Menjelang Pilihanraya Umum ke 14, rakyat Malaysia, terutamanya anak muda sedang semakin terasing daripada proses pemilihan yang tidak memberikan sebarang suara kepada mereka. Mengikut laporan rasmi dari SPRM, didapati sekitar 4 juta anak muda belum lagi mendaftar sebagai pengundi untuk pilihanraya yang akan datang dan ramai lagi yang tidak menunjukkan sebarang minat dalam arena politik. Walaupun golongan anak muda juga sedang terbeban dengan kenaikan kos kehidupan, pengangkutan dan pendidikan, amat jelas bahawa mereka tidak melihat kepada pilihanraya umum sebagai sesuatu yang mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka.
Pada pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, golongan mahasiswa dan anak muda telah tertarik dengan mesej ‘reformasi’ yang dibawa oleh pihak pembangkang dan telah menceburi aktivisme politik dalam angka yang banyak. Beberapa gerakan seperti Asalkan Bukan Umno dan sebagainya telah digerakkan oleh anak muda dengan penuh semangat. Tetapi malangnya, pihak pembangkang yang telah berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri hasil sokongan rakyat telah melupakan janji-janji reformasi dan kembali kepada pentadbiran yang sama seperti pihak BN. Janji-janji seperti pendidikan percuma, penghapusan tol lebuhraya, pengenalan pilihanraya ahli majlis dan sebagainya tidak diusahakan walaupun di dalam negeri-negeri di bawah naungan pembangkang.
Mengikut laporan di majalah Time, Perdana Menteri Najib merupakan antara pemimpin dunia yang sangat tidak popular dikalangan rakyat dan dikatakan mempunyai kurang daripada 40% sokongan. Walaupun dalam keadaan sokongan yang sangat lemah kepada pihak kerajaan pusat, pihak pembangkang masih gagal untuk menonjolkan diri mereka sebagai alternatif yang jelas. Dalam kajian yang dilakukan oleh ‘Merdeka Center’ baru-baru ini, didapati bahawa walaupun sejumlah besar anak muda tidak berpuas hati dengan kepimpinan BN, mereka masih tidak menganggap bahawa kerajaan pembangkang akan mampu membawa perubahan yang baik.
Perkara ini tidak menghairankan terutamanya apabila melihat pada penyertaan yang sangat sedikit di kalangan anak muda dalam acara-acara yang ditaja oleh pihak pembangkang. ‘Perhimpunan anti-kleptokrasi’ dan ‘Himpunan wanita bantah politik toksik’ kedua-duanya dipenuhi dengan ahli-ahli parti pembangkang veteran dan gagal untuk menarik lapisan anak muda yang sedar. Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat biasa terutamanya dari kalangan anak muda sudah mula sedar dan tidak percaya kepada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang yang membawa polisi-polisi ekonomi yang serupa.
Walaubagaimanapun, anak muda tidak patut mengambil sifat menjauhi politik semata-mata kerana tidak mempunyai pilihan yang jelas dalam pilihanraya umum. Ketiadaan alternatif bagi rakyat harus menjadi titik permulaan untuk membina kuasa politik yang akan membawa tuntutan rakyat biasa ke hadapan. Anak muda selaku lapisan yang sedar dalam masyarakat harus mengambil kepimpinan untuk membina sebuah organisasi politik berdasarkan kuasa kelas pekerja dan kuasa rakyat tertindas.
Disebabkan tiada sebarang alternatif bagi rakyat dalam arena politik negara pada masa ini, anak muda dan mahasiswa harus berganding bahu dengan semua yang tertindas bagi mewujudkan alternatif tersebut. Keputusan untuk menolak politik sama sekali bukan sahaja tidak menyelesaikan sebarang masalah, malah ia akan meninggalkan semua kuasa politik di tangan pihak penindas yang tamak. Anak muda harus memikul tanggungjawab yang ada dan mula mencabar kuasa-kuasa politik elit yang tidak membawa suara rakyat biasa dengan membina alternatif yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat tertindas.