Acara Tahunan Memperingati Hartal 1947: Membincangkan krisis kapitalisme dalam era baru dan kebangkitan anak muda
Forum: Era Baru Kapitalisme di dalam Krisis — Apa alternatif kiri buat anak muda?
Sejarah mencatatkan sepanjang hari pada 20 Oktober 1947, lebih 70% dari keseluruhan jumlah pekerja, merangkumi kesemuanya dari pelbagai sektor perindustrian dan latar belakang yang berlainan, bersama pekerja ladang, pemilik kedai kecil serta pekerja perkhidmatan awam, telah melibatkan diri di dalam aksi hartal tersebut. Dianggarkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Penjajah British melebihi 4 juta pound, semuanya dalam satu hari sahaja.
Acara memperingati sejarah perjuangan pekerja kali ini diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur–Selangor telah disertai 20 orang, yang kebanyakannya anak muda dan golongan mahasiswa.
Catatan Pendahuluan: Iktibar dari 1947
Acara bermula dengan penerangan umum yang disampaikan oleh Komrad Johan Ariff, yang menghuraikan kemuncak gerakan kelas pekerja di Malaya–Singapura pada 1947–48 dan sebab kekalahannya sebelum Darurat 1948.
Pasca-Perang Dunia Kedua, dengan krisis ekonomi di seluruh Malaya dan Singapura, serta kebangkitan Parti Komunis Malaya sebagai parti massa yang berjaya memimpin perjuangan melawan penjajah Jepun sepanjang 3 tahun dan 8 bulan sebelum itu, membuka satu era perjuangan kelas pekerja dan kesatuan sekerja yang tumbuh subur di seluruh koloni.
“Contohnya di Singapura sahaja,” kata komrad, “di antara April 1946 sehingga Mac 1947, lebih kurang 1.17 juta hari kerja telah hilang disebabkan mogok,” yang bersamaan dengan kehilangan lebih 10 hari bagi setiap pekerja. “Manakala di Semenanjung pula, lebih 713,000 hari kerja telah hilang,” ataupun dua hari dari seorang pekerja.
Bimbang akan kebangkitan anti-kolonial yang bersifat kiri seperti di Indonesia, pihak British menjalankan rundingan rahsia dengan UMNO dan menghasilkan perjanjian Anglo-Melayu yang menjadi asas Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai reaksi, gabungan PUTERA–AMCJA membangunkan alternatif melalui “Perlembagaan Rakyat” yang bersifat demokratik dan sekular, namun masih reformis kerana tidak bertujuan memansuhkan kapitalisme seperti apa yang dijayakan pada Oktober 1917 oleh kelas pekerja Rusia di bawah kepimpinan revolusioner Soviet dan Parti Bolshevik.
Kepimpinan gerakan pekerja dan rakyat biasa di Malaya dan Singapura akhirnya dirampas oleh kapitalis nasional melalui parti borjuis seperti MCA, MIC dan pertubuhan perniagaan seperti ACCA (Associated Chinese Chambers of Commerce). Golongan borjuis bukan Melayu bekerjasama dengan kiri semata-mata untuk meraih lebih kuasa politik bagi mereka sendiri, yang setakat itu tidak diketepikan oleh UMNO dalam projek merdekanya, bukannya untuk memimpin mahupun menjayakan perjuangan kelas pekerja dan sosialisme.
Oleh itu Hartal 20 Oktober 1947 berjaya menghentikan ekonomi, namun dibalas dendam oleh British dengan samsengnya, polisnya, tenteranya, serta kawalan media dan penangkapan sebanyak mungkin pemimpin kiri dan pekerja militan. Pengisytiharan Darurat Jun 1948 menjadi alat kediktatoran kolonial.
“Perlu juga kita tekankan,” komrad seru, “bahawa gerakan buruh yang pada awalnya lebih militan, lebih fleksibel dan lebih mudah untuk disusun menjadi salah satu hal yang mulai dikekang oleh pihak kerajaan yang mulai menggunakan regulasi pendaftaran persatuan bagi menyukarkan perkembangan kesatuan am ketika itu…”
Ketiadaan program sosialis revolusioner menyebabkan gerakan kiri pecah. PKMM berbelah-bahagi dan balik ke pangkalan UMNO. Hanya segelintir memilih perjuangan gerila bersama PKM.
Kesilapan strategik PKM yang dipengaruhi Maoisme dan teori “dua tahap” Stalin mengetepikan peranan kelas pekerja bandar dan mengutamakan perjuangan gerila luar bandar. Ini membawa kepada pengasingan politik dan kegagalan gerakan pekerja. Tidak boleh dilupakan juga betapa senang Rancangan Briggs pada tahun 1950 untuk dilaksanakan disebabkan kelemahan strategi Maois ini.
Kejatuhan ini kemudian membuka jalan kepada kemunduran politik kelas pekerja. Terutamanya birokrasi kesatuan dan lapisan aristokrasi buruh berakar umbi dalam struktur kesatuan terpusat seperti MTUC, yang sering kali lebih cenderung kepada kompromi kelas berbanding mobilisasi radikal, justeru menghalang perjuangan kelas pekerja sehingga hari ini.
Kesimpulannya, pengalaman Hartal 1947 menunjukkan perlunya sebuah program sosialis revolusioner yang demokratik, kepimpinan kelas pekerja yang demokratik, dan politik kelas yang independen serta menolak strategi reformis dan kerjasama dengan kelas borjuis elit. Ia juga membuktikan kepentingan prinsip internasionalisme ketika nasionalisme sempit terus digunakan untuk memecahbelahkan kelas pekerja.
Komrad sekali lagi menegaskan bahawa sosialis dan Marxis tidak wajar “meromantisasi” sejarah perjuangan kiri, tetapi wajib mengkajinya secara kritikal. Hartal atau mogok umum membuktikan kekuatan kelas pekerja dalam mencabar penguasaan kapitalis. Namun tanpa perspektif anti kapitalis dan program sosialis yang jelas, kepimpinan PUTERA–AMCJA terhad dan gagal memanfaatkan momentum ketika kelas pekerja sudah bersedia melanjutkan perjuangan menentang British. Kesilapan ini membuka ruang bagi kolonial menggunakan kuasa ketenteraan, darurat, serta undang-undang penindasan untuk sekaligus mencantas gerakan buruh.
Catatan Pameran Sejarah: Sebelum dan selepas Hartal 1947
Pameran utama menampilkan garis masa terperinci antara tahun 1917 hingga 1948. Revolusi Oktober di Rusia pada 1917 telah menghasilkan impak yang cukup bersejarah bagi pembentukan masyarakat sosialis demokratik, membuktikan kepada dunia potensi kelas pekerja dan tugas sejarahnya dalam memacu perubahan sosial.
Malangnya di bawah kepimpinan Stalin, negara pekerja Soviet yang pada awalnya bersifat demokratik dari tahun 1917 hingga 1924 merosot menjadi sebuah birokrasi yang menindas dan tidak demokratik. Begitu juga dengan Komintern, yang tidak lagi berusaha ke arah sosialisme demokratik internationalis di luar sempadan Kesatuan Soviet. Ejen-ejen seperti Henk Sneevliet telah dihantar ke seluruh dunia untuk membina dan mengembangkan gerakan sosialis tempatan serta usaha intervensi dalam perjuangan kelas di peringkat nasional. Namun, meskipun wujudnya gerakan pekerja yang paling militan dan mandiri di sekitar dunia dalam era pasca-Perang Dunia Pertama, Komintern Stalinis sebaliknya memaksa organisasi komunis nasional untuk bekerjasama dengan kelas kapitalis negara masing-masing demi membentuk barisan popular menentang imperialisme dan kolonialisme. Hasilnya di mana-mana jua, kuasa imperialis yang sedar akan ketidakpopularan mereka dalam kalangan rakyat jajahan kini tidak mempunyai pilihan selain memperkasakan kapitalis nasional sebagai boneka mereka untuk meneruskan aktiviti pengeksploitan kolonial. Kapitalis tempatan pula terikat pada sistem ini sekadar sebagai orang tengah. Inilah sifat utama era neokolonialisme yang berterusan sehingga kini sejak tamatnya Perang Dunia Kedua.
Di China, Indonesia, Vietnam, dan banyak lagi tanah jajahan serta semi-jajahan, gerakan pekerja dan kesatuan yang pada asalnya bebas, demokratik dan militan akhirnya dikhianati oleh pihak komunis yang menjadikan dasar perjuangan untuk ditunggang oleh kelas kapitalis “demokratik” nasional mereka sendiri, yang dianggap “revolusioner” sebagai lawan kepada kuasa imperialis reaksioner dan agen-agen neokolonial mereka. Di Malaya dan Singapura, garis masa menunjukkan bahawa walaupun berlaku gelombang aksi industri yang luar biasa seperti mogok dan piket besar-besaran dari 1945 hingga 1948, gabungan kiri PUTERA–AMCJA, seperti yang telah diterangkan oleh Komrad Johan, telah menyesatkan gerakan bebas dan militan ini dengan menerapkan secara membuta tuli dasar kolaborasi kelas Komintern ke atas para pemimpin pekerja.
Contohnya, antara guntingan-guntingan akhbar (sumber utama pada waktu itu) yang dipamerkan sepanjang garis masa, satu tajuk utama The Straits Budget seminggu sebelum Hari Hartal, “The Towkays’ Hartal”, antara ulasan liberal yang menekankan hakikat bahawa dalam bulan-bulan menjelang Hari Hartal pada 20 Oktober 1947, gerakan pembebasan nasional semakin dikooptasi oleh “kapitalis demokratik” seperti Tan Cheng Lock dan kamar perniagaan Cina yang diwakilinya. Respons pihak kiri: “‘It’s Not a Towkay’s Hartal,’ kata AMCJA dan PUTERA”, di mana “mereka memutuskan untuk mengadakan hartal… atas inisiatif mereka sendiri, dan menafikan bahawa mereka hanya menyokong ACCC dalam demonstrasi ini”, walaupun jelas itu lah realitinya.
Satu lagi contoh: “New Party Denounces Hartal”. Salah satu penentangan terhadap AMCJA-PUTERA adalah dari Parti Sosialis Sino-Melayu, yang menjelaskan alasan mereka menolak Hartal kerana ia dianggap “asing bagi sebuah negara kosmopolitan seperti Malaya dan maka tidak praktikal”, sedangkan mereka “sedang merangka cara-cara untuk mengadakan demonstrasi dan mendaftar dengan Kerajaan sambil merasakan bahawa cadangan perlembagaan dalam bentuknya sekarang tidak boleh diterima secara keseluruhan.”
Kekeliruan dalam kalangan pihak kiri, seperti yang ditunjukkan di sini, sangat meluas pada waktu itu akibat dasar kolaborasi kelas yang diarahkan oleh birokrat Stalinis secara tidak demokratik, sedangkan pada masa yang sama kelas pekerja di seluruh dunia sedang membuktikan kesalahan dan pengkhianatan polisi ini melalui gerakan bebas dan militan yang diperjuangkan oleh mereka sendiri.
Di samping itu, pameran meletakkan fokus kepada beberapa titik sejarah dan dokumen yang penting pada era itu. Antaranya perjuangan pekerja di Batu Arang dari 1935 hingga 1937 yang berjaya menubuhkan soviet (majlis pekerja demokratik) yang pertama di Malaya. Aksi-aksi mogok dan protes yang dijayakan oleh pelombong arang batu dan pembuat batu bata, malah bersama petani tempatan, begitu dashyat ancaman kuasa mereka terhadap sistem kapitalis itu sendiri kerana motif keuntungannya bergantung khususnya kepada lokomotifnya yang tidak dapat gerak tanpa arang batu. Oleh itu betapa dashyat terlihat juga reaksi pemerintah yang akhirnya menewaskan Soviet Batu Arang dengan polisnya yang cukup ganas.
Pembunuhan massal yang berlaku di Batang Kali di mana 24 orang yang tidak bersenjata ditembak mati oleh tentera British pada 12 Disember 1948, beberapa bulan sahaja selepas Darurat diisytiharkan, juga dipamerkan. Keganasan imperialisme dengan kerjasama penuh oleh boneka tempatannya tertonjol apabila dilihat seorang pegawai tentera British yang bersenyum di hadapan kamera apabila dipegang kedua-dua tangannya dua kepala “komunis” yang baru dipenggal.
Selain titik-titik sejarah utama tersebut, kami juga mempamerkan klip-klip berita mengenai Perlembagaan Rakyat iaitu program utama nasionalis kiri pada waktu itu menentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dikerjakan UMNO di bawah naungan British, sambil memberikan penerangan dan analisis ringkas tentang usulan utama dalam Perlembagaan Rakyat itu, seperti soal identiti “Melayu” yang terdapatnya sifat progresif (ekspresi menentang rasisme, taktik pecah dan perintah) tetapi juga regresif (tidak mampu menyatukan kaum bukan Melayu tanpa posisi kelas yang independen). Buku Perlembagaan Rakyat itu sendiri juga tersedia untuk dibaca semasa pameran.
Malah Peristiwa 13 Mei juga termasuk dalam naratif pameran kami. Seperti yang telah Komrad Yuva telah jelaskan dalam 55 Tahun Selepas Peristiwa 13 Mei (buku kecil yang kami terbitkan tahun lepas), tragedi ini wajib difahami melalui lensa sejarah perjuangan kelas pada 1940-an dan kekalahan serta keruntuhhannya pada zaman Darurat. Kerajaan Perikatan yang dipimpin oleh UMNO sekadar mewarisi perpecahan kaum yang sedia ada ditanam oleh pendahulu mereka iaitu British dan cuma meneruskan strategi pecah dan perintah demi menghalang perpaduan kelas pekerja. Sementara itu golongan kiri terus gagal mencabar realiti ini disebabkan ketidakupayaan kepimpinannya untuk membebaskan diri daripada pengaruh dan polisi Stalinisme dan Maoisme. Akibatnya sosok neoliberal seperti Mahathir dapat mengisi vakum politik setelah kerajaan Perikatan diketuai bapa Najib terpaksa merampas apa jua ruang demokrasi daripada rakyat buat hampir dua tahun melalui pemerintahan mutlak MAGERAN. Berhubungan dengan hal ini, pameran turut menampilkan Buku Merah 13 Mei iaitu laporan rasmi yang diterbitkan oleh MAGERAN itu sendiri. Dokumen pendek ini memperlihatkan ketidaksaksamaan kerajaan kapitalis itu yang tertonjol dalam “analisis” rasminya akan sebab pencetusan konflik kaum dan titik sejarah hitam ini.
Catatan Forum: Era Baru Kapitalisme di dalam Krisis — Apa alternatif kiri buat anak muda?
Acara kemudian diikuti dengan sesi forum bertujuan untuk menghubungkaitkan pengajaran dari Hartal 1947 dengan tugas sejarah yang kini ditanggung oleh lapisan kelas pekerja dan terutamanya anak muda yang sedar akan penindasan dan eksploitasi sistemik di bawah kapitalisme, dan membawa kepada kesimpulan akan keperluan untuk berorganisasi ke arah sosialisme yang demokratik.
Terdapat dua ahli panelis dalam forum tersebut, iaitu wakil dari Sosialis Alternatif dan Jaringan Solidariti Pekerja, Komrad Yuva Balan, yang disertai oleh Komrad Said daripada AKSI (Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis). Perbincangan ini dikendalikan oleh Komrad Shaqirah Shauqi, selaku wakil juga dari SA dan JSP.
Forum yang bertemakan peranan anak muda dalam membina gerakan kiri dalam era kini menjadi lebih relevan disebabkan perkembangan aktivisme di kalangan belia yang semakin aktif sejak kebelakangan ini. Sesuai dengan peserta-peserta acara kali ini yang kebanyakannya terdiri daripada anak muda.
Kedua-dua panelis memberikan hujah situasi politik semasa di bawah pemerintahan kerajaan gabungan pimpinan Anwar mengemudi situasi krisis kapitalisme dalam cabaran era baru.
Sosialis Alternatif menegaskan bahawa kerajaan hari ini gagal menangani kenaikan harga barangan dan kemerosotan keadaan sosial dalam kalangan pelajar serta anak muda. Janji untuk memansuhkan akta penindasan seperti AUKU dan Akta Hasutan juga dilihat dikhianati — mendedahkan kepentingan kerajaan perpaduan Anwar yang mempertahankan sistem kapitalis dan status quo, tidak jauh berbeza daripada pentadbiran UMNO sebelumnya.
Komrad Sayed dari AKSI turut bersetuju dan menyatakan bahawa kerajaan Anwar terus tunduk kepada kepentingan kapitalis. Janji-janji kepada anak muda seperti pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN telah lama dilupakan.
Soalan mengenai bagaimana membina gerakan anak muda yang berasaskan perjuangan rakyat juga diajukan. Komrad Yuva daripada Sosialis Alternatif, berhujah bahawa situasi politik bagi anak muda kini sedang menyaksikan kepimpinan anak muda seperti Syed Saddiq dan Adam Adli, telah meninggalkan perjuangan seperti pendidikan percuma dan mansuhkan AUKU apabila mendapat kuasa kerajaan. Pengkhianatan ini seharusnya dapat dihentikan dengan membina perjuangan rakyat yang bersifat akar umbi dan demokratik. Lebih-lebih lagi dengan situasi kebangkitan massa di seluruh dunia yang sebahagiannya melihatkan anak muda yang mengambil kepimpinan. Namun tanpa perspektif untuk membina perjuangan bersama kelas pekerja — sejarah berulang kali menunjukkan perjuangan cenderung untuk menghancurkan harapan rakyat yang telah memberikan sokongan. Seperti mana yang berlaku di Mesir pada tahun 2011 apabila Hosni Mubarak digulingkan, anak muda telah gagal untuk menghubungkan perjuangan kepada kepimpinan kelas pekerja untuk mengubah masyarakat dan kuasa kolektif mereka apabila mereka berjuang. Realiti yang gagal untuk dilihat oleh anak muda di Mesir pada waktu itu adalah aksi-aksi industri kelas pekerja Mesir yang melancarkan siri mogok yang berpanjangan sehingga mencetuskan mogok umum, menghentikan ekonomi dan menjuruskan kejatuhan regim Mubarak.
Isu dalam sistem pendidikan negara kita yang semakin meruncing, dengan kejadian keganasan seksual terhadap pelajar perempuan di sekolah, buli, juga kes-kes melibatkan jenayah di institusi pengajian tinggi menunjukkan keperluan yang mendesak bagi mahasiswa dan pelajar menghubungkan perjuangan dan tuntutan pelajar dan anak murid dengan perjuangan dan tuntutan para pendidik — serta semua tenaga kerja di sekolah dan institusi pendidikan seperti kaunselor dan pustakawan. Semua kes-kes ini harus dibawa sebagai isu sistemik kepada rakyat biasa bukan sekadar satu dua sekolah atau institusi yang bermasalah atau satu dua pendidik dan pemimpin yang gagal menjalankan tugas. Inilah caranya menghubungkan politik kampus kepada rakyat, berbanding bergantung harap pada satu dua menteri dan menunggu perdebatan menteri untuk meluluskan usul. Anak muda yang lebih maju dari segi kesedaran akan perlunya satu perubahan yang mendalam harus bersedia dari segi hujah politik untuk menghubungkan politik kampus kepada gerakan rakyat. Ini disebabkan gerakan massa yang sedang bangkit pada waktu ini dalam isu-isu korupsi, dan perang walaupun tercetus di luar negara, seringkali memberi kesan pada gerakan di dalam negara.
Seperti pada tahun 1998 ketika era reformasi, ia merupakan gerakan yang pada awalnya tercetus di Indonesia untuk menggulingkan kerajaan Suharto. Komrad Said daripada AKSI juga menyahut komrad Yuva berkenaan seruan bagi anak muda untuk bersedia menghadapi situasi kebangkitan massa dengan hujah politik anti kapitalis dan keperluan untuk menyusun perjuangan demi membawa politik massa yang jauh lebih progresif. AKSI turut mengingatkan revolusi Perancis 1968 yang turut menyaksikan gerakan bersejarah seperti di Egypt pada tahun 2011 yang dipimpin oleh anak muda namun gagal mengambil perspektif kepimpinan kelas pekerja. Potensi yang wujud dalam 10 juta pekerja di Perancis yang melancarkan mogok umum pada tahun itu tidak dilihat sebagai kekuatan untuk merubah masyarakat dan membentuk kerajaan sosial demokrat yang berpaksikan ekonomi kapitalis dan imperialis. Kini, Perancis sedang menghadapi krisis ekonomi dan sosialnya sendiri sehingga mencetuskan siri kebangkitan massa.
Komrad Said yang berhujah bagi AKSI, turut bersetuju akan kepentingan sebuah kesatuan sekerja yang dapat membawa perjuangan rakyat keseluruhan. Terutama dalam perjuangan pelajar dan murid sekolah menghadapi krisis institusi pendidikan, kesatuan guru yang seharusnya memainkan peranan yang penting gagal membawa tuntutan progresif untuk memperbaiki keadaan sistem pendidikan. Ini menunjukkan perlunya sebuah pembinaan kesatuan pendidik yang baru dan mandiri serta berjuang untuk hak-hak progresif untuk rakyat serta pelajar.
Acara forum kemudian diakhiri dengan hujah dari komrad Yuva untuk membina sebuah platform parti pekerja massa yang bersifat anti kapitalis dan mengangkat solusi sosialis sebagai alternatif terhadap sistem kapitalisme. Moderator Shaqirah, menyorot akhbar pekerja yang menjadi nadi sebuah organisasi kiri yang harus didukung sebagai kaedah untuk meningkatkan kesedaran massa mengenai idea-idea anti kapitalis dan sosialis.
Catatan Penerbitan Baru: Akhbar Solidariti Pekerja isu ke-33, Analisis Peter Taaffe dan Tugas Kiri di Malaysia, dll.
Seperti dalam setiap acara dan kempen kami, Sosialis Alternatif turut menyediakan pelbagai bahan bacaan bagi para peserta. Antaranya terdapat brosur dan risalah mengenai acara ini dan juga program utama kami iaitu pembinaan parti pekerja massa independen, serta perspektif khusus seperti risalah mengenai perang di Gaza, yang diedarkan secara percuma.
Isu terbaru (ke-33) akhbar pekerja kami iaitu Solidariti Pekerja dijual pada RM3 senaskhah. Pihak penganjur tidak lupa juga memberi penerangan dan meninjau tajuk-tajuk utama yang dipaparkan dalam isu ini, seperti analisis kami pada muka hadapan terhadap gabungan parti pembangkang diketuai PN/PAS yang tidak akan dan tidak mampu membawa perubahan dan alternatif sebenar buat kelas pekerja . Di samping itu kami juga membincangkan pelbagai berita dan isu-isu pekerja yang paling mendesak kini seperti persoalan Akta Pekerja Gig, Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), pemerkasaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, situasi inflasi, penolakan peningkatan umur pencen, perjuangan pekerja pelbagai sektor yang seperti dengan pekerja bank, pemandu bas, pekerja migran yang teruk dieksploitasi dan ditindas kebelakangan ini, dan tidak dilupakan isu sosial seperti kes Zara Qairina, serta isu alam sekitar seperti pencemaran teruk di Batu Arang akibat pembinaan insinerator yang lama dibantah oleh penduduk. Kempen gaji minimum kami (RM20/jam ≈ RM3,600/bulan) dan juga setiap tuntutan dalam program perjuangan kami turut disenaraikan dan dijelaskan pada halaman terakhir. (Bagi pembaca yang minat dan ingin menyokong organisasi kami, isu ke-33 Solidariti Pekerja boleh dibeli di sini.)
Selain akhbar terkini kami, kami juga mengambil peluang untuk melancarkan buku kecil baru bertajuk Analisis Peter Taaffe dan Tugas Kiri Malaysia: Koleksi Penulisan Kritikal dari Perspektif Trotskyist, Berkaitan dengan Perjuangan untuk Transformasi Sosialis dan Organisasi Kelas Pekerja di Malaysia. Buku ini mengandungi dua esei yang ditulis oleh mendiang Komrad Peter Taaffe, pengasas dan pemimpin CWI serta Parti Sosialis di England dan Wales. Esei pertama mengulaskan buku kecil ditulis dan diterbitkan pada Ogos 2009 oleh Dr. Jeyakumar Devaraj (kini pengerusi PSM) yang bertajuk “Malaysia at the Crossroads, a Socialist Perspective”, melalui surat yang ditulis kepada Jeyakumar pada 5 Oktober tahun yang sama. Buku kecil ini diterbitkan sebahagiannya untuk memperingati sumbangan Komrad Peter demi perjuangan kelas antarabangsa, dan sebahagiannya untuk mengumpulkan perspektif dan analisis paling penting dari pihak Komite untuk Perjuangan Pekerja Antarabangsa (CWI) mengenai sejarah dan masa hadapan gerakan kiri di Malaysia dan malah di serantau Asia Tenggara. Kami menerbitkan versi ulasan yang telah disunting dan dipendekkan fokus pada persoalan mengenai kaedah, analisis, dan perspektif bagi Marxist dalam perjuangan untuk menggulingkan kapitalisme di Malaysia, Asia, dan seluruh dunia. (Tersedia dalam Bahasa Inggeris; terjemahan kepada Bahasa Melayu akan disediakan tidak lama lagi. Sila hubungi kami jika minat membeli.)
Terdapat juga bahan-bahan bacaan yang sedia ada seperti buku kecil mengenai penindasan wanita di bawah kapitalisme, peranan parti revolusioner, pengenalan kepada sosialisme, sejarah dan pengajaran daripada Revolusi Oktober, dan tidak lupa juga buku kecil kami mengenai peristiwa 13 Mei.
Di sini kami ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada setiap peserta yang memberi sumbangan kewangan kepada organisasi kami melalui pembelian akhbar dan bahan bacaan kami, terutamanya peserta dan ahli yang memberi sumbangan solidariti. Dengan sokongan kewangan dari akar umbi masyarakat seperti ini lah mampu Sosialis Alternatif dan Jaringan Solidariti Pekerja terus mengembangkan gerakan kelas pekerja independen di Malaysia ke arah sosialisme demokratik.
Akhir sekali, Sosialis Alternatif pasti akan menganjurkan acara memperingati Hartal tahun hadapan, bagi meneruskan tradisi sosialis ini dalam mempelajari pelajaran paling penting daripada sejarah perjuangan kelas. Sementara itu, kami menantikan penglibatan berterusan bersama semua peserta dan penyokong dalam minggu dan bulan yang akan datang untuk terus mengembangkan pejuangan sosialisme demokratik. Ayuh bina perjuangan pekerja yang tersusun dan parti pekerja massa untuk membawa perjuangan politik kelas pekerja yang revolusioner!
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan