi di bawah kepimpinan kelas pekerja tersusun akan mampu memenuhi impian mereka.  

Bawa Perjuangan ke Hadapan! 

Bagi merealisasikan sistem sosialisme yang demokratik, sebuah gerakan massa yang mampu menyatukan semua rakyat tertindas di bawah garis kelas melalui sebuah program ekonomi dan sosial yang kukuh haruslah didirikan dari akar umbi. Semua perjuangan dan gerakan massa yang wujud di Indonesia harus disatukan di bawah satu panji untuk menuntut kebebasan rakyat biasa daripada cengkaman sistem ekonomi kapitalis yang menindas. Kelas pekerja yang tersusun, yang berada dalam bilangan jutaan orang di Indonesia, merupakan kepimpinan rakyat yang mampu melawan dan mengalahkan jentera-jentera kerajaan dan pada masa yang sama juga mampu mendirikan sebuah aturan sosial yang baru. Oleh itu, penubuhan Parti Pekerja dengan kekuatan massa akan membawa aspirasi ini ke hadapan dan menawarkan sebuah alternatif yang jelas untuk seluruh warga Indonesia yang tertindas. Bukan sekadar itu, sebuah kepimpinan dalam bentuk Parti Pekerja juga akan menjadi inspirasi bagi jutaan rakyat yang sedang mencari alternatif di seluruh Asia Tenggara dan juga di skala dunia. 

Anak muda dan mahasiswa/i yang merupakan penggerak utama bagi protes-protes massa yang sedang tercetus di seluruh Indonesia mempunyai tanggung jawab untuk membina sebuah organisasi revolusioner, yang mampu untuk membawa mesej perjuangan ini dengan jelas kepada massa dan menarik masuk kelas pekerja ke dalam gerakan ini untuk menjadi kepimpinan utama. Hanya sebuah organisasi massa di bawah kepimpinan kelas pekerja yang disusun secara demokratik dan berbekalkan dengan program rakyat yang kukuh akan mampu membawa perjuangan ini ke arah konklusi sosialis yang akan memanfaatkan rakyat biasa dan golongan tertindas.  

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *